Laporan delegasi PKPIM ke International Conference On Islamophobia,
Oleh
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Pada 8-9 Disember 2007 yang lalu telah diadakan Internasional Conference On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW) bertempat di The Grand Cevahir Hotel ,Istanbul,Turki.
Sejumlah 15 orang wakil dari PKPIM,ABIM,WADAH,Yayasan Takmir Pendidikan,dan Global Peace Mission telah mewakili Malaysia pada Internasional Conference On Islamophobia ini. PKPIM telah diwakili oleh saudara Khairul Anwar Shazali,Saifullah Zulkifli,dan Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad.
Internasional Conference On Islamophobia ini berjaya menghimpunkan pelbagai Ngo-Ngo Islam dari seluruh dunia dan ia diadakan bertujuan menangkis ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung OIC,Prof.Dr.Ekmeleddin Ihsanoglu.Ucapan pembukaan Internasional Conference On Islamophobia ini telah disampaikan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ,Serdar Muhammed Abdul Kayyum Khan,mantan Presiden Kashmir dan penulis terkemuka,Karen Amstrong.
Antara tokoh yang membentangkan kertas kerja pada Internasional Conference On Islamophobia ini ialah Prof Dr.Anis Ahmad dari Pakistan,Prof Dr.Tariq Said Ramadhan dari Switzerland ,William Baker dari Amerika dan wakil-wakil dari Turki,Mesir,ArabSaudi,Perancis,Uruguay,Belanda,Albania,Iran,Jerman,Kuwait,
Jordan,dan lain-lain.Turut membentangkan kertas kerja ialah Ahmad Azzam Abdur Rahman,mantan Presiden ABIM.
Rombongan Malaysia yang turut disertai seorang wakil dari Kemboja bertolak dari KLIA pada pukul 1140 pagi 4 Disember 2007 dengan pesawat Gulf Air ( transit di Bahrain).Perjalanan dari KLIA ke Bahrain memakan masa 8 jam dan kami menginap semalaman di sebuah hotel di sana.Hotel tempat penginapan kami agak mewah walaupun kelihatan didirikan di atas tapak padang pasir dengan dikelilingi oleh pohon-pohon kurma.
Di Bahrain kami sempat melihat usaha penjajahan halus bentuk baru yang mungkin tidak disedari oleh rakyat Bahrain yang kaya –raya dengan hasil minyak .Walaupun majoriti penduduknya beragama Islam tetapi ternyata ekonomi di sana dimonopoli oleh pihak asing seperti Amerika.1 dinar Bahrain bersamaan hampir RM 10 dan disebabkan itu yang kami mampu hanyalah window shopping sahaja.
Dari
Kami tiba agak awal sebelum program sebenar berlangsung .Mesyuarat Agung UNIW diadakan pada 7 Disember manakala Internasional Conference On Islamophobia berlangsung pada 8 dan 9 Disember 2007.Jadi,kami mengambil kesempatan menziarahi beberapa tempat bersejarah sekitar Bandar Istanbul dan antara tempat yang kami sempat ziarah sepanjang berada di Istanbul ialah Masjid Sultan Sulaiman Agung,Haghia Sophia, Spice Bazaar, Dolmabahce, ,Grand Bazaar, pejabat Al-Ansar dan Hayrat Vakfi
Ziarah kami di Istanbul menjadi lebih bermakna dengan bantuan Murat ,pemandu pelancong dari Turki yang berkebolehan bertutur beberapa bahasa selain bahasa Turki seperti bahasa Melayu ,Indonesia,Urdu,Arab,dan English.Beliau pernah menuntut di Islamabad ,Pakistan, dan pernah tinggal di Acheh bahkan sempat melihat mayat-mayat mangsa Tsunami.
Kami agak kagum dengan senibina masjid terbesar di Turki,Masjid Sultan Sulaiman Agung atau Sulaymaniye Mosque(1550-1557)yang dibina oleh arkitek Sinan tatkala zaman Uthmaniyah.Terdapat 4 menara yang menjadi simbol masjid ini dan apa yang menariknya ialah masjid inidibina penuh teliti dan tahan gempa bumi.Reka bentuk masjid ini dengan menara dan tiangnya,tulisan-tulisan khat yang menghiasi dinding,lampu dan kubahnya cukup mengagumkan mata memandang.Jika ramai yang mengunjungi masjid ini sekalipun ,suara seseorang dalam masjid ini tetap mampu bergema . Murat turut menceritakan antara rahsia rekabentuk masjid ini iaitu bagaimana batu dinding masjid ini yang diambil dari gunung dan yang lebih mengagumkan bagaimana telur burung unta yang dicampur tanah digunakan dalam membina masjid ini .Ini membuatkan ia tahan lama dan turut mampu menghalang labah-labah daripada membuat sarangnya.
