Hari ini seperti biasa selepas bersukan di taman tasik Kucukcermece dan sarapan pagi,program Devan diteruskan lagi dan hari ini merupakan hari terakhir Devan Educational Forum.Setiap peserta diberi borang kaji selidik dan respon bagi setiap slot program sepanjang berlangsungnya acara ini.Kami diberi masa untuk menyiapkan borang kaji selidik dan respon tersebut pada pagi ini.
Selepas selesai mengisi borang kaji selidik dan respon peserta tersebut,kami dibawa menaiki bas menuju ke Sulaymaniye Camii untuk menunaikan solat Jumaat disini.Saya telah berjanji dengan seorang sahabat dari Turki,Mehmet Faruq yang turut sama-sama menyertai IYG 5 di Maghribi dahulu untuk berjumpa sewaktu solat Jumaat di masjid ini.
Setibanya kami di Sulaymaniye Camiidan ketika mahu menuju ke tempat wudhu’,saya berjumpa dengan Mehmet Faruq yang sedang menanti disitu.Kami berasa gembira kembali bertemu dan kali ini di Turki pula setelah sekian lama berkomunikasi melalui Facebook sesudah tamat program IYG 5 di Maghribi dahulu.
Khutbah khatib solat Jumaat ini seperti biasa dalam Bahasa Turki dan saya cuba mendengar sebaik mungkin bagi mendapatkan perkataan-perkataan baru dalam Bahasa Turki.Mungkin mendengar khutbah solat Jumaat dalam Bahasa Turki ini boleh menjadi sebahagian slot kursus Bahasa Turki saya secara tidak rasmi.
Solat Jumaat di Sulaymaniye Camii ini dihadiri oelh ribuan jemaah dan cukup meriah melihat suasana sesudah selesai solat Jumaat ini.Selepas selesai solat Jumaat disini,kami berjalan kaki beramai-ramai menuju ke bas yang membawa kami dan kami sempat melintas di kawasan persekitaran Universiti Istanbul yang terletak tidak jauh daripada Sulaymaniye Camii ini.
Bas membawa kami pulang ke Hayret Vekfi dan selepas makan tengahari,program Devan diteruskan lagi dengan pembentangan tentang Al-Quran ‘Tewafuq’ oleh Jamal,wakil dari Hayret Vekfi.Al-Quran ‘Tewafuq’ ini ialah mushaf Al-Quran yang didalamnya kita boleh melihat penulisan setiap kalimah Allah dalam ayat-ayat Al-Quran tersusun rapi dalam satu garisan lurus.Badiuzaman Said Nursi menjumpai apa yang dikatakan sebagai satu ‘mukjizat’ penulisan Al-Quran ini dan anak muridnya,Husrev Effendi yang juga merupakan pengasas Hayret Vekfi giat menyebarkannya melalui tulisan tangan dan kemudiannya melalui percetakan dan penerbitan Al-Quran untuk edaran ke seluruh dunia secara percuma.
Selepas pembentangan berkenaan Al-Quran Tewafuq ini,program diteruskan lagi dengan sambungan pembentangan wakil-wakil negara sebelum diadakan majlis penutup Devan Educational Forum secara santai.Majlis penutup dimulakan dengan bacaan deklarasi Devan educational Forum dan kemudiannya SU UNIW,Ali Kurt dan wakil Koordinator UNIW,Cihangir Isbilir merumus tentang beberapa idea pemikiran Badiuzaman Said Nursi khususnya berkenaan perpaduan,melawan materialisme,memperkasa iman dan menyebar mesej Al-Quran.Mereka juga menekankan persoalan kombinasi antara aqal dan hati,persaudaraan, rasa cinta antara satu sama lain,dan berkerjasama.Mereka mengungkapkan dengan yakin bahawa masa depan ini ditangan anak-anak muda dan menyeru para peserta supaya mengikut jejak tokoh-tokoh seperti Imam Al-Ghazali,Imam Rabbani,Imam Zamaksyari,Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dan ramai lagi.
Setiap peserta kemudiaannya diberi sijil penyertaan dan beberapa hadiah seperti pendrive yang didalamnya terdapat gambar-gambar dan artikel-slide pembentangan sepanjang program ini,Al-Quran ‘Tewafuq’ dan juga buku Badiuzaman Said Nursi.
Selepas tamat majlis penutup,seorang wakil Hayret Vekfi telah mengadakan sesi rakaman temubual bersama para peserta bagi merumuskan tentang faedah yang setiap peserta dapat sepanjang mengikuti Devan Educational Forum selama satu minggu ini.Tanpa disedari sudah seminggu saya mengikuti program yang banyak mendedahkan tentang pemikiran Badiuzaman Said Nursi ini.
Walaupun pengisian program ini sedikit berat terutamanya berkenaan pemikiran,tetapi yang uniknya ia dijalankan secara santai misalnya setiap pembentangan hanya akan berlangsung selama 15 minit(kecuali sesi video conference-skype) dan kemudiaanya semua peserta akan diberi waktu rehat sebelum sesi berlangsung semula.Ia ditambah pula dengan sesi lawatan dan jaringan santai setiap hari disamping aktiviti mempelajari pelbagai bahasa antara sesama peserta dari pelbagai negara.
Saya dapat melihat bagaimana kesungguhan peserta dari Russia dan Macedonia mahu mempelajari Bahasa Melayu yang diajar oleh peserta-peserta Malaysia,peserta Russia yang fasih berbahasa Arab dan Bahasa Turki,peserta Palestin yang fasih berbahasa Melayu(pernah menuntut di UIAM), dan juga satu kelebihan kepada kami peserta Malaysia kerana berpeluang untuk mempelajari asas pelbagai bahasa seperti Bahasa Turki,Bahasa Russia,Bahasa Macedonia,Bahasa Arab dan sebagainya.
Malam ini kami bersiap mengemas barang-barang memandangkan awal keesokan paginya kami akan meninggalkan Hayret Vekfi dan meneruskan perjalanan bersama semua peserta Devan Educational Forum dalam sesi lawatan ke sebuah lagi negeri yang terletak hampir 10 jam menaiki bas dari Istanbul iaitu Isparta.
No comments:
Post a Comment