Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Friday, May 28, 2010

PKPIM dan Selatan Thailand...

Selatan Thailand,Palestin Asia Tenggara.

Itulah yang selalu ditekankan dalam kebanyakan program PKPIM apabila membicarakan persoalan Selatan Thailand.Ramai yang peka dengan isu Palestin tetapi kadangkala terlupa kepada isu Selatan Thailand walaupun nasib rakyat di sana tidaklah jauh berbeza antara keduanya dan Selatan Thailand pula dari segi jaraknya dengan Malaysia jauh lebih dekat berbanding jarak Malaysia -Palestin.

Dalam menangani isu Selatan Thailand ini pula cukupkah kita sekadar berdemonstrasi di hadapan kedutaan Thailand dan kemudiannya terus diam tidak membuat apa-apa pun?

Maka sebab itulah PKPIM di bawah Naib Presiden Antarabangsa telah memberikan fokus utama kepada isu Selatan Thailand dan penekanan utama pastinya kepada pembangunan pendidikan anak muda di Selatan Thailand.

PKPIM telah menganjurkan beberapa program khusus untuk anak muda Selatan Thailand.Beberapa aktivis PKPIM telah dihantar ke Selatan Thailand untuk mengendalikan program-program pendidikan seperti menjadi fasilitator dalam kem motivasi pelajar dan mengajar Bahasa Inggeris.

PKPIM juga telah menghantar wakil ke Selatan Thailand untuk menghadiri sambutan ulang tahun tragedi Tak Bai.

Menaiki bas dari KL ke Rantau Panjang,Kelantan terus menaiki bot perahu melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan terpaksa mengharungi berpuluh-puluh pemeriksaan ketat askar Thailand. Memang ada risiko dan agak berbahaya mengunjungi wilayah bergolak seperti Selatan Thailand.Pembunuhan,penculikan,bom di sana sini perkara biasa di sana,namun aktivis PKPIM tetap berani demi satu perjuangan.

Selain itu juga PKPIM dengan kerjasama persatuan pelajar Islam di Selatan Thailand telah mengadakan program motivasi di Malaysia.Anak-anak muda dari Selatan Thailand dibawa ke Malaysia untuk dilatih oleh para aktivis PKPIM dengan fokus utama untuk menghilangkan trauma,membina keyakinan diri dan penekanan kepada budaya ilmu.

Kita percaya dengan misi jangka panjang melalui pembangunan pendidikan mampu merubah nasib umat Islam di Selatan Thailand kelak.

Pelamin Kuasa....

17 April 2010-

Saya dan beberapa orang pimpinan PKPIM telah dijemput untuk menghadiri satu majlis makan malam yang turut disertai oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan Sasterawan Negara,Dato A Samad Said.

Kami sebenarnya baru sahaja selesai menghadiri persidangan meja bulat isu buang bayi anjuran Hal Ehwal Wanita(HEWI) PKPIM di UIAM ,Gombak ketika itu dan kemudiannya terus menaiki kereta menuju ke majlis makan malam tersebut.

Saya dan pimpinan PKPIM yang lain duduk satu meja dengan Dato A Samad Said yang lebih dikenali sebagai sasterawan rakyat ,isterinya , Prof Shahril Mat Zain(pakar Matematik dan pejuang Bahasa Melayu) dan Dr Alinor(pensyarah universiti,pejuang Bahasa Melayu).

Sebaik sahaja Dato Seri Anwar Ibrahim tiba,beliau bersalaman dengan para hadirin termasuk kami dan makan di tempat duduk -meja yang disediakan.

Tanpa disangka-sangka selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim meluru ke meja kami dan duduk bersebelahan dengan saya.Beliau bersembang-sembang dengan Prof Shahril Mat Zain dan dengan kami semua.Beliau menjawab beberapa tuduhan yang sedang hangat minggu itu yang mendakwa beliau menyebarkan faham pluralisme di Malaysia .

Selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato A Samad Said buat pertama kalinya berduet mendeklamasikan puisi karya Dato A Samad Said ,Pelamin kuasa yang menyindir segelintir ahli politik yang mengkhianati amanah dan tanggungjawab mereka.

Di bawah ini saya sertakan puisi Pelamin Kuasa karya Sasterawan Rakyat,Dato A Samad Said:-

PELAMIN KUASA

Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba
atau digalak bangsawan memetakan hidup kita.
Hemah sejarah telah mencatat hikayat perang
banyak merakami watak begini yang sering menang.
Menara kuasa yang diregangi niagawan lapar
selalu serasi berkongsi dengan bangsawan gusar.
Mereka sekedar pelolong janji sedap diucap—
resah bangsa kayak untuknya saja menikmat kecap.

Mereka berkucup kuasa lepas pilihanraya,
mencanang wawasan terjempol pemimpin rasukannya.
Awal kuasa diumum kempisnya saku mereka;
akhir tahta jarang pula disebut boyot hartanya.
Mereka pengilham pintar projek sekembung belon,
menggendut bahasa tuan arca semewah bilion.
Lidah ibunda sengaja dilucai kacip kuasa,
malah diseret keluar istana Akta Bahasa.


Khazanah kita titisan peluh nelayan, petani,
peladang dan pekerja berbahasa bunda sejati.
Mereka setulus hati merenda sejarah diri,
membabat ayat yang sudah amat lama digergaji.
Kini kelompok berdarjat ghairah menyemai dinasti,
bumi seolah sahamnya saja untuk dibahagi.
Gelodak peristiwa hanya penaka silap mata
giur catur yang bersimpang-siur di jalur kuasa.

Mereka ini Lini baru dalam songket Melayu,
berdakap hajat bercapal dan bersongkok SiHit baldu.
Mereka hartawan boyot di pentas wira haloba,
niagawan bangsawan yang pintar perkuda kuasa.
Mereka telah dibekalkan semontel-montel dana,
tampaknya makin bernafsu menoreh lidah moyangnya.
Niagawan dan bangsawan kini bersanding kuasa
menjamu projek dan meratah dana semewahnya.

Rakyat perlu menghakis mimpi yang terlalu buana
supaya tak segelintir saja menogok kuasa.
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba;
usah digalak kuasawan terus menconteng peta.

Presiden PKPIM dilantik sebagai SU PEPIAT

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM),Muhammad Faisal Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) bagi sesi 2010-2012 bagi menggantikan mantan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia(PII),M.Zaid Markarma.

Perlantikan ini dibuat dalam KONVENSYEN PEPIAT 2010 dan BENGKEL STRATEGIK PELAJAR ISLAM ASIA TENGGARA yang diadakan baru-baru ini(24-25 Mei 2010) di Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.

Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) adalah sebuah organisasi yang menghimpunkan persatuan pelajar Islam yang utama dari negara-negara di Asia Tenggara.

Sehingga April 2010, PEPIAT dianggotai oleh Malaysia-Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Indonesia-Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII), Himpunan Mahasiswa Islam(HMI), Singapura-Federation of Muslim Students Association (FMSA), National University of Singapore Muslim Students (NUSMS), Thailand-Thailand Muslim Students Association (TAMSA), Kemboja-Persatuan Pelajar Muslim Kemboja (CAMSA), dan Myammar-Myammar Muslim Students Association.

Friday, May 21, 2010

Sudut Pidato....


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) menyokong penuh kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah,yang meminta institut pengajian tinggi tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang meluahkan pandangan berbeza dengan arus perdana dan dasar kerajaan ketika berdebat di Sudut Pidato.

Antara punca sudut pidato tidak mendapat sambutan di universiti ialah kerana terlalu banyak peraturan dan arahan yang seolah-olah menghalang mahasiswa untuk bebas mengutarakan pandangan mereka dalam apa jua isu secara bertanggungjawab.

Mereka yang agak kritis dengan dasar kerajaan atau pihak pentadbiran universiti seringkali dicop sebagai pembangkang yang hanya tahu membangkang semata-mata.

Mahasiswa seakan-akan dinafikan hak untuk berbeza pandangan dengan pihak pentadbiran universiti dan segala lontaran idea dan pemikiran yang dilihat mencabar ‘status-quo’ seringkali dilihat mengancam kepada pihak pentadbiran.Padahal mahasiswa perlulah diberi kebebasan untuk meluahkan isi hati mereka dan mereka sebenarnya bersuara atas nama mahasiswa dan bukannya menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Sudut pidato tidak perlu diletakkan di bawah hal ehwal pelajar(HEP) sesebuah universiti dengan pelbagai prosedur yang seakan-akan memperlekehkan tahap pemikiran dan intelektual mahasiswa bahkan mahasiswa sendiri perlu bebas mengendalikan sendiri sudut pidato tersebut.

PKPIM yakin dengan kebebasan mengendalikan sudut pidato secara bertanggungjawab ini mampu meningkatkan kualiti mahasiswa terutamanya dari aspek berfikiran kritis,berdebat,berhujah,dan berani mempertahankan kebenaran.

Kita perlu yakin bahawa sudut pidato ini diperkenalkan bukan semata-mata sekadar hiasan atau lambang keterbukaan pihak universiti dan juga bukan sekadar medan mahasiswa melontarkan kata-kata tetapi juga sebagai medan mahasiswa melontarkan kebijaksanaan berasaskan ilmu .




Monday, May 10, 2010

Budaya pemakanan sihat.Pantau makanan ringan.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) memandang serius pengabaian budaya pemakanan sihat terutamanya di kalangan pelajar sekolah di Malaysia.Melihat situasi sekarang,para pelajar semenjak di sekolah rendah bahkan di tadika sudah terdedah kepada makanan-makanan ringan.Dan apa yang lebih menyedihkan lagi tatkala melihat para pelajar terus menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik sahaja keluar dari pagar sekolah.