Menurut Murat lagi di Istanbul ini sahaja terdapat lebih 2000 masjid bersejarah yang kebanyakannya peninggalan Empayar Uthmaniyah dahulu.Masjid pada zaman Uthmaniyah dahulu memainkan peranan besar bukan sahaja tempat menunaikan ibadat seperti solat bahkan berperanan sebagai satu kompleks yang lengkap dengan hospital,universiti,pusat-pusat kemasyarakatan dan lain-lain.Melalui sistem wakaf dengan terdirinya 272 kampung wakaf,gaji imam, para ustaz dan doktor dibayar.
Haghia Sophia pula dikatakan dibina sebelum zaman Rasulullah dan ia merupakan bangunan bersejarah bekas gereja yang kemudiannya dijadikan masjid dan kini dijadikan sebagai muzium.Di sinilah kami dapat menyaksikan budaya Islam dan Kristian bersama di satu bangunan .Sultan Mohamad Al-Fateh dikatakan menunaikan solat Jumaat pertama nya di Haghia Sophia tatkala membuka Constantinaple seawall usia 21 tahun.Kami turut berasa kagum dengan bangunan penuh sejarah ini dengan kubah yang disalut emas dan permata, dinding tebal serta dihiasi batu marmar yang cukup cantik .Tatkala musim panas,seseorang yang berada dalam Haghia Sophia tetap akan berasa sejuk begitu juga sebaliknya dan seperti Masjid Sultan Sulaiman Agung,Masjid Biru dan lain-lain bangunan bersejarah di Turki,ia mempunyai rahsia senibina yang tersendiri.
Agak ramai pelancong luar negara yang melawat Haghia Sophia ini dan kami sempat melihat sekumpulan pelawat yang meletakkan ibu jari mereka di lubang sebuah dinding dan memusingkannya 360 darjah kerana mengikut pegangan Kristian,niat dan hajat seseorang itu akan terkabul dengan melakukan perbuatan tersebut.Turut kami saksikan di Haghia Sophia ialah beberapa lukisan bersalut emas yang dikatakan lukisan wajah nabi Isa dan Maryam mengikut kepercayaan Kristian..
Bertentangan dengan Haghia Sophia ialah masjid biru(Blue Mosque) yang cukup cantik dan tersohor itu dan kami tidak berpeluang mengunjunginya memandangkan kesuntukan masa.
Kami sempat mengambil peluang untuk membeli belah dan mendapatkan barang-barang kenangan di Spice Bazaar(Egyptian bazaar) dan juga di Grand Bazaar. Pelbagai barang hiasan,kraftangan Turki,teh,makanan dan kuih muih dijual disini dan para peniaga disini cukup ramah dan mesra dalam membuat tawar menawar.
Kami turut berkesempatan menziarahi Dolmabahce Palace iaitu istana mewah yang dibina antara tahun 1843 hingga 1856 ketika pemerintahan Sultan Abdul Majid.Mustafa Kamal Ataturk pernah menginap ,melakukan beberapa kerja penting bahkan mati di istana mewah ini pada tahun 1938.Kami diminta membalut kasut kami dengan plastik yang disediakan tatkala masuk ke istana ini.Istana ini kini diletakkan di bawah kawalan Parlimen Turki.Kami seakan-akan tidak percaya apabila dapat menjejakkan kaki ke istana yang cukup mewah dan cantik ini.Pelbagai hadiah milik raja-raja terdahulu seperti kulit beruang hadiah daripada kerajaan Rusia,hadiah daripada kerajaan China,India dan lain-lain dipamerkan di istana yang dikawal ketat ini.Dinding-dinding yang disalut emas,hiasan-hiasan seperti lampu,pasu,lukisan,jam,langsir,meja,kerusi, dan lain-lain yang cukup mewah dan mahal memenuhi setiap sudut istana ini.Turut terdapat dalam istana ini ialah perpustakaan khas tempat belajar yang sarat dengan kitab-kitab lama,tempat mandi khas diperbuat daripada batu marmar, ruang pesta raja dihiasi permaidani cantik yang cukup besar dan lain-lain lagi lambang kemegahan dan kemewahan mungkin juga lambang keangkuhan dan kesombongan raja-raja silam.
