Temu Pemuda Serantau 1
Pada 2 hingga 7 Jun 2007 yang lalu saya berpeluang menghadiri Temu Pemuda Serantau 1 anjuran bersama Gerakan Pemuda Islam Indonesia dan Dialog Dakwah Serantau mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.Seramai 15 orang wakil dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan 15 orang wakil Yayasan Pembangunan Ummah Malaysia mewakili Negara Malaysia di samping peserta dari Negara tuan rumah Indonesia.Negara Singapura,Thailand dan Cambodia gagal menghantar wakil berikutan menghadapi masalah teknikal.Namun begitu Temu Pemuda Serantau 1 ini tetap meriah dengan kehadiran peserta dari dua Negara jiran yang diumpamakan adik dan abang ini,Malaysia dan Indonesia.
Ketibaan rombongan kami diketuai oleh saudara Anuar Tahir,Pengarah Yayasan Pembangunan Ummah Malaysia merangkap Wali Amanah Dialog Dakwah Serantau di Lapangan Terbang Adi…Bandar Solo disambut meriah penuh adat dengan nyanyian lagu tradisi Bengawan Solo.Dari Solo kami meneruskan perjalanan menaiki bas yang disediakan pihak penganjur ke tempat penginapan kami di Wisma Puas,Kaliurang,Yogyakarta.
Penginapan yang cukup selesa di kawasan perkampungan atas bukit tinggi dengan udara segar dingin cukup mempesonakan kami .Bahkan kami dapat melihat dari jauh puncak gunung Merapi tatkala beriadah menghirup nafas segar setiap pagi.
Acara perasmian Temu Pemuda Serantau 1 oleh Menteri Negara Pemuda dan Olah Raga Indonesia , Adhyaksa Dault yang diadakan di Museum Benteng Vredenburg, Malioboro, Yogyakarta pula cukup unik.Kami dihiburkan dengan beberapa persembahan seni budaya kaum Jawa.Melihat persembahan budaya tersebut mengingatkan saya kepada kisah wali songo yang berdakwah kepada masyarakat pada zaman mereka melalui seni budaya.
Sepanjang program tersebut kami dihidangkan dengan santapan rohani sebaik sahaja selesai solat subuh berjemaah atau dikenali di sini sebagai kultum(kuliah tujuh minit) oleh pendakwah dari
Peserta Temu Pemuda Serantau 1 telah dibahagikan kepada beberpa kumpulan dengan gabungan peserta dari Malaysia dan Indonesia.Kami diajar tentang perbezaan bahasa dan budaya antara dua Negara serumpun.Kami juga turut mempelajari lagu tema Temu Pemuda Serantau 1 dan juga lagu Lir Ilir,lagu berbahasa jawa yang dikatakan dicipta oleh salah seorang daripada Wali Songo.
Ceramah-ceramah berkenaan ketrampilan diri,jatidiri,kerohanian di samping ceramah motivasi dan memory system mengisi program Temu Pemuda Serantau 1 ini disamping diskusi berkumpulan dan beberapa program outdoor and outbound yang cukup mencabar.Kami diminta untuk berjalan di atas gelas ,menjadi ‘orang buta’ dengan mata ditutup selama satu jam dan dipimpin seorang rakan dan juga berjalan di atas bara api!!!
Kami juga sempat meninjau ke salah sebuah lokasi berlakunya gempa bumi berukuran 6.3 skala ritcher pada 27 Mei 2006 .Di sana kami ditugaskan untuk mengecat dan mencuci sekitar masjid sementara yang dibina menggunakan buluh oleh Yayasan Pembangunan Ummah Malaysia dengan kerjasama Gerakan Pemuda Islam Indonesia.
Kami juga diberi kesempatan untuk membeli belah di Malioboro.Malioboro mungkin boleh dikatakan sebagai Chow Kit kalau di Malaysia.Di sana barang-barang seperti barangan kulit,pakaian ,makanan dan buku agak murah berbanding di Malaysia.
Program Temu Pemuda Serantau 1 ini turut diserikan dengan malam persembahan kebudayaan.Setiap peserta mengikut pembahagian kumpulan diberi masa sekitar 10 minit untuk membuat persembahan kebudayaan yang menggabungkan kebudayaan dua Negara serumpun,
Kami juga berpeluang ke salah satu keajaiban di dunia iaitu Candi Borobudur.Tempat penuh bersejarah yang sebelum ini hanya kami kenali melalui bacaan buku sejarah akhirnya dapat juga kami jejakkan kaki.
Peserta Temu Pemuda Serantau 1 turut berpeluang menemui penjaga kunci Gunung Merapi ,Mbak Marijan.Sebelum datang ke situ kami sudah diingatkan supaya tidak mengambil gambar Mbak Marijan sebagai syarat kami dapat menemuinya.Ternyata beliau seorang yang rendah diri dan tidak mahu diberi publisiti secara besar-besaran.Kami ternyata cukup bertuah kerana dapat memijakkan kaki berhampiran puncak gunung Merapi dan dapat melihat sendiri kesan letusan gunung Merapi.
Pada hari terakhir Temu Pemuda Serantau 1,peserta berpeluang untuk meluahkan sebarang perasaan,kritikan,dan cadangan.Resolusi turut disepakati sebulat suara setelah panjang lebar dibahaskan.Akhirnya , Ikrar Pemuda Serantau dilafazkan oleh para peserta Temu Pemuda Serantau 1 sekaligus menutup program Temu Pemuda Serantau 1 ini.
Tenyata program ini mampu memantapkan ukhwah Islamiyah antara rakyat dua Negara serumpun,
Sengketa tidak berpecah jangan
Ikutlah tuhan bukannya hantu
Tiada sempadan tiada halangan
Demi ISLAM kita bersatu!!!
No comments:
Post a Comment