Para pelajar terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang dan ini pastinya mengancam kesihatan bahkan memberi kesan kepada pemikiran para pelajar.

Ia juga merupakan satu pembaziran apabila duit yang dibekalkan oleh ibubapa kepada para pelajar ‘hangus’ dibelanjakan semata-mata untuk membeli makanan ringan .

Para pelajar sepatutnya dijaga pemakanan mereka dan dipastikan mereka hanya makan makanan yang terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan,sayur sayuran, ,susu segar ,banyak meminum air masak dan lain-lain lagi

Kebanyakan makanan ringan masa kini sedikit khasiatnya,tinggi kadar gula, pewarna dan perisa tiruan dan selalunya mengakibatkan ketagihan serta pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi,obesiti,buah pinggang dan lain-lain.

Kesan awal dari pengambilan makanan ringan ini dapat kita lihat di sekolah apabila para pelajar kelihatan lesu tidak bermaya,mudah letih, ,tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Oleh kerana itu,PKPIM berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan para pelajar di Malaysia.Para ibubapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan samada di koperasi sekolah mahupun di luar pagar sekolah.Para peniaga juga jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan ringan sesuka hati tanpa mengira kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan di kalangan pelajar.

Nasihat dari pakar-pakar pemakanan seimbang, pakar kesihatan dan persatuan-persatuan pengguna perlulah didengari agar para pelajar di Malaysia tidak mengalami pelbagai penyakit semenjak usia yang masih muda akibat mengabaikan budaya pemakanan sihat.


Lagu Judi untuk pendokong judi,,,

Judi (judi), menjanjikan kemenangan
Judi (judi), menjanjikan kekayaan
Bohong (bohong), kalaupun kau menang
Itu awal dari kekalahan
Bohong (bohong), kalaupun kau kaya
Itu awal dari kemiskinan

Judi (judi), meracuni kehidupan
Judi (judi), meracuni keimanan
Pasti (pasti), karena perjudian
Orang malas dibuai harapan
Pasti (pasti), karena perjudian
Perdukunan ramai menyesatkan


Demikianlah sedutan lirik lagu berjudul Judi nyanyian raja dangdut Indonesia,Rhoma Irama. Saya mendengar kembali lagu Judi ini tatkala mendapat tahu cadangan Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 nanti. Saya tidak pasti samada Timbalan Menteri Kewangan,Datuk Awang Adek Hussein pernah mendengar lagu ini atau tidak.Entah Dato Seri Najib Tun Razak pernah mendengar lagu Judi ini atau belum pernah ,saya pun tidak tahu.

Saya yakin majoriti rakyat Malaysia hanya ingin menyaksikan aksi hebat pasukan bolasepak pilihan mereka dan bukannya mahu berjudi .Yang mahu berjudi itu hanyalah kaki judi.Di Malaysia saya percaya kaki bola lebih ramai daripada kaki judi.Namun begitu jika cadangan Kementerian Kewangan tersebut diterima maka tidak mustahil kaki judi di Malaysia lebih ramai daripada kaki bola kelak.Bahkan Kementerian Kewangan juga tidak mustahil bakal dikuasai oleh kaki judi juga nanti.Mungkin ketika itu akan timbul cadangan agar ditukar nama Kementerian Kewangan kepada Kementerian Judi.Entahlah,saya pun tak tahu apa yang bakal terjadi.

Yang paling bergembira dengan lontaran cadangan lesen ‘judi halal’(?) tersebut pastinya tauke-tauke judi.’Rezeki jangan ditolak !’;Mungkin itu kata mereka.Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini.Saya hanya mahu menyambung nyanyian lagu Judi oleh Rhoma Irama.Ayuh ramai-ramai nyanyikan lagu judi buat pendokong judi......


‘‘Apa pun nama dan bentuk judi
Semuanya perbuatan keji
Apa pun nama dan bentuk judi
Jangan lakukan dan jauhi
Judi ‘’


Saturday, May 01, 2010

Pelancaran UM Centre of Democracy and Elections dan Forum Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa

Pada 14 April 2010 bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM ,UMCEDEL-UM Centre of Democracy and Elections secara rasminya telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,Dato Saifuddin Abdullah.

UMCEDEL ini merupakan ‘one stop center’ bagi kajian demokrasi dan pilihanraya dan akan memberi fokus kepada beberapa topik kajian seperti sosiologi politik,media dan pilihanraya,politik antarabangsa,politik serantau,geografi pilihanraya,wanita dan pilihanraya dan lain-lain lagi.Maklumat lanjut tentang UMCEDEL ini boleh didapati dalam laman web UMCEDEL(http://umcedel.um.edu.my/)

Sebaik sahaja pelancaran UMCEDEL ini,satu forum bersejarah bertajuk Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa telah diadakan dengan 4 orang panel mewakili parti politik yang berlainan iaitu Ahli Parlimen Temerloh(BN-Majlis Tertinggi UMNO) merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,YB Saifuddin Abdullah,Ahli Parlimen Rasah(Ketua Pemuda DAP) YB Anthony Loke Siew Fook,Ahli Parlimen Kubang Kerian(Naib Presiden PAS) YB Solahudin Ayub dan Ahli Parlimen Machang(Setiausaha Agung PKR)YB Saifuddin Nasution.Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM,Prof Dr Redzuan Osman telah bertindak selaku moderator forum.

Dalam ucapan pendahuluannya,Prof Dr Redzuan Osman mengucapkan penghargaan kepada Naib Canselor UM,Dato Dr Gouth Jasmon atas kesudian beliau membenarkan forum bersejarah ini diadakan.Selepas hampir 20 tahun,forum yang menampilkan panelis dari parti-parti politik termasuk parti pembangkang akhirnya diizinkan untuk diadakan di kampus.Mengikut Prof Redzuan Osman,Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial inilah suatu ketika dahulu menajdi pentas pelbagai aktiviti mahasiswa dan menyaksikan kehadiran tokoh parti pembangkang seperti Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan ramai lagi dalam siri diskusi anjuran mahasiswa sendiri suatu ketika dahulu.

Bagi beliau,tujuan diadakan forum ini ialah untuk menghidupkan kembali suasana akademik di kampus dan mendedahkan kepada seluruh mahasiswa tentang ilmu-ilmu politik dan pemahaman demokrasi.Beliau berharap mahasiswa yang ingin menyertai politik suatu masa nanti masuk politik atas dasar faham demokrasi dan bukannya menjadi pengampu semata-mata.Beliau juga menyelar sikap segelintir pensyarah yang masuk tv hanya untuk mengampu.Pada pandangan beliau juga mahasiswa sepatutnya bebas memilih untuk masuk ke mana-mana parti politik dan oleh kerana itu beliau meminta semua pihak agar tidak merendahkan wibawa mahasiswa dan memberi ruang mahasiswa untuk berfikir.

Beliau juga mengulas tentang penganjuran Speaker corner’s sekarang yang mana bagi beliau tidak sepatutnya menetapkan syarat penyediaan teks terlebih dahulu.

YB Dato Saifuddin Abdullah pula meyambut baik kehadiran 3 orang panelis dari parti pembangkang dan menganggap mereka antara ahli parlimen pembangkang yang berbahas dengan baik tatkala sesi persidangan parlimen berlangsung.Dalam ucapan beliau,Dato Saifuddin melahirkan rasa kerisauannya dengan kisah banyaknya kerusi menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kampus disamping rendahnya peratus keluar mengundi di kalangan mahasiswa sewaktu pilihanraya kampus.

Bagi beliau ini merupakan satu penyakit politik dan beliau berharap semua pihak berusaha menghakupaya mahasiswa yang mempunyai permintaan tersendiri disamping menyedari bahawa mereka mengharapkan permintaan asas mereka dipenuhi seperti ingin suara mereka didengari,peranan mereka diiktiraf dan menangani isu-isu berorientasi mahasiswa.Mahasiswa menurut beliau lagi bukan sahaja pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari ini sebagai contoh memimpin orang yang lebih muda daripada mereka,memimpin mereka yang seangkatan dengan mereka disamping menjadi rakan kepimpinan dalam universiti,negara atau kerajaan.

Beliau juga menggalakkan mahasiswa agar terus menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersifat bakti berpanjangan serta tidak melupakan aspek advokasi atau mempengaruhi keputusan dimana ini merupakan perbezaan utama antara gerakan mahasiswa dengan persatuan-persatuan biasa.

Bagi Dato Saifuddin juga demokrasi bukan sekadar pilihanraya semata-mata dan beliau berharap akan wujudnya ekosistem politik baru yang berasaskan integriti-idealisme,politik ilmu berbanding politik ampu,politik hikmah berbanding politik fitnah dan beliau merasakan rakyat bukanlah memberi keutamaan kepada aspek siapa yang menang dalam pilihanraya tetapi yang lebih penting ialah kewujudan kerajaan yang baik.

Beliau juga mengkritik sikap segelintir ahli parlimen sendiri yang kurang bersopan dan berhikmah sewaktu persidangan Parlimen bahkan ada juga yang suka menjerit-jerit sehingga mengganggu perjalanan sidang Parlimen.Beliau juga mengharapkan kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan,kelompok ahli perniagaan dan juga masyrakat sivil di samping menekankan penyertaan anak muda seperti mahasiswa dalam bersama-sama membangun negara.

