Sunday, January 31, 2010

The 3 Rd International Youth Gathering,Jakarta-Bandung,Indonesia(6)

Jumaat -Hari Keenam- 22 Januari 2010

Pagi ini saya sekali lagi solat subuh di Masjid Ibu Tein dan selepas solat saya terus riadah berjalan kaki mengelilingi kawasan dataran masjid.Selepas sarapan pagi ,semua peserta diminta ‘check out’ dari bilik masing-masing dan bersiap menaiki bas untuk bertolak awal pagi ke Bandung .

Perjalanan ke Bandung dari Padepokan Pencak Silat memakan masa lebih 2 jam dan sepanjang perjalanan ke sana ,pelbagai persembahan nyanyian lagu dilakukan dalam bas bagi mengelakkan para peserta keletihan dan bosan.Peserta dari Maghribi dan Sudan menyanyikan pelbagai lagu dalam bahasa Arab termasuk lagu-lagu berkenaan perjuangan Palestin manakala peserta dari KAMMI Indonesia menyanyikan pelbagai lagu perjuangan seperti lagu ’Bingkai Kehidupan’,lagu Ruhul Jadid,lagu ‘Hayya bil jihad ‘ dan pelbagai lagu yang lain.

Setibanya di Lembang,Bandung,para peserta diminta berjalan kaki beramai-ramai menuju tempat penginapan memandangkan bas yang membawa semua peserta tidak mampu membawa beban yang berat memandangkan ia terpaksa menaiki bukit yang tinggi.Sepanjang berjalan kaki beramai-ramai kami seolah-olah mendaki bukit yang tinggi dan dapat melihat pemandangan hijau yang cukup indah dengan bukit bakau dan tanah tinggi seperti di Cameron Highland.Setelah berjalan kaki beberapa minit,kami tiba di tempat penginapan kami seterusnya di Madani Center,Padepokan Madani,di Lembang .Memandangkan waktu zuhur sudah masuk,kami menunaikan terlebih dahulu solat jumaat berjemaah.Selepas solat jumaat,kami diberi kunci bilik dan saya ditempatkan kali ini sebilik dengan peserta Malaysia yang lain.Kami dibenarkan berehat sekitar 2 jam sebelum meneruskan program seterusnya.

Madani Center ini merupakan sebuah tempat penginapan dan latihan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bilik ala hotel,internet,dewan,cafet
eria,dan kemudahan permainan sukan seperti ‘flying fox’ .Suhu di sini agak sejuk dan saya berasa seolah-olah berada di negara Eropah.
Selepas berehat,program petang ini diisi dengan sedikit larian-‘joghing’ dan peserta lelaki di bawa ke tempat latihan ‘flying fox’.’Flying fox’ di Madani Center ini cukup menarik memandangkan sekitarnya ialah pemandangan bukit hijau di tanah tinggi.

Selain ‘flying fox’,pihak penganjur turut menyediakan permainan ‘bola orang buta ‘ dimana peserta diminta menutup mata masing-masing sambil bermain bola sepak.


Pada malam hari pula,para peserta dihidangkan makan malam dengan lauk istimewa ,daging kambing .Program diteruskan selepas makan malam dengan persembahan budaya seperti persembahan pencak silat Sunda yang menampilkan pesilat kanak-kanak,remaja,dan juga orang tua,persembahan muzik jawa,nasyid dan juga persembahan angklong.Setiap peserta diberi angklong setiap seorang dan dengan dibimbing oleh seorang jurulatih angklong,semua hadirin diajar bermain angklong beramai-ramai.Pelbagai jenis lagu dimainkan melalui angklong oleh para peserta dengan tunjuk ajar jurulatih angklong.Dan yang lebih menggembirakan para peserta lagi ialah apabila jurulatih angklong itu menghadiahkan angklong setiap seorang kepada semua peserta untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Sebelum kembali ke bilik masing-masing untuk berehat dan tidur,pihak UNIW Turki sempat mengadakan ‘Post Mortem ‘ bersama semua wakil Malaysia untuk mendapatkan maklum balas,kritikan dan cadangan pembaikian program ‘The 3 rd International Youth Gathering’ ini.

No comments:

Post a Comment