Friday, May 28, 2010

PKPIM dan Selatan Thailand...

Selatan Thailand,Palestin Asia Tenggara.

Itulah yang selalu ditekankan dalam kebanyakan program PKPIM apabila membicarakan persoalan Selatan Thailand.Ramai yang peka dengan isu Palestin tetapi kadangkala terlupa kepada isu Selatan Thailand walaupun nasib rakyat di sana tidaklah jauh berbeza antara keduanya dan Selatan Thailand pula dari segi jaraknya dengan Malaysia jauh lebih dekat berbanding jarak Malaysia -Palestin.

Dalam menangani isu Selatan Thailand ini pula cukupkah kita sekadar berdemonstrasi di hadapan kedutaan Thailand dan kemudiannya terus diam tidak membuat apa-apa pun?

Maka sebab itulah PKPIM di bawah Naib Presiden Antarabangsa telah memberikan fokus utama kepada isu Selatan Thailand dan penekanan utama pastinya kepada pembangunan pendidikan anak muda di Selatan Thailand.

PKPIM telah menganjurkan beberapa program khusus untuk anak muda Selatan Thailand.Beberapa aktivis PKPIM telah dihantar ke Selatan Thailand untuk mengendalikan program-program pendidikan seperti menjadi fasilitator dalam kem motivasi pelajar dan mengajar Bahasa Inggeris.

PKPIM juga telah menghantar wakil ke Selatan Thailand untuk menghadiri sambutan ulang tahun tragedi Tak Bai.

Menaiki bas dari KL ke Rantau Panjang,Kelantan terus menaiki bot perahu melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan terpaksa mengharungi berpuluh-puluh pemeriksaan ketat askar Thailand. Memang ada risiko dan agak berbahaya mengunjungi wilayah bergolak seperti Selatan Thailand.Pembunuhan,penculikan,bom di sana sini perkara biasa di sana,namun aktivis PKPIM tetap berani demi satu perjuangan.

Selain itu juga PKPIM dengan kerjasama persatuan pelajar Islam di Selatan Thailand telah mengadakan program motivasi di Malaysia.Anak-anak muda dari Selatan Thailand dibawa ke Malaysia untuk dilatih oleh para aktivis PKPIM dengan fokus utama untuk menghilangkan trauma,membina keyakinan diri dan penekanan kepada budaya ilmu.

Kita percaya dengan misi jangka panjang melalui pembangunan pendidikan mampu merubah nasib umat Islam di Selatan Thailand kelak.

Pelamin Kuasa....

17 April 2010-

Saya dan beberapa orang pimpinan PKPIM telah dijemput untuk menghadiri satu majlis makan malam yang turut disertai oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan Sasterawan Negara,Dato A Samad Said.

Kami sebenarnya baru sahaja selesai menghadiri persidangan meja bulat isu buang bayi anjuran Hal Ehwal Wanita(HEWI) PKPIM di UIAM ,Gombak ketika itu dan kemudiannya terus menaiki kereta menuju ke majlis makan malam tersebut.

Saya dan pimpinan PKPIM yang lain duduk satu meja dengan Dato A Samad Said yang lebih dikenali sebagai sasterawan rakyat ,isterinya , Prof Shahril Mat Zain(pakar Matematik dan pejuang Bahasa Melayu) dan Dr Alinor(pensyarah universiti,pejuang Bahasa Melayu).

Sebaik sahaja Dato Seri Anwar Ibrahim tiba,beliau bersalaman dengan para hadirin termasuk kami dan makan di tempat duduk -meja yang disediakan.

Tanpa disangka-sangka selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim meluru ke meja kami dan duduk bersebelahan dengan saya.Beliau bersembang-sembang dengan Prof Shahril Mat Zain dan dengan kami semua.Beliau menjawab beberapa tuduhan yang sedang hangat minggu itu yang mendakwa beliau menyebarkan faham pluralisme di Malaysia .