Dalam sesi soal-jawab pula,beliau mengupas tentang kepentingan memperkasakan institusi parlimen dan juga menyatakan bahawa beliau kurang bersetuju dengan sistem bagaimana ahli parlimen berdebat rancak dalam sesuatu isu tetapi akhirnya terpaksa mengundi mengikut blok parti yang diwakili masing-masing.Beliau mengharapkan ada anjakan dalam membenarkan ahli parlimen untuk mengundi berasaskan kesedaran dan pilihan mereka sendiri.

Menjawab persoalan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) pula beliau menjelaskan lantikan Naib Canselor,Timbalan Naib Canselor,Dekan dan sebagainya kini bukan lagi atas lantikan menteri bahkan atas lantikan jawatankuasa pemilihan tersendiri. Soal tafsiran tentang AUKU juga dikupas oleh beliau dan beliau sekali lagi menegaskan bahawa yang tidak boleh dalam AUKU sebenarnya tidak banyak iaitu seperti terlibat dalam parti politik ,kesatuan kerja atau pertubuhan haram sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar pilihanraya kampus dikendalikan sendiri oleh para mahasiswa memandangkan ia merupakan satu proses pendidikan politik buat mahasiswa.

Dato Saifuddin Abdullah menutup bicara beliau dengan memetik tulisan cendekiawan dan tokoh pemikir,Profesor Syed Mohamad Naquib Al-Attas serta mengajak semua pihak agar membawa kembali roh dalam universiti,penghayatan budaya ilmu,dan makna universiti.

YB Anthony Low pula mengupas tentang peripentingnya kebebasan akademik dan kebebasan berfikir di kampus.Bagi beliau demokrasi merupakan satu proses penglibatan rakyat dalam sistem dan setiap undang-undang atau akta yang ingin ditetapkan perlu mendapat maklum balas masyarakat.

Beliau menekankan persoalan pemikiran kritikal di kalangan mahasiswa dan berharap mahasiswa menyedari bahawa mereka perlu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pengikut sahaja.Proses pembinaan minda sepanjang berasa 3-4 tahun di kampus universiti perlu dimanfaatkan dan YB Anthony menganggap budaya mengejar ilmu di kalangan mahasiswa sekarang masih tidak cukup.Pada pendapat beliau,kalau dahulu mereka terlampau terikut dengan 3 M iaitu menulis,membaca,mengira dan kurang satu M lagi iaitu memikir kini mereka terikut pula dengan 3 M yang lain iaitu menyalin nota,menghafaz nota dan kemudiaanya memuntahkannya dalam peperiksaan.Beliau menekankan juga kepentingan perbincangan akademik di kalangan mahasiswa agar mereka dapat berbahas dan berbincang untuk percambahan idea disamping mampu menganalisis dan mengkritik maklumat berasaskan pemikiran kritikal.

Beliau juga mengupas persoalan AUKU dan menekankan kepentingan memansuhkan AUKU yang dilihat mampu melahirkan ketakutan psikologi kepada mahasiswa dan menurut beliau juga AUKU sebagai cubaan mengasingkan mahasiswa dengan politik secara sistematik.Beliau menimbulkan persoalan mengapa politik dilihat bahaya kepada mahasiswa.Beliau juga mengambil contoh bagaimana kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim di kampus sebuah universiti di London sebelum ini yang menyaksikan dewan dipenuhi oleh limpahan pelajar Malaysia dan negara lain yang ingin hadir mengikuti ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim.Bagi YB Anthony,sistem di kampus Malaysia perlu lebih terbuka dan perlu menganggap sebarang kritik mahasiswa sebagai satu harapan mereka yang mahu sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Mahasiswa menurut beliau juga merupakan suara pemantau pemerintah dan beliau menyarankan agar lebih banyak seminar,debat antara mahasiswa dan forum-forum dianjurkan sendiri oleh mahasiswa memandangkan ini juga dapat membantu para mahasiswa membina jaringan komunikasi dengan pihak luar.Beliau juga mengharapkan setiap IPT di Malaysia mendapat peluang yang sama seperti penganjuran forum ini.

Dalam sesi soal jawab pula,YB Anthony menegaskan apa yang lebih penting bagi mencipta kampus yang lebih terbuka dan kebebasan akademik bukannya jaminan individu tetapi jaminan undang-undang dan institusi dalam kampus itu sendiri.Kebebasan yang dituntut ini pula bukanlah kebebasan mutlak dan terlampau mengikut modul luar negara tetapi ia tetap mengetahui batasan sempadan kebebasan .Apa yang penting juga ialah memperkasakan institusi demokrasi itu sendiri seperti memperkasakan parlimen dan media.Beliau mengkritik penamatan program Debat Perdana yang pernah disiarkan secara langsung di television pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu dan juga berkenaan penapisan soal jawab dalam persidangan parlimen terhadap ucapan ahli parlimen pembangkang oleh RTM 1

YB Solahudin Ayub pula menekankan kepentingan mempejuangkan hak mahasiswa.Beliau berharap semua pihak tidak melayan pensyarah seperti guru sekolah dan juga tidak melayan mahasiswa seperti budak-budak sekolah.Anak muda pada era digital ini mengikut YB Solahudin perlu juga memiliki pemikiran digital dan mereka perlu menggelakkan diri mereka daripada diperbodoh,diperkecil dan ditakut-takutkan.Mereka perlu berani untuk suarakan kebenaran dan mendirikan integriti dalam setiap jiwa.

YB Solahudin juga menegaskan betapa kampus universiti telah terkebelakang 20 tahun dan mempersoalkan berapa ramai mahasiswa yang sudah menjadi mangsa sehingga hilangnya daya juang.Beliau mengkritik sikap sesetengah pihak yang seakan-akan melihat mahasiswa sebagai musuh negara.Bagi beliau semua pihak perlu menjadikan mahasiswa kelompok terpenting masyarakat dan menghargai setiap langkah dan pandangan mereka.

Beliau juga menceritakan bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat kali ini masuk ke parlimen bukan sekadar membangkang semata-mata tetapi mahu memberikan pandangan,idea dan wawasan yang konstruktif.

Beliau juga mengulas tentang dasar pelajaran negara yang masih bergantung kepada Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang bagi beliau sudah tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula dan beliau menimbulkan persoalan mengapa tidak diwujudkan Penyata Hishamudin atau Penyata Muhyiddin?

YB Solahudin juga membuat perbandingan antara sukatan pelajaran matapelajaran Sejarah di Malaysia dan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat.Di Amerika Syarikat mengikut beliau para pelajar semenjak di bangku sekolah didedahkan dengan isu-isu besar dalam matapelajaran Sejarah seperti isu Watergate,jatuh bangun Wall Street berbanding pelajar SPM di Malaysia yang bagi beliau lebih kepada menghafaz sejarah.Beliau mengharapkan dasar pendidikan yang lebih relevan masa kini diwujudkan segera disamping menegaskan bahawa AUKU mesti dimusnahkan.

Beliau juga mengharapkan padang permainan yang sama rata dalam pertarungan antara Barisan Nasional-UMNO di mana pemimpin BN-Umno dibenarkan masuk ke universiti,oleh kerana itu kerajaan juga perlu memberi pemimpin Pakatan Rakyat peluang untuk masuk ke universiti juga.

Teori ibnu khaldun dalam karyanya Muqaddimah tentang pusingan manusia juga dikupas oleh YB Solahudin dan mengambil contoh bagaimana Obama yang berkulit hitam mampu akhirnya menjadi Presiden Amerika suatu yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat Amerika dahulu.

YB Solahudin juga melahirkan rasa kecewanya dengan satu kajian yang mendapati ramai pelajar tahun akhir di universiti tidak memahamii isu-isu seperti Dasar Ekonomi Baru,liberalisasi ekonomi,IFC dan lain-lain akibat tidak berminat dengan isu-isu politik dan tidak ambil tahu tentang isu-isu semasa.

Beliau juga menceritakan bagaimana persaingan syarikat gergasi Jepun iaitu Honda dan Toyota yang mengeluarkan geran pendidikan-penyelidikan bagi menjual kereta-kereta Jepun bagi menyaingi kereta keluaran Korea seperti Hyundai-KIA dalam pasaran jualan kereta di seluruh dunia.Di samping itu juga beliau mengupas berkenaan kebangkitan gergasi ekonomi ,China dan betapa pentingnya Presiden Obama untuk mengeratkan hubungannya dengan Presiden China Hu Jintou bagi manfaat Amerika dan China berdasarkan ulasan majalah Time edisi terbaru.

Dalam sesi soal jawab pula YB Solahudin Ayub menekankan kepentingan mengangkat martabat,integriti dan wibawa Parlimen dan beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan Thailand membayar gaji 2 orang penyelidik bagi setiap ahli parlimen Thailand samada dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

YB Saifuddin Nasution pula memulakan ucapannya dengan menetapkan KPI bagi kejayaan forum ini kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial,Prof Dr Redzuan Osman dan Universiti Malaya keseluruhannya iaitu pada masa akan datang diadakan pula forum yang menampilkan Dato Seri Najib Tun Razak,Dato Seri Anwar Ibrahim,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Universiti bagi beliau merupakan satu gedung ilmu dan warga universiti mepunyai daya intelektual yang tinggi.Oleh kerana itu beliau menolak sebarang usaha ugutan,sekatan,tekanan dan penafian hak kepada warga universiti keseluruhannya.Beliau menegaskan pemerintah bukannya lebih tahu segalanya dan rakyat hanya perlu menerima bulat-bulat sahaja dan disebabkan itu sesiapapun tidak boleh menyekat hak –hak rakyat seperti hak berpersatuan,hak berhimpun dan hak untuk berbeza pandangan dengan mana-mana pihak.

