Thursday, December 13, 2007

Lambaian Kaabah


Baba dan Mama saya telah berangkat ke tanah suci Mekah beberapa minggu yang lalu.Kami sekeluarga sempat menghantar mereka di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya .Suasana sedih dan pilu menyelubungi kami adik-beradik tatkala menghantar mereka.Rasanya tidak pernah saya bersedih sebegini.Air mata adik-adik,kakak-kakak saya mengalir laju mendengar amanat,nasihat dan wasiat baba mama kami sebelum berangkat.Air mata saya pula sudah tidak mampu mengalir menahan sebak.Sabar.Itulah kekuatan.Didoakan mereka berdua berhasil meraih haji mabrur.

Saya agak kasihan dengan kesibukan baba saya di JAKIM.Semoga pemergiannya menunaikan haji menjadi kesempatan untuk beliau berehat(walaupun sebenarnya masih 'bertugas' di mekah,menenangkan jiwa ,menunaikan ibadat tanpa diganggu dan kemudiannya pulang ke Malaysia dengan semangat baru bekerja demi Islam yang tercinta.

Mama saya pula sememangnya masih tidak percaya mendapat peluang menunaikan haji kali ini(walaupun pernah menunaikan haji sebelum ini).Kita yang merancang Allah jua yang menentukannya.Inilah namanya rezeki.Begitu asyik mama saya menelaah buku panduan haji dan umrah ,bertanya tentang pengalaman nenek saya yang pernah membesar di Mekah dan saban hari kami menonton ramai-ramai siaran tv 1 berkenaan haji keluaran JAKIM.Akhirnya impiannya tercapai jua.

Kami adik-beradik pula pastinya insaf betapa pemergian ibu bapa itu cukup menyiksakan walaupun hanya seketika.Betapa besarnya pengorbanan mereka membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang yang kadang-kadang langsung tidak difahami oleh anak-anak.Bersyukurlah wahai anak-anak!Hormati ibubapa mu!

Mama saya pernah menceritakan perihal saya sewaktu kecil ;yang sebenarnya saya pernah menunaikan haji???didukung oleh baba saya sewaktu beliau menunaikan haji tatkala saya masih' baby'.Di Mekah,saya yang masih kecil ketika itu menangis tidak henti-henti kerana cuacanya yang panas berbeza dengan cuaca di London ketika itu(baba mama saya ke mekah dari London tatkala baba bertugas di sana).Mama saya pula terpaksa bersusah payah mencari susu yang sesuai untuk saya yang menangis sepanjang hari.Setelah puas mencari,mujurlah ada hamba Allah yang tidak dikenali membantu mendapatkan susu buat saya.

Fikir punya fikir,bila agaknya saya diberi kesempatan oleh Allah untuk menunaikan haji ya?

349 pagi ,14 Disember 2007
Putrajaya

No comments:

Post a Comment