Monday, October 10, 2011

7 Julai 2011

Forum Devan pagi ini diteruskan lagi dengan pembentangan seorang lagi wakil Hayret Vekfi,Abdul Malik Yahya yang mengupas tentang beberapa aspek dialog antara agama dan dialog ketamadunan.Beliau membicarakan latar belakang pemikiran dan konsep-konsep penting dalam agama Kristian dan kami juga diberi beberapa minit untuk melihat tayangan video berkenaan Richard Burnish yang aktif menyampaikan mesej Kristian secara online.



Dalam video itu memaparkan soal jawab antara Richard Burnish dan seorang pemanggil yang tidak dikenali dan berlaku perdebatan antara kedua mereka .Kami diminta untuk menganalisis hujah perdebatan mereka tersebut.Secara umumnya Abdul Malik menekankan betapa pentingnya mencari kebenaran dan mengemukakan hujah-hujah yang rational disamping berani bersekemuka dan berdialog dengan penganut agama-agama lain secara berhikmah dan ini boleh dilakukan melalui penganjuran dialog antara agama dan ketamadunan.



Pembentang seterusnya ialah sahabat saya,Faiz Ali yang membicarakan topik berkenaan Nationalisme.Beliau mengupas perbezaan antara nationalisme dan patriotism dan menekankan bagaimana Islam menolak pemikiran nationalisme sempit yang berasaskan satu kaum-puak semata-mata.Faiz membawa contoh bagaimana Rasulullah menyatukan antara kaum Aus dan Khazraj dan mesej Al-Quran berkenaan persaudaraan yang cukup bersifat universal dan merangkumi kesemua manusia.Faiz juga menceritakan sejarah tokoh-tokoh nationalisme dahulu dan strategi mereka seperti mencipta ‘role model’ untuk ikutan rakyat,dana kewangan yang kukuh,propaganda media dan platform-platform lain bagi menyebarkan pemikiran nationalisme ini.Persoalan Nationalisme ini pernah dikupas oleh Badiuzaman Said Nursi yang juga terpaksa menghadapi tentangan kelompok yang berfahaman nationalisme ini pada zamannya.



Forum Devan diteruskan lagi dengan pembentangan oleh wakil UNIW,Cihangir Isbilir berkenaan perpaduan.Beliau menceritakan sejarah penubuhan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak UNIW.Penubuhan UNIW ini telah menyatupadukan NGO-NGO Islam di seluruh dunia dan mendapat sokongan penuh pimpinan kerajaan Turki sekarang.Walaupun baru ditubuhkan namun UNIW telah menjalankan pelbagai aktiviti kemanusiaan merentasi batas sempadan geografi dan UNIW jugalah yang menjadi penganjur utama program International Youth Gathering yang saya pernah ikuti di Indonesia dan Maghribi dan akan mengikutinya lagi di Istanbul ini sebaik sahaja tamat program Devan Educational Forum ini nanti.Cihangir menekankan betapa pentingnya perpaduan yang sangat dianjurkan oleh Al-Quran dan bagaimana dengan bersatu-padu,kita mampu menyelesaikan pelbagai masalah dunia keseluruhannya.



Program diteruskan lagi selepas itu melalui video conference-skype bersama Mazhar Husaini dari USA dan beliau mengupas berkenaan makanan halal.Beliau menekankan kepentingan menjaga kesihatan melalui penjagaan permakanan dengan memilih makanan yang terbukti halal dan baik serta mengelak daripada memakan makanan yang haram dan tidak baik untuk kesihatan.Beliau mengambil contoh bagaimana Coca-Cola yang sering diminum oleh ramai orang padahal rakyat di negara yang mengeluarkan Coca-Cola sendiri menolaknya dan tidak meminum Coca-Cola kerana mengetahui betapa bahayanya ia untuk kesihatan tubuh manusia.



Pada petang harinya,para peserta mewakili negara masing-masing diberi kesempatan untuk membuat persediaan dan berdiskusi sesama sendiri sebagai persiapan untuk pembentangan negara tentang penyelesaian kepada masalah sosial.Dengan menyediakan slide,video dan sebagainya,sesi pembentangan oleh wakil bagi setiap negara peserta berlangsung mengikut giliran yang ditetapkan.



Secara umumnya,para wakil setiap negara membentangkan situasi sosial dan isu semasa yang berlaku di negara masing-masing dan memberikan lontaran cadangan cara bagaimana mahu mengatasi permasalahan-permasalahan tersebut.Lontaran cadangan ini boleh dimanfaatkan oleh perwakilan negara lain sebagai rujukan ketika merangka agenda mengatasi pelbagai masalah sosial yang berlaku di negara masing-masing.

No comments:

Post a Comment