Menyentuh tentang demokrasi pula bagi beliau pilihanraya merupakan pesta demokrasi dan oleh kerana itu mahasiswa tidak perlu dihalang untuk terlibat dalam pesta demokrasi ini namun begitu perlulah memakai ‘jersi’ mahasiswa.Beliau menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakannya sewaktu memimpin mahasiswa suatu ketika dahulu yang terlibat dalam pilihanraya dengan mengadakan program pidato Pentas Siswa .

YB Saifuddin juga membuat perbandingan keterlibatan mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam pilihanraya dengan mengambil contoh bagaimana mahasiswa Indonesia yang memonopoli kaca television Indonesia sewaktu kempen Pemilu Indonesia untuk memberi komen dan kritik terhadap dasar kerajaan .Beliau menegaskan ,biar parti berlawan,rakyat dapat manfaat.

Beliau juga mengulas isu-isu semasa di Malaysia selepas kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke Amerika seperti isu hubungan Amerika-Asean,akta perdagangan strategic,Model Ekonomi Baru ,isu bantuan kepada Afghanistan, isu nuklear Iran,dan isu perunding komunikasi APCO.

Beliau berharap para pengundi muda untuk turun ke pilihanraya kecil Hulu Selangor nanti.

Dalam sesi soal jawab pula beliau menegaskan kepentingan peranan kepimpinan universiti yang merupakan faktor kritikal bagi menegakkan tradisi keilmuan di universiti.Beliau mengupas juga tentang sejarah penubuhan universiti , bagaimana kehebatan ilmu dan kepentingan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan ilmu dan universiti serta menekankan betapa pentingnya membudayakan ilmu dalam politik.

Penganjuran forum ini merupakan langkah awal upaya pencerahan kepada warga universiti ,proses keterbukaan dan kebebasan akademik bagi memberi makna kepada kewujudan universiti sebagai satu tempat pertarungan idea dan pemikiran.Semoga pihak universiti lebih terbuka dalam membenarkan penganjuran forum-forum intelek sebegini.

Friday, April 16, 2010

PKPIM bersama Abang Jufitri Joha(Pengerusi GPTD)

Pada 9 April 2010 di UIAM ,PKPIM telah mengadakan satu sesi perkongsian pengalaman bersama Abang Jufitri Joha ,Exco Perhubungan Antarabangsa ABIM merangkap Pengerusi Grup Penjejak Tamadun Dunia(GPTD)yang kini sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom dalam bidang pekerja belia(Youth Work- http://en.wikipedia.org/wiki/Youth_work).
Bidang pekerja belia ini masih asing di negara kita namun di UK sudah mula berkembang pesat.

Antara perkara yang sempat abang Jufitri kongsi bersama pimpinan PKPIM ialah tentang kegilaan dan kefanatikan rakyat UK terhadap bola sepak. ‘Bola jadi tuhan’.Demikian kata abang Jufitri.Beliau juga menceritakan bagaimana rakyat Malaysia yang kadangkala agak ghairah memakai jersi kelab Liga Inggeris yang mereka sokong dinasihatkan supaya tidak memakai jersi kelab pasukan bola sebarangan.Ini bagi mengelakkan ‘bahaya’ yang tidak diingini berlaku angkara peminat fanatik bola sepak pasukan lawan.

Abang Jufitri juga menceritakan pengalaman beliau mengikuti pengajian pekerja belia ,Ilmu tentang belia/komuniti dan pengalaman beliau mengadakan program bersama pihak aliran Sosialisme yang agak aktif dalam bidang pekerja belia di UK ini.Apa yang menarik ialah bidang pengajian pekerja belia ini lebih banyak praktikal seperti program bersama masyarakat dan langsung tiada peperiksaan.Cuma agak sedikit mencabar kata abang Jufitri memandangkan beliau terpaksa bergaul dengan pemuda Inggeris yang agak kasar.

Di dalam kuliah pengajian pekerja belia yang beliau ikuti ini hanyalah disertai oleh 10 orang sahaja pelajar dan abang Jufitri merupakan satu-satunya pelajar dari benua Asia dan mereka semua dibimbing oleh para pensyarah yang kesemuanya merupakan nama-nama besar dan pakar rujuk dalam pengajian pekerja belia.

Abang Jufitri juga menceritakan bagaimana beliau memanfaatkan tulisan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam karyanya Asian Renaisance terutamanya berkenaan human dignity-karomah insaniyah sewaktu mengikuti pengajian pekerja belia ini dan beliau menyarankan kepada pimpinan PKPIM supaya mengkaji idea dan teori tokoh-tokoh seperti Malek Ben Nabi,Mahatma Ghandhi,Ravindra Tagore dan ramai lagi disamping menyegarkan aktivisme.

Turut diajar dalam pengajian pekerja belia ini ialah subjek youth and faith dimana para pelajar perlu melawat tempat-tempat ibadah para penganut agama di UK.Abang Jufitri juga berpeluang melawat tempat ibadah penganut Yahudi di UK.Beliau bersama rakan-rakan sekelasnya juga dalam proses mengasaskan ‘International Federation of Youth Worker ‘ bagi menyelaraskan pekerja belia di seluruh dunia.

Takrif belia di UK jauh berbeza berbanding di Malaysia iaitu 18-24 tahun sedangkan di Malaysia 18-40 tahun dan di UK ini juga terdapat Parlimen Belia.

Abang Jufitri juga mengulas perkembangan Islam yang semakin pesat berkembang di negara Barat terutamanya di Perancis,Jerman dan UK.Tentang isu pengharaman Burqa,beliau mengatakan para pimpinan Islam di negara Barat tidak melayan isu tersebut memandangkan ia dilihat satu cubaan untuk mengalihkan isu daripada isu-isu yang lebih besar .Dalam konteks di Malaysia pula,beliau menasihatkan para aktivis Islam agar lebih berhati-hati dalam menangani isu kalimah ALLAH.

Beliau menceritakan bagaimana usaha Prof Tariq Ramadhan(cucu pengasas Ikhwan Muslimin,Hassan Al-Banna) yang mengasaskan European Muslim Network(EMN- http://www.euro-muslims.eu/) bagi memperjuangkan secara lebih terbuka hak orang Islam di Eropah bahkan agama Islam telah menjadi sebahagian daripada agama utama Kesatuan Eropah.
Sewaktu berada di UK juga abang Jufitri sempat menziarahi negara Kosovo dalam rangka program The Union of Non Govermental Organizations of Islamic World (UNIW- http://www.theunity.org/en/) di sana dan beliau agak kagum dengan pimpinan muda Kosovo yang fasih dalam Bahasa Arab .Mungkin selepas ini beliau akan menziarahi negara seperti Albania,Macedonia,Bosnia pula.

Antara perkara yang ditekankan oleh abang Jufitri ialah berkenaan ‘engagement’ bersama dunia luar.Bukan sekadar ‘engagement’ sesama bangsa dan agama sahaja,beliau juga menasihatkan para aktivis supaya turut sama mengadakan ‘engagement’ dengan pelbagai kelompok seperti kelompok Sosialis,Yahudi bahkan beliau selepas ini akan cuba mengadakan ‘engagement ‘ bersama kelompok LGBT (Lesbian, gay, bisexual, transgender- http://en.wikipedia.org/wiki/LGBT. Kelompok ini turut wujud di kampus universiti dan aktif menyebarkan kondom secara percuma.

Yahudi di UK menurut abang Jufitri agak bersifat eksklusif dan kurang bergaul dengan masyarakat mungkin kesan rasa rendah diri selepas tragedi perang di Gaza dan abang Jufitri juga mengulas tentang Nature calta,satu kelompok Yahudi yang anti Zionis di UK.Ramai pelajar Malaysia di sana lebih suka duduk bersama kelompok sendiri dan tidak melakukan ‘engagement’ dengan dunia luar dan kini tidak ramai yang mengikuti Federation of Student Islamic Societies@FOSIS- http://fosis.org.uk/ yang satu ketika dahulu ramai pelajar Malaysia yang aktif dalam FOSIS ini.

Abang Jufitri juga mengupas tentang peranan yang dimainkan oleh pelajar Malaysia suatu ketika dahulu dalam menyebarkan Islam di UK termasuk peranan Presiden ABIM yang pertama,Dr Razali Nawawi dan rakan-rakannya yang menuntut di UK dahulu.

Di samping itu juga abang Jufitri menceritakan bagaimana di perpustakaan SOAS-University of London- http://www.soas.ac.uk/yang turut menyimpan khazanah kitab nusantara termasuk kitab ulasan Ustaz Wan Syaghir dan juga bagaimana Laporan EU yang antara lain menyebutkan tentang kepentingan negara Eropah mengadakan hubungan dengan PAS dan ABIM di Malaysia.

Beliau juga mengupas sedikit tentang Post modernisme,consurisme-hedonisme, dengan target utamanya orang muda,Civil society vs hedonism, masalah sosial di UK seperti mengandung luar nikah,kempen seks selamat dan juga peranan tokoh dan pertubuhan Islam pelbagai aliran pemikiran di UK seperti Ziaudin Sardar,Khurshid Ahmad,Jamaet Islami,Syeikh Yusuf Al-Qardhawi,IIIT-Ismail Faruqi dan lain-lain.

Perkongsian pengalaman ini sangat bermanfaat kepada semua dan mungkin selepas ini bidang pengajian pekerja belia perlu dikembangkan secara meluas di Malaysia demi pembangunan belia Malaysia.