Pada 7 Disember 2007,kami telah menghadiri mesyuarat agung UNIW bertempat di pejabat Al-Ansar berdekatan Masjid Sultan Sulaiman Agung.Tanpa disangka kami terjumpa dengan Andika,pelajar dari Indonesia yang baru 8 bulan belajar di Turki ini sebaik sahaja selesai menunaikan solat jumaat di masjid Sultan Sulaiman Agung ini.
Al-Ansar menjadi tumpuan muda-mudi Turki untuk berkumpul dan mengadakan program-program pendidikan.Mesyuarat Agung UNIW ini berlarutan panjang dengan peserta-peserta dari pelbagai negara mengemukan pandangan,kritikan dan cadangan .Pada malam tersebut pula,.para peserta diraikan dalam makan malam mengalu-alukan kehadiran semua peserta .Makan malam tersebut turut diisi dengan ceramah oleh William Baker,Presiden Christians and Muslims for Peace(CAMP)yang mengupas tentang hubungan Islam dan Kristian dalam mewujudkan keamanan di dunia ini,isu Palestin dan lain-lain.
Pada 8 Disember 2007,bermulanya International Conference On Islamophobia yang diadakan di The Grand Cevahir Hotel,Istanbul tempat para peserta termasuk kami menginap.Para peserta dilengkapi dengan alat penterjemahan memandangkan para pembentang kertas kerja dalam International Conference On Islamophobia ini menggunakan 3 bahasa berbeza iaitu bahasa Turki,bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Kebanyakan pembentang kertas kerja membicarakan soal punca berlakunya Islamophobia,ancaman Islamophobia berdasarkan pengalaman di negara-negara tertentu,islamophobia dan kaitannya dengan hak asasi manusia,kesan politik dan sosial akibat ancaman islamophobia dan juga jalan penyelesaian dalam mengatasi ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.
.Pada sesi malam hari pertama pula para peserta dihiburkan dengan persembahan budaya Turki dengan alunan muzik menggunakan gambus,kompang dan lain-lain.
Kami berasa bertuah kerana diberi pendedahan berkenaan islamophobia dan juga berkesempatan bergaul dengan tokoh-tokoh dan juga peserta-peserta yang mewakili ngo-ngo Islam serata dunia.Kami sempat bertukar-tukar kad nama dan bergambar kenangan dengan para perwakilan International Conference On Islamophobia ini.
Kami juga telah diraikan dalam majlis makan malam penutup bersempena International Conference On Islamophobia di sebuah tempat atas bukit berhadapan laut Selat Bosporus, pemisah antara Istanbul bahagian Asia dan Istanbul bahagian Eropah yang mana kami dapat menyaksikan pemandangan waktu malam Istanbul yang cukup indah .Kami turut dihadiahkan sebuah buku yang cukup besar berkenaan Istanbul hadiah dari Chamery Commerce Istanbul.
Pada hari terakhir sebaik sahaja check out dari The Grand Cevahir Hotel,Istanbul,kami terus mengunjungi ibu pejabat Hayrat Vakfi,sebuah ngo Islam di Turki yang mengikut aliran pemikiran tokoh terkemuka,Badiuzaman Said Nursi.Para pengikut Badiuzaman Said Nursi yang popular dengan Risalah An-Nur ini digelar Nurju.Bangunan pejabat Hayrat Vakfi ini dari luar kelihatan kecil tetapi dalamnya sangat besar , luas dan sangat cantik senibinanya.
Kami cukup kagum dengan usaha ngo islam ini yang banyak menekankan soal dakwah dan pendidikan terutamanya dengan menggunakan wasilah media dengan penerbitan-penerbitan majalah,buku dan penterjemahan karya-karya seperti Risalah An-Nur tulisan Badiuzzaman Said Nursi.
Tepat pukul 8.20 malam waktu Malaysai(10 Disember 2007),kami meninggalkan bumi Istanbul,Turki menuju ke Bahrain(transit sebentar) sebelum menuju ke tanah air dan akhirnya tiba di KLIA pada pukul 9.05 pagi waktu Malaysia(11 Disember 2007).
Kunjungan singkat ke Istanbul,Turki ini cukup bermakna buat kami semua.Semoga segala ilmu dan pengalaman melihat kesan-kesan peninggalan tamadun silam dan gerak kerja gerakan Islam di Turki dapat menyuntik semangat kami untuk terus berjuang memartabatkan Islam di tanah air tercinta.Semoga kami mewarisi semangat anak muda Sultan Mohamad Al-Fatih,keberanian Sultan Abdul Hamid,dan kepintaran Badiuzaman Said Nursi.
(www.ilmuwan-w.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment