Monday, October 15, 2012

Kembara di Bali (5)

Ahad 7 Oktober 2012 Hari ini merupakan hari terakhir ‘’Interfaith Summit 2012’’.Saya datang awal ke dewan program di UNHI dan bersembang –sembang dengan orang kuat acara ini khususnya dari Indonesia Youth Forum dan membincangkan serba sedikit apa bentuk kerjasama yang boleh dilakukan antara anak muda Indonesia dan Malaysia.
Majlis penutup program ini dimulakan terlebih dahulu dengan beberapa permainan dan nyanyian dari wakil peserta serta persembahan Yoga dari mahasiswa UNHI.Para peserta yang berminat juga menyampaikan perkongsian hasil dan faedah yang mereka perolehi sepanjang mengikuti acara ini disamping kritikan dan lontaran cadangan idea penambahbaikan program.
Seorang Ahli Parlimen Indonesia dan wakil Global Peace Festival Indonesia menyampaikan ucapan penutup sebelum diikuti oleh bacaan deklarasi keamanan ‘Interfaith Summit 2012’ oleh wakil-wakil negara dan saya sendiri sebagai wakil Malaysia.
Para peserta turut diberi sehelai kertas kosong untuk mencatat faedah program ini dan pelan tindakan masing-masing sebelum semua peserta membuat satu bulatan besar beramai-ramai,bertafakur ,berdiri senyap beberapa minit sebelum ditanya apakah 1 perkataan yang terfikir dan terlintas di fikiran masing-masing ketika itu. Majlis penutup ‘’Interfaith Summit 2012’’ diakhiri dengan sesi bergambar ramai-ramai dan penyerahan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Saiful Ridzuan yang memiliki videocam dan merakam beberapa video sepanjang program ini berkongsi video yang dirakamnya kepada pihak penganjur. Selepas tamat majlis penutup program dan salam perpisahan,semua peserta bersurai ke destinasi masing-masing.Saya dan Saiful Ridzuan menunggu van yang disediakan penganjur untuk ke Wisma Agong Soka.Selepas tamat program,kami yang belum pulang dan ada baki 1 hari lagi di Bali akan menginap di Wisma Agong Soka ini.Beberapa orang peserta mengajak kami terus ke Pantai Kuta tapi kami mengambil keputusan untuk ke Wisma Agong Soka terlebih dahulu.Hanya keesokan harinya mengikut perancangan kami akan ke Pantai Kuta. Yang tinggal di Wisma Agong Soka ini hanyalah ajk-ajk program dan beberapa orang peserta dari Bangladesh,Senegal,India,Uzbeksitan dan kami dari Malaysia yang belum pulang.Wisma Agong Soka ini sebenarnya jauh lebih selesa daripada asrama penginapan peserta di UNHI.Ia bukan bertaraf hotel tapi cukup selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Peserta dari India dan Uzbekistan menempah teksi dari Wisma Agong Soka untuk ke Pantai Kuta.Peserta Uzbekistan hampir setiap hari ke Pantai Kuta.Difahamkan di negara mereka susah nak jumpa atau tiada langsung pantai-pantai sedemikian. Saya dan Saiful Ridzuan berehat,makan sambil bermesyuarat merancang perjalanan kembara seterusnya.Soal kewangan turut diambil kira.Penginapan di Wisma Agong Soka selepas tamat program sebenarnya bukanlah percuma tetapi dengan bayaran 175 ribu Rupiah(tingkat bawah) dan 275 ribu Rupiah(tingkat atas) semalaman siap dengan pelbagai kemudahan sederhana. Selepas berehat,saya dan Saiful Ridzuan bersembang panjang dengan pakcik dan makcik yang menjaga Wisma Agong Soka ini dan juga bersama dengan ajk-pihak penganjur program Indonesia Youth Forum dan Global Peace Festival Indonesia yang masih belum pulang. Malam harinya kami sekali lagi berjalan kaki menuju ke Satur dan singgah makan malam di warung berdekatan wisma.Kami juga bersembang panjang dengan peserta Uzbekistan-India dan Indonesia yang belum pulang sambil makan kacang ,mendengar peserta India menyanyi,melihat gambar dan video program yang Saiful Ridzuan rakam melalui videocam beliau.Peserta India dan Indonesia juga sempat mempersembahkan ‘’dialog ayam itik’’ dimana peserta India bercakap berterusan dalam Bahasa Urdu-Tamil dan dibalas oleh peserta Indonesia berterusam dalam Bahasa Indonesia.
Kami juga sambil minum kopi Bali bersembang-sembang dengan seorang ajk dari Kalimantan yang semangat mahu menjalankan perniagaan menjual kain pelikat samarinda di Malaysia dan bersama pak cik yang menjaga wisma ,anak jati Bali yang menceritakan tentang kehidupan masyarakat Bali. Lewat malam ini kami masih belum tidur dan kebetulan awal pagi ini kami mahu saksikan perlawanan menarik bolasepak antara Real Madrid vs Barcelona.Saya dan Saiful Ridzuan menonton perlawanan ini dibilik peserta Uzbeksitan beramai-ramai dan turut bersama kami ialah peserta Russian Dagestan yang datang menaiki motor dari tempat penginapan mereka semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak ini sambil minum kopi,makan roti dan kacang bersama-sama. Ketika sedang asyik menonton bola sepak dan menghampiri minit-minit akhir perlawanan,peserta Uzbekistan keluar dari bilik mereka dan rupa-rupanya mereka mahu menghantar seorang sahabat mereka dari Uzbekistan dan Indonesia yang mahu pulang ke Yogyakarta awal pagi ini.Semangat persahabatan nampaknya mengatasi semangat kesukanan.:) Selepas menghantar sahabat Uzbekistan-Indonesia menaiki teksi,kami ramai-ramai berlari menuju ke bilik dan sambung kembali menonton perlawanan bola sepak tersebut sehingga tamat perlawanan yang cukup menarik itu.Gol !!! zzzzzzz…

No comments:

Post a Comment