Thursday, December 23, 2010

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(3)

Hari Pertama(Jumaat)- 17 Disember 2010

Kami bertolak menaiki pesawat AirAsia jam 5.15 petang dari LCCT dan tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda sekitar jam 6.30 petang .Setibanya di kawasan imigresen,saya ditahan sebentar memandangkan beg yang saya bawa mengandungi barang-barang makanan Iran-Turki-Arab milik Fatih.

”Halal tidak?’’,tanya pegawai imigresen kepada saya melihat kepada bungkusan makanan Iran-Turki-Arab yang saya bawa.Kelihatan mereka agak tegas tentang halal-haram barangan yang dibawa oleh para pelancong di Aceh.Setelah melalui proses pemeriksaan dan memberitahu status halal makanan-makanan tersebut barulah saya dilepaskan dan kami telah disambut oleh Hasan dari Turki dan teman-temannya dari Indonesia.Hasan agak fasih berbahasa Indonesia dan cukup murah dengan senyuman dan ramah melayani kami seolah-olah kami sudah lama berkenalan dengan beliau.

Dari Bandara Sultan Iskandar Muda ,kami menaiki bas milik sekolah Turki yang dihadiahkan oleh Arab Saudi menuju ke rumah penginapan sahabat –sahabat Turki.Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke rumah penginapan tersebut kami melalui jalan-jalan kampung yang sekitarnya rumah atap zink atau rumah luar bandar dan berbeza sekali dengan keadaan di Malaysia dimana lapangan terbang selalunya di kawasan bandar.

Bagi saya Banda Aceh sangat bersih kawasannya dan tenang .Sahabat dari Turki memberitahu kami bahawa Banda Aceh pasca Tsunami diiktiraf oleh kerajaan Indonesia antara kawasan yang paling bersih di Indonesia.Sepanjang perjalanan saya tertanya-tanya dimana kawasan tempat berlakunya tsunami dan mahu melihat kesannya.Saya berbisik kepada beberapa orang sahabat yang turut serta dalam rombongan,pejamkan mata dan cuba bayangkan tsunami berlaku lagi apatah lagi ziarah kami ke Aceh kali ini hanya selang beberapa hari ulangtahun keenam kejadian tsunami tahun 2004.

Barangkali tempat yang saya dan rombongan lalui sepanjang perjalanan di Banda Aceh inilah tempat mangsa-mangsa Tsunami melarikan diri dari gelombang ombak dahsyat Tsunami sepertimana yang sering saya tonton dalam video dan tv.

Kami menginap di rumah banglo yang diduduki bersama oleh sahabat-sahabat dari Turi,Indonesia,Turkmenistan,Tajikisan,Azerbaijan dan lain-lain lagi.Kompleks rumah banglo yang mempunyai landskap yang sangat cantik,bersih dan lengkap dengan fasilitinya ini baru siap diduduki selama 4 bulan dan dijadikan pusat pendidikan oleh anak-anak muda disini untuk belajar Bahasa Turki,Bahasa Inggeris dan kelas-kelas percuma untuk pelajar sekolah.Apa yang menarik ialah mereka yang menggerakkan pusat pendidikan ini kesemuanya ialah anak muda lingkungan umur bawah 30 tahun dan semua ini merupakan sebahagian aktiviti sukarela anak-anak muda tersebut.Asrama untuk pelajar juga disediakan berdekatan banglo ini.

Sepanjang berada di rumah ini,kami solat berjemaah dan diikuti oleh zikir berlagu doa Jawshan al Kabir yang disusun oleh tokoh pendakwah-pemikir,Badiuzaman Said Nursi dan kemudiannya diulas makna zikir tersebut oleh sahabat dari Turki.Ada beberapa perbezaan sebenarnya antara zikir selepas solat ala Malaysia dan ala Turki.Dan saya agak tertarik dengan zikir ala Turki yang dibawa oleh sahabat dari Turki dengan gaya lagunya yang merdu dan mempunyai ‘muzik’ tersendiri.Mungkin ini juga sebahagian kesan ajaran sufi-tariqat yang tersebar luas di Turki.

Sahabat Turki-Turkmenistan-Indonesia yang tinggal di rumah banglo ini telah memasak makanan malam khas untuk tetamu seperti kami dan malam pertama kami di Banda Aceh kami dihidangkan dengan makanan ala Turki yang sungguh sedap.Sesi taaruf memperkenalkan diri masing-masing pula berlangsung selepas makan malam sambil menghirup teh panas dan biskut.

