Wednesday, September 01, 2010

Mengekalkan ‘suhu sejuk’ politik di Bulan Ramadhan

Pada bulan Ramadhan ini kelihatan parti-parti politik sibuk memberi fokus kepada program kerohanian,kebajikan dan kesukarelawanan masing-masing.Berbanding bulan-bulan yang lain,kita perhatikan parti-parti politik kurang menyerang pihak lawan secara agresif dan ini mungkin barangkali disebabkan faktor berpuasa dan ahli politik lebih berhati-hati menjaga mulut bimbang kurang pahala puasa.

Bulan Ramadhan yang mulia ini sewajarnya dijadikan bulan muhasabah dalaman bagi semua aktivis politik dengan menguatkan kekuatan dalaman mereka .Daripada terlampau asyik mencari kesalahan pihak lawan maka lebih baik mereka menilai kesalahan dan kelemahan sendiri.Barangkali ketika kita asyik fokus mencari kesalahan pihak lawan tersebut,pihak lawan rupa-rupanya sedang memperbaiki diri,memperbetulkan kesilapan,menguatkan jentera,dan mengumpul kekuatan kembali.

Kita percaya rakyat Malaysia mendambakan pemimpin yang kuat berkerja serta mengotakan segala janjinya dan bukan sekadar petah berpidato retorik,menabur janji ketika kempen pilihanraya semata-mata dan hanya turun padang mengikut musim sahaja.

Rakyat Malaysia inginkan kebajikan mereka dijaga,keselamatan terjamin,tiada rasuah dan penyelewengan dan mengharapkan pemimpin politik bersifat adil kepada semua bukan kepada kelompok kaum tertentu atau sekadar menjadi jaguh kaum tertentu sahaja.

Rakyat tidak suka pemimpin politik yang saling bercakaran , lebih suka membangkitkan isu- isu kontroversi ,hal –hal remeh dan bersifat provokasi, menghasut rakyat agar saling membenci,membangkitkan isu perkauman sempit dan memperalat agama demi meraih undi semata-mata.

Rakyat juga sudah jemu dengan segelintir media yang hanya tahu mengambil kesempatan menyemarakkan persengketaan dengan saling memburukkan dan mengaibkan pihak lawan.

Kita pastinya tidak ingin ketinggalan berbanding negara-negara jiran dan tidak mahu segala tugas membangun tanah air terbengkalai akibat masa yang banyak dihabiskan untuk menyelesaikan kemelut politik sehingga mengabaikan permasalahan sosial dan ekonomi negara .

Sewajarnya semua pihak berganding bahu bersama-sama menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dan memberi tumpuan pula kepada pembangunan anak muda,dan keseimbangan pembangunan fizikal-material,rohani-spiritual.

Rakyat Malaysia hanya mengharapkan semua parti politik tanah air saling berlumba membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya dan biarlah pertarungan sengit antara parti-parti politik akhirnya menghasilkan pemenangnya iaitu rakyat!


No comments:

Post a Comment