Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Tuesday, October 23, 2012

Interfaith Summit 2012

Bali cukup terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong seluruh dunia .Keindahan pantai dan panorama indah matahari terbenam mengasyikkan dan Bali cukup unik dengan adat budaya setempat penduduknya yang majoritinya beragama Hindu walaupun penduduk negara Indonesia majoritinya beragama Islam.Keramahan dan budi bahasa penduduknya menjadi sebutan ramai dan sikap toleransi terhadap penganut agama lain membuktikan Bali mampu menjadi model kepada kerukunan umat beragama. Dengan visi :- ‘’Our vision of interfaith cooperation begins from the recognition that all people are endowed by the Creator with equal value and therefore share a common spiritual heritage’’ dan misi:-‘’ promotes the vision of One Family Under God through building interfaith partnerships, vibrant families, and a culture of service and peace’’ serta bertemakan “New Interfaith Paradigm for the 21st Century” ,Bali menjadi pilihan penganjur Global Peace Festival Indonesian Foundation (GPFIF) dan Indonesian Youth Forum (IYF) sebagai lokasi acara Interfaith Summit 2012 bertempat di Universitas Hindhu Indonesia, Denpasar, Bali pada 4-7 Oktober 2012 yang lalu. Acara ini telah disertai oleh lebih 200 orang peserta (beragama Islam,Hindu,Buddha,Kristian ) dari 22 buah negara seperti Indonesia,Malaysia,Filipina, Jepun, Rusia, Uzbekistan,Libya,Vietnam, India, Bangaldesh dan lain-lain negara Penulis bersama seorang teman telah berpeluang mewakili Malaysia dalam acara yang digerakkan sendiri oleh kelompok anak muda yang komited kepada perjuangan keamanan antara penganut agama yang berbeza.Penginapan peserta yang menggabungkan semua peserta dengan latar belakang agama yang berbeza dalam satu bilik berjaya memupuk rasa persaudaraan sesama peserta disamping dapat mempelajari persamaan dan perbezaan yang wujud antara satu sama yang lain. Acara Interfaith Summit 2012 ini menampilkan para pembentang yang berpengalaman luas dan dari pelbagai latar belakang yang berbeza seperti Torril Wanvik (wakil Kedutaan Norway), Chandra Setiawan, (Pengerusi Global Peace Festival Indonesian Foundation), Ms. Sylvie (wakil Kedutaan Amerika), James Poon (wakil Global Peace Festival Malaysia), Azis Nurwahyudi (wakil Kementeria Luar Indonesia), Y. Bhg. Dato’ Azman (Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia), Husnan Bey Fananie dan Romy Romahurmuzy (Ahli Parlimen Republik Indonesia) ,Raja Sapta Oktohari (Ketua Himpunan Pengusaha Muda Indonesia-HIPMI) dan ramai lagi. Pelbagai topik disentuh dalam siri pembentangan dalam acara Interfaith Summit ini antaranya seperti:- -"One Family under God: -New Interfaith Paradigm for the 21st Century" -Universal principles as the basis of national cohesion. -Addressing the roots of identity-based conflict -Building Lasting Interfaith Partnerships: Issues of Faith and Action -The Family as Universal Institution: Family Values as The Common Ground for Interfaith Partnership and Action. -The Call to Service: Faith Leadership and Creating a Culture of Service -Reaching Beyond Our Differences: Engaging Youth in Interfaith Action -Interfaith Collaboration Toward Solving Problems. Terdapat beberapa masalah berkaitan hubungan antara agama yang berlaku seperti pergaduhan ,menghina dan memperlekeh agama lain,melakukan keganasan dan kekerasan atas nama agama,diskriminasi dan merusuh yang dilakukan oleh kelompok ekstrimis yang tidak mahu menghargai pebezaan dan kewujudan agama dan kepercayaan orang lain.Kadangkala mereka menggunakan hujah-hujah agama ,ayat- ayat dalam kitab suci yang ditafsirkan mengikut selera mereka dalam membenarkan segala perbuatan merosakkan hubungan baik yang terjalin antara kelompok agama yang berbeza. Mereka yang berfahaman ekstrim sedemikian sebenarnya hanyalah kelompok minoriti namun tindakan mereka sudah cukup untuk merosakkan keharmonian dan keamanan dunia.Suara majoriti yang cinta damai dan pro keamanan perlu lebih lantang lagi bagi mematikan sebarang usaha kelompok ekstrimis yang cuba mewujudkan perbalahan antara penganut-penganut agama. Anak muda atas nama kemanusiaan perlu merangka program dan gerak kerja yang lebih sistematik bagi memupuk rasa kebersamaan,persahabatan dan persaudaraan sesama manusia dari latar belakang agama yang berbeza.Kita mengharapkan setiap individu khususnya anak muda tidak lagi menganggap mereka yang tidak seagama dengan kita sebagai musuh atau orang lain sebaliknya menganggap mereka juga sebagai saudara dan ahli keluarga kita sendiri. Walaupun didunia ini manusia terdiri daripada kelompok penganut agama yang berbeza,namun kita tetap berkongsi nilai kemanusiaan yang universal.Kita tetap mahukan dunia yang lebih aman dan tenang serta bebas dari segala bentuk keganasan dan kekerasan. Kita mahu ajaran agama kita dihormati oleh penganut