Selepas itu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato A Samad Said buat pertama kalinya berduet mendeklamasikan puisi karya Dato A Samad Said ,Pelamin kuasa yang menyindir segelintir ahli politik yang mengkhianati amanah dan tanggungjawab mereka.

Di bawah ini saya sertakan puisi Pelamin Kuasa karya Sasterawan Rakyat,Dato A Samad Said:-

PELAMIN KUASA

Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba
atau digalak bangsawan memetakan hidup kita.
Hemah sejarah telah mencatat hikayat perang
banyak merakami watak begini yang sering menang.
Menara kuasa yang diregangi niagawan lapar
selalu serasi berkongsi dengan bangsawan gusar.
Mereka sekedar pelolong janji sedap diucap—
resah bangsa kayak untuknya saja menikmat kecap.

Mereka berkucup kuasa lepas pilihanraya,
mencanang wawasan terjempol pemimpin rasukannya.
Awal kuasa diumum kempisnya saku mereka;
akhir tahta jarang pula disebut boyot hartanya.
Mereka pengilham pintar projek sekembung belon,
menggendut bahasa tuan arca semewah bilion.
Lidah ibunda sengaja dilucai kacip kuasa,
malah diseret keluar istana Akta Bahasa.


Khazanah kita titisan peluh nelayan, petani,
peladang dan pekerja berbahasa bunda sejati.
Mereka setulus hati merenda sejarah diri,
membabat ayat yang sudah amat lama digergaji.
Kini kelompok berdarjat ghairah menyemai dinasti,
bumi seolah sahamnya saja untuk dibahagi.
Gelodak peristiwa hanya penaka silap mata
giur catur yang bersimpang-siur di jalur kuasa.

Mereka ini Lini baru dalam songket Melayu,
berdakap hajat bercapal dan bersongkok SiHit baldu.
Mereka hartawan boyot di pentas wira haloba,
niagawan bangsawan yang pintar perkuda kuasa.
Mereka telah dibekalkan semontel-montel dana,
tampaknya makin bernafsu menoreh lidah moyangnya.
Niagawan dan bangsawan kini bersanding kuasa
menjamu projek dan meratah dana semewahnya.

Rakyat perlu menghakis mimpi yang terlalu buana
supaya tak segelintir saja menogok kuasa.
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba;
usah digalak kuasawan terus menconteng peta.

Presiden PKPIM dilantik sebagai SU PEPIAT

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM),Muhammad Faisal Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) bagi sesi 2010-2012 bagi menggantikan mantan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia(PII),M.Zaid Markarma.

Perlantikan ini dibuat dalam KONVENSYEN PEPIAT 2010 dan BENGKEL STRATEGIK PELAJAR ISLAM ASIA TENGGARA yang diadakan baru-baru ini(24-25 Mei 2010) di Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.

Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) adalah sebuah organisasi yang menghimpunkan persatuan pelajar Islam yang utama dari negara-negara di Asia Tenggara.

Sehingga April 2010, PEPIAT dianggotai oleh Malaysia-Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Indonesia-Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII), Himpunan Mahasiswa Islam(HMI), Singapura-Federation of Muslim Students Association (FMSA), National University of Singapore Muslim Students (NUSMS), Thailand-Thailand Muslim Students Association (TAMSA), Kemboja-Persatuan Pelajar Muslim Kemboja (CAMSA), dan Myammar-Myammar Muslim Students Association.

Friday, May 21, 2010

Sudut Pidato....


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) menyokong penuh kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah,yang meminta institut pengajian tinggi tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang meluahkan pandangan berbeza dengan arus perdana dan dasar kerajaan ketika berdebat di Sudut Pidato.

Antara punca sudut pidato tidak mendapat sambutan di universiti ialah kerana terlalu banyak peraturan dan arahan yang seolah-olah menghalang mahasiswa untuk bebas mengutarakan pandangan mereka dalam apa jua isu secara bertanggungjawab.

