Menjernihkan hubungan rakyat beragama
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dan serangan terhadap beberapa buah gereja ternyata membibitkan perasaan gusar kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan menimbulkan persoalan apakah hubungan antara penganut agama di Malaysia khususnya yang beragama Islam dan Kristian semakin retak?
Semua penganut agama sepatutnya berfikir ,bertafakur dan merenung sejenak apakah mereka telah melakukan sesuatu yang menggugat sensitiviti penganut agama lain.Mungkinkah tanpa disedari kita telah melakukan provokasi terhadap penganut agama lain?.Barangkali akibat kurangnya pemahaman terhadap ajaran ,dan nilai teras agama lain menyebabkan kita seringkali terjerumus ke kancah kekeliruan dalam beragama yang mampu mengganggu gugat hubungan harmoni antara penganut agama di negara kita.
Penganut agama yang yang berpegang teguh kepada ajaran agamanya pasti inginkan segala prinsip yang termaktub dalam ajaran agamanya dipertahankan dan tidak akan selama-lamanya menggadaikan prinsip tersebut.Oleh kerana itu sewajarnya para penganut agama lain memahami hasrat tersebut dan cuba berlapang dada dengan segala perbezaan dalam prinsip agama masing-masing.
Perbezaan tentunya wujud dalam ajaran agama-agama namun perbezaan itu jangan sampai menyebabkan para penganut agama saling bercakaran dan bermusuh.Para penganut agama perlu membuktikan bahawa dengan berpegang teguh dengan ajaran agama masing-masing mereka semakin sayang dan cinta sesama manusia.Dunia hanya akan aman damai sekiranya para penganut agama saling mencintai antara satu sama lain .Ajaran agama pula tidak pernah memerintahkan penganutnya untuk membenci sesama insan.
Segala perbezaan perlu diraikan dan pastinya ruang dialog antara agama mampu menjadi platform untuk mencari titik persamaan yang mampu membuktikan ajaran agama sentiasa menyeru ke arah kebaikan,keadilan,kebenaran dan melawan segala bentuk kejahatan,kezaliman dan kepalsuan.
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
No comments:
Post a Comment