agama lain. Kita mahu maruah kemuliaan insan dan hak asasi kita terjamin. Kita semua mahukan kebebasan,keadilan,dan mahu memperjuangkan kebenaran. Kita mahukan masyarakat kita hidup dalam keadaan harmoni,bertoleransi, menghormati antara satu sama yang lain,mengakui kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama ,saling faham memahami, menghargai perbezaaan dan sentiasa fokus mencari titik persamaan antara satu sama yang lain. Kita mahukan masyarakat kita saling berinteraksi,bahagia hidup bersama,mempunyai semangat persaudaraan dan persahabatan yang jitu sehinggakan rasa sedih dan rasa gembira dikongsi bersama bagaikan satu jiwa . Semangat persaudaraan kemanusiaan perlu dipupuk kepada setiap individu bermula dari keluarga dan di rumah lagi.Ibu bapa boleh menjadi tauladan yang baik buat anak-anak mereka dengan menerapkan ilmu dan pendidikan serta mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya menghormati penganut agama lain . Ibu bapa boleh menerangkan kepada anak-anak mereka tentang perbezaan yang wujud namun pada masa yang sama tetap memberi fokus kepada titik persamaan dan memberi penekanan kepada anak-anak mereka tentang betapa pentingnya melakukan amalan kebaikan kepada semua orang tanpa mengira latar belakang agama.Kepentingan menghormati jiran tetangga dan masyarakat setempat boleh diterapkan olen ibubapa kepada anak-anak mereka sejak mereka masih kecil lagi. Contoh tauladan dan amalan mulia yang dilakukan oleh ibubapa secara tidak langsung menjadi pendidikan yang bermanfaat buat anak-anak mereka dan anak-anak dapat mengikut jejak kedua ibubapa mereka nanti. Perbahasan mendalam terhadap perbezaan aspek teologi agama dan fokus melampau terhadap perbezaan ajaran agama yang wujud sedikit sebanyak menyukarkan usaha untuk menyatukan kelompok penganut agama yang pelbagai.Jadi fokus kepada khidmat kebajikan kemasyarakatan dan aspek kesukarelawanan diharapkan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan perselisihan faham antara penganut agama. Kita perlu memikirkan secara serius bagaimana mahu membina budaya berkhidmat dan kesukarelawanan dikalangan individu khususnya generasi muda.Kita perlu memupuk mereka untuk ikhlas berkhidmat kepada semua orang dan secara sukarela,sentiasa mengambil berat terhadap nasib orang lain ,mempunyai semangat perjuangan keadilan sosial yang tinggi dan rela hidup berkhidmat kepada orang lain. Usaha pembasmian kemiskinan dan kebuluran,bantuan misi kemanusiaan,perjuangan nasib orang kurang upaya(OKU)anak-anak istimewa,anak yatim , gerakan pendidikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang agama misalnya wajar djadikan keutamaan oleh kita semua dan oleh kerana itu usaha untuk mencetak seramai mungkin individu yang komited terhadap budaya perkhidmatan dan kesukarelawanan perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin. Peranan media cukup penting bagi mewujudkan keharmonian antara penganut agama yang berbeza.Bahkan kita boleh katakan juga melalui peranan media jugalah konflik antara penganut agama berterusan berlaku dan berleluasa.Fokus membina jaringan kewartawanan keamanan misalnya diharapkan dapat mewujudkan gelombang cinta kedamaian dan keamanan dikalangan pengamal media khususnya wartawan.Mereka nanti dapat memainkan peranan dalam menyebarkan isu-isu keamanan dan keharmonian antara penganut agama dan sekaligus dapat mengelak dari terjebak dan bersubahat menyalakan api permusuhan antara penganut agama yang berbeza. Setiap individu khususnya generasi muda juga perlulah memanfaatkan media sosial baru untuk menyebar cinta,keamanan dan keharmonian sesama insan seterusnya mengajak anak-anak muda yang lain untuk mengikuti program-program keamanan dan seterusnya menjadi duta gerakan keamanan di tempat masing-masing. Secara umumnya bagi penulis acara ini mampu dijadikan satu asas buat anak muda untuk membina satu model kerjasama dan penyelesaian konflik antara penganut agama yang sering berlaku diseluruh dunia dan memupuk semangat perjuangan untuk keamanan dunia.Acara ini juga menjadi platform membentuk satu jaringan anak muda yang pro keamanan dan anti perang, komited kepada khidmat masyarakat dan kesukarelawanan bagi membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang agama . Disamping siri pembentangan seminar,acara santai persembahan budaya dan lawatan ke tempat menarik sekitar Bali juga diadakan dan ia secara tidak langsung mengeratkan lagi tali persahabatan antara peserta. Pada majlis penutup Interfaith Summit 2012 ini pula ,bacaan deklarasi keamanan diadakan dan antara isi deklarasi keamanan tersebut mengajak semua pihak menghentikan sebarang konflik yang mengatasnamakan agama, menjunjung tinggi hak asasi manusia, bersama-sama menjaga pemahaman dan harga diri, menguatkan kerjasama di antara anak muda, dan memperkuatkan jaringan bersama:persahabatan,keluarga dan masyarakat.

