Hari ini selepas sarapan pagi,semua peserta IYG 6 dibawa ke muzium Panorama 1453.Panorama 1453 ini merupakan muzium yang menceritakan sejarah pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad Al-Fatih.Saya telah pun mengunjungi muzium ini sebelum ini.Di luar perkarangan Panorama 1453 ini sementara menunggu peserta-peserta yang lain ,kami duduk di atas rumput hijau dan disini peserta IYG 6 dari negara arab seperti Lubnan,menyanyikan beberapa buah lagu beramai-ramai.
Kami kemudiannya bergegas menuju ke Sulaymaniye Camii untuk menunaikan solat Jumaat.Sewaktu berjalan kaki beramai-ramai menuju ke asrama penginapan sebelum ke Sulaymaniye Camii ,kami telah diberitahu oleh wakil UNIW bahawa PM Turki,Recep Tayyip Erdogan akan turut menunaikan solat Jumaat di Sulaymaniye Camii.Mendengar berita tersebut,semua peserta berasa teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan Recep Tayyip Erdogan.Saya sempat bersembang dengan peserta dari Palestin yang menggunakan passport Israel dan melihat bagaimana beliau begitu mengkagumi PM Turki ini.Kalau sebelum ini saya bersama rombongan MTDS dapat berjumpa dan bersalaman dengan Erdogan sewaktu solat subuh di Eyup Camii,maka kali ini saya berpeluang untuk bersuamuka dengan beliau sekali lagi sewaktu solat Jumaat di Sulaymaniye Camii.
Setibanya kami di Sulaymaniye Camii,kami dapat melihat kawalan ketat oleh pihak polis.Orang ramai mula berhimpun di luar perkarangan masjid bagi menanti ketibaan Erdogan.Selepas mengambil wudhu,saya sempat bersembang dengan seorang pemuda dari UK dan beliau sebenarnya aktif dengan FOSIS(Federation of Student Islamic Societies) di UK.
Beliau memberitahu saya beliau ke Istanbul kerana mengikuti rombongan Rihlah bersama Syeikh Hamza Yusuf,seorang tokoh berwibawa dari Amerika Syarikat dan Imam Zaid Shakir.Beliau memaklumkan kepada saya bahawa Syeikh Hamza Yusuf dan Imam Zaid Shakir dan semua ahli rombongannya turut akan menunaikan solat Jumaat di Sulaymaniye Camii ini.Beberapa minit kemudian,saya sempat melihat kelibat Syeikh Hamza Yusuf memasuki Sulaymaniye Camii dan saya merancang untuk bertemu dengan beliau selepas solat Jumaat nanti.
Dan sekarang,saya bersama-sama dengan semua peserta IYG 6 sedang menanti ketibaan PM Turki,Recep Tayyip Erdogan.Pada mulanya kami sudah memasuki dewan solat masjid ini tetapi kemudiaannya kami diminta untuk berhimpun diluar sebentar bagi menyambut ketibaan Erdogan.Di luar perkarangan Sulaymaniye Camii yang sedang dipenuhi oleh orang ramai yang sedang menanti ketibaan Erdogan ini,kami diberi layanan VVIP dan dibenarkan berhimpun berdekatan laluan khas yang bakal dilalui oleh Erdogan nanti.Kami dimaklumkan oleh wakil UNIW bahawa Erdogan akan berhenti singgah untuk bergambar beramai-ramai dengan semua peserta IYG 6 sebelum masuk ke dewan solat.
Selepas beberapa minit membuat barisan persiapan untuk bergambar dengan Erdogan,akhirnya Erdogan tiba di perkarangan Sulaymaniye Camii dengan disambut oleh orang ramai yang memenuhi perkarangan masjid ini.Sewaktu Erdogan tiba,azan mula berkumandang dan Erdogan yang melalui laluan khas sempat singgah untuk menemui dan bergambar bersama semua peserta IYG 6 yang telah sedia menanti kehadiran beliau.Kenangan indah kami bersama Erdogan ini dirakam oleh ramai jurugambar yang hadir.Sewaktu khatib sedang menyampaikan khutbah Jumaat,saya sempat terfikir bahawa sekarang ini didalam masjid ini ada 2 -3 orang tokoh berwibawa yang saya sering ikuti perkembangan mereka menerusi berita di laman-laman web dan Youtube.Dan selepas solat Jumaat nanti,saya wajib menemui mereka...
Selepas selesai solat Jumaat,orang ramai termasuk Recep Tayyip Erdoganbangkit menunaikan solat sunat .Di Turki ini,solat sunat memang seakan menjadi kewajipan buat mereka dan orang luar pasti terpinga-pinga melihat hampir kesemua jemaah yang hadir akan bangkit menunaikan solat sunat selepas menunaikan solat fardu.
Selepas selesai solat sunat,orang ramai berkerumun kearah Erdogan yang berdiri di saf hadapan bersama-sama imam untuk bersalaman dengan para hadirin sambil diawasi oleh pegawai keselamatan.Menjadi kelaziman buat Erdogan untuk meluangkan masa sekitar setengah jam atau lebih untuk bersalaman dengan para hadirin selepas selesai solat di masjid-masjid.Melihat orang ramai yang terlampau ramai menunggu giliran untuk bersalaman dengan Erdogan,saya dan beberapa orang sahabat mengambil keputusan menunggu terlebih dahulu.
