Monday, July 12, 2010

Catatan perjalanan-Mesyuarat Agung IIFSO,Jakarta 2010

Mesyuarat Agung IIFSO

3 Jun 2010 (Khamis)

Saya,Faisal (Presiden PKPIM)dan Abu Qasim(Naib Presiden Antarabangsa PKPIM) telah mewakili PKPIM untuk menghadiri mesyuarat agung IIFSO pada 4-6 Jun 2010 di Jakarta,Indonesia.

Ketibaan kami di lapangan terbang Sukarno-Hatta disambut oleh Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia(PII),Nasrullah dan anak-anak buahnya .Menaiki van yang disewa pihak PII,kami langsung dibawa ke sebuah restoran untuk makan malam dan menu makan malam kami malam ini ialah nasi uduk yang cukup saya gemari .Malam ini saya dan teman-teman PKPIM sekali lagi menginap di asrama PII setelah menginap disini dalam kunjungan sebelum ini.

4 Jun 2010 (Jumaat)

Seperti biasa,saya berjalan-jalan seorang diri sekitar kompleks PII selepas selesai solat subuh berjemaah di masjid dalam kompleks PII.Jauh juga saya berjalan mengelingi kawasan Manten ini untuk melihat suasana pagi disini disamping bagi mengelakkan tertidur di waktu pagi dan memanfaatkan waktu tatkala berada di negara orang.

Selesai berjalan-jalan,saya ,Faisal dan Abu Qasim bersama teman –teman PII bersarapan di warung makan milik seorang aktivis PII.Menu sarapan pagi kami hari ini ialah makanan dari Palembang,pempe yang juga makanan yang saya suka.

Kami dibawa ke Masjid Istiqlal,antara masjid yang terbesar di Asia Tenggara untuk menunaikan solat Jumaat dan kemudiannya dibawa makan tengahari di sebuah restoran bersama seorang alumni PII dan menu makan tengahari kali ini ialah nasi daging lembu !

Selepas kekenyangan makan tengahari kami kembali ke pejabat PII untuk mengambil barang-barang kami dan kemudiannya teman-teman PII menghantar kami ke Hotel Mercure,Ancol,hotel tempat berlangsungnya mesyuarat agung IIFSO nanti.

Ini merupakan kali kedua saya ke Ancol,sebuah tempat rekreasi terbesar di Indonesia yang juga dianggap sebagai Disneyland Indonesia setelah berpeluang bermain pelbagai permainan rekreasi disini secara percuma dalam program International Youth Gathering sebelum ini.

Sewaktu sesi pendaftaran peserta mesyuarat IIFSO inilah saya berjumpa teman-teman dari SALAM UI dan KAMMI yang turut serta dalam program IYG dahulu.Kebanyakan mereka menjadi urusetia bagi mesyuarat IIFSO kali ini dan ada juga yang menjadi peserta wakil organisasi masing-masing.

Saya ditempatkan sebilik bersama seorang peserta dari Indonesia mewakili HMI dan temannya seorang wartawan akhbar Republika yang membuat liputan sepanjang program IIFSO ini.

Selepas solat maghrib,perasmian mesyuarat IIFSO bermula dengan dihadiri oleh semua perwakilan negara-negara anggota IIFSO dan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian budaya dari Acheh,tarian saman.Sesudah selesai majlis perasmian ,para peserta menjamu makan malam sambil berkenalan antara satu sama lain.Ada yang berbicara dalam Bahasa Inggeris,ada juga dalam Bahasa Arab dan juga Bahasa Perancis disamping Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia.

Saya ,Faisal dan Abu Qasim kemudiaannya bersembang agak panjang dengan wakil Parti Saadat (pimpinan Erbakan) dari Turki bersama-sama seorang penterjemah bahasa dari Mesir.

5 Jun 2010 (Sabtu)

Hari kedua mesyurat IIFSO ini diisi oleh sesi bengkel latihan pembangunan manusia yang disampaikan oleh Prof Dr Ali Alhamadi yang mengupas panjang tentang strategi membangunkan modal insan dan beberapa persiapan yang perlu dilakukan oleh setiap aktivis.

Selepas itu diadakan pula sesi perkongsian pengalaman antara negara-negara peserta dimana setiap wakil negara berpeluang berkongsi pengalaman dan perkembangan umat di negara masing-masing.

Laporan IIFSO bagi sesi sebelum ini turut dibentangkan kepada semua peserta oleh wakil pimpinan IIFSO sesi sebelum ini dan kemudiannya disusuli oleh sesi pencalonan Setiausaha Agung dan Majlis Syura IIFSO yang turut dirancakkan dengan perbahasan dan perdebatan.

6 Jun 2010(Ahad)

Hari ketiga mesyuarat IIFSO diteruskan lagi dengan sesi pemilihan jawatan tertinggi IIFSO ,sesi taaruf peserta ,forum anak muda yang mengupas tentang peranan anak muda dalam melakukan perubahan dan juga sesi bergambar kenang-kenangan.