Mereka yang agak kritis dengan dasar kerajaan atau pihak pentadbiran universiti seringkali dicop sebagai pembangkang yang hanya tahu membangkang semata-mata.

Mahasiswa seakan-akan dinafikan hak untuk berbeza pandangan dengan pihak pentadbiran universiti dan segala lontaran idea dan pemikiran yang dilihat mencabar ‘status-quo’ seringkali dilihat mengancam kepada pihak pentadbiran.Padahal mahasiswa perlulah diberi kebebasan untuk meluahkan isi hati mereka dan mereka sebenarnya bersuara atas nama mahasiswa dan bukannya menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Sudut pidato tidak perlu diletakkan di bawah hal ehwal pelajar(HEP) sesebuah universiti dengan pelbagai prosedur yang seakan-akan memperlekehkan tahap pemikiran dan intelektual mahasiswa bahkan mahasiswa sendiri perlu bebas mengendalikan sendiri sudut pidato tersebut.

PKPIM yakin dengan kebebasan mengendalikan sudut pidato secara bertanggungjawab ini mampu meningkatkan kualiti mahasiswa terutamanya dari aspek berfikiran kritis,berdebat,berhujah,dan berani mempertahankan kebenaran.

Kita perlu yakin bahawa sudut pidato ini diperkenalkan bukan semata-mata sekadar hiasan atau lambang keterbukaan pihak universiti dan juga bukan sekadar medan mahasiswa melontarkan kata-kata tetapi juga sebagai medan mahasiswa melontarkan kebijaksanaan berasaskan ilmu .




Monday, May 10, 2010

Budaya pemakanan sihat.Pantau makanan ringan.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) memandang serius pengabaian budaya pemakanan sihat terutamanya di kalangan pelajar sekolah di Malaysia.Melihat situasi sekarang,para pelajar semenjak di sekolah rendah bahkan di tadika sudah terdedah kepada makanan-makanan ringan.Dan apa yang lebih menyedihkan lagi tatkala melihat para pelajar terus menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik sahaja keluar dari pagar sekolah.

Para pelajar terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang dan ini pastinya mengancam kesihatan bahkan memberi kesan kepada pemikiran para pelajar.

Ia juga merupakan satu pembaziran apabila duit yang dibekalkan oleh ibubapa kepada para pelajar ‘hangus’ dibelanjakan semata-mata untuk membeli makanan ringan .

Para pelajar sepatutnya dijaga pemakanan mereka dan dipastikan mereka hanya makan makanan yang terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan,sayur sayuran, ,susu segar ,banyak meminum air masak dan lain-lain lagi

Kebanyakan makanan ringan masa kini sedikit khasiatnya,tinggi kadar gula, pewarna dan perisa tiruan dan selalunya mengakibatkan ketagihan serta pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi,obesiti,buah pinggang dan lain-lain.

Kesan awal dari pengambilan makanan ringan ini dapat kita lihat di sekolah apabila para pelajar kelihatan lesu tidak bermaya,mudah letih, ,tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Oleh kerana itu,PKPIM berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan para pelajar di Malaysia.Para ibubapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan samada di koperasi sekolah mahupun di luar pagar sekolah.Para peniaga juga jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan ringan sesuka hati tanpa mengira kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan di kalangan pelajar.

Nasihat dari pakar-pakar pemakanan seimbang, pakar kesihatan dan persatuan-persatuan pengguna perlulah didengari agar para pelajar di Malaysia tidak mengalami pelbagai penyakit semenjak usia yang masih muda akibat mengabaikan budaya pemakanan sihat.


