Tuesday, October 23, 2012

Interfaith Summit 2012

Bali cukup terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong seluruh dunia .Keindahan pantai dan panorama indah matahari terbenam mengasyikkan dan Bali cukup unik dengan adat budaya setempat penduduknya yang majoritinya beragama Hindu walaupun penduduk negara Indonesia majoritinya beragama Islam.Keramahan dan budi bahasa penduduknya menjadi sebutan ramai dan sikap toleransi terhadap penganut agama lain membuktikan Bali mampu menjadi model kepada kerukunan umat beragama. Dengan visi :- ‘’Our vision of interfaith cooperation begins from the recognition that all people are endowed by the Creator with equal value and therefore share a common spiritual heritage’’ dan misi:-‘’ promotes the vision of One Family Under God through building interfaith partnerships, vibrant families, and a culture of service and peace’’ serta bertemakan “New Interfaith Paradigm for the 21st Century” ,Bali menjadi pilihan penganjur Global Peace Festival Indonesian Foundation (GPFIF) dan Indonesian Youth Forum (IYF) sebagai lokasi acara Interfaith Summit 2012 bertempat di Universitas Hindhu Indonesia, Denpasar, Bali pada 4-7 Oktober 2012 yang lalu. Acara ini telah disertai oleh lebih 200 orang peserta (beragama Islam,Hindu,Buddha,Kristian ) dari 22 buah negara seperti Indonesia,Malaysia,Filipina, Jepun, Rusia, Uzbekistan,Libya,Vietnam, India, Bangaldesh dan lain-lain negara Penulis bersama seorang teman telah berpeluang mewakili Malaysia dalam acara yang digerakkan sendiri oleh kelompok anak muda yang komited kepada perjuangan keamanan antara penganut agama yang berbeza.Penginapan peserta yang menggabungkan semua peserta dengan latar belakang agama yang berbeza dalam satu bilik berjaya memupuk rasa persaudaraan sesama peserta disamping dapat mempelajari persamaan dan perbezaan yang wujud antara satu sama yang lain. Acara Interfaith Summit 2012 ini menampilkan para pembentang yang berpengalaman luas dan dari pelbagai latar belakang yang berbeza seperti Torril Wanvik (wakil Kedutaan Norway), Chandra Setiawan, (Pengerusi Global Peace Festival Indonesian Foundation), Ms. Sylvie (wakil Kedutaan Amerika), James Poon (wakil Global Peace Festival Malaysia), Azis Nurwahyudi (wakil Kementeria Luar Indonesia), Y. Bhg. Dato’ Azman (Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia), Husnan Bey Fananie dan Romy Romahurmuzy (Ahli Parlimen Republik Indonesia) ,Raja Sapta Oktohari (Ketua Himpunan Pengusaha Muda Indonesia-HIPMI) dan ramai lagi. Pelbagai topik disentuh dalam siri pembentangan dalam acara Interfaith Summit ini antaranya seperti:- -"One Family under God: -New Interfaith Paradigm for the 21st Century" -Universal principles as the basis of national cohesion. -Addressing the roots of identity-based conflict -Building Lasting Interfaith Partnerships: Issues of Faith and Action -The Family as Universal Institution: Family Values as The Common Ground for Interfaith Partnership and Action. -The Call to Service: Faith Leadership and Creating a Culture of Service -Reaching Beyond Our Differences: Engaging Youth in Interfaith Action -Interfaith Collaboration Toward Solving Problems. Terdapat beberapa masalah berkaitan hubungan antara agama yang berlaku seperti pergaduhan ,menghina dan memperlekeh agama lain,melakukan keganasan dan kekerasan atas nama agama,diskriminasi dan merusuh yang dilakukan oleh kelompok ekstrimis yang tidak mahu menghargai pebezaan dan kewujudan agama dan kepercayaan orang lain.Kadangkala mereka menggunakan hujah-hujah agama ,ayat- ayat dalam kitab suci yang ditafsirkan mengikut selera mereka dalam membenarkan segala perbuatan merosakkan hubungan baik yang terjalin antara kelompok agama yang berbeza. Mereka yang berfahaman ekstrim sedemikian sebenarnya hanyalah kelompok minoriti namun tindakan mereka sudah cukup untuk merosakkan keharmonian dan keamanan dunia.Suara majoriti yang cinta damai dan pro keamanan perlu lebih lantang lagi bagi mematikan sebarang usaha kelompok ekstrimis yang cuba mewujudkan perbalahan antara penganut-penganut agama. Anak muda atas nama kemanusiaan perlu merangka program dan gerak kerja yang lebih sistematik bagi memupuk rasa kebersamaan,persahabatan dan persaudaraan sesama manusia dari latar belakang agama yang berbeza.Kita mengharapkan setiap individu khususnya anak muda tidak lagi menganggap mereka yang tidak seagama dengan kita sebagai musuh atau orang lain sebaliknya menganggap mereka juga sebagai saudara dan ahli keluarga kita sendiri. Walaupun didunia ini manusia terdiri daripada kelompok penganut agama yang berbeza,namun kita tetap berkongsi nilai kemanusiaan yang universal.Kita tetap mahukan dunia yang lebih aman dan tenang serta bebas dari segala bentuk keganasan dan kekerasan. Kita mahu ajaran agama kita dihormati oleh penganut agama lain. Kita mahu maruah kemuliaan insan dan