Saturday, August 20, 2011

3 Julai 2011

Pagi ini dihadapan perkarangan asrama Hizmet di Sariyer,terdapat deretan pasar ala pasar malam di Malaysia yang menjual pelbagai barangan kering dan basah.Saya sempat melihat suasana pasar di Sariyer ini dengan berjalan kaki seorang diri ditengah-tengah penduduk Turki ini dan antara yang menariknya di pasar ini dijual pelbagai buah-buahan khususnya buah tembikai yang cukup besar berkali ganda berbanding tembikai di Malaysia dengan harga yang sangat murah.Seorang peniaga di pasar ini menegur saya dalam Bahasa Turki dan mengajak saya minum ‘cay’ bersama-samanya.

Genghis Khan dari Kazakhtan ,Aziz dan Bayram dari Uzbekistan yang turut bersama-sama rombongan kami sepanjang kembara kami ini telah pulang ke negara masing-masing.Dan kami pula pagi ini meneruskan perjalanan dengan menaiki bas dan kemudiannya berjalan kaki ramai-ramai ke Taksim Square.Taksim Square ini satu dataran yang cukup luas ala Dataran Merdeka dan merupakan tempat yang sangat popular dikalangan pelancong untuk membeli belah dan berhibur di pusat-pusat hiburan disini.Beberapa tahun yang lalu pernah berlaku insiden bom di Taksim Square ini.

Kami berjalan kaki sahaja sepanjang Taksim Square ini dan sempat singgah masuk ke dalam sebuah gereja lama disini.Dengan tekak yang dahaga dibawah cuaca panas terik,tanpa disangka-sangka kami melihat beberapa orang wanita sedang mengedarkan aiskrim percuma.Patutlah kami sebelum itu melihat orang ramai yang berjalan kaki di sekitar Taksim Square ini majoritinya sambil memakan aiskrim.Kami juga bersama pengunjung yang lain mendapatkan beberapa aiskrim percuma tersebut .

Kemudian kami berjalan kaki lagi menuju ke sebuah kedai buku dan cd dan disini saya berpakat dengan sahabat-sahabat lain untuk membeli cd filem tentang Mavi Marmara,Kurtlar Vadisi Filistin.Sudah lama saya ingin mendapatkan filem menarik ini yang berjaya dibikin hanya beberapa bulan selepas tragedy Mavi Marmara dahulu.Saya pernah menonton trailer filem ini di Youtube dan cukup tertarik dengan file mini dan saya pernah meminta sahabat-sahabat saya yang berada di Turki untuk mendapatkannya dan menghantarnya melalui pos ke Malaysia.Cuma sebelum ini filem Kurtlar Vadisi Filistin ini hanya terdapat dalam Bahasa Turki dan sekarang akhirnya saya sudah mendapatkan cd filem ini yang turut ada versi terjemahan Bahasa Inggerisnya.

Selepas selesai membeli di ke kedai buku-cd dan kedai-kedai lain,kami singgah makan tengahari di restoran berdekatan Galata Tower.Seperti biasa kebab dan beberapa makanan Turki yang lain serta meminum Ayran,susu masam Turki menjadi pilihan kami sewaktu makan tengahari.

Kami kemudiannya menaiki teksi pula ramai-ramai dan sebahagian daripada kami terus pulang ke asrama manakala sebahagian yang lain singgah ke Carrefour tidak jauh daripada asrama Hizmet di Sariyer.Sahabat-sahabat yang lain membeli belah beberapa barangan di sini manakala saya memilih untuk ‘online’ internet melalui Samsung Galaxy .Mujur ada perkhidmatan ‘wifi’ didalam Carrefour ini walaupun ia pantas di beberapa kawasan tertentu sahaja.

Selepas pulang ke asrama Hizmet bersama sahabat-sahabat yang lain,saya kembali semula berjalan kaki ke Carefour ini semata-mata untuk ‘online’ internet.Dalam perjalanan pulang dari Carefour ke asrama Hizmet saya terserempak dengan budak-budak Turki yang baru selesai bermain bola keranjang dan saya bersembang beberapa seketika dengan mereka walaupun mereka hanya berbicara dalam Bahasa Turki dan saya pula cuba berbahasa Turki setakat mana yang saya tahu dan banyak menggunakan bahasa isyarat.

Saya sempat bertanya kepada mereka soalan lazim yang selalu saya tanya kepada rakyat Turki yang saya temui, kelab bolasepak Turki yang mana yang mereka sokong samada Galatasaray,Fenerbahce,Besiktas atau kelab-kelab lain.Yang penting mereka tidak pernah menyukai kelab-kelab Liga Inggeris seperti Manchester United,Liverpool,Chelsea,Arsenal dan lain-lain lagi.:).

Pada hujung petang harinya,saya dan beberapa orang sahabat yang lain singgah kembali ke ‘pasar malam’ berhadapan asrama Hizmet dan kami sepakat membeli ‘buah tembikai gergasi’ untuk dimakan beramai-ramai apatah lagi bagi menyambut ulangtahun harijadi seorang sahabat serombongan kami,Saiful Ridzuan.

Pada malam harinya,kami berkumpul di bilik kecil yang sebenarnya menjadi tempat menggosok baju dan tempat mesin basuh pakaian serta peti ais dan disitu kami menyediakanjuadah beberapa hidangan makanan ringan dan minuman seperti kacang dan jus serta buah tembikai gergasi tersebut untuk sambutan ulang tahun harijadi sahabat .Kami cuba mencari pisau yang sesuai untuk membelah tembikai gergasi tersebut namun tidak menjumpainya lantas kami turun ke kantin asrama dan mendapatkan beberapa sudu dan garfu dan kami berjaya membelah tembikai gergasi tersebut menggunakan sudu dan garfu tersebut.Betapa sedapnya tembikai gergasi ini dengan isinya yang merah pekat ,manis dan sangat lazat.

Sambil menjamu selera,kami berbincang pelbagai perkara khususnya berkenaan tentang gerak kerja NGO Turki yang mengikut jalur pemikiran tokoh seperti Badiuzaman Said Nursi dan Fethullah Gulen dan perbincangan kami berlanjutan sehingga jam 2 pagi padahal kami perlu bangkit awal keesokan harinya iaitu sekitar jam 4-4.30 pagi untuk solat subuh.

1 comment:

  1. bestkan jika dapat melihat dunia org dan mgkaji sejarah manusia...hargailah kesmpatan,kerana tak semua org punyai kesempatan yg kita ada..salam perjuangan juga untuk kamu...

    ReplyDelete