Lagu Judi untuk pendokong judi,,,

Judi (judi), menjanjikan kemenangan
Judi (judi), menjanjikan kekayaan
Bohong (bohong), kalaupun kau menang
Itu awal dari kekalahan
Bohong (bohong), kalaupun kau kaya
Itu awal dari kemiskinan

Judi (judi), meracuni kehidupan
Judi (judi), meracuni keimanan
Pasti (pasti), karena perjudian
Orang malas dibuai harapan
Pasti (pasti), karena perjudian
Perdukunan ramai menyesatkan


Demikianlah sedutan lirik lagu berjudul Judi nyanyian raja dangdut Indonesia,Rhoma Irama. Saya mendengar kembali lagu Judi ini tatkala mendapat tahu cadangan Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 nanti. Saya tidak pasti samada Timbalan Menteri Kewangan,Datuk Awang Adek Hussein pernah mendengar lagu ini atau tidak.Entah Dato Seri Najib Tun Razak pernah mendengar lagu Judi ini atau belum pernah ,saya pun tidak tahu.

Saya yakin majoriti rakyat Malaysia hanya ingin menyaksikan aksi hebat pasukan bolasepak pilihan mereka dan bukannya mahu berjudi .Yang mahu berjudi itu hanyalah kaki judi.Di Malaysia saya percaya kaki bola lebih ramai daripada kaki judi.Namun begitu jika cadangan Kementerian Kewangan tersebut diterima maka tidak mustahil kaki judi di Malaysia lebih ramai daripada kaki bola kelak.Bahkan Kementerian Kewangan juga tidak mustahil bakal dikuasai oleh kaki judi juga nanti.Mungkin ketika itu akan timbul cadangan agar ditukar nama Kementerian Kewangan kepada Kementerian Judi.Entahlah,saya pun tak tahu apa yang bakal terjadi.

Yang paling bergembira dengan lontaran cadangan lesen ‘judi halal’(?) tersebut pastinya tauke-tauke judi.’Rezeki jangan ditolak !’;Mungkin itu kata mereka.Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini.Saya hanya mahu menyambung nyanyian lagu Judi oleh Rhoma Irama.Ayuh ramai-ramai nyanyikan lagu judi buat pendokong judi......


‘‘Apa pun nama dan bentuk judi
Semuanya perbuatan keji
Apa pun nama dan bentuk judi
Jangan lakukan dan jauhi
Judi ‘’


Saturday, May 01, 2010

Pelancaran UM Centre of Democracy and Elections dan Forum Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa

Pada 14 April 2010 bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM ,UMCEDEL-UM Centre of Democracy and Elections secara rasminya telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,Dato Saifuddin Abdullah.

UMCEDEL ini merupakan ‘one stop center’ bagi kajian demokrasi dan pilihanraya dan akan memberi fokus kepada beberapa topik kajian seperti sosiologi politik,media dan pilihanraya,politik antarabangsa,politik serantau,geografi pilihanraya,wanita dan pilihanraya dan lain-lain lagi.Maklumat lanjut tentang UMCEDEL ini boleh didapati dalam laman web UMCEDEL(http://umcedel.um.edu.my/)

Sebaik sahaja pelancaran UMCEDEL ini,satu forum bersejarah bertajuk Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa telah diadakan dengan 4 orang panel mewakili parti politik yang berlainan iaitu Ahli Parlimen Temerloh(BN-Majlis Tertinggi UMNO) merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,YB Saifuddin Abdullah,Ahli Parlimen Rasah(Ketua Pemuda DAP) YB Anthony Loke Siew Fook,Ahli Parlimen Kubang Kerian(Naib Presiden PAS) YB Solahudin Ayub dan Ahli Parlimen Machang(Setiausaha Agung PKR)YB Saifuddin Nasution.Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM,Prof Dr Redzuan Osman telah bertindak selaku moderator forum.

Dalam ucapan pendahuluannya,Prof Dr Redzuan Osman mengucapkan penghargaan kepada Naib Canselor UM,Dato Dr Gouth Jasmon atas kesudian beliau membenarkan forum bersejarah ini diadakan.Selepas hampir 20 tahun,forum yang menampilkan panelis dari parti-parti politik termasuk parti pembangkang akhirnya diizinkan untuk diadakan di kampus.Mengikut Prof Redzuan Osman,Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial inilah suatu ketika dahulu menajdi pentas pelbagai aktiviti mahasiswa dan menyaksikan kehadiran tokoh parti pembangkang seperti Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan ramai lagi dalam siri diskusi anjuran mahasiswa sendiri suatu ketika dahulu.