Bengkel Latihan CRC anjuran SUHAKAM

Saya telah hadir ke Bengkel Latihan CRC anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2 hingga 4 April 2010 di Hotel Quality,Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.


Bengkel ini disertai oleh lebih 25 orang anak muda sekitar umur 16 hingga 25 tahun dan ini merupakan satu usaha pendidikan SUHAKAM untuk melahirkan kader baru-jurulatih muda bagi hak kanak-kanak.


Dalam bengkel ini para peserta didedahkan dengan apa itu hak asasi manusia,sejarah hak asasi manusia,sejarah CRC(Convention On The Rights Of The Child-UN-1989-Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak),kehendak dan keperluan asasi kanak-kanak dan 4 hak utama kanak-kanak iaitu:-


- hak kehidupan (Survival rights)
- hak perlindungan (Protection rights)
- hak perkembangan (Development rights)
- hak penyertaan (Participation rights)


Sebelum ini saya hanya fokus untuk mengetahui hak mahasiswa di kampus semata-mata sehingga kadangkala terlupa bahawa kanak-kanak tanpa mengira latar belakang bangsa,gender,keturunan,dan agama juga punyai hak masing-masing.


Dalam bengkel yang dikendalikan oleh beberapa orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia(khususnya hak kanak-kanak),para peserta turut didedahkan dengan isu-isu seperti diskriminasi , eksploitasi seks-dadah,perdagangan dan penderaan terhadap kanak-kanak samada kanak-kanak pelarian,kanak-kanak minoriti@penduduk asli,kanak-kanak kurang upaya dan hak –hak yang sepatutnya diperolehi oleh kanak-kanak seperti hak kesihatan,keselamatan,pendidikan,dan pelbagai hak lain yang termaktub di dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention On The Rights Of The Child(CRC-UN-1989) dan beberapa deklarasi antarabangsa seperti The Universal Declaration Of Human Rights (UDHR-UN-1948) dan The Cairo Declaration Of Human Rights In Islam (CDHRI-OIC-1990).


Bengkel ini memanfaatkan modul-modul yang menarik dan bersifat santai dan ini memudahkan para peserta untuk mengikuti setiap aktiviti yang ditetapkan dalam bengkel ini.


Para peserta misalnya dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang berbeza dalam slot sesi yang berbeza. Di samping itu juga,setiap kumpulan diminta membuat satu lakonan-drama ringkas berdasarkan hak kanak-kanak .Pada akhir slot,setiap kumpulan diminta untuk merangka perancangan dan pelan bertindak tentang aktiviti hak asasi kanak-kanak yang bakal dilaksanakan kelak seterusnya membentangkannya secara berkumpulan.
Usaha SUHAKAM untuk memberi pendedahan awal tentang hak asasi manusia khususnya hak kanak-kanak kepada generasi muda ini sewajarnya disokong oleh semua rakyat Malaysia.Apabila rakyat mempunyai kesedaran terhadap hak asasi manusia,mereka akan lebih bersemangat untuk memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh tanggungjawab.

Sidang Meja Bulat:Isu Pembuangan Bayi...

Isu pembuangan bayi yang dilaporkan secara meluas oleh media massa khususnya surat khabar arus perdana baru-baru ini menimbulkan beberapa persoalan.Apakah gejala sosial yang melanda rakyat Malaysia khususnya generasi muda semakin parah?Adakah rakyat Malaysia semakin sedar tentang isu pembuangan bayi ini ataupun hanya kesedaran bermusim semata-mata?Apakah selepas tiada laporan secara meluas tentang isu pembuangan bayi dan gejala sosial yang lain akan membuatkan masyarakat Malaysia terus melupakan isu masalah gejala sosial ini?

Media memainkan peranan yang cukup besar dan berpengaruh dalam menyedarkan masyarakat tentang pelbagai masalah moral dan akhlak yang melanda rakyat Malaysia.Gejala sosial seperti pembuangan bayi ini pula bukanlah isu baru bahkan ia merupakan isu lama yang telah dilupakan masyarakat dan media massa bertindak bijak dengan memainkan peranan memberi peringatan buat masyarakat agar tidak melupakan isu-isu sebegini akibat terlampau menyibukkan diri dengan pelbagai isu remeh temeh yang lain.

Gejala sosial yang melanda masyrakat ini pastinya mampu merencatkan usaha perancangan kerajaan untuk memajukan negara.Apakah kita mahu membangunkan negara dan pada masa yang sama mahu membiarkan akhlak rakyat keseluruhannya runtuh?Pembangunan infrastruktur dan aspek fizikal yang lain yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan modal insan,pembangunan spiritual,akhlak,dan adab rakyat tentunya mampu merosakkan dan membinasakan pembangunan sesebuah negara.

Kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama,akhlak dan moral,pemujaan hedonisme-hiburan melampau,hanyut dengan nafsu matearialistik dan sifat individualistik yang menebal di kalangan masyarakat sehingga tidak mempedulikan apa yang berlaku sekitar mereka menambahkan lagi parah kepada permasalahan gejala sosial di negara kita.

Tanpa menuding jari kepada sesiapapun memandangkan hal demikian langsung tidak pernah menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) mengajak semua pihak khususnya agensi kerajaan,parti politik,NGO,institusi agama,media massa,dan para ibu bapa supaya bersama-sama memikirkan langkah strategik dan sistematik dalam mengatasi pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat masa kini.

Sidang Meja Bulat Gejala Sosial anjuran Hal Ehwal Wanita PKPIM yang bakal diadakan pada hari Sabtu 17 April 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Gombak diharapkan mampu merangka gerak kerja dan pelan bertindak bersama bagi merawat pelbagai penyakit sosial masyarakat.

Kita semua bersaudara!!!

Apa faedah kita berbalah

Berpecah belah

Saling bersengketa

Benci-membenci

Hidup dalam huru hara

Tanpa ketenangan

Tiada perpaduan

Tiada kasih sayang

Tiada cinta

Jiwa bercelaru

Akal keliru

Hati gelisah

Perasaan keluh kesah

Demi keamanan

Kukuhkan persahabatan

Demi kebahagiaan

Perjuangkan kemanusiaan

Bersama-sama kita laungkan

Kita semua bersaudara!

Kampung Sungai Ramal Dalam

1 April 2010

1.15 am

Kita pasti menang!!!

Usia muda jangan disia-siakan

Usia muda usia perjuangan

Sebelum tua kita berjuang

Sesudah tua tetap berjuang!

Semangat melawan kezaliman

Terus berkobar-kobar hingga ke akhir hayat

berani menentang kemungkaran

percaya kepada perubahan

Yakin dengan ketentuan tuhan

Kita pasti menang!

Kampung Sungai Ramal Dalam

1 April 2010

1.00 am

Agama Cinta Tuhan Pencinta

Atas nama agama

Kau semarakkan permusuhan

Atas nama tuhan

Kau menyebarkan kebencian

Agama apa yang kau anut itu?

Atau kau bikin agamamu sendiri?

Agama yang bertuhankan hawa nafsu mu

Agama ku bukan agamamu

Agama ku agama cinta

Agama kasih sayang

Agama perdamaian

Agama keamanan

Untuk seluruh manusia

Yang inginkan kebahagiaan

Dan tuhanku,Allah

Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang

Tuhan yang mencintai manusia yang saling mencintai manusia lainnya

Kampung Sungai Ramal Dalam

1 April 2010

1.30 am

Dialog Dakwah Global-Islam di Turki:Peranan Said Nursi -Erbakan-Erdogan

Saya telah menjemput dua orang sahabat saya ,Faez (belajar di Turki-aktivis PKPIM-GPTD) dan Sadiq Ozata(Hayret Vekfi (Ngo Islam Turki)-pelajar Master Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM )untuk memberi pengisian dalam Dialog Dakwah Globalpada 24 Mac 2010 yang berlangsung di surau APIUM.Selain dihadiri oleh mahasiswa UM,diskusi ini turut dihadiri oleh mahasiswa UIA PJ(rombongan ‘jemaah haji’ yang sanggup berjalan kaki dari UIA PJ ke Surau APIUM)

Dalam dialog dakwah global ini saya meminta Faez dan Sadiq untuk membincangkan beberapa persoalan berkenaan perkembangan semasa Islam di Turki,serta peranan tokoh-tokoh seperti Badiuzaman Said Nursi,Necmuddin Erbakan dan Recep Tayyip Erdogan.

Faez menceritakan pengalaman beliau hampir 2 tahun menuntut ilmu di Turki.Menurut Faiz tidak ramai rakyat Malaysia yang belajar di Turki.

Sebelum berangkat ke Turki dahulu,beliau telah tinggal bersama rakyat Turki di Malaysia selama 6 bulan . Pada mulanya beliau menganggapukhwah islamiyah bangsa Arab yang terbaik.Tetapi setelah tinggal serumah bersama rakyat Turki, beliau dapat merasakan keramahan –ukhwah rakyat Turkilah yang paling terbaik.Baru jumpa 2 hari tetapi terasa seakan-akan ukhwah 20 tahun.Demikianlah pandangan beliau tentang keramahan rakyat Turki yang beliau kenali.

Faez mendapat tawaran kerja dan projek ribuan ringgit di Libya tetapi beliau menolak kerana hati beliau lebih terbuka untuk negara Turki.

Faez juga membicarakanperbezaan sistem pendidikan Turki berbanding USA dan UK.Tak semahal UK,tak semurah Malaysia.Itulah gambaran Faez tentang kos biaya pengajian di Turki.

