Khamis- Hari Kelima-21 Januari 2010
Pagi ini saya solat subuh di Masjid At Tein berdekatan padepokan pencak silat ,tempat penginapan para peserta program.Masjid ini mengambil nama sempena nama ibu tein isteri Presiden Suharto dan merupakan antara masjid yang paling ramai dikunjungi oleh orang ramai tatkala iktikaf di bulan Ramadhan.Masjid ini sungguh besar dan cantik reka bentuknya dan lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti mesin ATM,bilik musafir,dan dataran sekitarnya yang sesuai dijadikan tempat riadhah.
Selepas sarapan pagi,para peserta bergerak menaiki bas beramai-ramai menuju ke Parlimen Indonesia.Sewaktu kami tiba di pintu pagar Parlimen ,kelihatan ramai polis (FRU?) mengawal sekitar pintu pagar memandangkan di situ seringkali menjadi tempat demonstrasi membantah keputusan kerajaan.
Di Parlimen ini pihak penganjur mengatur pertemuan para peserta program dengan seorang tokoh muda dari Parti Keadilan Sejahtera, Anis Matta.Anis Matta pernah memegang jawatan Setiusaha Agung Parti Keadilan Sejahtera dan banyak menulis buku tentang kepimpinan dan kenegaraan.
Sebelum ini saya pernah mendengar pidato bersemangat beliau tentang perjuangan anak muda melalui Youtube sewaktu program ‘Panggung Pemuda’.Dalam pertemuan bersama para peserta program,Anis Matta menceritakan kedudukan anak muda dalam Parlimen Indonesia.Menurut beliau 60 % daripada ahli parlimen Indonesia berumur bawah 50 tahun dan 20% daripada mereka pula berusia antara 30 sehingga 40 tahun.Parlimen anak muda.Itulah yang digambarkan oleh beliau kepada kami.Beliau juga menyorot sejarah reformasi Indonesia pasca pimpinan Suharto dan menyentuh peranan Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia( KAMMI) dalam memiimpin reformasi.
Dalam ucapan beliau,Anis Matta optimis dengan perjuangan anak muda.Bagi beliau,pertemuan anak muda (seperti pertemuan para peserta ‘The 3 rd International Youth Gathering’ ini)akan diteruskan dengan sejarah yang terjadi selepasnya.Anak muda mempunyai kekuatan tersendiri berbekalkan semangat intelektual,fizikal dan kekuatan jasmani dan akal .Menurut beliau juga orang tua punya hikmah kebijaksanaan tapi disebabkan keterbatasan fizikal kadangkala mereka tidak mampu melaksanakan hikmah tersebut .Maka anak mudalah dengan kekuatan hikmah dan fizikalnya menjadi harapan dunia islam dan dunia umum untuk merealisasikan sebarang perubahan.
Beliau juga mengupas apa menurut beliau sebagai ‘zaman pergantian peradaban’ di mana menurut beliau peradaban sekarang sudah lama dan tua dan kita kini menunggu peradaban baru (inqilab taghyir hadarah-tabdil hadaroh-shifting of civilization) memandangkan tanda pentuaan peradaban kini menurut beliau sudah jelas kelihatan.
Selepas selesai ucapan Anis Matta,para peserta bergambar kenang-kenangan bersama beliau.Kemudiaannya para peserta program bergerak masuk ke dewan utama persidangan parlimen Indonesia.Maka berlakulah ‘rampasan parlimen Indonesia ‘oleh para peserta ‘The 3 rd International Youth Gathering’ dan ramai di kalangan peserta yang sempat bergambar meniru aksi ahli-ahli parlimen .Tidak cukup bergambar di dalam dewan parlimen,para peserta bergerak keluar untuk bergambar di luar kawasan dewan parlimen yang cukup indah dengan pemandangan dari atas tangga melihat pemandangan di bawah dengan landskap dan rumput hijau yang sungguh mempesonakan mata memandang.
Dari parlimen para peserta bergerak menaiki bas menuju Ke Candi Bentar Ancol,taman tema rekreasi paling indah di Indonesia atau digelar Disneyland Indonesia.Di sini pihak penganjur mengatur pertemuan dan makan tengahari para peserta program bersama Gabenor Jakarta,Fauzi Bowo .Fauzi Bowo menang dalam pilihanraya gabenor Jakarta mengalahkan calan Parti Keadilan Sejahtera dalam peristiwa ‘kalah tetapi menang ‘Parti Keadilan Sejahtera.Pilihanraya ini cukup menarik dimana menyaksikan pertandingan antara Parti Keadilan Sejahtera melawan 20 parti yang lain.Walaupun menentang 20 parti politik yang bekerjasama menentangnya,Parti Keadilan Sejahtera hanya tewas tipis sahaja dan hampir membuat kejutan.
Sementara menanti ketibaan Gabenor Jakarta,peserta dari Maghribi membuat persembahan nyanyian qasidah dari meja tempat duduk mereka dibantu oleh paluan kompamg oleh peserta dari Turki.Program diteruskan dengan persembahan budaya seperti tarian traditional Betawi dan nyanyian lagu sambil para peserta menjamu pelbagai hidangan makanan.
Selepas makan,para peserta dibawa terus ke tempat utama taman tema rekreasi Candi Bentar Ancol dan disini semua peserta bebas bermain apa sahaja bentuk permainan secara percuma.Para peserta bebas berpecah mengikut permainan yang mereka pilih dan saya dan sahabat yang lain sempat mencuba permainan ‘roller coster’,’kapal hayun’,’lorong sesat rumah jahil’(cermin ajaib yang membuatkan orang sesat tidak jumpa jalan keluar) dan mendengar ‘wahana balada kera’ atau ‘teater kera’.
Hampir 2 jam lebih para peserta bermain segala bentuk permainan pilihan mereka dan pelbagai cerita dan kenangan sewaktu bermain di taman tema ini didengari.Ada yang pening kepala,ada yang muntah,ada yang takut dan gerun bermain permainan yang begitu mencabar dan ada juga para pengunjung yang mahu bergambar dengan para peserta yang rata-ratanya dari pelbagai negara yang berlainan.
Selepas penat bermain di taman tema rekreasi ini,para peserta bergerak menaiki bas untuk pulang ke tempat penginapan di padepokan pencak silat.
Selepas puas berehat,pada malam harinya saya dan peserta dari Malaysia yang lain sempat berdiskusi pelbagai topik dengan sahabat-sahabat dari SALAM UI dan KAMMI.Diskusi berlangsung sambil kami makan malam bersama.
Kemudiannya,peserta dari Turki mengajak semua peserta dari Malaysia untuk mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama.Peserta dari Turki ini bukan sahaja aktif dalam kegiatan NGO malah ada juga yang terlibat secara aktif dalam politik melalui AK Party pimpinan Recep Tayyib Erdogan.Kami bertukar-tukar pandangan dan pengalaman di samping cuba memperkukuhkan lagi jaringan bersama .
Malam itu juga kami berdiskusi panjang bersama Murad,peserta dari Turki yang kelihatan ‘selamba’ seperti anak muda yang lain tetapi mempunyai semangat budaya dan keinginan menegakkan tamadun yang tinggi.Sebelum bergerak ke bilik masing-masing untuk tidur dan berehat kami bersalaman dan berpelukan dengan Murad memandangkan beliau tidak dapat mengikuti program ‘The 3 rd International Youth Gathering’ seterusnya kerana mempunyai program lain di Acheh.
Malam ini saya sekali lagi tidur nyenyak barangkali keletihan penangan permainan di taman tema Candi Bentar Ancol.
No comments:
Post a Comment