Monday, December 24, 2007

Laporan delegasi PKPIM ke International Conference On Islamophobia,Istanbul,Turki


Laporan delegasi PKPIM ke International Conference On Islamophobia,Istanbul,Turki

Oleh

Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad


Pada 8-9 Disember 2007 yang lalu telah diadakan Internasional Conference On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW) bertempat di The Grand Cevahir Hotel ,Istanbul,Turki.

Sejumlah 15 orang wakil dari PKPIM,ABIM,WADAH,Yayasan Takmir Pendidikan,dan Global Peace Mission telah mewakili Malaysia pada Internasional Conference On Islamophobia ini. PKPIM telah diwakili oleh saudara Khairul Anwar Shazali,Saifullah Zulkifli,dan Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad.

Internasional Conference On Islamophobia ini berjaya menghimpunkan pelbagai Ngo-Ngo Islam dari seluruh dunia dan ia diadakan bertujuan menangkis ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung OIC,Prof.Dr.Ekmeleddin Ihsanoglu.Ucapan pembukaan Internasional Conference On Islamophobia ini telah disampaikan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ,Serdar Muhammed Abdul Kayyum Khan,mantan Presiden Kashmir dan penulis terkemuka,Karen Amstrong.

Antara tokoh yang membentangkan kertas kerja pada Internasional Conference On Islamophobia ini ialah Prof Dr.Anis Ahmad dari Pakistan,Prof Dr.Tariq Said Ramadhan dari Switzerland ,William Baker dari Amerika dan wakil-wakil dari Turki,Mesir,ArabSaudi,Perancis,Uruguay,Belanda,Albania,Iran,Jerman,Kuwait,
Jordan,dan lain-lain.Turut me
mbentangkan kertas kerja ialah Ahmad Azzam Abdur Rahman,mantan Presiden ABIM.

Rombongan Malaysia yang turut disertai seorang wakil dari Kemboja bertolak dari KLIA pada pukul 1140 pagi 4 Disember 2007 dengan pesawat Gulf Air ( transit di Bahrain).Perjalanan dari KLIA ke Bahrain memakan masa 8 jam dan kami menginap semalaman di sebuah hotel di sana.Hotel tempat penginapan kami agak mewah walaupun kelihatan didirikan di atas tapak padang pasir dengan dikelilingi oleh pohon-pohon kurma.

Di Bahrain kami sempat melihat usaha penjajahan halus bentuk baru yang mungkin tidak disedari oleh rakyat Bahrain yang kaya –raya dengan hasil minyak .Walaupun majoriti penduduknya beragama Islam tetapi ternyata ekonomi di sana dimonopoli oleh pihak asing seperti Amerika.1 dinar Bahrain bersamaan hampir RM 10 dan disebabkan itu yang kami mampu hanyalah window shopping sahaja.

Dari Bahrain kami menaiki pesawat ke Istanbul dan perjalanan ini memakan masa 4 jam.Tepat pukul 7 malam waktu Malaysia (5 Disember 2007)kami selamat tiba di Istanbul yang agak sejuk dengan turunnya hujan rintik-rintik dan disambut oleh wakil Hayrat Vakfi,Ali Kurt dan lain-lain.

Kami tiba agak awal sebelum program sebenar berlangsung .Mesyuarat Agung UNIW diadakan pada 7 Disember manakala Internasional Conference On Islamophobia berlangsung pada 8 dan 9 Disember 2007.Jadi,kami mengambil kesempatan menziarahi beberapa tempat bersejarah sekitar Bandar Istanbul dan antara tempat yang kami sempat ziarah sepanjang berada di Istanbul ialah Masjid Sultan Sulaiman Agung,Haghia Sophia, Spice Bazaar, Dolmabahce, ,Grand Bazaar, pejabat Al-Ansar dan Hayrat Vakfi

Ziarah kami di Istanbul menjadi lebih bermakna dengan bantuan Murat ,pemandu pelancong dari Turki yang berkebolehan bertutur beberapa bahasa selain bahasa Turki seperti bahasa Melayu ,Indonesia,Urdu,Arab,dan English.Beliau pernah menuntut di Islamabad ,Pakistan, dan pernah tinggal di Acheh bahkan sempat melihat mayat-mayat mangsa Tsunami.

