PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan
Saturday, August 20, 2011
2 Julai 2011
Pagi ini selepas bersarapan pagi kami akan mengunjungi ke pejabat akhbar Todayzaman,suratkhabar milik geng Hizmet Gulen yang punya pengaruh tersendiri di Turki.Saya sebelum ini sering mengikuti perekembangan semasa Turki melalui akhbar online Todayzaman.Penguasaan media sangat ditekankan oleh geng Hizmet Gulen ini sebab itu tidak pelik mereka memiliki stesten tv,radio ,suratkhabar tersendiri disamping aktif dengan pelbagai percetakan buku,majalah dan sebagainya.
Dalam van sewaktu perjalanan dari asrama Hizmet di Sariyer ke pejabat Todayzaman,kami mengadakan ‘debat' santai sesama kami dalam membincangkan beberapa topik .Pada mulanya saya menimbulkan beberapa persoalan dalam buku yang saya baca dalam perjalanan iaitu ‘Moderation and Balance in Islam:The Quranic Principle of Wasatiyyah’ tulisan Prof Mohammad Hashim Kamali sebelum berubah kepada topik perbincangan debat iaitu ‘Jika anda menjadi Perdana Menteri,apakah antara perkara pertama yang akan anda lakukan?’.
Saya sengaja menimbulkan topik ini sekadar perbincangan percambahan idea dan pemikiran merujuk kepada apa yang telah Perdana Menteri Turki,Recep Tayyip Erdogan lakukan tatkala beliau diamanahkan sebagai Perdana Menteri Turki.Jadi dikalangan kami sewaktu sesi debat tersebut ada yang mengatakan akan memperkasakan sistem pendidikan terlebih dahulu,ada yang mahu menguatkan ekonomi terlebih dahulu dan ada yang mahu memastikan pemimpin dalam kabinet terdiri daripada mereka yang adil dan berwibawa serta memastikan persekitaran sosial selari dengan tuntutan agama terlebih dahulu.
Dalam debat santai itu saya bertindak sebagai moderator dengan pelbagai soalan-soalan provokasi untuk dijawab oleh sahabat-sahabat yang berpegang dengan hujah masing-masing.Apapun hujah yang diberikan bagi saya debat santai ini berjaya meluaskan pemikiran dan menambah pengetahuan serta menimbulkan rasa ingin tahu dan mencari jawapan kepada pelbagai persoalan.
Kami tiba di pejabat Todayzaman yang bangunannya cukup besar dan dibawa oleh wakil Todayzaman melihat sendiri gerak kerja akhbar Todayzaman ini.Akhbar Todayzaman ini memiliki dua versi bahasa iaitu Bahasa Turki dan Bahasa Inggeris dan wakil akhbar Todayzaman ini mempelawa kami menghantar tulisan masing-masing ke Todayzaman dan boleh bertindak selaku korespondan Todayzaman di Malaysia bagi menyalurkan berita isu-isu semasa di Malaysia kepada akhbar Todayzaman di Turki.
Selepas selesai lawatan di pejabat Todayzaman,kami dibawa ke tengah-tengah bandar Istanbul yang cukup sibuk dan padat dengan ramai orang untuk menaiki kapal bagi mengelilingi Selat Bosphorus.Dengan bayaran 10 Lira(dalam RM 20),kami dibawa mengelilingi Selat Bosphorus hampir 2 jam perjalanan yang sangat menarik dengan pemandangan Selat Bosphorus yang cukup indah,melalui kapal-kapal ‘cruise’ mewah,burung-burung yang terbang rendah mengikuti kapal kami sepanjang perjalanan,melalui bawah jambatan yang memisahkan antara Istanbul Asia dan Eropah serta melihat pemandangan sekeliling Istanbul dengan pelbagai menara masjid disana sini dan bangunan-bangunan yang sangat unik senibinanya.Dengan angin yang meniup kencang memasuki kapal,kami merakamkan detik-detik indah atas kapal yang merentasi Selat Bosphorus hampir 2 jam ini.’Bosphorus Tour’ ini wajib bagi mereka yang ingin melihat betapa indahnya Istanbul.
Kami singgah untuk makan kebab ikan di ‘restoran ‘ tepi Selat Bosphorus.Apa yang uniknya ialah kebab ikan ini dibakar dan dipanaskan dalam kapal kecil yang bergoyang-goyang laju yang bertindak seakan sebuah restoran di tepi Selat Bosphorus.Cuaca panas terik membuatkan kami begitu dahaga dan ketika beberapa orang dikalangan kami mahu memesan air tin Santa atau Cola,Mehmet Abi terlebih dahulu telah memesan satu jenis air yang melihat warna merahnya saya menyangka air itu manis seperti sirap bandung.Rupa-rupanya itu ialah ‘jus jeruk’ yang sangat masam ditambah pula didalamnya ada seperti kobis lantas kami memang tidak mampu untuk meminumnya.Melihat pengunjung yang begitu ramai duduk di kerusi kecil bersebelahan kami,mereka minum ‘jus jeruk’ itu seperti meminum satu jus buah-buahan sejuk yang sangat sedap.
Dari tepi ‘restoran’ kapal bergoyang-goyang laju itu,kami berjalan kaki bergerak menuju ke kedai buku Kaynak milik geng Hizmet.Kami singgah solat di tingkat atas kedai buku ini sebelum turun melihat pelbagai buku yang dijual disini.Kedai buku ini menjual pelbagai buku dalam Bahasa Turki,Bahasa Inggeris dan terdapat buku-buku Fethullah Gulen dalam terjemahan pelbagai bahasa dunia.Kami diberi hadiah buku jurnal percuma iaitu ‘’The Muslim World:A journal devoted to the study of Islam and Christian-Muslim relations ;Special Issue:Islam in Contemporary Turkey:the Contributions of Fethullah Gulen’’.Dalam jurnal ini juga termuat artikel tulisan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar.
Sesudah selesai pelbagai lawatan hari ini,kami berangkat pulang semula ke asrama Hizmet di Sariyer.Selepas berehat sebentar,saya dan beberapa orang sahabat yang lain beriadah bermain pingpong ,bola keranjang dan bolasepak.Kali ini kami bermain bolasepak dengan beberapa orang pelajar Turki yang menginap di asrama Hizmet ini.Mereka yang bertutur dalam Bahasa Turki dan boleh berbahasa Inggeris sedikit mempelawa kami mengadakan perlawanan persahabatan bolasepak antara delegasi Malaysia dan pelajar Turki di asrama Hizmet ini.Kami segera bersetuju dengan pelawaan tersebut.Majoriti kami berpakat memakai pakaian kuning pada perlawanan persahabatan malam nanti.Sebenarnya sewaktu mesyuarat persediaan ke Turki sebelum ini kami telah merancang untuk setiap orang membeli jersi ‘Harimau Malaya’ untuk seragam sewaktu ke Turki nanti.
Pada malam harinya,kami turun awal ke gelanggang futsal untuk berlatih sebelum perlawanan persahabatan dengan sahabat-sahabat Turki.Mujur lampu di gelanggang futsal asrama Hizmet ini berfungsi dengan baik walaupun pada mulanya perlawanan persahabatan ini hampir-hampir dibatalkan disebabkan masalah lampu gelanggang futsal yang tidak berfungsi.
Perlawanan futsal persahabatan Malaysia vs Turki ini berjalan lancar hampir 2 jam dan kami tentunya berasa bangga mewakili ‘Harimau Malaya’ mengaum di Turki...
No comments:
Post a Comment