Beliau juga menceritakan bagaimana sikap kediktatoran pihak tentera Turki (dikuasai kelompok sekularisme totok)yang mengawalketat sekolah-universiti di Turki dimana mereka mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan silibus pembelajaran di sana sehingga Recep Tayyip Erdogan sendiri langsung tidak boleh menyentuh atau mengkritiksistem pendidikan tersebut.Faez juga menceritakan pengalaman beliau sendiri di kampus dimana sistem sekularisme yang sangat mengcengkam di kampus universiti dan beliau membawa contoh etika pakaian mahasiswa di universiti yang terlampau bebas.

Faez juga menyorot secara ringkas sejarah Uthmaniyah.Beliau menasihatkan para audien supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan istilah seperti ‘Ottoman Empire’ bagi merujuk kepada Dinasti Uthmaniyah yang bagi beliau penggunaan istilah ‘Ottoman Empire’ ini lebih bermaksud suatu bentuk imprealisme-jajahan berbanding penggunanan O’ttoman Dynasty’.

Selain itu juga beliau membicarakan peranan gerakan Nursi satu gerakan dakwah yang terbesar di Turki yang banyak menjalankan projek Islamisasi di Turki. Faez menceritakan beberapa kelebihan Badiuzaman Said Nursi dan kehebatan karya –karyanya seperti ‘The Words,The Letters’ dan banyak lagi karya beliau yang menekankan persoalan iman hakiki. Di samping itu juga Faez mengupas peranan ‘madrasah’ Nurcu(pengikut gerakan Badiuzaman Said Nursi) yang menjalankan dakwah bermula dari rumah ke rumah.

Faez juga membawa kisah menarik di Turki antaranya bagaimana solat subuh di Masjid Abu Ayyub Al-Ansari dan masjid di Bayazid yang dipenuhi oleh lebih 13000 orang jemaah solat subuh.Begitu juga sewaktu menunaikan solat Jumaat dimana bagi mereka yang tiba lewat 5 minit sebelum azan zohor sudah tidak boleh masuk ke dewan masjid memandangkan masjid telah dipenuhi oleh ribuan jemaah.

Faez juga menceritakan pengalaman menyambut bulan Ramadhan di Turki dan kisah bagaimana lebih 100 ribu orang hadir berbuka puasa di Masjid Biru,Istanbul.

NGO dakwah di Turki sangat aktif dan memainkan peranan dakwah yang cukup penting di Turki sehingga mampu melakukan perubahan secara beransur-ansur dari cengkaman arus Sekularisme kepada arus gelombang kebangkitan umat Islam yang komited terhadap ajarannya.

Faez yang pernah menghadiri majlis makan malam bersama Recep Tayyip Erdogan turut mengupas tentang kewibawaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gul.Erdogan mempunyai strategi tersendiri dalam memimpin kerajaan Turki berasaskan ajaran Islam yang menekankan persoalan hikmah,kebajikan dan keadilan. Dalam setiap perhimpunan agung AKP Party pimpinan mereka misalnya pasti akan ada gambar Ataturk namun pendekatan corak kepimpinan mereka dengan Attaturk agak jauh berbeza.

Gandingan bersama Erdogan-Gul sedaya upaya cuba untuk mengatasi masalah ‘blackout’ yang sering melanda ibukota Istanbul dan memperkasakan kembali sistem elektrik dan sistem pengangkutan di seluruh Turki.Beberapa projek terowong dasar laut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menghubungkan antara benua Asia dan Eropah bakal dibina nanti.

Beberapa perbezaan pendekatan antara pimpinan Erdogan-Gul dengan mentor mereka Necmudin Erbakan turut dikupas secara ringkas oleh Faez.Erbakan kini agak lantang mengkritik pendekatan Erdogan-Gul dalam memimpin Turki sekarang.

Faez juga mengupas sikit peranan Fethullah Gulen dan gerakannya yang agak kaya dan kukuh kewangannya dan menguasai media massa dengan pelbagai penerbitannya disamping memiliki pelbagai sekolah-universiti di seluruh dunia.

Sadiq Ozata pula membicarakan sejarah Turki pasca pimpinan Ataturk .Bagi beliau satu perjuangan rakyat Turki yang komited dengan ajaran agamanya untuk menjaga huruf Islam yang telah dimansuhkan sewaktu pimpinan Ataturk(Beliau tidak menyebut nama Ataturk tetapi memilih untuk merujuk Ataturk sebagai ‘orang itu’ atau ‘pakcik itu’)

Menurut Sadiq ramai ulama dibunuh sewaktu pimpinan Ataturk dan ada yang meninggal dunia mengejut akibat terlampau bersedih dengan segala tindakan Ataturk seperti memaksa mengubah azan dalam bahasa Turki,mengharamkan pemakaian tudung dan lain-lain lagi.

Selain itu,Sadiq menceritakan perjalanan sekolah agama di Turki seperti sekolah Imam Hatip dan bagaimana para pelajarnya yang cemerlang dalam keputusan akademik telah dinafikan hak untuk menyambung pelajaran di universiti milik kerajaan Turki.Namun dibawah pimpinan Erdogan ,mereka semakin mendapat hak mereka untuk menyambung pelajaran di universiti. Sadiq jugamenjawap soalan audien tentang perbezaan kaedah hafalan Al-Quran teknik Turki.

Sadiq juga mengupas peranan Said Nursi dan karyanya Risael An Nur yang bagi beliau merupakan satu bentuk tafsir Al-Quran yang banyak melawan hujah sekularisme -naturalis-matearilsme.

Di samping itu juga beliau menekankan kepentingan membina masyarakat yangkukuh imannya dan menimbulkan persoalan masyarakat antara penyakit kelemahan iman dan tiada iman.

Risael An Nur sehingga kini telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia termasuk di Malaysia.

Sadiq juga membicarakan perkembangan semasa politik di Turki.Setelah beberapakali kudeta tentera berlaku di Turki termasuk di zaman Erbakan,sehingga kini setelah kemenangan AKP Party pimpinan Erdogan –Gul belum ada lagi sebarang kudeta tentera walaupun wujud konspirasi untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Erdogan-Gul.

Bagi Sadiq,pihak musuh menganggap negera Islam seperti ular dan Turki umpama kepala ular maka oleh sebab itu mereka perlu ketuk kepala ular tersebut.Persoalan kemasukan Turki ke dalam EU dan hubungan antara Turki-Iran-Syria yang semakin baik dan turut disentuh oleh Sadiq.

Di samping itu juga Sadiq membentangkan secara ringkas peranan Union of NGO’s of The Islamic World (UNIW) dalam menggembeling tenaga dan menyatupadukan NGO-NGO Islam di seluruh dunia.

Dialog dakwah global ini telah mampu membuka mata para audien yang hadir agar lebih celik isu semasa-isu antarabangsa,mengetahui pemikiran tokoh-tokoh disamping mendalami pendekatan hikmah dan strategik dalam berdakwah .

Dari Kuala Lumpur ke Depok,Dari Depok ke Jakarta,Dari Jakarta ke Kuala Lumpur.....

Saya berkesempatan mewakili PKPIM(menggantikan pimpinan yang tidak dapat hadir)untuk hadir ke International Conference On Universal Justice Network yang berlangsung di Wisma Makara,Universitas Indonesia di Depok.

Program 2 hari (20-21 Februari 2010) ini merupakan anjuran bersama Islamic Human Right Commission(IHRC) yang berpusat di London, Citizens International yang berpusat di Pulau Pinang dan Pusat Advokasi Hokum dan Hak Asasi Manusia(PAHAM),Indonesia.

Bertemakan End The Injustice,Promote Peace And Justice For A Better World,program ini membincangkan beberapa isu hak asasi manusia seluruh dunia khususnya hak asasi manusia di negara umat Islam.

Jumaat 19 Februari 2010

Saya bermalam di pejabat PKPIM di Gombak untuk memudahkan urusan penerbangan ke Jakarta keesokan harinya.Dalam pukul 3.30 pagi,SU PKPIM,Khairul Anuar Musa menghantar saya ke KL Sentral untuk menaiki bas ke LCCT.

Jam 7.10 pagi,penerbangan Air Asia yang saya naiki bertolak ke Jakarta dan tiba di Lapangan terbang Sukarno-Hatta sekitar pukul 9.10 pagi.Saya difahamkan bahawa pihak penganjur akan menunggu di balai ketibaan untuk mengambil saya ke tempat penginapan.Sambil keluar menuju ke balai ketibaan ,saya memerhatikan papan tanda nama yang dipegang oleh beberapa orang penyambut tetamu untuk melihat samada nama saya turut ada .Saya gagal menjumpai pihak penganjur jadi saya mengambil keputusan untuk menghantar mesej sms pihak penganjur untuk menanyakan samada ada urusetia yang akan mengambil saya di lapangan terbang atau tidak.Jika tidak,saya tidak bermasalah untuk menaiki bas atau teksi ke tempat penginapan di Wisma Makara kerana sebulan yang lalu juga saya menginap di Wisma Makara itu dalam program The 3 rd International Youth Gathering.

Sementara menanti jawapan sms pihak penganjur,saya berjalan seketika sekitar lapangan terbang dan kemudiannya saya ternampak papan tanda ‘Universal Justice Network’ yang dipegang oleh seseorang.Mereka itu rupanya urusetia program yang akan mengambil saya dari lapangan terbang ke Wisma Makara.

Urusetia yang mengambil saya masih muda sebaya dengan saya dan dalam perjalanan ke Wisma Makara yang mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah itu kami berbual pelbagai isu sekitar hal ehwal Malaysia dan Indonesia.

