Monday, August 08, 2011

23 Jun 2011


Perjalanan dari Tashkent ke Istanbul memakan masa dalam empat jam.Sepanjang empat jam perjalanan tersebut,saya membuat persiapan terakhir sebelum tiba di Istanbul khususnya persiapan asas Bahasa Turki.Dalam fikiran saya,kembara ke Turki kali ini akan lebih bermakna jika saya dapat memahami asas Bahasa Turki sekurang-kurangnya asas perbualan harian.Atas kapal terbang,saya menghafaz beberapa patah perkataan Bahasa Turki dengan harapan dapat mempraktikkannya sewaktu tiba di Turki nanti.

Akhirnya,saat yang dinanti sudah tiba.Pesawat mendarat dengan selamat di bumi Istanbul.Seakan-akan tidak percaya saya akhirnya saya kembali ke Turki selepas kunjungan pertama pada tahun 2007.Cuma bezanya kalau tahun 2007 tersebut,musim sejuk di Turki,dan kali ini saya mengunjungi pada musim panas pula.


Sebaik sahaja kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Ataturk,Istanbul,tepukan gemuruh diberikan oleh para penumpang.Sewaktu kapal terbang mendarat di Tashkent dari Kuala Lumpur juga,tepukan gemuruh juga diberikan oleh para penumpang.Mungkin sudah menjadi satu budaya penumpang Uzbekistan Airways, tepuk tangan ramai-ramai apabila kapal terbang berjaya mendarat selamat.:

Saya memberitahu Saiful Ridzuan,cuba kita tampar pipi masing-masing.Macam tidak percaya sudah sampai akhirnya di Istanbul.Kalau pada tahun 2007 dahulu,saya tiba di Lapangan Terbang Ataturk ini disambut dengan hujan renyai-renyai dan cuaca sejuk,kali ini pula cuaca panas hangat mula terasa sejak di Lapangan Terbang Ataturk lagi.




Selepas mengambil beg masing,masing dan melepasi imigresin Turki,kami bergerak keluar menuju ke tempat ketibaan antarabangsa.Di sini Aziz ,sahabat dari Turkemenistan yang belajar di INCIEF,menyambut rombongan kami dan kami menaiki van milik geng Hizmet menuju ke pejabat PASIAD.


Sepanjang perjalanan kelihatan kota Istanbul cukup cantik,teratur dan sistematik.Sistem pengangkutannya diatur cukup baik misalnya Metrobus yang mempunyai laluan khas dan penyediaan jejantas pejalan kaki menuju ke stesyen di Metrobus.Saya perhatikan walaupun Turki baru sahaja selesai pilihanraya umumnya,poster-poster,pelekat gambar sewaktu kempen pilihanraya hampir tidak kelihatan .Barangkali pihak pembandaran Istanbul sudah membersihkan ‘kesan-kesan’ pilihanraya umum Turki dan mungkin juga dibantu dengan peraturan yang ketat tentang pemasangan poster-iklan demi menjaga kebersihan bandar Istanbul.Pokok-pokok tumbuhan yang kelihatan terjaga,bunga-bunga yang indah menghiasi tepi jalan raya dan landskap yang teratur boleh dilihat sepanjang jalan di Istanbul.

Di pejabat PASIAD,kami berehat dan buat pertama kali dalam kembara ini dijamu dengan hidangan makanan Turki.PASIAD ini membantu geng Hizmet Gulen ini dalam menggerakkan sekolah-sekolah Hizmet dan juga urusan kemasukan pelajar dari luar negara ke sekolah-sekolah Hizmet.Sewaktu saya mengikuti rombongan ke Acheh bersama MTDS dahulu,saya dapat melihat bagaimana sekolah-sekolah Hizmet dikendalikan dengan cukup baik oleh PASIAD dengan segala kemudahan infrastrukturnya yang setaraf kolej universiti di Malaysia.Di Acheh,geng Hizmet telah mendirikan sekolah-sekolah dan menawarkan anak-anak mangsa Tsunami Acheh pendidikan percuma di sekolah-sekolah Hizmet.

Selepas berehat dan makan,kami mendengar taklimat tentang PASIAD oleh wakil PASIAD Turki dan New Zealand yang kebetulan hadir menemui rombongan kami.Dalam sesi taklimat mereka di samping menceritakan tentang PASIAD,mereka juga menyampaikan beberapa nasihat yang cukup bermakna buat rombongan kami.


