Thursday, October 13, 2011

20 Julai 2011

Hari ini sahabat dari Yaman berangkat pulang ke negara mereka.Selepas salam perpisahan dengan sahabat dari Yaman,saya dan Hafiz dari Indonesia menaiki tren keretapi dari Kucukcermece ke Sikerci dan disana kami bertemu dengan Sukma dan Andika juga dari Indonesia sebelum saya berpecah dengan mereka menuju ke haluan masing-masing.



Dari stesyen Sikerci ini saya berjalan kaki seorang diri ,masuk ke beberapa buah kedai buku,sebelum tiba di perkarangan dataran antara Masjid Biru dan Haghia Sophia.Sebenarnya dari stesyen Sikerci ada tren yang menuju ke stesyen yang sangat berdekatan dengan kawasan Masjid Biru dan Haghia Sophia ini namun saya memilih untuk berjalan kaki bagi merasai pengalaman kembara di sini.



Saya singgah solat di Masjid Biru dan berehat beberapa seketika di sini sebelum bertemu dengan sukarelawan pelancongan yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang berpakaian t-shirt biru tertulis ‘Ask Me’.Beberapa orang dari kalangan mereka meluru ke arah saya dan bertanya jika saya memerlukan apa-apa bantuan daripada mereka.Oleh kerana saya tidak ada apa-apa bantuan yang diperlukan ,saya duduk bersembang panjang dengan mereka.



Menurut mereka,mereka merupakan sukarelawan yang bersedia membantu semua pelancong yang memerlukan sebarang bantuan pertolongan samada menunjukkan jalan atau mendapatkan apa jua maklumat berkenaan tempat-tempat pelancongan di sekitar Istanbul ini.Mereka masih lagi menuntut samada di sekolah menengah ataupun di universiti cuma memandangkan sekarang ialah cuti musim panas,mereka memanfaatkan masa cuti dengan menjadi sukarelawan pelancongan ini.



Di samping itu juga menurut mereka,mereka mahu memperbaiki penguasaan bahasa mereka khususnya Bahasa Inggeris dengan beramah-mesra dengan para pelancong yang hadir di sekitar kawasan ini.Sukarelawan pelancongan ini diletakkan di hampir setiap penjuru kawasan sekitar Masjid Biru dan Haghia Sophia ini.



Selepas bersembang panjang dengan sukarelawan pelancongan ini,saya meneruskan perjalanan dengan menaiki tren keretapi di tengah-tengah kesibukan jalan dari stesyen Sultanahmet(stesyen yang paling hampir dengan Masjid Biru dan Haghia Sophia) ke stesyen-stesyen yang lain.Sengaja saya berhenti di banyak stesyen untuk berjalan-jalan melihat apa yang ada di sekitar kawasan setiap stesyen tersebut.Apa yang menariknya di Istanbul ini ialah harga tambang keretapi dan bas hampir kesemuanya seragam iaitu 1.70 Lira untuk ke mana-mana destinasi sekalipun samada dekat ataupun jauh.Jika menaiki tren keretapi,penumpang hanya diberikan satu koin kecil yang perlu dimasukkan ke tempat yang disediakan di stesyen pertama yang kita naiki .



Selepas menamatkan perjalanan kembara hari ini,saya kembali ke Hayret Vekfi .Sahabat-sahabat dari Malaysia yang lain berangkat pulang pada hari ini dan selepas salam perpisahan dengan mereka,saya mula mengemas barang-barang saya sebagai persiapan pulang ke Malaysia keesokan hari.Kini hanya tinggal saya seorang sahaja peserta IYG 6 yang belum pulang.Baki masa saya yang ada saya banyak habiskan untuk berkenalan dengan lebih rapat sahabat-sahabat dari Hayret Vekfi ini sambil mendalami gerak kerja kesukarelawanan mereka.



Hayret Vekfi yang mula sunyi kembali meriah sedikit dengan kehadiran rombongan pelajar sekolah dari Sudan yang dalam rangka lawatan ke Istanbul.Saya sempat berbual panjang bersama mereka tentang situasi semasa yang berlaku di Sudan pasca perpecahan Sudan kepada 2 bahagian dan memaklumkan kepada mereka harapan saya untuk kembara ke Sudan suatu masa nanti apatah lagi IYG 7 nanti bakal diadakan di Sudan.

No comments:

Post a Comment