Bagi beliau,tujuan diadakan forum ini ialah untuk menghidupkan kembali suasana akademik di kampus dan mendedahkan kepada seluruh mahasiswa tentang ilmu-ilmu politik dan pemahaman demokrasi.Beliau berharap mahasiswa yang ingin menyertai politik suatu masa nanti masuk politik atas dasar faham demokrasi dan bukannya menjadi pengampu semata-mata.Beliau juga menyelar sikap segelintir pensyarah yang masuk tv hanya untuk mengampu.Pada pandangan beliau juga mahasiswa sepatutnya bebas memilih untuk masuk ke mana-mana parti politik dan oleh kerana itu beliau meminta semua pihak agar tidak merendahkan wibawa mahasiswa dan memberi ruang mahasiswa untuk berfikir.

Beliau juga mengulas tentang penganjuran Speaker corner’s sekarang yang mana bagi beliau tidak sepatutnya menetapkan syarat penyediaan teks terlebih dahulu.

YB Dato Saifuddin Abdullah pula meyambut baik kehadiran 3 orang panelis dari parti pembangkang dan menganggap mereka antara ahli parlimen pembangkang yang berbahas dengan baik tatkala sesi persidangan parlimen berlangsung.Dalam ucapan beliau,Dato Saifuddin melahirkan rasa kerisauannya dengan kisah banyaknya kerusi menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kampus disamping rendahnya peratus keluar mengundi di kalangan mahasiswa sewaktu pilihanraya kampus.

Bagi beliau ini merupakan satu penyakit politik dan beliau berharap semua pihak berusaha menghakupaya mahasiswa yang mempunyai permintaan tersendiri disamping menyedari bahawa mereka mengharapkan permintaan asas mereka dipenuhi seperti ingin suara mereka didengari,peranan mereka diiktiraf dan menangani isu-isu berorientasi mahasiswa.Mahasiswa menurut beliau lagi bukan sahaja pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari ini sebagai contoh memimpin orang yang lebih muda daripada mereka,memimpin mereka yang seangkatan dengan mereka disamping menjadi rakan kepimpinan dalam universiti,negara atau kerajaan.

Beliau juga menggalakkan mahasiswa agar terus menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersifat bakti berpanjangan serta tidak melupakan aspek advokasi atau mempengaruhi keputusan dimana ini merupakan perbezaan utama antara gerakan mahasiswa dengan persatuan-persatuan biasa.

Bagi Dato Saifuddin juga demokrasi bukan sekadar pilihanraya semata-mata dan beliau berharap akan wujudnya ekosistem politik baru yang berasaskan integriti-idealisme,politik ilmu berbanding politik ampu,politik hikmah berbanding politik fitnah dan beliau merasakan rakyat bukanlah memberi keutamaan kepada aspek siapa yang menang dalam pilihanraya tetapi yang lebih penting ialah kewujudan kerajaan yang baik.

Beliau juga mengkritik sikap segelintir ahli parlimen sendiri yang kurang bersopan dan berhikmah sewaktu persidangan Parlimen bahkan ada juga yang suka menjerit-jerit sehingga mengganggu perjalanan sidang Parlimen.Beliau juga mengharapkan kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan,kelompok ahli perniagaan dan juga masyrakat sivil di samping menekankan penyertaan anak muda seperti mahasiswa dalam bersama-sama membangun negara.

