Tuesday, November 23, 2010

Workshop On Muslim Minority

PKPIM-ABIM dengan kerjasama Minority Right Group(MRG) yang berpusat di London,UK telah mengadakan Workshop On Muslim Minority pada hari Sabtu 20 November 2010 bertempat di Kolej Dar Al Hikmah,Kampung Sungai Ramal Dalam,Kajang.

Bengkel ini dihadiri lebih 30 orang terdiri daripada anak muda wakil negara Malaysia,Bangladesh,Thailand,dan Kemboja memberi fokus perbincangan kepada isu penindasan rakyat di Sri Lanka.

2 orang wakil Minority Right Group(MRG) berasal dari Sri Lanka dan menetap di UK telah membentangkan hal ehwal minoriti Muslim di Sri Lanka.

Ramai yang tidak tahu di Sri Lanka terdapat sekitar 8 peratus Muslim di Sri Lanka termasuk keturunan Melayu Sri Lanka yang berasal dari Tanah Melayu@Malaysia-Indonesia.

Wakil Minority Right Group(MRG) menceritakan keadaan sebelum dan selepas konflik perang yang meletus di Sri Lanka.Walaupun keadaan konflik sudah mulai reda,namun masih wujud pelbagai masalah seperti isu perkauman,diskriminasi agama,halangan terhadap kebebasan beragama,tidak toleran dan semua penindasan ini melibatkan kaum minoriti Muslim dan juga bukan Muslim di Sri Lanka.

Penceramah menimbulkan persoalan mengapa negara Muslim seperti Malaysia,Indonesia,Arab Saudi,Bangladesh dan lain-lain tidak serius membantu Muslim minoriti khasnya di Sri Lanka.Tumpuan lebih kepada isu Palestin jangan sampai melupakan nasib minoriti di tempat lain seperti di Sri Lanka. Ada yang membantu sekadar kutipan derma bantuan namun tidak mempunyai program khusus dan berterusan untuk mengeluarkan minoriti Muslim dan bukan Muslim ini dari kemelut kemiskinan dan penindasan. Muslim Sri Lanka sedikit terkilan dan kecewa dengan Muslim di negara-negara lain yang kelihatan seolah-olah tidak menyokong dan membantu mereka.

Muslim di Sri Lanka menurut penceramah umpama ‘sandwich’ hidup dalam keadaan terhimpit dan hidup dalam keadaan sangat daif dan miskin. Pasca Tsunami juga menyaksikan masih ramai yang tinggal di rumah kayu-pokok sehingga kini dan tidak mendapat bantuan zakat serta pelbagai masalah berkaitan pemilikan tanah,rumah penempatan dan sekolah.

Wujud juga ancaman dari kumpulan militant,Tamil Tiger-LTTE yang terlibat dalam keganasan,pembersihan etnik dan juga bom berani mati.

Mengikut penceramah juga seorang editor akhbar terkenal di Sri Lanka telah mati ditembak kerana mendedahkan kekejaman regim penguasa Sri Lanka dan penindasan yang berlaku dan selepas pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku menyebabkan ramai yang takut dan tidak berani menyuarakan pandangan dan memperjuangkan keadilan.

2 perkara utama yang ditekankan oleh penceramah ialah hak muslim Sri Lanka yang mahu kembali ke kampung halaman mereka pasca perang dan isu pemilikan tanah yang masih tidak memihak kepada minoriti Muslim.

No comments:

Post a Comment