17 April 2010-
Saya dan beberapa orang pimpinan PKPIM telah dijemput untuk menghadiri satu majlis makan malam yang turut disertai oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan Sasterawan Negara,Dato A Samad Said.
Kami sebenarnya baru sahaja selesai menghadiri persidangan meja bulat isu buang bayi anjuran Hal Ehwal Wanita(HEWI) PKPIM di UIAM ,Gombak ketika itu dan kemudiannya terus menaiki kereta menuju ke majlis makan malam tersebut.
Saya dan pimpinan PKPIM yang lain duduk satu meja dengan Dato A Samad Said yang lebih dikenali sebagai sasterawan rakyat ,isterinya , Prof Shahril Mat Zain(pakar Matematik dan pejuang Bahasa Melayu) dan Dr Alinor(pensyarah universiti,pejuang Bahasa Melayu).
Sebaik sahaja Dato Seri Anwar Ibrahim tiba,beliau bersalaman dengan para hadirin termasuk kami dan makan di tempat duduk -meja yang disediakan.
Tanpa disangka-sangka selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim meluru ke meja kami dan duduk bersebelahan dengan saya.Beliau bersembang-sembang dengan Prof Shahril Mat Zain dan dengan kami semua.Beliau menjawab beberapa tuduhan yang sedang hangat minggu itu yang mendakwa beliau menyebarkan faham pluralisme di Malaysia .
Selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato A Samad Said buat pertama kalinya berduet mendeklamasikan puisi karya Dato A Samad Said ,Pelamin kuasa yang menyindir segelintir ahli politik yang mengkhianati amanah dan tanggungjawab mereka.
Di bawah ini saya sertakan puisi Pelamin Kuasa karya Sasterawan Rakyat,Dato A Samad Said:-
PELAMIN KUASA
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba
atau digalak bangsawan memetakan hidup kita.
Hemah sejarah telah mencatat hikayat perang
banyak merakami watak begini yang sering menang.
Menara kuasa yang diregangi niagawan lapar
selalu serasi berkongsi dengan bangsawan gusar.
Mereka sekedar pelolong janji sedap diucap—
resah bangsa kayak untuknya saja menikmat kecap.
Mereka berkucup kuasa lepas pilihanraya,
mencanang wawasan terjempol pemimpin rasukannya.
Awal kuasa diumum kempisnya saku mereka;
akhir tahta jarang pula disebut boyot hartanya.
Mereka pengilham pintar projek sekembung belon,
menggendut bahasa tuan arca semewah bilion.
Lidah ibunda sengaja dilucai kacip kuasa,
malah diseret keluar istana Akta Bahasa.
Khazanah kita titisan peluh nelayan, petani,
peladang dan pekerja berbahasa bunda sejati.
Mereka setulus hati merenda sejarah diri,
membabat ayat yang sudah amat lama digergaji.
Kini kelompok berdarjat ghairah menyemai dinasti,
bumi seolah sahamnya saja untuk dibahagi.
Gelodak peristiwa hanya penaka silap mata
giur catur yang bersimpang-siur di jalur kuasa.
Mereka ini Lini baru dalam songket Melayu,
berdakap hajat bercapal dan bersongkok SiHit baldu.
Mereka hartawan boyot di pentas wira haloba,
niagawan bangsawan yang pintar perkuda kuasa.
Mereka telah dibekalkan semontel-montel dana,
tampaknya makin bernafsu menoreh lidah moyangnya.
Niagawan dan bangsawan kini bersanding kuasa
menjamu projek dan meratah dana semewahnya.
Rakyat perlu menghakis mimpi yang terlalu buana
supaya tak segelintir saja menogok kuasa.
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba;
usah digalak kuasawan terus menconteng peta.
No comments:
Post a Comment