Jam 11.30 pagi,saya tiba di Wisma Makara,sekaligus mengembalikan nostalgia program IYG sebulan yang lalu.Kini saya kembali ke Wisma Makara dan menginap tidak jauh dari bilik menginap saya dalam program sebelum ini.

Setelah berehat beberapa seketika,saya bersama pihak penganjur menaiki van yang disediakan menuju ke Masjid Universitas Depok untuk menunaikan solat jumaat .Di sana,saya mencari-cari teman-teman saya yang belajar di Universitas Indonesia ini tetapi gagal menjumpai mereka.Di sini saya berjumpa dengan Cikgu Azmi,dari Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) dan rombongan peserta dari negara-negara lain.

Saya juga sempat berjumpa dan bersembang dengan beberapa orang Turki dari kelompok Fethullah Gulen,tokoh berpengaruh dari Turki yang membuka beberapa buah sekolah di Indonesia.

Selepas solat jumaat,saya berehat di bilik dan menonton tv.Ada beberapa rancangan yang menarik perhatian saya seperti satu rancangan yang memaparkan satu adat ritual jawa dalam membuang sial sempena maulidur rasul.Mereka samada lelaki dan perempuan akan berpakaian mandi dan menyelam di dalam sungai beramai-ramai dan kemudiaanya berdoa disitu.Pelik dan ajaib ‘sambutan maulidur rasul’ itu ya?

Petang ini program belum bermula lagi jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berehat dan membaca sedikit artikel tentang hak asasi manusia sebagai persiapan program nanti.Setelah penat membaca,saya turun ke kolam renang di Wisma Makara ini untuk aktiviti berenang(atau buat-buat pandai berenang..?)

Para peserta semakin ramai tiba sebelum makan malam dan sambil makan malam saya berkenal-kenalan dengan para peserta dari pelbagai negara ini. Program ini dihadiri lebih kurang 60 peserta wakil 14 negara seperti dari negara Turki,Sri Lanka,USA,Afrika,Iran,UK,Thailand,Malaysia dan tuan rumah Indonesia.

Antara beberapa orang tokoh yang turut hadir dalam program ini ialah:-

-Imam Achmad Cassim-tokoh Islam dari Cape Town,Afrika Selatan-(dipenjara 7 tahun di penjara Robbon Island bersama Nelson Mandela sewaktu umur 17 tahun kerana melawan dasar apartheid)

-Massoud Shadjareh-Pengarah Islamic Human Right Commission(IHRC),London,UK

-Yasser Hammoud,wakil Hizbullah,Lubnan

-Dr Said Reza Ameli-Timbalan Canselor Universiti Tehran

-Imam Asi-Imam Islamic Center Washington DC,USA

-Imam Yaqub Zakzaky-pemimpin gerakan Islam di Nigeria

-S.M.Mohd Idris- Citizens International-CAP

-Mohideen Abdul Qadir-Presiden Citizens International

-Mohd Azmi Abdul Hamid-Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu(TERAS)

Sesi pertama program bermula dengan pengisian dari 2 orang pakar iaitu Imam Achmad Cassim dari Afrika Selatan dan Dr Said Reza Ameli dari Iran.

Selepas selesai pengisian tersebut ,saya dan beberapa orang peserta yang lain bersama urusetia keluar ke Bandar Depok untuk makan malam.Kami dibawa makan malam di sebuah restoran yang mennghidangkan ikan kew bakar yang sangat sedap.

Selepas makan malam,kami pulang ke Wisma Makara kembali.

Memandangkan saya sudah cukup berehat,saya mengambil keputusan untuk ke cyber cafe untuk melayari internet sehingga awal pagi.Saya tidur sebentar sebelum bangkit awal pagi keesokan harinya.

Sabtu 20 Februari 2010

Selepas solat subuh,saya terus ‘terjun’ ke kolam renang untuk mandi pagi.Program hari ini hanya akan mula pukul 9 pagi .Selepas menonton berita pagi ,saya dan para peserta yang lain bersiap dan turun ke Kafeteria untuk sarapan pagi.

Program bermula sekitar 9 pagi dengan ucapan pendahuluan oleh wakil Pusat Advokasi Hukum dan Hak Asasi Manusia(PAHAM) selaku tuan rumah dan kemudiannya program dirasmikan oleh Al-Muzzamil yusuf,Ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Sejahtera(PKS).

Sebelum bermulanya majlis tersebut ,saya duduk bersebelahan dan bersembang dengan beliau.Saya menyangka beliau juga salah seorang peserta program rupa-rupanya beliau sebagai perasmi program dan juga ahli parlimen Indonesia.

Program diteruskan dengan ucapan wakil Citizen International,En.Mohideen Abdul Qadir dari Malaysia dan kemudiaanya semua peserta diminta ‘taaruf’ memperkenalkan diri.

Wakil dari Malaysia selain PKPIM ialah ABIM,Citizen International dan SHURA.

Kebanyakan peserta ialah ‘orang tua’ dan hanya saya dan beberapa orang sahabat dari KAMMI,SALAM UI dan PII yang ‘muda’.

Saya bertemu kembali dengan beberapa orang sahabat peserta program IYG yang lalu yang turut hadir ke program ini.Salah seorangnya ialah Faris dari KAMMI yang juga merupakan anak kepada salah seorang mantan pimpinan PKS yang turut hadir dan duduk bersebelahan saya dalam program ini.Keluarga mereka dikenali sebagai keluarga hafiz al-quran memandangkan hampir semua ahli keluarga mereka menghafal Al-Quran.

Beberapa orang dari SALAM UI ,penganjur bersama program IYG yang lalu turut saya temui.

Saya juga bertemu dengan Fareed dan Ali Rasyid ,sahabat dari Pelajar Islam Indonesia(PII).Selepas selesai program ini sebenarnya saya merancang untuk ke pejabat PII untuk kunjungan silaturahim.PKPIM dan PII sudah lama mempunyai jaringan yang kuat dan sering mengadakan program bersama sebelum ini.

Para peserta dibawa makan tengahari di kediaman Gabenor Depok dan ini merupakan kali kedua saya ke kediaman Gabenor Depok selepas berkunjung ke sini juga dalam program IYG yang lalu.

Selepas makan tengahari,semua peserta kembali ke tempat program di Wisma Makara dan program diteruskan dengan pembentangan laporan negara-negara peserta.

Pada sebelah malamnya pula para peserta dibawa makan malam di kediaman banglo besar seorang jutawan-ahli perniagaan yang kini mewakili Parti Keadilan Sejahtera, Kemal Stamboel(Ketua Komisi 1 DPR).Disini kami disajikan hidangan makanan traditional Indonesia.

Saya pulang ke bilik penginapan dengan kekenyangan yang amat sangat akibat ‘penangan’ makanan traditional Indonesia yang sangat enak.

Memandangkan agak sukar tidur dalam kekenyangan,saya sekali lagi ke cyber cafe untuk melayari internet sehingga awal pagi dan malam itu saya tidur nyenyak kekenyangan...zzzz

Ahad 21 Februari 2010

Program hari ini bermula dengan diskusi tentang laporan hak asasi manusia di negara-negara peserta.Pada tengahari pula diadakan sidang media bagi menjelaskan kepada para wartawan dan pemberita tentang agenda mesyuarat Universal Justice Network ini.

Saya sempat bertemu dengan seorang peserta dan bersembang dengan beliau dan selepas lama bersembang dengan beliau baru saya tahu beliau merupakan aktivis PKS dan juga merupakan penasihat khas Menteri Sosial Indonesia.

Program mesyuarat ini juga diteruskan dengan perbincangan isu hak asasi manusia di –negara –negara Eropah,UK,USA,Afrika,Lubnan,Sri Lanka,Turki,Nigeria dan lain-lain negara peserta.

Laporan lengkap bagi setiap negara turut diedarkan kepada semua peserta.

Selepas merangka beberapa agenda gerak kerja susulan program ini,program tamat dan ditutup dengan bacaan doa.

Para peserta kemudiannya bergambar kenang-kenangan dan bersalaman antara satu sama lain.

Selepas makan malam,aktiviti bebas buat para peserta.’Check out’ dari Wisma Makara dibenarkan mulai esok tengahari .Esok ,akan ada peserta yang mengikuti lawatan ke Bandung dan ada juga yang akan pulang ke negara masing-masing.

Saya mengambil keputusan untuk tidak ke Bandung memandangkan ingin menziarahi kawan-kawan dan berjalan-jalan sekitar Jakarta lagipun dalam program IYG yang lalu saya sudah menziarahi bandung tetapi belum berkesempatan berjalan-jalan sekitar kota Jakarta.

Sebelum tidur ,saya sekali lagi ke cyber cafe untuk mendapatkan maklumat sekitar kota Jakarta dan juga menghubungi teman-teman Pelajar Islam Indonesia yang akan saya kunjungi pejabat mereka esok hari.

Isnin 22 Februari 2010

Saya bersarapan pagi hari ini dengan sebilangan besar peserta Universal Justice Network yang masih belum pulang ke negara masing-masing.Kebanyakan peserta akan menziarahi Bandung pagi ini jadi saya bersalam-salaman dengan mereka dan juga dengan para urusetia yang banyak membantu sepanjang program ini.

Saya membeli simcard Indonesia untuk memudahkan urusan perhubungan saya dengan teman-teman di Indonesia ini.

Pagi ini,seorang teman saya dari SALAM UI akan menemani saya ke Masjid UI untuk sesi pertemuan dengan pimpinan SALAM UI yang baru.Saya mengenali sebilangan pimpinan lama SALAM UI sewaktu mereke menjadi penganjur bersama program IYG yang lalu.