Sementara itu,saya mencari-cari Syeikh Hamza Yusuf dan Imam Zaid Shakir yang juga mula dikerumuni oleh beberapa orang.Sahabat saya dari Macedonia mengajak saya bergambar dengan beliau dan selepas bergambar dengan Syeikh Hamza Yusuf ini baru saya tahu sahabat saya dari Macedonia itu langsung tidak mengenali siapa dia Syeikh Hamza Yusuf.Sahabat saya ini memberitahu saya beliau terpandang seorang pakcik berpakaian kemas dan unik lalu tertarik untuk mengambil gambar dengan pakcik tersebut.Kemudiaannya beliau terkejut apabila pakcik itu mula dikerumuni ramai orang.Selepas saya memberitahunya barulah dia mengetahui pakcik yang berpakaian kemas dan unik itu ialah Syeikh Hamza Yusuf.
Saya bersalaman dengan Syeikh Hamza Yusuf dan memperkenalkan diri ringkas kepadanya dan memaklumkan kepada beliau saya datang dari Malaysia.’’Apa khabar ,budak baik?’’tanya beliau kepada saya dalam Bahasa Melayu.Beliau memberitahu saya beliau pernah ke Malaysia suatu ketika dahulu.Saya tidak pasti bila beliau hadir ke Malaysia dahulu cuma saya pernah menonton video dalam Youtube temubual beliau bersama Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas ,mungkin di Malaysia.Saya juga sempat memberitahu beliau secara ringkas juga tentang program International Youth Gathering anjuran UNIW yang kami sertai ini.
Selepas bersalaman dan bergambar dengan Syeikh Hamza Yusuf,saya dan sahabat yang lain beratur menunggu giliran untuk ‘menyerbu’ Erdogan bersama-sama dengan orang ramai yang berebut-rebut beratur menunggu giliran untuk bersalaman dengan Erdogan.Pegawai keselamatan menjerit memberitahu mengambil gambar Erdogan di masjid ini dilarang bahkan pengumuman melalui mikrofon juga dibuat beberapa kali menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil gambar Erdogan dan beratur secara baik.Namun ramai juga yang curi-curi mengambil gambar Erdogan walaupun beberapa kali dilarang oleh pegawai keselamatan.Dalam kesibukan dan kesesakan orang ramai ini,sahabat saya dari Macedonia sempat berlatih didepan saya mengucapkan ‘Allah Mubarek Olsun’,kalimah baru yang beliau pelajari dari sahabat Turki yang mahu beliau ucapkan kepada Erdogan nanti.
Selepas beberapa minit beratur dengan kesesakan orang ramai,akhirnya sekali lagi saya sempat bersalaman dengan Erdogan sambil mengucapkan juga‘Allah Mubarek Olsun’, dan kali ini siap dengan memakai songkok hitam,baju Melayu dan ‘vest’ PKPIM yang terdapat bendera Malaysia dan tertulis nama ‘Wasif’.
Melihat senyuman dan cara Erdogan menyambut salam saya,saya dapat merasakan Erdogan mengecam muka saya selepas kali pertama kami bertemu ,bersalaman dan bersembang sepatah dua sewaktu selepas solat Subuh di Eyup Camii dahulu....:)
Dari Sulaymaniye Camii,kami berjalan kaki pula ke pejabat Ensar Vekfi,NGO yang juga memberi fokus kepada pendidikan pelajar.Saya pernah menziarahi pejabat Ensar Vekfi ini pada tahun 2007 dahulu dan disinilah menjadi tempat mesyuarat agung UNIW yang saya hadir dahulu.Kami makan tengahari disini sebelum mendengar taklimat berkenaan gerak kerja Ensar Vekfi ini.Ensar Vekfi akan menguruskan kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah dan universiti serta menjadi satu pusat tuisyen untuk anak-anak muda.Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada mereka yang bergiat aktif dalam kegiatan kesukarelawanan.
Para peserta IYG 6 kemudiannya dibawa untuk membeli-belah di sekitar kawasan berdekatan Fatih Camii yang menempatkan makam Sultan Muhammad Al-Fatih.Fatih Camii ini tidak terlalu jauh dari asrama Universiti Istanbul yang kami tumpang menginap sepanjang IYG 6 bahkan saya sering melalui kawasan tersebut sewaktu beriadah berjalan kaki selepas solat Subuh.
Kami dibawa untuk makan malam pada hari ini di Sofa Vekfi,sebuah NGO Turki yang menekankan persoalan pembangunan pendidikan spiritualisme-kesufian.Disini saya berjumpa kembali seorang sahabat yang sama-sama mengikuti IYG 5 di Maghribi.Selepas tamat makan malam,kami mendengar pula taklimat berkenaan gerak kerja Sofa Vekfi. Sofa Vekfi ini banyak menganjurkan program-program berkaitan pembangunan jiwa-rohani untuk generasi muda dan aktif menerbitkan majalah bulanan yang berkisar soal spiritualisme.
Dari tingkat atas pejabat Sofa Vekfi ini kami dapat melihat beberapa orang sedang mengagihkan makanan dan risalah secara percuma untuk orang ramai yang lalu lalang di situ.Rupa-rupanya makanan dan risalah percuma itu diberikan bersempena dengan sambutan Nisfu Syaaban pada malam ini.
No comments:
Post a Comment