Kami agak kagum dengan senibina masjid terbesar di Turki,Masjid Sultan Sulaiman Agung atau Sulaymaniye Mosque(1550-1557)yang dibina oleh arkitek Sinan tatkala zaman Uthmaniyah.Terdapat 4 menara yang menjadi simbol masjid ini dan apa yang menariknya ialah masjid inidibina penuh teliti dan tahan gempa bumi.Reka bentuk masjid ini dengan menara dan tiangnya,tulisan-tulisan khat yang menghiasi dinding,lampu dan kubahnya cukup mengagumkan mata memandang.Jika ramai yang mengunjungi masjid ini sekalipun ,suara seseorang dalam masjid ini tetap mampu bergema . Murat turut menceritakan antara rahsia rekabentuk masjid ini iaitu bagaimana batu dinding masjid ini yang diambil dari gunung dan yang lebih mengagumkan bagaimana telur burung unta yang dicampur tanah digunakan dalam membina masjid ini .Ini membuatkan ia tahan lama dan turut mampu menghalang labah-labah daripada membuat sarangnya.

Menurut Murat lagi di Istanbul ini sahaja terdapat lebih 2000 masjid bersejarah yang kebanyakannya peninggalan Empayar Uthmaniyah dahulu.Masjid pada zaman Uthmaniyah dahulu memainkan peranan besar bukan sahaja tempat menunaikan ibadat seperti solat bahkan berperanan sebagai satu kompleks yang lengkap dengan hospital,universiti,pusat-pusat kemasyarakatan dan lain-lain.Melalui sistem wakaf dengan terdirinya 272 kampung wakaf,gaji imam, para ustaz dan doktor dibayar.

Haghia Sophia pula dikatakan dibina sebelum zaman Rasulullah dan ia merupakan bangunan bersejarah bekas gereja yang kemudiannya dijadikan masjid dan kini dijadikan sebagai muzium.Di sinilah kami dapat menyaksikan budaya Islam dan Kristian bersama di satu bangunan .Sultan Mohamad Al-Fateh dikatakan menunaikan solat Jumaat pertama nya di Haghia Sophia tatkala membuka Constantinaple seawall usia 21 tahun.Kami turut berasa kagum dengan bangunan penuh sejarah ini dengan kubah yang disalut emas dan permata, dinding tebal serta dihiasi batu marmar yang cukup cantik .Tatkala musim panas,seseorang yang berada dalam Haghia Sophia tetap akan berasa sejuk begitu juga sebaliknya dan seperti Masjid Sultan Sulaiman Agung,Masjid Biru dan lain-lain bangunan bersejarah di Turki,ia mempunyai rahsia senibina yang tersendiri.

Agak ramai pelancong luar negara yang melawat Haghia Sophia ini dan kami sempat melihat sekumpulan pelawat yang meletakkan ibu jari mereka di lubang sebuah dinding dan memusingkannya 360 darjah kerana mengikut pegangan Kristian,niat dan hajat seseorang itu akan terkabul dengan melakukan perbuatan tersebut.Turut kami saksikan di Haghia Sophia ialah beberapa lukisan bersalut emas yang dikatakan lukisan wajah nabi Isa dan Maryam mengikut kepercayaan Kristian.. Para pelawat tidak dibenarkan menggunakan ‘flash’ tatkala mengambil gambar lukisan tersebut.

Bertentangan dengan Haghia Sophia ialah masjid biru(Blue Mosque) yang cukup cantik dan tersohor itu dan kami tidak berpeluang mengunjunginya memandangkan kesuntukan masa.

Kami sempat mengambil peluang untuk membeli belah dan mendapatkan barang-barang kenangan di Spice Bazaar(Egyptian bazaar) dan juga di Grand Bazaar. Pelbagai barang hiasan,kraftangan Turki,teh,makanan dan kuih muih dijual disini dan para peniaga disini cukup ramah dan mesra dalam membuat tawar menawar. Ada juga peniaga yang sebaik sahaja mengetahui kami dari Malaysia cuba untuk bertutur sepatah dua dalam bahasa Melayu. Kami mendapati pasar lama ini menjadi tumpuan para pelancong untuk membeli belah.