Sambil menikmati makanan,kami bersembang bertukar-tukar pandangan tentang beberapa isu khususnya isu pendidikan dan pembangunan sekolah-sekolah di seluruh dunia.Sahabat-sahabat dari Turki berkongsi pengalaman mereka bagaimana mereka dan sahabat-sahabat yang lain berusaha membuka sekolah-rumah-madrasah di seluruh dunia.Pengikut aliran pemikiran tokoh pemikir dari Turki,Badiuzaman Said Nursi terkenal dengan usaha mereka membuka samada sekolah-rumah-madrasah di serata dunia demi menyebarkan dakwah dan misi pendidikan.

Pasca kejadian Tsunami,NGO dari Turki antara yang paling aktif membantu masyarakat Aceh dengan membina ‘sekolah darurat’,sekolah sementara buat mangsa Tsunami mendapatkan pendidikan.

Sahabat dari Turki menceritakan hanya beberapa hari selepas kejadian Tsunami,beberapa orang sukarelawan guru dari Turki tiba di Aceh untuk berkhidmat di sini sehingga ke hari ini.Kehadiran mereka lebih memfokuskan kepada pembangunan pendidikan anak-anak yatim dan orang miskin.

Eksport guru Turki ke Aceh.Itulah yang digambarkan oleh sahabat saya tersebut.Bagi mereka inilah khidmat dan apa jua negara tidak penting dan yang penting ialah hati nurani,fikiran yang sama dan tidak jauh dari khidmat.Dalam perkongsian pengalaman ini mereka menceritakan bagaimana sekolah-sekolah mereka hidup di luar negara dan bagi sukarelawan guru-guru dari Turki yang bernaung dibawah NGO mereka,mereka bersedia berkhidmat dimana-mana dan sanggup berpindah antara negara ke negara lain demi khidmat pendidikan.

Merdan, sahabat saya dari Turmenistan dan pernah menuntut di Universiti Teknologi Petronas misalnya pernah ditugaskan untuk khidmat di Filipina namun setelah mendapat arahan tugas dari pihak NGO yang berpusat di Turki untuk ke Aceh,dia serta merta berkhidmat di Aceh dan begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain dimana rata-rata mereka pernah berkhidmat di beberapa tempat di luar negara dan di sekitar Indonesia sebelum ditugaskan berkhidmat di Aceh.Majoriti mereka masih muda dan belum berkahwin namun sanggup berjuang membangunkan pendidikan anak muda di seluruh dunia .

Seorang lagi sahabat dari Turki menceritakan pengalaman beliau ditugaskan untuk misi pendidikan di Afghanistan pada masa perang.Pihak tentera Amerika telah menjadikan sekolah-sekolah di Afghanistan sebagai kubu tentera sehingga membantutkan proses pendidikan anak-anak Afghanistan.Sekolah-sekolah tersebut akhirnya kembali berfungsi sebagai sekolah dan ketika itulah guru-guru dari Turki ditugaskan untuk berkhidmat di sana.

Dan sekolah-sekolah Turki milik rangkaian jaringan tokoh kemanusiaan dari Turki,Fethullah Gulen ini berkembang luas di serata dunia terutamanya di Amerika Syarikat sendiri dimana lebih tiga ratus buah sekolah Turki telah dibuka di sana.

Sahabat-sahabat dari Turki-Turkmenistan dan lain-lain yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi pendidikan sangat menekankan aspek kesukarelawanan,keikhlasan,ridha Ilahi,kesabaran dan kualiti guru dengan memberi contoh akhlak dan bukan sekadar lisan.

Sambil berkongsi pengalaman tentang misi pendidikan di seluruh dunia,kami juga dihiburkan dengan telatah Merdan yang suka bercerita ,membawa kisah-kisah lucu dan juga sering menyanyikan lagu-lagu Rhoma Irama .

Selepas selesai sesi perkongsian pengalaman,sahabat-sahabat dari Turki-Turkmensitan dan lain-lain bertanyakan kepada kami samada kami suka makan durian atau tidak lalu kami menjawab suka.Dan tanpa disangka-sangka mereka kemudiannya meminta kami bersiap sedia untuk keluar makan durian di luar sekitar Banda Aceh.

Menaiki van milik sekolah Turki beramai-ramai ,kami singgah di sebuah gerai di tepi jalan yang menjual durian dalam keadaan hujan yang turun agak lebat.Hujan lebat sedikit pun tidak menghalang kami untuk ‘kenduri durian’ malam itu.Peniaga durian di gerai tersebut tidak henti-henti menghantar durian-durian baru ke atas meja kami dan rupa-rupanya sahabat-sahabat dari Turki-Turkmenistan dan lain-lain telah menempah sebanyak mungkin durian untuk kami makan malam itu.’Makan durian sampai kenyang’,kata mereka .

Malam itu kami tidur dalam kekenyangan durian....

No comments:

Post a Comment