Dalam sesi soal-jawab pula,beliau mengupas tentang kepentingan memperkasakan institusi parlimen dan juga menyatakan bahawa beliau kurang bersetuju dengan sistem bagaimana ahli parlimen berdebat rancak dalam sesuatu isu tetapi akhirnya terpaksa mengundi mengikut blok parti yang diwakili masing-masing.Beliau mengharapkan ada anjakan dalam membenarkan ahli parlimen untuk mengundi berasaskan kesedaran dan pilihan mereka sendiri.

Menjawab persoalan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) pula beliau menjelaskan lantikan Naib Canselor,Timbalan Naib Canselor,Dekan dan sebagainya kini bukan lagi atas lantikan menteri bahkan atas lantikan jawatankuasa pemilihan tersendiri. Soal tafsiran tentang AUKU juga dikupas oleh beliau dan beliau sekali lagi menegaskan bahawa yang tidak boleh dalam AUKU sebenarnya tidak banyak iaitu seperti terlibat dalam parti politik ,kesatuan kerja atau pertubuhan haram sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar pilihanraya kampus dikendalikan sendiri oleh para mahasiswa memandangkan ia merupakan satu proses pendidikan politik buat mahasiswa.

Dato Saifuddin Abdullah menutup bicara beliau dengan memetik tulisan cendekiawan dan tokoh pemikir,Profesor Syed Mohamad Naquib Al-Attas serta mengajak semua pihak agar membawa kembali roh dalam universiti,penghayatan budaya ilmu,dan makna universiti.

YB Anthony Low pula mengupas tentang peripentingnya kebebasan akademik dan kebebasan berfikir di kampus.Bagi beliau demokrasi merupakan satu proses penglibatan rakyat dalam sistem dan setiap undang-undang atau akta yang ingin ditetapkan perlu mendapat maklum balas masyarakat.

Beliau menekankan persoalan pemikiran kritikal di kalangan mahasiswa dan berharap mahasiswa menyedari bahawa mereka perlu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pengikut sahaja.Proses pembinaan minda sepanjang berasa 3-4 tahun di kampus universiti perlu dimanfaatkan dan YB Anthony menganggap budaya mengejar ilmu di kalangan mahasiswa sekarang masih tidak cukup.Pada pendapat beliau,kalau dahulu mereka terlampau terikut dengan 3 M iaitu menulis,membaca,mengira dan kurang satu M lagi iaitu memikir kini mereka terikut pula dengan 3 M yang lain iaitu menyalin nota,menghafaz nota dan kemudiaanya memuntahkannya dalam peperiksaan.Beliau menekankan juga kepentingan perbincangan akademik di kalangan mahasiswa agar mereka dapat berbahas dan berbincang untuk percambahan idea disamping mampu menganalisis dan mengkritik maklumat berasaskan pemikiran kritikal.

Beliau juga mengupas persoalan AUKU dan menekankan kepentingan memansuhkan AUKU yang dilihat mampu melahirkan ketakutan psikologi kepada mahasiswa dan menurut beliau juga AUKU sebagai cubaan mengasingkan mahasiswa dengan politik secara sistematik.Beliau menimbulkan persoalan mengapa politik dilihat bahaya kepada mahasiswa.Beliau juga mengambil contoh bagaimana kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim di kampus sebuah universiti di London sebelum ini yang menyaksikan dewan dipenuhi oleh limpahan pelajar Malaysia dan negara lain yang ingin hadir mengikuti ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim.Bagi YB Anthony,sistem di kampus Malaysia perlu lebih terbuka dan perlu menganggap sebarang kritik mahasiswa sebagai satu harapan mereka yang mahu sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Mahasiswa menurut beliau juga merupakan suara pemantau pemerintah dan beliau menyarankan agar lebih banyak seminar,debat antara mahasiswa dan forum-forum dianjurkan sendiri oleh mahasiswa memandangkan ini juga dapat membantu para mahasiswa membina jaringan komunikasi dengan pihak luar.Beliau juga mengharapkan setiap IPT di Malaysia mendapat peluang yang sama seperti penganjuran forum ini.