Kami turut berkesempatan menziarahi Dolmabahce Palace iaitu istana mewah yang dibina antara tahun 1843 hingga 1856 ketika pemerintahan Sultan Abdul Majid.Mustafa Kamal Ataturk pernah menginap ,melakukan beberapa kerja penting bahkan mati di istana mewah ini pada tahun 1938.Kami diminta membalut kasut kami dengan plastik yang disediakan tatkala masuk ke istana ini.Istana ini kini diletakkan di bawah kawalan Parlimen Turki.Kami seakan-akan tidak percaya apabila dapat menjejakkan kaki ke istana yang cukup mewah dan cantik ini.Pelbagai hadiah milik raja-raja terdahulu seperti kulit beruang hadiah daripada kerajaan Rusia,hadiah daripada kerajaan China,India dan lain-lain dipamerkan di istana yang dikawal ketat ini.Dinding-dinding yang disalut emas,hiasan-hiasan seperti lampu,pasu,lukisan,jam,langsir,meja,kerusi, dan lain-lain yang cukup mewah dan mahal memenuhi setiap sudut istana ini.Turut terdapat dalam istana ini ialah perpustakaan khas tempat belajar yang sarat dengan kitab-kitab lama,tempat mandi khas diperbuat daripada batu marmar, ruang pesta raja dihiasi permaidani cantik yang cukup besar dan lain-lain lagi lambang kemegahan dan kemewahan mungkin juga lambang keangkuhan dan kesombongan raja-raja silam.

Pada 7 Disember 2007,kami telah menghadiri mesyuarat agung UNIW bertempat di pejabat Al-Ansar berdekatan Masjid Sultan Sulaiman Agung.Tanpa disangka kami terjumpa dengan Andika,pelajar dari Indonesia yang baru 8 bulan belajar di Turki ini sebaik sahaja selesai menunaikan solat jumaat di masjid Sultan Sulaiman Agung ini.

Al-Ansar menjadi tumpuan muda-mudi Turki untuk berkumpul dan mengadakan program-program pendidikan.Mesyuarat Agung UNIW ini berlarutan panjang dengan peserta-peserta dari pelbagai negara mengemukan pandangan,kritikan dan cadangan .Pada malam tersebut pula,.para peserta diraikan dalam makan malam mengalu-alukan kehadiran semua peserta .Makan malam tersebut turut diisi dengan ceramah oleh William Baker,Presiden Christians and Muslims for Peace(CAMP)yang mengupas tentang hubungan Islam dan Kristian dalam mewujudkan keamanan di dunia ini,isu Palestin dan lain-lain.

Pada 8 Disember 2007,bermulanya International Conference On Islamophobia yang diadakan di The Grand Cevahir Hotel,Istanbul tempat para peserta termasuk kami menginap.Para peserta dilengkapi dengan alat penterjemahan memandangkan para pembentang kertas kerja dalam International Conference On Islamophobia ini menggunakan 3 bahasa berbeza iaitu bahasa Turki,bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Kebanyakan pembentang kertas kerja membicarakan soal punca berlakunya Islamophobia,ancaman Islamophobia berdasarkan pengalaman di negara-negara tertentu,islamophobia dan kaitannya dengan hak asasi manusia,kesan politik dan sosial akibat ancaman islamophobia dan juga jalan penyelesaian dalam mengatasi ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.

.Pada sesi malam hari pertama pula para peserta dihiburkan dengan persembahan budaya Turki dengan alunan muzik menggunakan gambus,kompang dan lain-lain.

Kami berasa bertuah kerana diberi pendedahan berkenaan islamophobia dan juga berkesempatan bergaul dengan tokoh-tokoh dan juga peserta-peserta yang mewakili ngo-ngo Islam serata dunia.Kami sempat bertukar-tukar kad nama dan bergambar kenangan dengan para perwakilan International Conference On Islamophobia ini.

Kami juga telah diraikan dalam majlis makan malam penutup bersempena International Conference On Islamophobia di sebuah tempat atas bukit berhadapan laut Selat Bosporus, pemisah antara Istanbul bahagian Asia dan Istanbul bahagian Eropah yang mana kami dapat menyaksikan pemandangan waktu malam Istanbul yang cukup indah .Kami turut dihadiahkan sebuah buku yang cukup besar berkenaan Istanbul hadiah dari Chamery Commerce Istanbul.

Pada hari terakhir sebaik sahaja check out dari The Grand Cevahir Hotel,Istanbul,kami terus mengunjungi ibu pejabat Hayrat Vakfi,sebuah ngo Islam di Turki yang mengikut aliran pemikiran tokoh terkemuka,Badiuzaman Said Nursi.Para pengikut Badiuzaman Said Nursi yang popular dengan Risalah An-Nur ini digelar Nurju.Bangunan pejabat Hayrat Vakfi ini dari luar kelihatan kecil tetapi dalamnya sangat besar , luas dan sangat cantik senibinanya.

