Thursday, March 12, 2009

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu-Himpunan 7 Mac membantah PPSMI-Perarakan Maulidur Rasul JAKIM

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

Saya sempat menghadiri separuh akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan di Auditorium KPS,UM.

Peserta pertandingan ini terdiri daripada pelbagai negara seperti Belanda,Amerika,Poland,Russia,China dan lain-lain lagi.

Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam Bahasa Melayu baku.

Saya sempat bersembang dengan beberapa orang peserta dan bertanyakan kepada mereka berapa lama tempoh mereka mempelajari Bahasa Melayu dan kebanyakan mereka menjawab sekitar 1- 2 tahun sahaja.

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu mungkin akan berjaya namun bagaimana pula nasib Bahasa Melayu di bumi Malaysia?

Himpunan 7 Mac membantah PPSMI

Dari Kajang saya menaiki bas ke Masjid Jamek dan kemudiaannya berjalan kaki melalui terowong ke Masjid Negara.

Tatkala sampai di sana,kelihatan sudah ramai peserta himpunan membantah PPSMI ini dengan pakaian tema berwarna putih.

Ketika menaiki bas dan melalui Istana Negara sebelum itu,saya melihat sudah ramai polis dan trak-trak FRU yang sudah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam masjid negara saya berjumpa dengan pelbagai orang seperti ahli politik,pejuang bahasa,ahli akademik dan tidak ketinggalan kelompok mahasiswa yang nampaknya berkobar-kobar semangat mereka untuk menyertai kemuncak bantahan terhadap dasar PPSMI ini.

Sebaik sahaja solat zohor,saya melihat kelibat Presiden PAS yang duduk diam seolah-olah sedang bertafakur mengadap jemaah yang berpusu-pusu bersalam dan mengambil gambar beliau.

Seorang pelancong dari England bertanya saya siapakah gerangan yang menjadi tumpuan orang ramai itu(Presiden PAS) dan juga tentang mengapa orang ramai berkumpul untuk mengadakan demonstrasi hari ini.

Beliau terkejut mengapa rakyat Malaysia membantah penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik dan saya menjelaskan kepada beliau yang dibantah bukannya Bahasa Inggeris itu tetapi kami rakyat Malaysia mahu Sains dan Matematik itu diajar dalam bahasa ibunda kami sendiri.

Kelihatan para pelancong tidak melepaskan peluang mengambil gambar para peserta himpunan yang semakin ramai di Masjid Negara ini.

Laungan takbir bergema dalam dewan utama Masjid Negara dan saya merasakan himpunan membantah dasar PPSMI akan bermula.

Pada hari himpunan ini saya buat pertama kalinya bertindak selaku jurugambar dengan kamera yang berharga lebih RM 2000 sentiasa di sisi.

Kamera ini sebenarnya diberi pinjam oleh pensyarah di bawah subjek pelajaran (Penulisan Dakwah-kewartawanan foto)yang meminta saya dan kawan-kawan mengambil sebarang gambar peristiwa dan saya tentunya gembira kerana berpeluang merakamkan gambar peristiwa yang bersejarah ini.

Saya mengekori Presiden PAS dari belakang yang mana pergerakan beliau dikawal ketat oleh para pegawai apatah lagi beliau lah yang memulakan pergerakan himpunan ini.Sebaik sahaja Presiden Pas ini mula bergerak berjalan menuruni tangga Masjid Negara semua peserta himpunan mula bergerak sama secara berkumpulan seperti dalam himpunan Bersih dahulu.

Kelihatan pegawai polis mengawal pintu pagar Masjid Negara untuk menghalang peserta himpunan keluar berarak di jalan raya menuju ke Istana Negara tetapi ternyata pihak polis tidak mampu menghalang pergerakan ribuan peserta yang tekad untuk berarak menuju ke Istana Negara.

Peserta himpunan yang di barisan hadapan yang dikawal oleh unit Amal PAS berjaya membolosi kawalan pihak polis seterusnya membuka ruang kepada ribuan peserta yang lain untuk sama-sama berarak menuju ke Istana Negara mengulangi peristiwa himpunan Bersih yang lalu.

Di tengah-tengah ribuan orang ramai yang menyertai ‘perarakan haram’ ini saya mengambil kesempatan mengambil gambar sebanyak mungkin sambil menyaksikan dan memerhatikan suasana Bandar Kuala Lumpur yang hidup kembali dengan siri demonstrasi jalanan mengingatkan saya juga kepada peristiwa 1998 tatkala DSAI dipecat.

Saya berada dalam kelompok kedua barangkali di barisan hadapan dan ketika hampir sampai ke Istana Negara saya melihat kelompok pertama di hadapan saya mula berpatah balik.Saya melihat kebanyakan mereka merah mata,menitiskan air mata seolah-olah menangis sambil mencari-cari air untuk membasuh muka.

Saya menyedari pihak FRU telah mula melepaskan asap gas pemedih mata.Orang ramai mula lari lintang pukang seolah-olah dikejar oleh binatang yang buas.

Buat pertama kalinya saya menghidu asap gas pemedih mata sehingga membuatkan air mata saya mengalir(bukannya menangis) , hidung mulai pedih,mata mulai kabur ,sesak nafas dan saya turut bersama-sama yang lain menjauhkan diri dari asap gas pemedih mata.

Saya melihat ramai yang lari lintang pukang tanpa mengetahui ke mana arah ingin dituju demi mengelakkan terhidu asap gas pemedih mata yang dilepaskan di setiap penjuru.

Saya bertekad juga mengambil gambar orang ramai yang lari lintang pukang walaupun terpaksa menahan kesengsaraan menghidu asap gas pemedih mata tersebut .Cukup menyedihkan melihat aksi orang ramai terutamanya orang tua dan wanita yang melarikan diri dari terhidu gas pemedih mata.Seorang demi seorang mula hilang kawalan diri ,rebah dan ada yang pengsan .

Sebuah lori yang menjual makanan dan minuman diserbu oleh orang ramai yang menyertai himpunan ini dan air mineral laris dijual atau barangkali diberi percuma untuk memudahkan mereka yang terhidu asap gas pemedih mata membasuh muka mereka.Kelihatan juga orang ramai menggunakan ubat gigi untuk disapu ke muka mereka demi mengurangkan kepedihan menghidu asap gas pemedih.

Orang ramai mula menyumpah seranah polis FRU dan perkataan Yahudi!! Barua!! dan lain-lain kutukan mula terpacul keluar dari mulut beberapa orang peserta himpunan tanda kemarahan terhadap sikap polis FRU tersebut.


Tanpa disangka-sangka polis FRU menggandakan tembakan asap gas pemedih mata dan kali ini suasana lebih dahsyat lagi ditambah pula dengan semburan air gas dan orang ramai akhirnya berundur jauh dari kawasan Istana negara dan berpatah balik berkumpul di Masjid Negara .

Dalam perjalanan ke Masjid Negara kelihatan trak-trak FRU memenuhi sekeliling kawasan Masjid Negara .

Di perkarangan Masjid Negara pula selepas itu himpunan diteruskan lagi dengan ucapan beberapa orang pemimpin dan kemudiannya program himpunan seolah-olah diambil alih oleh para mahasiswa terutamanya dengan gimik mengusung keranda 152 diketuai oleh PKPIM.

Ternyata kepuasan terbayang di wajah peserta himpunan walaupun gagal berarak menuju ke Istana Negara bahkan di’hidang’kan pula dengan ‘santapan’ asap gas dan semburan air pemedih mata .

Jasad PPSMI yang dbalut dengan kain kafan berwarna putih dalam keranda yang diusung oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu bila-bila masa akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan selepas solat jenazah kepada mayat bergelar PPSMI......

Talqin untuk PPSMI.....


Perarakan Maulidurrasul anjuran JAKIM

Buat pertama kalinya saf solat subuh di dewan Masjid Negara dipenuhi oleh para jemaah...

Para peserta perarakan Maulidur Rasul anjuran JAKIM seawal sebelum Subuh sudah mula memenuhi Masjid Negara.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kali ini disambut besar-besaran seumpama sambutan Hari Kebangsaan dan ia juga diadakan di Dataran Merdeka secara terbuka setelah sekian lama diadakan di stadium @dewan tertutup.

Ketika menyertau perarakan yang bermula sekitar pukul 7 pagi dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka,saya tergelak keseorangan apabila memikirkan baru sahaja saya berarak dari tempat yang sama di Masjid Negara dalam himpunan membantah dasar PPSMI cuma yang berbezanya kali ini akan menuju ke Dataran Merdeka dan bukannya Istana Negara!!!

No comments:

Post a Comment