Dalam sesi soal jawab pula,YB Anthony menegaskan apa yang lebih penting bagi mencipta kampus yang lebih terbuka dan kebebasan akademik bukannya jaminan individu tetapi jaminan undang-undang dan institusi dalam kampus itu sendiri.Kebebasan yang dituntut ini pula bukanlah kebebasan mutlak dan terlampau mengikut modul luar negara tetapi ia tetap mengetahui batasan sempadan kebebasan .Apa yang penting juga ialah memperkasakan institusi demokrasi itu sendiri seperti memperkasakan parlimen dan media.Beliau mengkritik penamatan program Debat Perdana yang pernah disiarkan secara langsung di television pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu dan juga berkenaan penapisan soal jawab dalam persidangan parlimen terhadap ucapan ahli parlimen pembangkang oleh RTM 1

YB Solahudin Ayub pula menekankan kepentingan mempejuangkan hak mahasiswa.Beliau berharap semua pihak tidak melayan pensyarah seperti guru sekolah dan juga tidak melayan mahasiswa seperti budak-budak sekolah.Anak muda pada era digital ini mengikut YB Solahudin perlu juga memiliki pemikiran digital dan mereka perlu menggelakkan diri mereka daripada diperbodoh,diperkecil dan ditakut-takutkan.Mereka perlu berani untuk suarakan kebenaran dan mendirikan integriti dalam setiap jiwa.

YB Solahudin juga menegaskan betapa kampus universiti telah terkebelakang 20 tahun dan mempersoalkan berapa ramai mahasiswa yang sudah menjadi mangsa sehingga hilangnya daya juang.Beliau mengkritik sikap sesetengah pihak yang seakan-akan melihat mahasiswa sebagai musuh negara.Bagi beliau semua pihak perlu menjadikan mahasiswa kelompok terpenting masyarakat dan menghargai setiap langkah dan pandangan mereka.

Beliau juga menceritakan bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat kali ini masuk ke parlimen bukan sekadar membangkang semata-mata tetapi mahu memberikan pandangan,idea dan wawasan yang konstruktif.

Beliau juga mengulas tentang dasar pelajaran negara yang masih bergantung kepada Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang bagi beliau sudah tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula dan beliau menimbulkan persoalan mengapa tidak diwujudkan Penyata Hishamudin atau Penyata Muhyiddin?

YB Solahudin juga membuat perbandingan antara sukatan pelajaran matapelajaran Sejarah di Malaysia dan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat.Di Amerika Syarikat mengikut beliau para pelajar semenjak di bangku sekolah didedahkan dengan isu-isu besar dalam matapelajaran Sejarah seperti isu Watergate,jatuh bangun Wall Street berbanding pelajar SPM di Malaysia yang bagi beliau lebih kepada menghafaz sejarah.Beliau mengharapkan dasar pendidikan yang lebih relevan masa kini diwujudkan segera disamping menegaskan bahawa AUKU mesti dimusnahkan.

Beliau juga mengharapkan padang permainan yang sama rata dalam pertarungan antara Barisan Nasional-UMNO di mana pemimpin BN-Umno dibenarkan masuk ke universiti,oleh kerana itu kerajaan juga perlu memberi pemimpin Pakatan Rakyat peluang untuk masuk ke universiti juga.

Teori ibnu khaldun dalam karyanya Muqaddimah tentang pusingan manusia juga dikupas oleh YB Solahudin dan mengambil contoh bagaimana Obama yang berkulit hitam mampu akhirnya menjadi Presiden Amerika suatu yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat Amerika dahulu.

YB Solahudin juga melahirkan rasa kecewanya dengan satu kajian yang mendapati ramai pelajar tahun akhir di universiti tidak memahamii isu-isu seperti Dasar Ekonomi Baru,liberalisasi ekonomi,IFC dan lain-lain akibat tidak berminat dengan isu-isu politik dan tidak ambil tahu tentang isu-isu semasa.

