Wednesday, September 01, 2010

Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan perubahan diri ,bulan perubahan sosial,bulan perjuangan dan bulan perpaduan umat Islam.Pada bulan Ramadhan inilah setiap individu muslim diminta untuk meningkatkan kualiti ketaqwaan dan ketauhidan mereka kepada Allah.Kualiti individu yang dilatih dalam madrasah Ramadhan inilah yang diharapkan dapat melakukan perubahan kepada masyrakat sekeliling dan perubahan kepada dunia keseluruhannya.Ternyata bulan Ramadhan ini bukanlah bulan ibadat ritual individu dan bersifat keakhiratan semata-mata bahkan ia mengandungi pesan perubahan sosial kemasyarakatan dan bersifat keduniaan juga.

Sahur

Bangun sahur sangat digalakkan sebagai persediaan awal kekuatan untuk menjalani ibadat puasa seharian.Seawal pagi sebelum solat Subuh,seseorang yang berpuasa bangkit dari tidurnya dan menjamah sedikit makanan-minuman sebagai bekalan mengumpul tenaga membina stamina bagi menjalani kehidupan sehariannya.Sahur ini jugalah merupakan galakan kepada umat Islam membina kekuatan fizikal,mental dan kepentingan menjaga kesihatan diri di samping juga mengandungi pesan tersirat agar setiap individu muslim komited untuk memulakan tugas sehariannya seawal pagi yang mungkin .Ia juga mengajar kita agar lebih cekap dalam menguruskan waktu dan kehidupan.

Berpuasa

Berpuasa mampu mendidik individu untuk sentiasa bersyukur dan merasai sendiri penderitaan orang miskin dan golongan tertindas.Sewajarnya mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan ini lebih bersemangat dan aktif untuk melakukan kerja-kerja sosial,misi kemanusiaan dan kesukarelawanan serta berani melawan segala bentuk kemungkaran-kemaksiatan seperti kemiskinan,kebuluran rasuah,penyelewengan kuasa dan sebagainya.Sasaran akhir berpuasa iaitu peningkatan tahap ketauhidan-ketaqwaan secara menyeluruh kepada Allah inilah yang perlu diterjemahkan setiap individu ke dalam kehidupan seharian.

Berbuka puasa

Berbuka puasa menjadi lambang perpaduan umat Islam di mana semua individu yang berpuasa tanpa mengira dimana mereka berada akan berbuka puasa serentak mengikut waktu yang ditetapkan.Ketepatan waktu dan disiplin pengurusan masa inilah yang diharapkan dapat dikekalkan oleh setiap individu dalam bulan-bulan seterusnya.Penjagaan kesihatan juga sangat ditekankan sewaktu berbuka puasa dimana individu yang berpuasa disarankan mengambil makanan-minuman yang berkhasiat dan tidak melampaui batas yang ditetapkan.Di samping itu juga,mereka yang berpuasa perlu memiliki sifat tolong menolong dengan membantu orang miskin dan mereka yang memerlukan.

Al-Quran

Pada bulan Ramadhan inilah Al-Quran diturunkan sebagai kitab petunjuk kepada manusia.Sebahagian besar mereka yang menjalani ibadat puasa menjadikan membaca Al-Quran sebagai kegiatan harian mereka sepanjang bulan ini.Persoalan memahami makna Al-Quran melalui bacaan terjemahan dan tafsir Al-Quran juga perlu dititikberatkan di samping bukan sahaja memahami teks bahkan konteks penurunan ayat-ayat Al-Quran dan juga kaitannya dengan kehidupan seharian.Al-Quran sebagai kitab petunjuk perlu sentiasa hidup di hati individu muslim dan kehidupan seharian perlulah dijalani berdasarkan pedoman dan intipati Al-Quran.

Solat sunat Terawih

Solat sunat terawih sangat digalakkan ditunaikan secara berjemaah sepanjang bulan Ramadhan.Ia perlu ditunaikan dengan hati yang tenang dan tidak tergopoh-gapah dan menjadi medan kerehatan setelah berpuasa sehari suntuk.Ia juga mengandungi pesan agar umat Islam sentiasa mengimarahkan masjid atau surau,memupuk kasih sayang sesama insan dan mampu menyatupadukan umat Islam tidak kira dimana sahaja mereka berada.Individu yang berpuasa diharapkan sentiasa melakukan amalan-amalan sunat tanpa mengabaikan amalan-amalan fardhu –wajib lainnya.

Semoga bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada bulan Ramadhan yang sebelumnya.Tiada jaminan kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan akan datang.Hanya dengan keikhlasan hati dan kesucian jiwa dalam menjalani ibadat di bulan Ramadhan ini mampu meningkatkan kualiti ketaqwaan-ketauhidan kita kepada Allah.Semoga Allah meredhai segala amalan kita bersama.Amiin.


No comments:

Post a Comment