Thursday, April 14, 2011

Realiti tv 'Adik-Adiku'

Saya sempat menghadiri peringkat akhir(Final) realiti tv terbitan JAKIM,Adik-Adiku semalam di Pusat Konvensyen Putrajaya.

Dewan agak penuh dan mendapat sambutan luar biasa daripada para hadirin yang seakan-akan meraikan hari keluarga dengan membawa ibubapa dan anak-anak mereka.

Kepetahan berbicara dan berpidato penuh pengghayatan adik-adik kecil yang baru berusia bawah 12 tahun ditambah pula dengan kemahiran yang dikuasai mereka seperti taranum-tilawah Al-Quran,menyanyi lagu,melaungkan azan,bermain alat muzik, menjawab soalan yang dikemukakan pihak juri dan bermain kata-kata penuh satira lucu dan 'berbau' sastera membuktikan keupayaan anak muda untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada ummat.

Benar sekali pepatah Melayu 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya"..

Inilah persiapan yang kita perlu lakukan dalam membentuk dan mencetak kader-kader anak muda yang mampu menggerakkan perubahan ke arah kebaikan.Dan janganlah sesekali kita membiarkan anak muda terus hanyut tanpa pedoman dan arah tujuan serta tidak mengetahui hakikat kewujudan mereka di atas muka bumi ini.

Proses pembinaan anak muda ini juga perlu disusuli dengan proses meruntuhkan dan menghancurkan segala sesuatu yang mampu menghancurkan masa hadapan anak muda.Kita tidak mahu dalam kesibukan kita membina dan membangun anak muda,pada masa yang sama wujud pihak yang tetap aktif dan ghairah membunuh dan menghancurkan potensi anak muda.

Dan usah kita bersifat syok sendiri dan merasakan kita sudah cukup melakukan sesuatu yang mampu mendidik anak muda padahal misi pembodohan anak muda secara sistematik tetap berlangsung tanpa ada pihak yang mampu dan berani menghalangnya.

Perancangan jangka panjang dan strategi membina kekuatan anak muda dalam segenap sudut perlu dirangka dengan lebih kemas dan tersusun agar ia mampu menewaskan segala usaha mereka yang mahu anak muda ketinggalan zaman dan terus diperbodohkan .

Kita tetap optimis dengan segala usaha pembinaan dan persiapan anak muda semenjak awal usia mereka mampu menghasilkan satu generasi yang berkualiti pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment