Hari kedua di Banda Aceh kami mulakan dengan solat subuh berjemaah dan juga zikir berlagu Asmaul Husna versi Turki yang sedikit berbeza rentak lagunya dengan Asmaul Husna versi Malaysia.
Kemudiannya sementara menunggu sarapan pagi,Fatih menayangkan video berkenaan tsunami di Aceh dan juga video berkenaan sekolah-sekolah Turki milik NGO Turki di serata dunia.
Pagi ini kami sarapan pagi dengan sarapan ala Turki di rumah Hasan dari Turki manakala isterinya dari China.Roti bakar,telur,ubi,kentang ,daging cincang dan lain-lain menjadi santapan kami pagi itu.
Selepas sarapan pagi di rumah Hasan,sahabat dari Turki membawa kami singgah sebentar di sebuah kompleks membeli belah untuk membeli seluar mandi .Mereka mahu membawa kami semua untuk mandi sungai nanti.Ketika ingin singgah di kompleks beli belah inilah kami melalui hadapan Masjid Baiturrahman,masjid yang menjadi tempat berkumpul utama mangsa Tsunami yang terselamat dahulu.
Kami menziarahi sebuah sekolah Turki,Fatih Billingual School yang cukup besar dan cantik.Masuk sahaja di pintu pagarnya kami terus ternampak dataran,gelanggang bola keranjang,kolam ikan dan lain-lain.Sekolah ini merupakan sekolah antarabangsa untuk pelajar Aceh dan majoriti pelajarnya ialah anak –anak yatim mangsa tsunami dan orang miskin.Biasiswa yuran percuma disediakan untuk pelajarnya yang terpilih memasuki sekolah ini termasuk dengan kelengkapan asramanya.
Selepas menziarahi sekolah Turki,kami bergerak menuju ke Taman Peringatan Tsunami.Di sinilah terletaknya kapal 2,600 ton yang terdampar sejauh lima kilometer dari pantai Ulee Lheue akibat Tsunami .Kami sempat menaiki atas kapal tersebut dan dari atas kapal tersebutlah kami dapat melihat pemandangan sekitar Banda Aceh yang pernah ditimpa tsunami.Kelihatan kesan rumah-rumah baru dibina selepas enam tahun tragedi Tsunami.Menurut seorang penduduk yang bertindak selaku pemandu pelancong di atas kapal tersebut,beliau menyaksiakan sendiri gelombang besar tsunami meranapkan kesemua rumah di kawasan tersebut dan menceritakan detik-detik cemas sewaktu melarikan diri dari arus besar gelombang tsunami.Beliau juga mengungkapkan ada hikmahnya kejadian tsunami iaitu Aceh semakin aman dan tenang dan tiada lagi peperangan seperti sebelum ini.
Di Taman Peringatan Tsunami ini juga dibina kawasan pameran gambar-gambar mayat mangsa Tsunami dan kemusnahan rumah dan persekitaran akibat Tsunami dan maklumat lanjut tentang kejadian Tsunami.
Saya sempat mencatatkan beberapa perkara penting yang terpapar di pameran gambar dan maklumat tersebut antaranya ialah maksud Tsunami dalam Bahasa Jepun:Tsu-Pelabuhan Nami-Gelombang laut,tarikah kejadian Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 akibat gempa berukuran 9.3 skala Ritcher,gelombang besar +-20 meter,berkelajuan 300 kilometer perjam dan sebanyak 126000 nyawa telah terkorban.
Dari Taman Peringatan Tsunami kami bergerak menuju ke sebuah perkampungan Turki.Dari dalam van,saya terlihat adanya lambang bendera Turki di rumah-rumah banglo yang dibina sekitar perkampungan Turki ini.Menurut sahabat dari Turki,perkampungan Turki ini dibina hasil derma masyarakat Turki kepada masyarakat Aceh.Dan ini juga merupakan lambang persahabatan dan persaudaraan antara masyarakat Turki dan Aceh yang sebenarnya memiliki sejarah hubungan dua hala semenjak kekuasaan Empayar Uthmaniyah di Turki.Mengikut sejarahnya,pemimpin Empayar Uthmaniah telah mengutus utusannya ke Aceh bahkan telah menghantar bantuan tentera Empayar Uthmaniah ke Aceh bagi membantu membebaskan Aceh dari cengkaman penjajah ketika itu.Oleh kerana itulah di perkampungan Turki ini juga terdapat makam pahlawan tentera –tentera Turki Empayar Uthmaniah yang pernah berjuang mendapatkan pembebasan Aceh suatu ketika dahulu.Jalan masuk ke perkampungan Turki ini cukup indah dengan dikelilingi sawah bendang dan ‘dikepung’ oleh bukit –bukau dan kehijauan yang indah.
