Thursday, April 14, 2011

masalah perumahan flat?

Suatu hari saya singgah sebentar di sebuah kawasan perumahan flat di satu kawasan.Saya sengaja menaiki tangga menuju ke tingkat paling atas di perumahan tersebut untuk melihat pemandagan sekeliling kawasan tersebut dari tingkat paling atas.

Sepanjang melalui tangga-tangga tersebut,saya sentiasa menutup hidung dan juga mulut saya memandangkan bau yang sangat busuk sepanjang laluan tersebut.Kotor.Jijik.Najis.Hanya itu gambarannya.

Bau hancing boleh dihidu sepanjang penjuru tangga.Najis haiwan,sampah sarap,air ludah dan pelbagai kotoran lagi dapat dilihat sepanjang jalan melalui tangga-tangga tersebut.Dalam hati saya berkata tergamak penduduk di sini tinggal di tempat yang dibiarkan kotor ini?Bagaimana dengan kesihatan mereka nanti?Tidak adakah inisiatif penduduk untuk mengatasi permasalahan yang menimpa kawasan tempat tinggal mereka ini?

Sewaktu ingin turun dari tingkat atas pula,saya memilih untuk menaiki lif.Alangkah dukacitanya melihat hanya satu lif sahaja yang berfungsi manakala lif yang lain dibiarkan rosak.

Saya terfikir juga bagaimana jika berlaku kecemasan dan kematian penduduk perumahan flat di tingkat atas ini?Bagaimana pula dengan nasib warga tua dan anak kecil yang terpaksa menuruni tangga dari tingkat paling atas ke tingkat yang paling bawah?

Saya juga sempat bersembang dengan seorang penduduk di kawasan ini yang menceritakan kes-kes jenayah seperti kecurian motor dan pecah kereta yang sering berlaku di kawasan ini.

Apakah kawasan perumahan flat ini masih selamat didiami?

Saya tidak pasti setakat mana kerjasama dan perpaduan penduduk di kawasan ini dalam menyokong persatuan penduduk disini atau ramai yang bersifat individualistik tidak mempedulikan nasib jiran-jiran mereka dan kawasan sekitar tempat kediaman mereka.

Penduduk di sini pastinya perlu sentiasa berpakat menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan tempat tinggal mereka dan ini juga perlu diawali dengan kewujudan kesatuan penduduk yang utuh,peka dan aktif dalam menangani pelbagai masalah yang wujud.Semangat kejiranan dan persaudaraan perlu sentiasa dipupuk dalam jiwa individu penduduk agar masing-masing bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa jua masalah yang dihadapi secara bersama.

Pihak berwajib juga perlu memberikan bantuan bagi meringankan bebab para penduduk di kawasan perumahan flat ini.

Kita tidak mahu kawasan perumahan flat ini terus jauh ketinggalan berbanding perumahan banglo mewah seperti di Damansara Tropicana,Putrajaya,Cyberjaya dan lain-lain penempatan.

No comments:

Post a Comment