Di Perpustakaan Masjid UI,saya bertemu Ketua SALAM UI yang baru,Agung dan mendengar beberapa taklimat perancangan program SALAM UI sambil bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.

Selepas pertemuan bersama pimpinan SALAM UI,saya menaiki bas yang disediakan untuk mahasiswa UI untuk kembali ke Wisma Makara.

Pihak penganjur menyediakan makan tengahari buat saya dan selepas makan tengahari,mandi dan mengemas barang,saya pun ‘check out’ dari Wisma Makara dan menaiki bas menuju ke stesyen keretapi dekat UI.

Saya sengaja berdikari lagak penggembara menuju ke kota Jakarta. Kota Jakarta agak luas dengan kawasannya yang berbeza seperti Jakarta Selatan,Jakarta Timur,Jakarta Barat dan Jakarta Pusat.Oleh kerana Jakarta Selatan yang paling hampir dengan UI Depok,jadi saya memilih untuk kembara ke Pasar Minggu di Jakarta Selatan.Agak sukar menaiki keretapi ekonomi di sini memandangkan tiada makluman tentang apa stesyen seterusnya selepas ini.Jadi saya mengharapkan bantuan orang ramai yang turut menaiki keretapi ini.Sambil mengunggu keretapi saya sempat berkenalan dengan seorang pemuda dan sempat juga mencatat ‘facebook’ nya untuk komunikasi suatu masa nanti.Mujur ada insan baik yang membantu memberikan maklumat kepada saya .Malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang.

Saya hanya sebentar sahaja di Pasar Minggu dan kemudiannya saya meneruskan perjalanan menaiki keretapi menuju ke Jakarta Pusat.Pada mulanya saya ingin berkunjung ke Jakarta Timur(Jaringan Islam Liberal..),tetapi saya dimaklumkan oleh kerani di kaunter keretapi,Jakarta Timur jauh sedikit dan tiada tren ke sana.

Saya turun di stesyen Chikini dan singgah di cyber cafe sebelum berjalan kaki menuju ke Freedom Institute.Saya mengetahui tentang Freedom Institute melalui laman webnya dan juga mempunyai teman fb yang bekerja di sana.Setibanya saya di sana,saya dimaklumkan bahawa teman fb saya itu sudah pulang ke rumah jadi saya hanya sempat mengambil profil Freedom Institute ini dan singgah sebentar membaca buku di perpustakaannya.

Di perpustakaan ini ,banyak terdapat buku-buku tentang falsafah barat,idea-idea kebebasan dan buku aliran pemikiran yang pelbagai.

Dari Freedom Institute saya berjalan kaki kembali ke stesyen Chikini untuk menaiki tren ke Dondang Dia.Sahabat saya dari PII memberitahu saya stesyen PII yang paling dekat dengan pejabat PII.Saya mencari sendiri pejabat PII dari stesyen Dondang Dia walaupun sahabat saya telah menghantar sms kepada saya memberitahu dia akan mengambil saya di stesyen Dondang Dia.Saya membalas mesejnya dengan mengatakan saya sudah sampai pun di pejabat PII.

Pejabat PII ini seakan kompleks yang lengkap dengan asrama,masjid,tadika,gerai makanan dan juga dikongsi bersama persatuan-persatuan Islam yang lain.

Setibanya di pejabat PII,Presiden PII,Nasrullah dan pimpinan PII yang lain menyambut saya seakan-akan saya tetamu terhormat.Di pejabat PII ini juga saya bertemu dengan sahabat-sahabat yang sudah lama saya tidak berjumpa ,sahabat yang sama-sama program dalam Temu Pemuda Serantau di Kaliurang,Yogyakarta tahun 2007 yang lalu.

Kami bersembang sambil makan makanan rasmi Sunda yang cukup sedap.Saya sudah kenyang dengan makanan Sunda itu tetapi selepas itu Nasrullah,Fareed dan Ali Rasyid membawa saya makan malam di sebuah restoran dekat Taman Ismail Marzuki,yang cukup terkenal dengan tempat keseniannya di Indonesia.

Saya hanya menjamah makanan ringan seperti ubi kentang dan minum jus buah .

Selepas makan di Taman Ismail Marzuki,sahabat PII membawa saya pula ke dataran di Kota Tua.Di sini kami duduk melepak.bersembang-sembang sambil minum kopi panas dan makan kacang.

Dataran ini menjadi tempat anak muda melepak di malam hari,menghisap rokok dan menyanyi beramai-ramai berkumpulan

Saya tidur di asrama PII malam ini dengan cukup nyenyak keletihan berjalan dan kekenyangan makanan-minuman.

Selasa 23 Februari 2010

Saya solat subuh berjemaah di masjid dalam kompleks PII selepas dikejutkan dari tidur yang nyenyak oleh pegawai di kompleks PII ini.Menjadi budaya di sini untuk mengejutkan dari bilik ke bilik bagi mengajak orang solat subuh berjemaah.

Selepas menonton berita pagi,Fareed membawa saya berjalan-jalan sekitar dataran Monas dan sarapan pagi di sana.Di dataran Monas ini ramai yang bersenam pagi dan joghing dan juga menjadi tempat latihan para tentera.

Di dataran Monas ini kemudiannya Ali Rasyid turut bersama saya dan Fareed dan kami kemudiaanya berjalan kaki dari Monas menuju ke Masjid Istiqlal,salah satu masjid yang terbesar di Asia .

Sudah lama saya mendengar cerita tentang aktifnya masjid ini disamping besar keluasannya dan juga senibinanya yang cantik.Masjid ini sungguh meriah terutamanya pada bulan Ramadhan dan Syawal.

Berdekatan dengan pintu masuk Masjid Istiqlal ini juga terdiri satu gereja besar betul-betul mengadap pintu masuk Masjid Istiqlal ini.

Dari Masjid Istiqlal kami kembali ke pejabat PII menaiki ‘bajau’,teksi unik di Jakarta ini.

Saya bertemu dengan teman-teman lama seperti Zaid Makarma(mantan Ketua Umum PII) dan Ihsan yang pernah berkunjung ke Malaysia, dan juga sahabat Temu Pemuda Serantau,Salman Al-Farisi .

Selepas berehat beberapa seketika,Fareed dan Ali Rasyid membawa saya ke universiti tempat pengajian mereka,Universitas Paramadina,salah satu tinggalan gagasan Allahyarham Nurcolish Madjid@Cak Nur,tokoh pemikir Indonesia.

Saya dibawa bertemu dengan Fuad,seorang staf di Universitas Paramadina ini yang juga pernah belajar di ISTAC,IIUM.Banyak perkongsian pengalaman hidup yang dikongsikan Fuad kepada saya,Fareed dan Ali Rasyid.

Fareed juga telah mengatur secara mengejut pertemuan saya dengan mahasiswa Universitas Paramadina dari Dewan Keluarga Masjid.

Pada mulanya saya menyangka hanya akan bertemu dengan seorang dua sahaja rupa-rupanya saya perlu bertemu dan berdialog dengan lebih kurang 15-20 mahasiswa Universitas Paramadina ini.

Banyak persoalan ‘panas’yang mereka tanyakan kepada saya seperti adakah orang Malaysia tak suka Indonesia?,isu manohara,isu pembantu rumah,pembelajaran di universiti Malaysia,etnik di Malaysia,bagaimana mahasiswa Malaysia respon isu kemanusiaan,kekerasan terhadap tenaga kerja Indonesia, masalah kebudayaan,pengakuan hak milik tarian pandet,lagu rasa sayang,biasiswa Petronas, dan pertanyaaan sekitar hubungan Malaysia dan Indonesia.

Dari Universitas Paramadina,saya bersama-sama Fuad,Fareed dan Ali Rasyid menaiki kereta Fuad menuju ke Blok M.Saya mendapat tahu tentang Blok M ini daripada teman FB saya yang mengatakan di Blok M ini saya boleh membeli lukisan-lukisan menarik.

Fareed telah menghadiahkan saya beberapa buah buku ‘nakal’ pemikiran Islam terbitan PARAMADINA sebelum kami berpisah.

Dari Universitas Paramadina,saya dan Ali Rasyid menaiki teksi untuk kembali ke pejabat PII.Saya berkemas barang seberapa segera memandangkan tidak mempunyai masa lagi untuk mengejar bas ke lapangan terbang.Penerbangan saya pada pukul 7 malam tetapi perlu berada awal di lapangan terbang memandangkan jalan raya sekitar Jakarta ini sering kali ‘macet’ teruk.

Selepas bersalam-salaman dengan sahabat PII,saya dan Ali Rasyid menaiki ‘bajau’ dan kemudiannya bas terus ke lapangan terbang Sukarno-Hatta.

Di sini juga saya bertemu kembali dengan seorang sahabat dari Hizbullah,Lubnan(peserta Universal Justice Network) yang akan menaiki penerbangan pulang ke Lubnan.

Saya sempat membeli beberapa makanan di lapangan terbang sebagai buah tangan.Tepat pukul 7 malam,kapal terbang Air Asia yang saya naiki bertolak meninggalkan Indonesia dan tiba di LCCT sekitar jam 9 malam.

Perjalanan ke Depok dan Jakarta ini walaupun sebentar cukup meninggalkan kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.Saya berharap dapat kembali ke sini lagi sekali lagi untuk memperkasakan jaringan ukhwah persahabatan negara serumpun.

Jumlah pengunjung

web statistics