Kami cukup kagum dengan usaha ngo islam ini yang banyak menekankan soal dakwah dan pendidikan terutamanya dengan menggunakan wasilah media dengan penerbitan-penerbitan majalah,buku dan penterjemahan karya-karya seperti Risalah An-Nur tulisan Badiuzzaman Said Nursi.

Tepat pukul 8.20 malam waktu Malaysai(10 Disember 2007),kami meninggalkan bumi Istanbul,Turki menuju ke Bahrain(transit sebentar) sebelum menuju ke tanah air dan akhirnya tiba di KLIA pada pukul 9.05 pagi waktu Malaysia(11 Disember 2007).

Kunjungan singkat ke Istanbul,Turki ini cukup bermakna buat kami semua.Semoga segala ilmu dan pengalaman melihat kesan-kesan peninggalan tamadun silam dan gerak kerja gerakan Islam di Turki dapat menyuntik semangat kami untuk terus berjuang memartabatkan Islam di tanah air tercinta.Semoga kami mewarisi semangat anak muda Sultan Mohamad Al-Fatih,keberanian Sultan Abdul Hamid,dan kepintaran Badiuzaman Said Nursi.


(www.ilmuwan-w.blogspot.com)

Wednesday, December 19, 2007

Perjumpaan pertama delegasi Malaysia sebelum ke Istanbul,Turki







23 November 2007,Anjung Rahmat,Gombak

Hari ini saya hadir ke Anjung Rahmat,Gombak(Pejabat En..Azzam Abdur Rahman- Mantan Presiden ABIM) untuk sesi perjumpaan kali pertama delegasi Malaysia yang akan berangkat ke Istanbul,Turki untuk menghadiri International Seminar On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW)pada 8-9 Disember 2007.

Delegasi Malaysia ke International Seminar On Islamophobia ini ialah seramai 16 orang dari keluarga besar PKPIM, ABIM ,WADAH ,Global Peace Mission dan Yayasan Takmir Pendidikan.Kami diberi taklimat berkenaan latar belakang program dan persiapan yang perlu dilakukan sebagai persediaan ke Turki nanti oleh En.Azzam .

Menurut En.Azzam ,mesyuarat agung The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW) yang turut diadakan sebelum International Seminar On Islamophobia nanti ialah mesyuarat antara NGO-NGO Islam seluruh dunia yang terbesar selepas kemenangan parti Islam (AKP) di Turki (Kejayaan AKP dalam pilihanraya ,perlantikan Recep Tayyep Erdogan sebagai Perdana Menteri dan Abdullah Gul sebagai Presiden)

Sebelum UNIW ,sudah wujud pertubuhan seperti IIFSO(anjuran Ikhwan)WAMY(Anjuran Kerajaan Saudi) dan UNIW ini pula merupakan NGO Islam anjuran kerajaan Turki.
Umat Islam seluruh dunia kini
meletakkan harapan kepada Turki untuk memimpin Islam.Ketika umat Islam seluruh dunia berada dalam kedudukan paling lemah ,agama Islam tetap berkembang pesat seluruh dunia dan ini adalah bukti kekuatan risalahnya.

.

International Seminar On Islamophobia ini diadakan bagi membincangkan isu Islamophobia yang menjadi ancaman kepada umat Islam seluruh dunia lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 September 2001.Menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk melawan Islamophobia dengan mempamerkan akhlak yang mulia sesuai dengan tuntutan Islam dan bukannya dengan cara keganasan.

Kami diberi peringatan untuk membuat persiapan menghadapi musim sejuk di Turki nanti dan diminta supaya membuat kad nama untuk diagihkan kepada peserta-peserta dari negara-negara lain,membuat catatan peribadi melalui tulisan,gambar-gambar kenangan dan lain-lain yang penting.Sebelum bertolak ke Turki,kami diminta supaya membuat homework berkenaan sejarah Turki terutamanya berkenaan Empayar Uthmaniah,politik semasa Turki terutamanya berkenaan AKP,Refah,Erdogan,Gul,Erbakan dan lain-lain maklumat penting berkenaan Turki.

