Ucapan Dasar Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM)
Sesi 2008/2009
Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM)
Pendahuluan
Dengan Nama Allah Tuhan yang maha Pengasih lagi maha penyayang
Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang mengizinkan kita pada pagi ini untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PBMUM.Mewakili barisan kepimpinan PBMUM sesi 2008/2009,saya mengalu-alukan kehadiran hadirin sekalian.Sesungguhnya kehadiran kita semua pada Mesyuarat Agung Tahunan ini menjadi bukti kepekaan kita terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu melalui wadah PBMUM ini.
Mesyuarat Agung Tahunan ini diharapkan menjadi medan kita untuk muhasabah menilai kembali perjalanan PBMUM sepanjang sesi semester yang lepas demi memantapkan lagi perjuangan PBMUM pada masa –masa akan datang.
Memahami Sejarah PBMUM Masa Lalu
Sahabat-sahabat sekalian
Orang yang tidak tahu ataupun yang melupakan sejarah umpama anak pungut yang tidak diketahui akan nasabnya.mereka yang melupakan sejarah pasti akan dihukum dan didera dengan kesilapan sejarah yang lalu.
Maka atas dasar itulah maka ahli PBMUM kini jangan sesekali melupakan sejarah PBMUM semenjak awal penubuhannya dan menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa mengenang jasa pejuang-pejuang bahasa Melayu yang lahir daripada rahim PBMUM.
Kita akan meneruskan kesinambungan perjuangan mereka bahkan menjadi mata-mata rantai yang akan terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di kampus UM,di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
Oleh kerana itu kita perlulah memahami asas penubuhan PBMUM ini dengan sebaik mungkin.Ahli-ahli PBMUM perlu memahami sejarah perjuangan PBMUM ini dan ini bukan bermakna kita sekadar bernostalgia sema ta-mata tanpa cuba sedaya upaya untuk mencipta sejarah yang tersendiri.
Realiti PBMUM Masa Kini
Sesi 2008/2009 menyaksikan pimpinan PBMUM cuba sedaya upaya untuk mengatur program yang berasaskan misi dan bukannya berasaskan program semata-mata.
Bermula dengan kelompok kecil pimpinan yang komited terhadap perjuangan BM,PBMUM cuba bangkit mengorak langkah memperkasakan PBMUM mengikut kadar kemampuan.
Beberapa program sempat diatur demi mencapai beberapa sasaran penting seperti menambah kuantiti dan kualiti ahli , membina rangkaian jaringan, penghayatan budaya ilmu dan keintelektualan, dan kepekaan terhadap isu-isu semasa dengan fokus utama isu dan soal Bahasa Melayu.
Menambah kuantiti dan kualiti ahli
Melalui Minggu PROMO,PBMUM telah menambah bilangan ahli –ahli baru daripada pelbagai fakulti namun demikian masih ramai yang hanya sekadar mendaftar sebagai ahli sahaja tetapi tidak memberi komitmen menyeluruh terhadap program persatuan.
Tindakan susulan yang lebih sistematik perlu dimantapkan demi memastikan ahli-ahli PBMUM yang mendaftar terus komited untuk bersama-sama dengan PBMUM di samping meningkatkan lagi kualiti program yang dianjurkan.
Di samping itu juga PBMUM telah berjaya menganjurkan bengkel pidato untuk menambahkan kemahiran dan meningkatkan kualiti ahli PBMUM dan bengkel pidato ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Kualiti ahli perlulah dimantapkan lagi dengan mengadakan program-program kemahiran dan menggilap segala potensi yang dimiliki oleh ahli-ahli PBMUM.
Membina rangkaian jaringan
PBMUM juga telah berusaha untuk meluaskan jaringan dan kerjasama dengan persatuan-persatuan lain seperti menganjurkan Bedah Buku bersama Habiburahman El-Shirazy;program kerjasama dengan Persatuan Pelajar Indonesia(PPI),Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM),dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM),Bengkel Pidato ;kerjasama dengan Kelab Pengucapan Awam(KESPA) Institut Perguruan Bahasa Melayu(IPBM), dan juga menjadi ahli gabungan Gerakan Mansuhkan PPSMI(GMP).
