Thursday, October 13, 2011

13 Julai 2011

Pagi ini saya berjalan kaki seorang diri dari asrama Universiti Istanbul tanpa disedari sehinggalah sampai ke kawasan Istanbul Commerce University tempat berlangsungnya forum IYG 6 yang saya ke sini pagi semalam dengan menaiki bas .Sungguh menarik melihat suasana persekitaran kawasan tumpuan pelancong untuk ‘Bosphours Tour’ yang sibuk bermula pada waktu tengahari tetapi lengang pada awal pagi ini.Kelihatan juga para peniaga di kawasan Spice Bazaar mula bersiap sedia membuka perniagaan mereka dan di atas jambatan Selat Bosphorus ,saya melihat beberapa orang mula memancing ikan disana.Udara pagi di kawasan ini cukup segar dan membuatkan perjalanan saya berjalan kaki seorang diri hampir 1 jam ini tidak terasa letihnya.



Selepas sarapan pagi di asrama Universiti Istanbul,kami kembali ke Istanbul Commerce University bagi menyambung kembali program IYG 6.Program pagi ini diteruskan dengan pembentangan wakil negara peserta sebelum pembentangan oleh SU IIFSO ,Ahmat Al-Atti.IIFSO singkatan kepada International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO)kini berpusat di Istanbul dan saya bersama beberapa orang pimpinan PKPIM pernah mengikuti mesyuarat agungnya di Jakarta dan juga mengikuti bengkel kepimpinan anjuran IIFSO di Kuala Lumpur dahulu.IIFSO suatu ketika dahulu sangat aktif menerbitkan pelbagai bahan bacaan bermutu dalam pelbagai bahasa dunia khusus untuk anak muda.



Ahmat Al-Atti dalam pembentangannya membicarakan tentang kekuatan pemuda dan bagaimana pemimpin pemuda perlu menyediakan diri mereka dengan membuat persiapan ilmu dan kapasiti intelektual, tahu hak anak muda,menyebar maklumat kepada anak muda yang lain dengan membina satu jaringan maklumat-media sesama anak muda di seluruh dunia.Beliau mengharapkan ‘kebangkitan dengan kekuatan pemuda’ dan membawa contoh apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia.Masalah kepimpinan menjadi antara masalah penting sekarang ini menurut beliau dan beliau meyarankan kebangkitan dengan pendekatan aman dan sejahtera serta menimbulkan persoalan penting ‘Apa selepas kebangkitan?’.



Pembentangan seterusnya ialah berkenaan isu hak wanita oleh saudari Fatma,seorang peguam terkenal yang lantang memperjuangkan hak wanita di Turki.Beliau sangat aktif menyuarakan nasib para wanita di Turki yang dinafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran di kebanyakan universiti di Turki hanya kerana mereka memakai hijab.



Dalam pembentangan beliau menyarankan para wanita supaya mengetahui hak-hak mereka dan berjuang untuk menuntut hak tersebut.Lelaki juga menurut beliau perlu berkerjasama dengan wanita untuk memperjuangkan hak-hak wanita tersebut.Kebanyakan orang salahfaham berkenaan hak wanita dalam Islam dam sebarang bentuk kezaliman terhadap wanita perlu dilawan dengan sebaik mungkin.



Selepas tamat sesi IYG 6 hari ini,kami dibawa ke satu lagi NGO Turki,Bakler Vekfi untuk makan malam disini.NGO ini turut memberi penekanan lebih kepada aspek pendidikan.



Pada malam harinya selepas pulang ke asrama Universiti Istanbul,saya berjalan kaki sekali lagi di sekitar kawasan Fatih ini dan melihat suasana malam yang hidup dengan orang ramai khususnya pelancong-pelancong yang keluar membeli belah pelbagai barangan yang dijual sepanjang jalan disini.



Di bilik khas komputer di asrama Universiti Istanbul malam ini pula dipenuhi oleh peserta-peserta IYG 6 yang sibuk melayari internet sehingga ke awal pagi.

No comments:

Post a Comment