Selepas kejatuhan rejim Ben Ali di Tunisia,Husni Mubarak di Mesir dan pergolakan politik yang berlaku di negara-negara seperti Yaman,Libya,Bahrain,Algeria dan sebagainya,ramai yang kembali memperkatakan peranan anak muda dalam melakukan perubahan dalam sesebuah negara.
Lihat sahaja siri demonstrasi yang berlaku di Tunisia dan Mesir yang dihadiri oleh wajah-wajah anak muda generasi baru sehingga berjaya menumbangkan pemimpin yang sudah lama berkuasa dengan penipuan dan menggunakan jentera kerajaan demi mempertahankan kekuasaaan mereka.
Tanpa menafikan peranan generasi yang lebih berusia daripada generasi pemuda dalam menggerakkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman para diktator,sewajarnya kita merenung kembali persiapan kita dalam menyediakan anak muda yang mampu menggerakkan perubahan ke arah kebaikan.
Apakah anak muda hanya tahu memberontak semata-mata?Atau mereka hanya berbekalkan semangat dan emosi darah muda yang bergelora sahaja?Mungkinkah mereka terlalu mudah untuk dipergunakan dan menjadi boneka pihak-pihak yang mempunyai agenda peribadi tersendiri?
Kemungkinan itu antara persoalan yang bermain di dalam fikiran sesetengah orang.Dan jawapan kepada persoalan tersebut pastilah berbeza antara individu dengan individu yang lain.
Namun begitu,kita perlu tetap sepakat bahawa anak muda memang perlu diperkasakan sebaik mungkin sehingga mereka mampu menggerakkan perubahan ke arah kebaikan dimana sahaja mereka berada.
Potensi kekuatan yang ada pada setiap anak muda perlu sentiasa digilap supaya kekuatan yang mereka miliki itu dapat memberi manfaat kepada semua.
Buah fikiran,idea,pandangan,suara dan apa jua yang lahir dari isi hati mereka perlu diberi perhatian dan didengari serta perlu disusuli dengan gerak kerja bagi merealisasikan harapan mereka.
Anak muda juga perlu diberi keyakinan bahawa kepada merekalah terletaknya harapan untuk menjayakan segala cita-cita dan wawasan masa hadapan.Keyakinan kepada anak muda untuk meneruskan segala agenda yang dirancang penting agar mereka tidak merasa tersisih dan diketepikan semata-mata kerana mereka masih muda.Anak muda perlu diberi motivasi bahawa usia muda bukanlah penghalang untuk menjayakan sesuatu agenda dan gagasan yang besar.
Bimbingan rapi kepada anak muda daripada mereka yang lebih berusia juga sangat penting bagi memperkasakan anak muda.Ilmu dan pengalaman dari golongan berusia perlu segera diturunkan kepada anak muda agar mereka lebih cepat matang,hidup lebih terarah dan matlamat kewujudan dan kehadiran mereka lebih jelas.Perkongsian ilmu dan pemindahan pengalaman antara golongan berusia dengan anak muda ini pula perlu dilakukan dengan lebih sistematik sehingga anak muda mampu mencernakan ilmu dan pengalaman tersebut berdasarkan realiti semasa kehidupan mereka.
Sebagai persiapan melahirkan generasi anak muda yang mempunyai kekuatan untuk mencetus , menggerak dan memimpin perubahan jugalah kita perlu memberi pendedahan kepada anak muda tentang sejarah anak muda dan perubahan yang pernah mereka lakukan melalui pendidikan gerakan kepemudaaan.
Sejarah ini perlu didedahkan kepada mereka bukan semata-mata untuk membiarkan mereka sekadar bernostalgia dengan sejarah silam bahkan sebagai satu suntikan dalaman buat diri mereka agar bercita-cita untuk melakukan perubahan disamping mengetahui strategi-strategi untuk melakukan perubahan tersebut.
Pendidikan gerakan kepemudaan ini perlu dirangka secara tersusun dan pastinya ia bukan sekadar pengisian sejarah anak muda semata-mata bahkan ia merangkumi juga realiti semasa dan wawasan masa hadapan anak muda.
No comments:
Post a Comment