Monday, April 29, 2013

Media,anak muda dan PRU 13

Kuasa media memainkan peranan cukup penting bagi mempengaruhi undi anak muda menjelang PRU 13 ini.Kita mengharapkan anak muda tidak mudah terpedaya dengan berita-berita berbau fitnah dan propaganda yang semakin tersebar luas sekarang ini.Kelompok yang terdesak sanggup berbelanja besar demi menyebarkan berita-berita palsu melalui pelbagai media.Fitnah menjadi mainan buat mereka dan mereka sama sekali tidak berani mengemukakan hujah dan fakta melainkan penipuan -auta semata-mata.

Anak muda yang bijak pastinya tidak akan menelan bulat-bulat apa yang telah disogokkan kepada mereka melalui media-media tertentu yang diragui kewibawaan dan kredibiliti mereka.Dengan kurniaan aqal dan berfikir secara rasional pastinya anak muda akan menilai segala hujah yang dbawa oleh pelbagai pihak yang berusaha untuk mempengaruhi pemikiran mereka melalui gerakan media.
Anak muda yang matang dalam berpolitik pastinya akan terus mencari jawapan terhadap segala persoalan dari pelbagai sumber dan pelbagai pihak bahkan mereka sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia mendengar dan menghargai pelbagai pandangan yang berbeza.Mereka tidak akan mudah menyokong secara melulu dan taksub kepada pandangan satu pihak semata-mata.

Era kontemporari yang dilengkapi dengan kemudahan internet misalnya mampu memudahkan anak-anak muda untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat melalui blog-laman web,Facebook,Youtube dan sebagainya.Oleh kerana itu adalah satu kesilapan besar jika ada pihak yang menyangka mereka boleh menipu anak muda melalui berita media propaganda mereka kerana mungkin anak-anak muda tersebut mendengar berita media propaganda mereka tetapi kemudiannya anak muda itu juga akan menyemak kembali fakta-fakta yang dikemukakan itu dengan penuh kritis melalui kemudahan internet –media baru yang sedia ada.

Barangkali mereka juga perlu merenung apa yang dikatakan oleh Prof Madya Abu Hassan Hasbullah dalam tulisannya ‘Kuasa Media Baru Menggempur Perubahan Bentuk dan Kandungan Ekoposial di Asia Tenggara-Satu Pembacaan Future Studies ‘ :-

‘’Media baru bukan sahaja telah mengambil alih dan menukar nilai kepercayaan terhadap media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, malah turut mencatur-susun pola-pola kepercayaan dan melangsungkan transformasi struktural terhadap sistem hidup manusia. Ini disebut oleh Jürgen Habermas sebagai kesan-kesan besar yang terjadi dari teknologi-teknologi media baru dan kehidupan intelektual manusia; the Internet ‘weakens the achievements of traditional media’, since in the online environment ‘contributions by intellectuals lose their power to create a focus’ (Habermas, 1989: 201).Habermas dalam ucapannya semasa menerima Anugerah Bruno Kreisky Prize, 2006 telah menegaskan bahawa teknologi media baru adalah digerakkan oleh satu jentera paling berpengaruh iaitu “Internet”—a metaphor for the entire new media environment (teksnya boleh dibaca di www.signandsight.com/features/676.html). Maksudnya, media baru menawarkan segala kemungkinan komunikasi berfungsi sebagai perencana pemaknaan ekoposial.’



Senjata media akan terus digunakan oleh pelbagai pihak demi meraih undi sekaligus mempengaruhi pemikiran anak muda menjelang PRU 13 ini.

Kita mengharapkan anak muda membuat keputusan bijak dan bukan sekadar bergantung kepada maklumat media semata-mata bahkan turut serta menghadiri kempen-kempen,ceramah kelompok,melawat jentera-bilik gerakan pilihanraya pelbagai parti yang akan bertanding dalam PRU 13 nanti.

Dengan jiwa dan pemikiran yang tercerah ,kita yakin anak muda Malaysia akan membuat keputusan terbaik dalam memilih calon dan parti yang paling berkualiti dan paling layak memimpin mereka pasca PRU 13 ini nanti.

No comments:

Post a Comment