Novel mencari Tuhan
Oleh SITI AINIZA KAMSARI(Utusan Melayu-http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Bukan sebarangan tulisan jika si penulis cuba menggugat kedudukan tuhan dalam kepercayaan atau akidah untuk watak yang mendokong plot sesebuah karya. Sehinggalah pada muka 9 buku ini, kita jadi tersentak apabila watak utama dalam buku ini, iaitu Rayyan mula menunjukkan belang dengan memandang sinis bapanya yang sedang tekun dan khusyuk berzikir selepas menunaikan sembahyang Subuh.
"Eh…ayah dan ibu masih lagi melakukan ibadat yang sia-sia itu. Seandainya mereka mengetahui bahawa tuhan itu tidak wujud…," kata Rayyan dalam hati.
Sesungguhnya buku ini mempunyai tema yang unik ingin disampaikan. Iaitu mengisahkan bagaimana seorang anak muda yang dilahirkan dalam keadaan ekonomi keluarga yang agak mewah dan yang lebih penting mempunyai ibu bapa yang begitu berpegang kuat kepada Islam tetapi sebagai anak, tanpa sebarang keraguan, Rayyan mengaku memilih kepercayaan sebagai seorang ateis.
Bagaimana seorang anak yang diberikan segala keperluan dan ditanggung pelajarannya dalam bidang kedoktoran sanggup melakukan penghinaan sebegini rupa malah mempunyai azam untuk turut menyesatkan kedua orang tuanya sendiri.
Rayyan mengaku bahawa perkenalannya dengan golongan yang materialistik, komunis dan falsafah barat memberikan kekuatan kepada dirinya untuk menafikan kewujudan Allah dan langsung untuk tidak mempercayai-Nya.
(Mungkin bukan sesuatu yang mustahil bilamana pada hari ini, terutama kalangan anak muda atas nama kebebasan berfikir, begitu memanipulasikan pemikiran mereka sehinggakan kewujudan Allah begitu dijadikan persoalan).
Begitu pun apa yang boleh difahami dari tajuk buku ini, Cogito Allah Sum? Ahli falsafah yang juga seorang saintis dan pakar Matematik terkemuka Perancis, Rene Descartes menjadikan frasa ini sebagai tagline kepada ajarannya, iaitu satu frasa falsafah latin terkenal yang bermaksud: "I think, therefore I am" atau dalam olahan yang lain, "I Think, therefore I exist".
Lalu tajuk novel ini, Cogito Allah Sum mungkin dimaksudkan "I think, therefore Allah exists" yang maksudnya "Semakin aku berfikir, ternyata Allah semakin ada" atau "Aku berfikir, maka dengan itu aku tahu bahawa Allah itu wujud."
Sebagaimana yang terjadi pada Rayyan sebenarnya, semakin jauh dia cuba meninggalkan tuhan, namun semakin fikirannya sebenarnya berkecamuk dan hidup masih tidak tenang.
Sementara siapakah penulis novel ini yang begitu berani untuk menjayakan satu watak yang cuba menafikan Allah itu wujud.
Malah pada satu peringkat begitu memperolok-olokkan Allah dengan segala perkataan yang jahat dan derhaka malah secara lantang mengajak rakan-rakan sekampus agar hidup ini jangan ada peranan tuhan di dalamnya.
Penulis merupakan seorang anak muda, iaitu Lalu Mohammad Zaenudin yang lahir pada tahun 1986. Beliau adalah graduan di Fakulti Teknik Jurusan Elektronik dan Telekomunikasi Universiti Gajayana, Indonesia.
Menarik perhatian
Seorang yang aktif malah merupakan Presiden Mahasiswa (Presma) Universiti Gajayana Malang (2007-2008) dan novel sebaik ini merupakan novel pertama tulisan beliau.
Buku ini yang pada asalnya dalam bahasa Indonesia di bawah terbitan Diva Press yang kemudiannya diterjemahkan dengan baik mengikut persekitaran dan gaya bahasa tempatan bagi menjayakan satu watak murtad yang tidak mustahil wujud di mana-mana jua.