Kami seterusnya menziarahi sebuah lagi perkampungan Turki di Lampuuk.Perkampungan ini dipanggil Perkampungan Bulan Sabit Merah Turki dan disini terletaknya Masjid Rahmatullah,sebuah masjid putih yang cantik seperti Masjid Baiturahman yang turut menjadi tempat berkumpul mangsa tsunami yang terselamat dalam tragedi tsunami dahulu.Masjid-masjid ini hanya mengalami sedikit sahaja kerosakan berbanding dengan rumah dan kawasan peresekitaran yang hancur dan musnah sama sekali.Bulan Sabit Merah Turki telah membantu sepenuhnya bagi membaiki Masjid Rahmatullah ini.Di bahagian saf belakang sekali ,terdapat pameran dan kesan-kesan tsunami dengan tertera di situ perkataan ‘Jangan lupakan Tsunami’ dan juga terdapat contoh tiang masjid yang rosak sebagai bukti dan kesan Tsunami.
Selepas solat di Masjid Rahmatullah kami singgah ke kedai pakaian dan cenderamata di hadapan masjid tersebut untuk membeli belah.Seorang makcik yang menjual kain pakaian dan cenderamata tersebut berasal dari Aceh dan berkulitputih dan ketika kami bertanya perihal dirinya rupa-rupanya datuknya juga berasal dari Turki.Bahkan jalan berdekatan Masjid Rahmatullah ini juga telah dipanggil Jalan Recep Tayyip Erdogan.
Kami meneruskan perjalanan dengan memasuki satu kawasan dalam jalan kampung berlopak-lopak dan didalam kampung tersebut terdapat satu kawasan mandi-manda seperti gabungan tasik dan sungai yang sangat cantik.Kawasan ini dikelilingi bukit bakau dan kehijauan alam yang indah serta air sungai sejuk yang sangat jernih.Misi mandi sungai beramai-ramai pun bermula dan sahabat dari Turki juga telah menyewa satu bot kecil dan kami berpeluang mengelilingi sungai yang dikelilingi bukit ini.
Selepas puas bermandi-manda,kami singgah di sebuah restoran di tepi laut untuk makan tengahari.Menu makan tengahari kami kali ini pula ialah nasi berlaukkan ikan bakar besar setiap orang dan air kelapa.Pada mulanya kami menyangka ikan bakar besar itu akan dikongsi tiga hingga empat orang rupa-rupanya sahabat dari Turki telah menempah ikan bakar besar untuk setiap orang.
Sesudah kekenyangan makan tengahari,kami pulang kembali ke rumah penginapan untuk berehat.
Selepas selesai makan malam ,pihak Fatih Billingual School menjemput kami untuk melawat ke kelas-kelas,asrama,makmal komputer dan kawasan sekitar sekolah Fatih Billingual School.Sekolah ini juga lengkap dengan gelanggang futsal,gelanggang badminton,surau dan bilik khas ala panggung wayang yang digunakan untuk menonton filem atau siri rancangan tv.
Fatih Billingual School yang lengkap kompleksnya ala kolej universiti ini mempunyai hanya seramai 270 orang pelajar sahaja dari sekitar Banda Aceh terutamanya anak yatim dan mereka diwajibkan belajar bahasa Turki.
Ketika taklimat diberikan oleh penyelia sekolah dari Turki,saya tertarik dengan satu kata-katanya iaitu ‘’untuk sukses hanya ada satu kunci iaitu persaudaraan’’.Memang sahabat-sahabat dari Turki dan negara sekitarnya amat menekankan persaudaraan dan oleh kerana itulah mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mendidik dan berkhidmat kepada saudara-saudara mereka di serata dunia.
Sesudah sesi taklimat berkenaan sekolah Fatih Billingual School,rombongan Malaysia dijamu sekali lag dengan minum malam ringan dengan air teh panas dan biskut sambil diadakan sesi memperkenalkan diri antara satu sama lain.Boleh dikatakan kesemua anak muda guru-guru dan mahasiswa dari Turki,Turkmenistan,Tajikistan,Azerbaijan dan lain-lain yang hadir pada makan malam ini fasih berbahasa Indonesia dan dikalangan mereka yang menuntut di universiti sekitar Banda Aceh mengambil jurusan pelbagai bidang.Kami sempat bergambar beramai-ramai dan bertukar-tukar hadiah dan cenderamata.Rombongan Malaysia setiap seorang telah dihadiahkan buku-buku karya Badiuzaman Said Nursi.
Acara seterusnya ialah futsal persahabatan anak muda.Rombongan Malaysia telah diberi pinjam sepasang kasut setiap seorang untuk bermain futsal di gelanggang futsal sekolah .Hampir dua jam pasukan Malaysia bertarung bermain futsal melawan pasukan gabungan Indonesia,Turki,Turkmenistan dan beberapa negara yang lain.Malam itu kami tidur dalam keletihan:letih makan,letih berjalan,letih mandi sungai,dan letih bermain futsal...
No comments:
Post a Comment