En.Azzam dalam perjumpaan ini sempat mengupas beberapa hal berkenaan Turki dan saya agak tertarik dengan kupasannya terutamanya berkenaan pertentangan pendekatan politik antara Erdogan dengan Erbakan yang juga merupakan gurunya dari aspek politik.
Beliau turut mengupas berkenaan kumpulan-kumpulan yang mendakwa pengikut Badiuzzaman Said Nursi atau digelar Nurju yang berpecah kepada
7 kumpulan antaranya Hayrat Vakfi dan Fathullah Ghulan.

Ramai orang Turki menyokong Tun Dr Mahathir kerana kelantangannya melawan kuasa besar Barat .Manakala ramai juga yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usahanya cuba menyeimbangkan hubungan antara Islam dan Barat.
Turki pernah
melobi seluruh dunia untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu akrab dengan pimpinan kerajaan Turki sebagai Setiausaha Agung PBB namun ditolak sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang kewibawaannya terjejas jika memimpin pertubuhan boneka seperti PBB.


Ternyata perjumpaan kali pertama delegasi Malaysia ke Turki ini banyak menambahkan ilmu dan maklumat
dan semakin tidak sabar rasanya saya untuk berkunjung ke Turki nanti bagi menambah ilmu dan pengalaman.Dan pastinya ini menuntut saya untuk membuat persiapan sehabis baik sebelum menjejakkan kaki ke bumi Turki nanti agar kunjungan ke sana lebih bermakna.

Tuesday, December 18, 2007

Istanbul 2007

6 November 2007-Dapat sms tawaran sebagai delegasi PKPIM ke Turki daripada Presiden PKPIM

23 November 2007-Mesyuarat pertama delegasi Malaysia ke International Seminar On Islamophobia di Pejabat En.Azzam (Anjung Rahmat,Gombak)

24 November 2007- ke Kinokinuya,KLCC baca buku Travel:Istanbul

4 Disember 2007- 11.40 pagi:Bertolak dari KLIA ke Bahrain(Transit) dengan pesawat Gulf Air
7.55 malam:Tiba di Bahrain

5 Disember 2007- 2.55 pm:Bertolak ke Istanbul dari Bahrain
7 pm :Tiba di Istanbul

6 Disember 2007-Ziarah Masjid Sultan Sulaiman Agung,Haghia Sophia,Spice Bazaar

7 Disember 2007-Ziarah Dolmabahce,Ansar
Perasmian mesyuarat The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW)

8 Disember 2007-Perasmian International Seminar On Islamophobia
Ziarah Grand Bazaar

9 Disember 2007-Hari kedua/Penutup International Seminar On Islamophobia
-

10 Disember 2007-Ziarah pejabat Hayrat Vakfi
8.20 pm:Bertolak ke Bahrain
1.35 pm: Bertolak ke Kuala Lumpur

11 Disember 2007-9.05 am:Tiba di KLIA

Thursday, December 13, 2007

Kem keluarga

Malam itu saya seakan tidak percaya.Sepanjang hidup saya sering juga menghadiri mesyuarat untuk mengadakan program,aktiviti,projek dan lain-lain.Kali ini misinya agak berbeza.Ini bukan 'meeting' untuk projek KEBATIM Kolej Kediaman Kelima UM,bukan juga 'meeting' untuk program PKPIM-PMIUM-PMAPIUM,Jabatan Quran Hadith;tetapi ini ialah meeting untuk kem keluarga!!!

Kami cucu-cucu kepada Hajah Saodah(nenek saya),terdiri daripada 3 keluarga besar(keluarga saya,dan 2 keluarga sepupu)duduk semeja bermesyuarat untuk mengadakan kem keluarga.Pelbagai modul dicadangkan.Fasilitatornya kami cucu-cucu yang senior manakala peserta kemnya cucu-cucu yang junior!Tujuannya antaranya saya fikir ialah untuk mengeratkan silaturrahim dan ukhwah sesama saudara,memantapkan akidah dan akhlak seterusnya bagi menjaga nama baik keluarga.

Saya ditugaskan untuk membuat modul bagi 'birrul waalidain'-berbuat baik kepada ibubapa-Saya masih belum dapat memastikan kehadiran dalam kem tersebut malam mestuarat tersebut walaupun bersedia menyediakan modul birrul waalidain ini memandangkan masih menunggu kepastian apakah akan ke Istanbul,Turki untuk mewakili PKPIM dalam INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMOPHOBIA CONFERENCE atau tidak.