Sebagai ibu bapa, mereka dapat membaca dan mengetahui perubahan si anak, namun berbanding ibu bapa lain yang kecewa kerana mempunyai seorang anak yang tidak lagi mempercayai tuhannya, ibu bapa Rayyan melepaskan anak mereka dengan penuh tawakal.
Berbanding hendak dipukul atau dileteri, ibu bapa Rayyan meyakini si anak akan menemui semula Tuhannya dengan pengalaman hidup kerana itu pasti akan lebih menjanjikan satu pengalaman yang sangat mengajar dan menginsafkan.
Dalam satu forum di kampus yang Rayyan anggap sebagai satu usaha untuk memberi kesedaran, beliau telah menyebabkan para penontonnya kagum.
Segala kepakaran berhujah beliau telah berjaya menarik perhatian pendengar. Hujah dimulakan dengan pendapat beliau yang bersekongkol dengan teori Darwin berikutan penemuan fosil manusia purba disebut sebagai pichecanthropus erectus itu.
"Perkara ini sedikit sebanyak menyindir orang yang berpegang kepada pegangan agama seperti Islam. Ini kerana nenek moyang mereka yang pertama adalah monyet. Tetapi mereka menamakannya sebagai Adam," hujah Rayyan menyindir.
Anak muda ini mengakhiri hujah yang mendapat tepukan gemuruh bahawa tuhan hanya lahir dari pemikiran dan anggapan manusia dan ini memberikan kesimpulan bahawa tuhan itu sebenarnya tidak wujud.
Berbanding mempercayai apa juga bentuk ketuhanan, hidup sebagai ateis sebenarnya lebih gelap lagi. Tanpa secebis pun hidayah dari tuhan, hidup benar-benar menjadi nanar. Begitu terjadi kepada Rayyan, sehingga ke peringkat beliau menjadi mabuk, minum arak dan akhirnya berteleku di hadapan mimbar masjid akibat tidak dapat menahan lagi hidup yang sering dicabar dengan pelbagai dugaan!
Atas sifat-Nya yang Maha Penyayang, maka di setiap lorong yang gelap, sinar di hujungnya yang menanti dan mujur Rayyan juga sempat menikmati!
Beliau beroleh bantuan terutama dari seorang yang bergelar Tuan Haji yang menemukan beliau kembali kepada mengenali tuhan! Dibimbingnya anak muda itu secara bijak dan berhemah dalam keadaan hati Rayyan terbuka sedikit demi sedikit selepas melalui pelbagai kemalangan dan kecelakaan dalam hidup.
Namun untuk tidak mudah bagi Rayyan apabila terkadang masih diganggu pemikiran-pemikiran yang ateis. Kalangan rakan yang ateis tentu tidak menyenangi kembalinya semula Rayyan kepada mengakui kebesaran Allah sehinggakan anak muda ini telah diuji dengan dua soalan sahaja.
Jika kedua-dua soalan ini tidak dapat dijawab oleh Rayyan, maka sebagai pertaruhan wajib bagi Rayyan kembali seperti sebelumnya.
Soalan tersebut termasuklah, bolehkah Allah menciptakan perisai yang teramat kuat sehingga tidak ada satu pedang pun yang dapat menembusinya dan Allah membuat satu pedang yang teramat tajam dan paling hebat sehingga mampu menembusi apa sahaja termasuk perisai tadi.
Soalan kedua, bolehkah Allah menciptakan makhluk yang lebih hebat, kuat dan lebih berkuasa dari diri-Nya jika benar tuhan itu Maha Pencipta?
Bagaimana anda sendiri, tahu jawapannya? Untuk lebih mudah dan pasti segala-galanya terjawab dalam bab terakhir buku ini. Anda tidak sahaja berpuas hati kepada jawapan yang diberikan tetapi rasanya akan lebih berpuas hati kepada keseluruhan persembahan buku ini. Maka tepat sekali, pada buku ini terdapat label: Novel Inspirasi bagi pencari tuhan!
No comments:
Post a Comment