Saturday, October 09, 2010

Bunuh diri:Carilah Ketenangan ...

Membaca statistik kes bunuh diri di Malaysia yang semakin hari semakin meningkat menggusarkan kita.Apakah punca yang menyebabkan ramai manusia hilang keyakinan diri untuk meneruskan hidup mereka sehingga sanggup mengambil tindakan drastik menamatkan kehidupan mereka sendiri dengan membunuh diri melalui pelbagai cara yang mengerikan.

Akibat kegagalan menangani tekanan hidup mental dan fizikal ,ramai yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri seolah-olah dengan membunuh diri mampu menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

Mereka yang membunuh diri gagal mencari ketenangan,kebahagiaan dan makna hidup yang hakiki.Tanpa pedoman Ilahi dan ajaran agama,hidup mereka terumbang-ambing lantas mudah termakan pujukan syaitan yang senantiasa ingin mengelincirkan manusia dari jalanNya.

Kekuatan hati,spiritual,rohani dan pelbagai aspek dalaman manusia perlu dikukuhkan lebih-lebih lagi dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar ini.

Setiap manusia perlu mengelak dari terperangkap dalam hidup yang tanpa arah tujuan, terlampau asyik dengan kehidupan hedonisme atau hiburan melampau , terlalu mengejar aspek kebendaan atau materialisme,hanyut dengan kemewahan dunia sehingga terlupa persoalan akhirat,dan lupa diri serta lupa tuhan.

Sebagai manusia yang punya tuhan,kita jangan hidup dengan penuh kesedihan semata-mata bahkan perlu sentiasa membahagiakan diri kita dengan cuba meraih cinta tuhan.Hanya dengan mencintai tuhan kita dapat memiliki kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Jangan hidup keseorangan dan sentiasa kesepian kerana kita memiliki tuhan yang sentiasa mencintai hamba-hambaNya yang sentiasa mencintaiNya.

Hidup perlu diteruskan walau sebesarmana masalah yang menimpa kita.Apa jua yang berlaku kepada diri kita pasti ada hikmah tersirat yang kita tidak ketahuinya.Tabahkanlah hati dan bina kekuatan diri kita dengan sentiasa bersyukur kepada tuhan atas segala kurniaanNya.

Jalanilah kehidupan dengan tenang dan sentiasalah bersama-sama dengan mereka yang mampu memberikan ketenangan hidup kepada kita.

Semoga tuhan memberikan kekuatan kepada kita untuk terus menjalani kehidupan dengan ketenangan abadi.



No comments:

Post a Comment