Wednesday, October 08, 2008

Persiapan Aktivis Gerakan Mahasiswa Islam

Malam ini saya keluar makan malam dengan seorang sahabat(Hafez Sabri,bekas Presiden PEMARAK dan kini Pengerusi BERSATU-Perak) yang mengajak saya keluar makan sambil bersembang-sembang,berdiskusi,bertukar-tukar fikiran,melontar pandangan dan.....’yg sama waktu dengannya’.

Sepanjang perjalanan menaiki motor menuju ke sekitar Kerinci mencari restoran pilihan sempat kami bersembang beberapa perkara (atas motor)dan disambung semula di meja makan sebuah restoran sambil menjamu hidangan makan malam.

Beberapa topik berkaitan gerakan mahasiswa Islam menjadi pilihan diskusi kami malam itu dan hasil diskusi tersebut saya dapat membuat rumusan (sebagai persiapan aktivis gerakan mahasiswa Islam )seperti berikut:-

Membaca buku daripada pelbagai cabang bidang Ilmu pengetahuan

Adalah penting sekali bagi anak-anak muda terutamanya mahasiswa yang terlibat dalam gerakan Islam agar membaca sebanyak mungkin buku-buku daripada pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan hasil bacaan buku-buku tersebut perlu selalu dibahaskan@diskusi@bedah buku.

Kecenderungan di kalangan aktivis gerakan ialah membaca buku-buku yang bersifat ‘haraki’(terutamanya karya tokoh Ikhwanul Muslimin) namun begitu perlu juga diperkasakan pembacaan buku-buku yang bersifat ‘pemikiran’(buku Syed Mohd Naquib Al-Attas dan anak-anak muridnya sebagai contoh@’Mazhab ISTAC’.) dan bahan-bahan bacaan yang lain.

Mengetahui aliran pemikiran semasa yang berpengaruh

Aktivis gerakan mahasiswa Islam perlu memberi penekanan kepada penguasaan aliran pemikiran semasa yang banyak mempengaruhi pemikiran orang ramai sebagai contoh aliran Sosialisme,Kapitalisme,Liberalisme dan lain-lain.

Kalau dahulu pejuang gerakan Islam era akhir 60 an dan awal 70 an yang berusaha menyebarkan ’fikrah’ Islam turut mengetahui selok-belok aliran Sosialisme yang berpengaruh ketika itu barangkali era kini menuntut kita mengetahui pula selok-belok aliran liberalisme-pasca modernisme dan berusaha menonjolkan kehebatan fikrah Islam berbanding aliran pemikiran lain.

Membuat kajian tokoh-tokoh

Tokoh-tokoh reformis berpengaruh yang banyak menggerakkan perubahan(rujuk senarai tokoh pilihan saya dalam.....) perlu dikaji perjalanan hidup,sejarah perjuangan,jasa-jasa,pemikiran,karya-karya dan apa-apa sahaja berkenaan mereka sebagai pedoman ,rujukan dan suntikan motivasi buat aktivis gerakan mahasiswa Islam kini.

Tokoh-tokoh berpengaruh ini boleh diperkenalkan secara mendalam dalam siri-siri usrah ,diskusi dan sebagainya


Memperlengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran
Aktivis gerakan mahasiswa Islam perlu berusaha menguasai kemahiran-kemahiran seperti kemahiran bahasa(Bahasa Melayu,Bahasa Arab,Bahasa Inggeris,Bahasa Mandarin dan lain-lain)termasuk hebat berpidato,berdebat,berhujah atau ilmu mantik ,kemahiran ’ICT’ (komputer,internet dan sebagainya)dan lain-lain kemahiran lagi.

Penguasaan kemahiran ini amat penting sebagai nilai tambah yang dapat mengkembangkan lagi potensi individu yang terlibat dalam gerakan mahasiswa Islam untuk menjadi lebih ke hadapan berbanding mahasiswa-mahasiswa lain.

Mengadakan usrah rentas jemaah

Kebiasaanya sesuatu usrah itu diadakan dan dihadiri oleh ahli jemaah yang sama atau se’fikrah’.Usaha untuk menghidupkan usrah yang dihadiri oleh ahli daripada kepelbagaian jemaah perlu digerakkan.

Usrah rentas jemaah ini pastinya akan menemukan kepelbagaian fikrah yang pastinya lebih menyegarkan dan menghidupkan sesuatu usrah sekaligus menjadikan perbincangan dalam usrah tersebut lebih mencabar minda dan pemikiran ahli usrah tersebut.

Tidak terlampau taksub kepada jemaah atau pemikiran tokoh jemaah

Antara masalah besar yang dihadapi sebilangan mahasiswa yang terlibat dalam sesuatu jemaah@gerakan ialah ketaksuban melampau terhadap jemaah dan kepada pemikiran tokoh-tokoh daripada jemaah yang disertai.

Ahli sesebuah jemaah @gerakan perlu bersifat terbuka kepada jemaah@gerakan Islam yang lain dan bersedia mengkaji dan mengikuti pemikiran tokoh-tokoh daripada jemaah Islam yang lain atau tidak membabibuta mengikuti pemikiran tokoh-tokoh daripada jemaah yang disertai

Keseimbangan spiritualisme-aktivisme-idealisme-intelektualisme

Ketidakseimbangan aspek spiritualisme,aktivisme,idealisme,intelektualisme(maklumat lebih lanjut tentang ’4 isme’ ini boleh rujuk kepada PKPIM) mampu membantutkan perkembangan potensi kader-kader dakwah.

Tidak dapat dinafikan ada kecenderungan tertentu di kalangan aktivis gerakan mahasiswa Islam untuk lebih tertumpu kepada satu aspek daripada ’4 isme’ utama tersebut namun demikian usaha perlu dilakukan untuk memperkasakan kader-kader dakwah dengan keseimbangan antara ’4 isme’ ini tanpa mengabaikan walaupun satu aspek tersebut.


Ternyata hasil bersembang-sembang,berdiskusi,bertukar-tukar fikiran,melontar pandangan dan.....’yg sama waktu dengannya’ antara dua orang ini(saya dan Hafez Sabri) berjaya melahirkan rumusan buah pemikiran yang pastinya sedikit sebanyak dapat membantu menggerakkan dan memantapkan lagi perjuangan gerakan mahasiswa Islam di kampus .

Bagaimana pula jika ramai yang merenung ,mengamati dan berfikir walaupun sejenak?....Ayuh bersama kita berfikir dan jadi pemikir.....!!!

1020 pm
08102008
Kolej Kediaman Raja Dr.Nazrin
Universiti Malaya

1 comment:

  1. ini jawapan yang saya cari! sgt perlu diperhalusi lg ni..

    ReplyDelete