Wednesday, September 01, 2010

Tingkatkan penghayatan kemerdekaan anak muda Malaysia

Malaysia bakal menyambut ulang tahun kelima puluh tiga kemerdekaan negara tanggal 31 Ogos 2010 ini.Pastinya antara persoalan yang banyak diperkatakan orang ialah setakat mana penghayatan anak muda Malaysia terhadap persoalan kemerdekaan dan kedaulatan negara?Apakah anak muda Malaysia masih mempunyai semangat patriorik ,rasa cinta kepada negara,dan keinginan mahu menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara Malaysia?

Bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali kelima puluh tiga,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam(PKPIM) ingin menegaskan beberapa perkara yang diharapkan dapat membantu mempertingkatkan kesedaran penghayatan kemerdekaan kepada anak muda Malaysia .

Dalam sistem pendidikan negara antara subjek yang diharapkan dapat membantu para pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap perjuangan mempertahankan kemerdekaan negara ialah subjek Sejarah dan Pendidikan Kenegaraan.Subjek Sejarah dan Pendidikan Kenegaraan ini janganlah diabaikan akibat memberi tumpuan lebih kepada subjek sains dan teknologi dan hanya dianggap subjek sampingan semata-mata.Ia perlulah diperkasakan lagi dengan teknik penyampaian yang lebih kreatif dan menarik khususnya melalui peralatan teknologi seperti video,tayangan filem-filem perjuangan –patriotik dan lain-lain.

Para pelajar juga perlu lebih didedahkan dengan jasa dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara dan segala pemikiran tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada negara perlu diajar kepada semua pelajar dengan sukatan pelajaran yang khusus tentang idea dan pemikiran para tokoh tersebut.Ini dapat memastikan legasi pemikiran cerdik pandai negara dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

Di samping itu juga anak muda Malaysia perlu diberi pendedahan tentang perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara lain dari aspek keamanan negara, kestabilan politik dan ekonomi ,persoalan kemiskinan,dan musibah bencana yang menimpa sesebuah negara .Mengetahui perbandingan antara apa yang berlaku di Malaysia dan apa yang berlaku di luar negara diharapkan dapat menyuntik rasa syukur menjadi rakyat Malaysia dikalangan generasi muda.

Statistik angka dan kajian penyelidikan tentang permasalahan gejala sosial dan keruntuhan akhlak anak muda Malaysia juga perlu didedahkan kepada anak muda dan kesannya pada masa depan negara perlu dihuraikan dengan lebih mendalam.Kurangnya pengetahuan anak muda tentang permasalahan yang berlaku disekeliling dan ancamannya terhadap negara menyebabkan anak muda lupa dan leka dan tidak tergerak untuk membuat sesuatu yang dapat merubah dan memperbaiki keadaan sekeliling.

Selain itu juga kepentingan perpaduan antara kaum-kaum di Malaysia dan menolak segala bentuk perjuangan perkauman sempit perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara disamping memupuk sikap toleransi ,saling menghormati segala adat,budaya dan agama di kalangan generasi muda.Walaupun Malaysia sudah lama mencapai kemerdekaan,masih ada jurang antara kaum dan agama di Malaysia bahkan masih ada pihak yang mahu memperjuangkan agenda perkauman sempit mereka.

Bagi menghayati kemerdekaan juga anak muda Malaysia perlu didedahkan dengan pengajian keamanan dan melawan sebarang bentuk peperangan.Anak muda perlu diberi kesedaran untuk mewujudkan dunia yang lebih baik ,aman damai serta mengetahui betapa bahayanya segala bentuk peperangan di dunia ini.

Segala dasar-dasar negara yang telah disepakati terutamanya berkaitan isu bahasa,budaya dan sosial perlu dipertahankan dan segala penambahbaikan perlu dirujuk kepada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.Dasar-dasar negara tersebut juga perlu dihadam oleh generasi muda dan pihak media perlulah memainkan peranan yang lebih luas bagi menanam kefahaman terhadap dasar-dasar tersebut khusus buat generasi muda.

Bersyukur dengan kemerdekaan negara Malaysia bukanlah hanya sekadar mengibar bendera Jalur Gemilang ,mengadakan konsert-konsert kemerdekaan ,menghitung detik jam 12 malam dan percikan bunga api serta melaung-laungkan slogan merdeka semata-mata.

Apa yang lebih penting ialah rakyat Malaysia mempertahankan dan mengisi kemerdekaan dengan semangat dan ruh individu yang merdeka jiwa dan pemikirannya .Semoga kita tidak dijajah secara halus.Merdeka!


No comments:

Post a Comment