Dalam majlis penutup mesyuarat IIFSO juga diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu perjuangan oleh kumpulan nasyid terkenal,Shoutul Harakah,persembahan budaya tarian semut,dan para peserta juga diajar untuk bermain angklong beramai-ramai.

Program mesyuarat agung IIFSO ini ditutup dengan nyanyian lagu tentang Palestin beramai-ramai dengan penuh semangat oleh para peserta bersama-sama Shoutul Harakah.

Selesai majlis penutup mesyuarat agung IIFSO dan makan malam,saya bersama-sama Faisal dan Abu Qasim berjalan-jalan makan angin di tepi pantai Ancol dan disini juga kami terserempak dengan beberapa orang peserta dari Algeria lalu bersembang panjang dengan mereka.

7 Jun 2010(Isnin)

Pagi ini semua peserta ‘check out ‘ dari Hotel Mercure,Ancol dan menaiki 2 bas untuk sesi lawatan ke Taman Safari di Bogor.Sepanjang berada dalam bas untuk perjalanan dalam 2 jam dari Ancol ke Bogor,para peserta mengadakan sesi taaruf sekali lagi untuk saling mengenali antara satu sama lain dan juga dihiburkan dengan nyanyian pelbagai lagu oleh peserta pelbagai negara.

Di Taman Safari Bogor ini semua haiwan seperti harimau,gajah,unta,zirafah,dan sebagainya dibiarkan bebas berkeliaran dan tidak dikurung seperti di kebanyakan zoo.Sebaliknya para pelawat taman safari hanya dibenarkan duduk di dalam kenderaan masing-masing sepanjang jelajah di taman safari ini dan ia seolah-olah semua haiwan itulah yang menonton gelagat manusia dan bukannya manusia yang menonton gelagat haiwan-haiwan tersebut.

Para peserta berada lebih 2 jam di Taman Safari Bogor ini dan disini kami makan tengahari dan kemudiannya diberi waktu untuk membeli belah .Selepas melawat Taman Safari di Bogor,sebahagian dari peserta menaiki bas langsung menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke nagara masing-masing dan sebahagian yang lain kembali ke hotel tempat penginapan.

Saya,Faisal dan Abu Qasim bersama-sama para peserta mesyurat agung IIFSO yang belum pulang diberi penginapan di Hotel Aston Marina walaupun pada mulanya kami bercadang untuk bermalam di pejabat PII.

8 Jun 2010(Selasa)

Selepas sarapan pagi,saya ,Faisal dan Abu Qasim dijemput oleh teman-teman PII untuk ke pejabat PII sekali lagi dan disini juga saya bertemu dengan seorang sahabat yang pernah berprogram bersama-sama (Temu Pemuda Serantau 2007),Shubhi.Kami telah berjanji untuk bertemu disini memandangkan Shubhi ingin menyerahkan beberapa buah buku yang dipesan oleh Akmal Hisham(Exco ABIM) dan juga buku baru yang saya pesan dari Shubhi ‘Membangun peradaban dengan ilmu’ dimana Shubhi merupakan ketua editor buku ini.Kami makan tengahari bersama sambil berdiskusi beberapa perkara berkaitan intelektual dan ilmu.

Selepas bertemu Shubhi,saya ,Faisal dan Abu Qasim dibawa pula oleh teman-teman PII ke Departmen Agama untuk menziarahi Pengarah Pendidikan Islam Department Agama Indonesia,Dr Imam Talhah yang juga merupakan mantan aktivis PII.Kami sempat berbincang bersama Dr Imam Talhah tentang isu pendidikan islam serta perbandingan antara Malaysia-indonesia dalam aspek pendidikan dan Dr Imam Talhah juga menghadiahkan PKPIM buku tulisan beliau bertajuk ‘Islam,Agama dan Perdamaian”.

Teman-teman PII kemudiannya membawa kami ke rumah Zaid Makarma(mantan Ketua Umum PII dan SU PEPIAT(Pesekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara) di Bogor.Di rumah Zaid Makarma ini kami dijamu dengan pelbagai makanan Indonesia yang sangat sedap dan Zaid Makarma juga menghadiahkan buku ‘Manajement Nafsu’ tulisan Khomeini.

Dari Bogor kami bergegas ke lapangan terbang memandangkan kami akan menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur.Saya ,Faisal dan Abu Qasim agak lewat tiba di lapangan terbang dan sebaik sahaja ‘check in’ tiket kami berlari sekuat mungkin menuju ke dewan menunggu pesawat dan mujur kami sempat menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur.

Abu Qasim terus pulang ke rumahnya di Seremban sebaik sahaja tiba di LCCT manakala saya dan Faisal terus menuju ke KL Sentral dan malam itu kami tidur di tempat menunggu dalam KL Sentral sehingga awal pagi keesokan harinya dan kemudiannya terus ke pejabat PKPIM di Gombak.

No comments:

Post a Comment