Sepupu saya(cucu paling senior merangkap pengarah program kem keluarga)sangat berharap saya akan hadir ke kem ini sebagai fasilitator kepada peserta kem(sepupu-sepupu saya) yang berumur lingkungan 6 hingga ke 25 tahun.

Setelah mendapat kepastian ke Turki,malam sebelum bertolak itu saya bertungkus lumus menyiapkan modul yang dikehendaki dalam kem tersebut.Agak rugi juga tidak dapat hadir ke kem keluarga yang julung-julung kali diadakan oleh keluarga kami bertempat di rumah sepupu saya di Kajang dan juga di rumah kami di Putrajaya.Berapa banyak agaknya keluarga di Malaysia bahkan di dunia ini yang mengadakan kem keluarga???

Setelah pulang dari Turki,antara soalan yang saya tanyakan kepada adik-beradik saya ialah berkenaan perjalanan kem keluarga ini.Alhamdulillah.Semuanya berjalan lancar.Katanya menginsafkan.Banyak juga air mata yang mengalir dalam kem ini.Apatah lagi dengan peralatan moden yang digunapakai dalam kem ini seperti laptop dengan slideshownya,projekter dan lain-lain.Mendengar cerita dari peserta-peserta kem keluarga ini(adik-beradik,sepupu saya) ini sahaja cukup mengagumkan.Rugi benar rasanya tidak dapat hadir tapi apakan daya...kos lepas.Bertembung program.

Semoga kem keluarga ini akan menjadi program tahunan keluarga kami dan dapat menjadi role-model kepada keluarga-keluarga lain.

421 pagi
14 Disember 2007
Putrajaya

Lambaian Kaabah


Baba dan Mama saya telah berangkat ke tanah suci Mekah beberapa minggu yang lalu.Kami sekeluarga sempat menghantar mereka di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya .Suasana sedih dan pilu menyelubungi kami adik-beradik tatkala menghantar mereka.Rasanya tidak pernah saya bersedih sebegini.Air mata adik-adik,kakak-kakak saya mengalir laju mendengar amanat,nasihat dan wasiat baba mama kami sebelum berangkat.Air mata saya pula sudah tidak mampu mengalir menahan sebak.Sabar.Itulah kekuatan.Didoakan mereka berdua berhasil meraih haji mabrur.

Saya agak kasihan dengan kesibukan baba saya di JAKIM.Semoga pemergiannya menunaikan haji menjadi kesempatan untuk beliau berehat(walaupun sebenarnya masih 'bertugas' di mekah,menenangkan jiwa ,menunaikan ibadat tanpa diganggu dan kemudiannya pulang ke Malaysia dengan semangat baru bekerja demi Islam yang tercinta.

Mama saya pula sememangnya masih tidak percaya mendapat peluang menunaikan haji kali ini(walaupun pernah menunaikan haji sebelum ini).Kita yang merancang Allah jua yang menentukannya.Inilah namanya rezeki.Begitu asyik mama saya menelaah buku panduan haji dan umrah ,bertanya tentang pengalaman nenek saya yang pernah membesar di Mekah dan saban hari kami menonton ramai-ramai siaran tv 1 berkenaan haji keluaran JAKIM.Akhirnya impiannya tercapai jua.

Kami adik-beradik pula pastinya insaf betapa pemergian ibu bapa itu cukup menyiksakan walaupun hanya seketika.Betapa besarnya pengorbanan mereka membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang yang kadang-kadang langsung tidak difahami oleh anak-anak.Bersyukurlah wahai anak-anak!Hormati ibubapa mu!

Mama saya pernah menceritakan perihal saya sewaktu kecil ;yang sebenarnya saya pernah menunaikan haji???didukung oleh baba saya sewaktu beliau menunaikan haji tatkala saya masih' baby'.Di Mekah,saya yang masih kecil ketika itu menangis tidak henti-henti kerana cuacanya yang panas berbeza dengan cuaca di London ketika itu(baba mama saya ke mekah dari London tatkala baba bertugas di sana).Mama saya pula terpaksa bersusah payah mencari susu yang sesuai untuk saya yang menangis sepanjang hari.Setelah puas mencari,mujurlah ada hamba Allah yang tidak dikenali membantu mendapatkan susu buat saya.

Fikir punya fikir,bila agaknya saya diberi kesempatan oleh Allah untuk menunaikan haji ya?

349 pagi ,14 Disember 2007
Putrajaya