Beliau juga menceritakan bagaimana persaingan syarikat gergasi Jepun iaitu Honda dan Toyota yang mengeluarkan geran pendidikan-penyelidikan bagi menjual kereta-kereta Jepun bagi menyaingi kereta keluaran Korea seperti Hyundai-KIA dalam pasaran jualan kereta di seluruh dunia.Di samping itu juga beliau mengupas berkenaan kebangkitan gergasi ekonomi ,China dan betapa pentingnya Presiden Obama untuk mengeratkan hubungannya dengan Presiden China Hu Jintou bagi manfaat Amerika dan China berdasarkan ulasan majalah Time edisi terbaru.

Dalam sesi soal jawab pula YB Solahudin Ayub menekankan kepentingan mengangkat martabat,integriti dan wibawa Parlimen dan beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan Thailand membayar gaji 2 orang penyelidik bagi setiap ahli parlimen Thailand samada dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

YB Saifuddin Nasution pula memulakan ucapannya dengan menetapkan KPI bagi kejayaan forum ini kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial,Prof Dr Redzuan Osman dan Universiti Malaya keseluruhannya iaitu pada masa akan datang diadakan pula forum yang menampilkan Dato Seri Najib Tun Razak,Dato Seri Anwar Ibrahim,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Universiti bagi beliau merupakan satu gedung ilmu dan warga universiti mepunyai daya intelektual yang tinggi.Oleh kerana itu beliau menolak sebarang usaha ugutan,sekatan,tekanan dan penafian hak kepada warga universiti keseluruhannya.Beliau menegaskan pemerintah bukannya lebih tahu segalanya dan rakyat hanya perlu menerima bulat-bulat sahaja dan disebabkan itu sesiapapun tidak boleh menyekat hak –hak rakyat seperti hak berpersatuan,hak berhimpun dan hak untuk berbeza pandangan dengan mana-mana pihak.

Menyentuh tentang demokrasi pula bagi beliau pilihanraya merupakan pesta demokrasi dan oleh kerana itu mahasiswa tidak perlu dihalang untuk terlibat dalam pesta demokrasi ini namun begitu perlulah memakai ‘jersi’ mahasiswa.Beliau menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakannya sewaktu memimpin mahasiswa suatu ketika dahulu yang terlibat dalam pilihanraya dengan mengadakan program pidato Pentas Siswa .

YB Saifuddin juga membuat perbandingan keterlibatan mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam pilihanraya dengan mengambil contoh bagaimana mahasiswa Indonesia yang memonopoli kaca television Indonesia sewaktu kempen Pemilu Indonesia untuk memberi komen dan kritik terhadap dasar kerajaan .Beliau menegaskan ,biar parti berlawan,rakyat dapat manfaat.

Beliau juga mengulas isu-isu semasa di Malaysia selepas kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke Amerika seperti isu hubungan Amerika-Asean,akta perdagangan strategic,Model Ekonomi Baru ,isu bantuan kepada Afghanistan, isu nuklear Iran,dan isu perunding komunikasi APCO.

Beliau berharap para pengundi muda untuk turun ke pilihanraya kecil Hulu Selangor nanti.

Dalam sesi soal jawab pula beliau menegaskan kepentingan peranan kepimpinan universiti yang merupakan faktor kritikal bagi menegakkan tradisi keilmuan di universiti.Beliau mengupas juga tentang sejarah penubuhan universiti , bagaimana kehebatan ilmu dan kepentingan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan ilmu dan universiti serta menekankan betapa pentingnya membudayakan ilmu dalam politik.

Penganjuran forum ini merupakan langkah awal upaya pencerahan kepada warga universiti ,proses keterbukaan dan kebebasan akademik bagi memberi makna kepada kewujudan universiti sebagai satu tempat pertarungan idea dan pemikiran.Semoga pihak universiti lebih terbuka dalam membenarkan penganjuran forum-forum intelek sebegini.