PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan
Monday, July 30, 2012
Khalid Jaafar tentang Anwar Ibrahim
http://jalantelawi.com/2011/10/babad-pendekar-jawa/
-Dalam sejarah politik Malaysia Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang punya paling banyak jaringan. Jaringan politik sahaja berlapis-lapis. Kemudian jaringan gerakan Islam, bukan sahaja tempatan tetapi juga antarabangsa. Jaring MCKK, NGO, jaringan korporat. Kemudian ada jaringan kebudayaan dan intelektual. Jaringan intelektual ini mungkin yang paling kecil tetapi paling banyak mazhab. Ada mazhab IIIT, ada mazhab ijmali yang diketuai oleh Ziauddin Sardar, dan dalam mazhab ijmali ini pula Ziauddin Sardar bertelagah dengan Munawar Anees.
-Di kalangan kroni-kroni Mahathir, Ananda, kata bosku, adalah yang agak celik intelektual dan tidak tuli kebudayaan. Dalam sebuah restoran saya menjadi saksi kepada perdebatan antara sang taikun dengan sang politikus. Perdebatan agak panas. Anwar menyebutkan kritik-kritik sosial yang dibuat oleh John Kenneth Galbraith terhadap sistem ekononomi dan industri. Galbraith kini tidak lagi dibaca tetapi dekad-dekad 70an dan 80an, tokoh ekonomi dari Universiti Harvard itu merupakan antara public intellectual dunia sebagaimana Amartya Sen hari ini. “Semasa saya di Harvard,” kata Ananda untuk menumpulkan hujah Anwar, “Galbraith tidak dilihat sebagai ekonom.” Anwar tidak menerima gugatan sang kapitalis kroni itu dan melancarkan kuliah pendek tentang krisis disiplin ekonomi semasa yang mengabaikan aspek sosial, kebudayaan, alam sekitar dan keadilan.
-Dimensi lain Anwar Ibrahim, dimensi intelektual, kebudayaan dan lain-lain, perlu tunduk kepada keperluan dan tuntutan politik. Pendekar Jawa kita tidak mahu tahu mengapakan bosnya membaca The Name of the Rose , novel tulisan Umberto Eco dan mentelaah novel-novel Primo Levi dan Italo Calvino, mengapa begitu sayang kepada Prof. al-Attas, meskipun banyak menimbulkan masalah, mengapa boleh berbual berjam-jam dengan Ziauddin Sardar, mengapa sanggup duduk tekun dan mengambil nota di depan Sheikh Taha Jabir al-Elwani.
-Konsep idea pendorong datangnya dari pemikir Algeria Malik Bennabi. Idea-idea Malik Bennabi sungguh mengesan pada Anwar kerana saya mendengar beliau mengupasnya di dalam Abim. Pemikiran Malik Bennabi beliau sebut dalam ucapan dasar pertamanya sebagai Ketua Pemuda Umno. Dan sekarang dalam jelmaan 3.0 Anwar sekali lagi mengangkat pemikiran Malik Bennabi. Dan siapa yang mahu setia dengan perjuangan Anwar Ibrahim perlu mengunyah pemikiran Malik Bennabi. Dan tulisan-tulisan pemikir itu keras, sukar dikunyah.
-Pembacaan Anwar Ibrahim, pada telekan saya, boleh adukan padanya kalau saya silap, adalah satu amalan humanistik. Maka buku-buku bacaannya adalah tentang sejarah, sastera dan sejarah falsafah dan idea.
-Semasa beliau memimpin Abim beliau banyak membaca tulisan-tulisan tentang Islam dari tokoh-tokoh gerakan Islam. Kebanyakan aktivis Islam, termasuk pemimpin-pemimpinnya, membataskan bacaannya kepada buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh gerakan seperti Syed Qutb, Maududi, Fathi Yakan dan sebagainya. Tatkala belajar di ITM saya sering ke pejabat Abim yang ketika itu di Jalan Pantai Baru. Bila saya ke pejabatnya saya selalu mendapati di meja buku-buku sains sosial yang ditulis oleh Gunnar Myrdal, kritikan sosial dan suara-suara Dunia Ketiga. Maka ideanya tidak datang dari satu sumber. Satu hari saya membuat liputan ucapannya. Dia ketika itu menteri pendidikan. Saya terperanjat dia berwacana tentang novel, dan novel-novel itu memang hasil sastera yang terbaik, hasil tangan Umberto Eco, Primo Levi, Italo Calvino. Tentang novel sastera semasa saya agak, mungkin amat, terkebelakang. Hanya novel-novel Philip Roth menjadi tumpuan saya. Memang suatu yang menakjubkan bagi seorang pemimpin gerakan Islam membaca novel. Membaca novel memang satu amalan humanistik dan amalan tersebut menuntut toleransi terhadap hak imaginasi.
-Anwar Ibrahim, ketika itu TPM, membeli beberapa naskah edisi kulit keras Diplomacy yang ditulis oleh Henry Kissinger untuk diberikan kepada beberapa orang kawannya dan antara penerimanya adalah Najib Tun Razak. Mantan Setiausaha Negara Amerika itu datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosi bukunya. Anwar menjemput kawan-kawannya, termasuk Najib, untuk meraikan Kissinger dengan sarapan pagi. TPM itu memberitahu kawan-kawannya supaya bersedia kerana Kissinger akan membicarakan bukunya. Najib tiba dengan rungutan bahawa Diplomacy terlalu tebal, dia hanya sempat membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Bila Kissinger sampai dia memulakan wejangannya dengan menyebut kritikan terhadap bukunya. Ianya terlalu tebal dan kebanyakkan pembaca hanya membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Katanya Najib tersipu-sipu.
No comments:
Post a Comment