hak asasi kita terjamin. Kita semua mahukan kebebasan,keadilan,dan mahu memperjuangkan kebenaran. Kita mahukan masyarakat kita hidup dalam keadaan harmoni,bertoleransi, menghormati antara satu sama yang lain,mengakui kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama ,saling faham memahami, menghargai perbezaaan dan sentiasa fokus mencari titik persamaan antara satu sama yang lain. Kita mahukan masyarakat kita saling berinteraksi,bahagia hidup bersama,mempunyai semangat persaudaraan dan persahabatan yang jitu sehinggakan rasa sedih dan rasa gembira dikongsi bersama bagaikan satu jiwa . Semangat persaudaraan kemanusiaan perlu dipupuk kepada setiap individu bermula dari keluarga dan di rumah lagi.Ibu bapa boleh menjadi tauladan yang baik buat anak-anak mereka dengan menerapkan ilmu dan pendidikan serta mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya menghormati penganut agama lain . Ibu bapa boleh menerangkan kepada anak-anak mereka tentang perbezaan yang wujud namun pada masa yang sama tetap memberi fokus kepada titik persamaan dan memberi penekanan kepada anak-anak mereka tentang betapa pentingnya melakukan amalan kebaikan kepada semua orang tanpa mengira latar belakang agama.Kepentingan menghormati jiran tetangga dan masyarakat setempat boleh diterapkan olen ibubapa kepada anak-anak mereka sejak mereka masih kecil lagi. Contoh tauladan dan amalan mulia yang dilakukan oleh ibubapa secara tidak langsung menjadi pendidikan yang bermanfaat buat anak-anak mereka dan anak-anak dapat mengikut jejak kedua ibubapa mereka nanti. Perbahasan mendalam terhadap perbezaan aspek teologi agama dan fokus melampau terhadap perbezaan ajaran agama yang wujud sedikit sebanyak menyukarkan usaha untuk menyatukan kelompok penganut agama yang pelbagai.Jadi fokus kepada khidmat kebajikan kemasyarakatan dan aspek kesukarelawanan diharapkan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan perselisihan faham antara penganut agama. Kita perlu memikirkan secara serius bagaimana mahu membina budaya berkhidmat dan kesukarelawanan dikalangan individu khususnya generasi muda.Kita perlu memupuk mereka untuk ikhlas berkhidmat kepada semua orang dan secara sukarela,sentiasa mengambil berat terhadap nasib orang lain ,mempunyai semangat perjuangan keadilan sosial yang tinggi dan rela hidup berkhidmat kepada orang lain. Usaha pembasmian kemiskinan dan kebuluran,bantuan misi kemanusiaan,perjuangan nasib orang kurang upaya(OKU)anak-anak istimewa,anak yatim , gerakan pendidikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang agama misalnya wajar djadikan keutamaan oleh kita semua dan oleh kerana itu usaha untuk mencetak seramai mungkin individu yang komited terhadap budaya perkhidmatan dan kesukarelawanan perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin. Peranan media cukup penting bagi mewujudkan keharmonian antara penganut agama yang berbeza.Bahkan kita boleh katakan juga melalui peranan media jugalah konflik antara penganut agama berterusan berlaku dan berleluasa.Fokus membina jaringan kewartawanan keamanan misalnya diharapkan dapat mewujudkan gelombang cinta kedamaian dan keamanan dikalangan pengamal media khususnya wartawan.Mereka nanti dapat memainkan peranan dalam menyebarkan isu-isu keamanan dan keharmonian antara penganut agama dan sekaligus dapat mengelak dari terjebak dan bersubahat menyalakan api permusuhan antara penganut agama yang berbeza. Setiap individu khususnya generasi muda juga perlulah memanfaatkan media sosial baru untuk menyebar cinta,keamanan dan keharmonian sesama insan seterusnya mengajak anak-anak muda yang lain untuk mengikuti program-program keamanan dan seterusnya menjadi duta gerakan keamanan di tempat masing-masing. Secara umumnya bagi penulis acara ini mampu dijadikan satu asas buat anak muda untuk membina satu model kerjasama dan penyelesaian konflik antara penganut agama yang sering berlaku diseluruh dunia dan memupuk semangat perjuangan untuk keamanan dunia.Acara ini juga menjadi platform membentuk satu jaringan anak muda yang pro keamanan dan anti perang, komited kepada khidmat masyarakat dan kesukarelawanan bagi membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang agama . Disamping siri pembentangan seminar,acara santai persembahan budaya dan lawatan ke tempat menarik sekitar Bali juga diadakan dan ia secara tidak langsung mengeratkan lagi tali persahabatan antara peserta. Pada majlis penutup Interfaith Summit 2012 ini pula ,bacaan deklarasi keamanan diadakan dan antara isi deklarasi keamanan tersebut mengajak semua pihak menghentikan sebarang konflik yang mengatasnamakan agama, menjunjung tinggi hak asasi manusia, bersama-sama menjaga pemahaman dan harga diri, menguatkan kerjasama di antara anak muda, dan memperkuatkan jaringan bersama:persahabatan,keluarga dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment