Kenyataan Media Mahasiswa Universiti Malaya Menyokong Pejuang Bahasa Melayu Membantah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI)
2 Mac 2009
2 Mac 2009
Menyedari akan kegagalan dasar PPSMI dan insaf akan nasib Bahasa Melayu di Negara tercinta Malaysia ini ,kami mewakili mahasiswa Universiti Malaya yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dan kelompok menyatakan sokongan secara terbuka kepada pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam membantah dasar PPSMI .
Hasil kajian ilmiah daripada pelbagai cendekiawan dan tokoh-tokoh akademik jelas membuktikan kegagalan dasar PPSMI ini.
Pelbagai resolusi yang membantah dasar PPSMI ini telah dibuat dan memorandum bantahan yang menampilkan bukti-bukti ilmiah kegagalan dasar PPSMI turut telah dihantar kepada pihak berwajib namun kesemuanya itu seolah-olah tidak dihiraukan .
Oleh kerana itu,kami menyeru Kerajaan Malaysia agar mendengar pandangan pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan berharap Kerajaan Malaysia tidak membuat keputusan yang merugikan rakyat secara keseluruhannya.
Bantahan terhadap dasar PPSMI ini bukanlah bermakna kami menolak kepentingan Bahasa Inggeris bahkan kami menyokong segala usaha untuk menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa dunia.
Namun begitu usaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu di Malaysia perlu diperkasakan dan sebarang usaha untuk membunuh masa depan Bahasa Melayu secara halus dan menafikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti dasar PPSMI ini perlulah ditentang habis-habisan oleh rakyat Malaysia.
Kami juga mencabar Menteri Pelajaran untuk berdebat bersama mahasiswa di kampus Universiti Malaya berkenaan dasar PPSMI ini.
Kami juga bersedia untuk menggerakkan seramai mungkin mahasiswa untuk turun bersama-sama pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam perhimpunan aman raksasa 7 Mac 2009 sebagai kemuncak bantahan terhadap dasar PPSMI ini.
Usahlah kita berdegil untuk meneruskan dasar yang terbukti gagal dan ingatlah bahawa masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan.
Kembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu!!!
Semoga Bahasa Melayu,bahasa perpaduan rakyat Malaysia ini terus diperjuangkan oleh rakyat Malaysia
Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM)
No comments:
Post a Comment