PBMUM perlulah meluaskan lagi rangkaian jaringan dengan persatuan Bahasa Melayu di universiti-universiti lain,Dewan Bahasa dan Pustaka,agensi-agensi kerajaan ,NGO,kementerian dan lain-lain lagi .
Penghayatan Budaya ilmu dan keintelektualan
PBMUM juga telah menjalankan bedah buku secara mingguan dengan mengupas pelbagai buku meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti buku berkisar sejarah PBMUM,buku berkenaan isu Bahasa Melayu,novel ,buku agama,dan lain-lain demi memastikan penghayatan budaya ilmu dan keintelektualan di kalangan ahli-ahli PBMUM.
Namun begitu program bedah buku ini perlu diperkasakan lagi dengan menarik lebih ramai mahasiswa terutama ahli-ahli PBMUM untuk menyertainya dengan meluaskan lagi iklan dan publisiti dan memastikan ia terbuka untuk semua mahasiswa yang berminat.
Kepekaan terhadap isu-isu semasa
PBMUM tidak ketinggalan untuk membicarakan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling kita.
Atas nama persatuan mahasiswa yang bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana parti politik,PBMUM tetap membantah perlaksanaan dasar PPSMI dengan bergabung bersama pejuang-pejuang bahasa Melayu melalui Gerakan Mansuhkan PPSMI dan juga melalui Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM ) di peringkat kampus Universiti Malaya.
Beberapa kenyataan terhadap isu semasa terutamanya isu Bahasa Melayu telah dihantar dan disiarkan di dada akhbar-akhbar perdana.
PBMUM perlu lebih ke hadapan dalam memberikan respon terhadap pelbagai isu dan tidak terhad kepada isu Bahasa Melayu semata-mata .
Wawasan Masa Depan
Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu masih relevan pada masa kini dan akan terus relevan pada masa akan datang.Perancangan secara sistematik dan tersusun rapi mengikut keutamaan perlu dirangka bagi meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan khasnya kepada warga Universiti Malaya terhadap kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu.
Perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu pada masa akan datang lebih mencabar dan ini menuntut kita agar melipatgandakan usaha secara berterusan dan merancang pelbagai strategi yang lebih berkesan demi menarik lebih ramai mahasiswa Universiti Malaya agar mendokong perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu ini.
Beberapa cadangan dinyatakan di bawah demi memastikan kesinambungan perjuangan Bahasa Melayu dan menambahbaik Persatuan Bahasa Melayu Universti Malaya ini:-
1)Mendapatkan ahli-ahli daripada pelbagai fakulti,pelajar bukan Melayu, dan pelajar-pelajar asing.
2)Mengadakan program-program kemahiran seperti bengkel pidato,bengkel penulisan ,dan pelbagai bengkel kemahiran yang lain.
3) Mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai persatuan.
4)Memperkasakan budaya menulis di kalangan ahli PBMUM
5)Mengaktifkan penerbitan risalah,majalah atau buku
6)Menambah dana kewangan PBMUM
7)Tidak mengabaikan isu-isu rakyat@masyrakat @hal ehwal dalam dan luar negara
Penutup
Sebagai mengakhiri ucapan dasar saya pada hari ini,saya mengajak saudara sekalian agar menanamkan tekad dan iltizam untuk meneruskan perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu.
Saya yakin dan percaya tatkala kita memahami sejarah masa lalu,realiti masa kini dan memiliki wawasan masa depan,kita mampu mengembalikan kegemilangan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dengan mencipta sejarahnya yang tersendiri.
Ayuh bersama kita mengembeling tenaga bersama-sama menjayakan gerak kerja demi mengangkat martabat Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu bahasa perpaduan rakyat Malaysia.
Bahasa Melayu bahasa kita .
Hidup Bahasa Melayu!
Salam perjuangan mahasiswa.
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
Sesi 2008/2009
No comments:
Post a Comment