Mereka menekankan soal membuat Allah dan orang sekeliling-masyarakat lingkungan kita gembira,sentiasa memiliki wajah yang penuh dengan senyuman,ikhlas,ikut sunnah nabi-Rasulullah sebagai contoh tauladan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.Niat-ruh-spiritual mesti suci ,beramanah,melawan sikap individualistik,dan tidak hanyut dengan kehidupan material semata-mata.Mereka juga berbicara soal pelaburan hari akhirat dimana setiap benda bagi mereka ialah pelaburan untuk kehidupan yang lain dan oleh kerana itu kita perlu saling berkerjasama dan bertanggungjawab terhadap komuniti masyarakat kita,menjadi contoh tauladan yang baik buat semua manusia, menangani masalah kemanusiaan-individu tanpa mengira batas geografi.Kita samada menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah atau sebahagian daripada masalah dan perlu sentiasa menolong orang lain,dan mesti sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Selepas mengunjungi PASIAD ,kami meneruskan perjalanan dengan singgah solat di satu masjid di Edirnekapi.Masjid ini sepertimana di masjid-masjid Turki yang lain mempunyai senibina yang sangat indah dan tempat khutbah yang tinggi,tempat wudhu dan lampu cahaya yang unik.Di sini saya berjumpa seorang pelajar dari Syria yang boleh berbahasa Melayu.Rupa-rupanya beliau banyak bergaul dengan pelajar-pelajar Malaysia di Syria.


Kami meneruskan lawatan seterusnya ke Muzium Panorama 1453.Di Panorama 1453 ini,terdapat segala maklumat kronologi berkenaan sejarah pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad Al-Fatih.Kita boleh membaca tentang sejarah perjuangan Sultan Muhammad Al-Fatih semenjak kecilnya,guru-gurunya dan menonton video tentang pembukaaan Istanbul di sini.Walaupun kebanyakan maklumat di muzium ini dalam Bahasa Turki,tetapi pengunjung boleh mendapatkan alat penterjemahan bahasa dari kaunter muzium.


Satu perkara lagi yang menarik di sini ialah di tingkat atas muzium ini dimana sebaik sahaja kita menaiki tangga ke tingkat atas ini,kita akan berada seakan-akan di alam lain iaitu seperti di zaman pembukaan Istanbul tersebut.Seluruh kawasan di tingkat atas ini termasuk di dinding atas sewaktu mendongak ke langit dinding telah dihiasi bermacam-macam lukisan gambaran perang pembukaan kota Istanbul dan juga monument-replika peralatan senjata yang digunakan sewaktu peperangan tersebut.
Dan yang menariknya juga di dinding langit tingkat atas ini terdapat lukisan gumpalan awan yang membentuk wajah mirip Sultan Muhammad Al-Fatih.Menurut Fatih Abi yang menjadi pengiring kami,lukisan itu terbentuk secara kebetulan tanpa dirancang dan hanya disedari mirip wajah Sultan Muhammad Al-Fatih sebaik sahaja selesai proses melukis lukisan tersebut.


Perjalanan kami diteruskan lagi dengan singgah solat dan kemudiannya dijamu minuman ‘cay’di satu asrama Hizmet.Asrama ini disediakan untuk pelajar yang tinggal berjauhan dengan rumah keluarga mereka.

Dari asrama Hizmet,kami menuju ke sebuah restoran mewah.Di dalam restoran ini kami solat berjemaah bersama-sama dengan tetamu-tetamu yang lain.Kebanyakan tetamu itu rupa-rupanya geng Hizmet yang hadir untuk meraikan kami dalam makan malam ini.Sebelum makan malam dengan pelbagai hidangan makanan Turki ,kami dipersembahkan dengan satu tayangan video berkenaan program geng Hizmet berkenaan Al-Quran dan Sains.Selepas tayangan video tersebut berlangsung sedikit perbincangan sebelum para tetamu dijemput menjamu segala hidangan makanan yang tersedia.

Selepas kekenyangan yang amat sangat,kami bergerak menuju ke sebuah asrama besar sekolah Hızmet di Sariyer yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gelanggang bola keranjang,gelanggang futsal,meja ping pong,mesin basuh dan lain-lain.Malam ini kami menginap di asrama ini dengan tinggal satu bilik empat orang dalam bilik asrama yang cukup selesa.

Walaupun baru hari pertama tiba di Istanbul dengan jadual lawatan yang cukup padat dan sedikit kepenatan,saya cukup gembira kerana sejak hari pertama di Istanbul lagi telah diisi sepenuhnya dengan siri lawatan yang cukup bermakna.Apa yang penting bagi saya ialah biarlah setiap saat kembara di Turki ini diisi dengan pengisian yang berfaedah.Letih boleh berehat.Mengantuk boleh tidur....zzzz








No comments:

Post a Comment