Monday, October 15, 2012

Kembara di Bali (6)

Isnin 8 Oktober 2012 Hari ini merupakan hari terakhir kami di Bali.Awal pagi lagi saya dan Saiful Ridzuan mengemas bilik dan barang-barang kami.Kami keluar sebentar ke kedai runcit berhampiran wisma untuk membeli pelbagai barang termasuk kopi luwak(yang lebih dikenali sebagai kopi tahi musang!) Pagi ini ,Ajk program ‘’Interfaith Summit 2012’’ mula pulang ke tempat masing-masing.Selepas ‘check out’ dan membuat bayaran penginapan di wisma(170 rupiah sahaja),kami menaiki teksi yang ditempah oleh penganjur (terima kasih penganjur) dari Wisma Agong Soka menuju ke Pantai Kuta.Peserta-peserta dari Uzbekistan turut mahu ke Pantai Kuta tetapi oleh kerana mereka tidak mahu berpecah(semangat berpasukan?) mereka menaiki sebuah lagi teksi yang sama-sama bergerak menuju ke Pantai Kuta bersama teksi yang membawa kami.Seorang kawan dari Surabaya yang mahu ke lapangan terbang(satu hala dengan jalan ke Pantai Kuta)turut bersama kami. Saya dan Saiful Ridzuan dan peserta dari Uzbeksitan sama-sama tiba di Kuta menaiki 2 teksi yang berlainan.Kami ramai-ramai berehat dan makan tengahari di Mcdonald dan disini kami berjumpa kembali peserta dari Dagestan Russia yang turut ke Kuta.Saya dan Saiful Ridzuan sempat bermesyuarat santai seketika membincangkan perancangan kembara seterusnya akan datang,peluang-peluang perniagaan Malaysia-Indonesia,dan urusan kewangan dan perbelanjaan.

Di Pantai Kuta ,kami bersama-sama peserta Uzbekistan duduk lepak sambil minum,bersembang-sembang dan melihat keindahan Pantai Kuta.Kelihatan ramai pelancong khususnya dari Eropah yang sambil berjemur di tengah-tengah panas sambil asyik membaca buku.Beberapa orang peserta Uzbekistan yang bersama-sama kami kemudiannya terjun mandi pantai dengan papan luncurnya sekali dan kami yang tidak mandi pantai duduk bersembang-sembang dengan seorang pekerja di pantai dan melihat beberapa orang pemuzik mengadakan persembahan secara santai.
Selepas puas mandi pantai,peserta Uzbeksitan menaiki teksi dari Pantai Kuta ke lapangan terbang untuk pulang ke Jakarta manakala saya dan Saiful Ridzuan meneruskan perjalanan kembara sekitar Kuta. Kami sempat membeli belah di pusat membeli belah ‘Matahari’ ,membeli t shirt-kraftangan,makanan dan lain-lain buah tangan dari Bali.Selepas membeli belah,kami kembali ke Pantai Kuta untuk menyaksikan pemandangan tersangat indah matahari terbenam.Kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dengan latar belakang matahari terbenam yang sangat cantik dan merakam video pemandangan Pantai Kuta sewaktu matahari terbenam.
Selepas menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam,kami terus mengambil teksi menuju ke lapangan terbang memandangkan penerbangan kami dari Bali ke Kuala Lumpur pada malam ini juga. Baki Rupiah yang ada cuba dihabiskan di lapangan terbang dan mujur kami ingat tentang bayaran 150 ribu Rupiah setiap seorang untuk cukai antarabangsa di lapangan terbang. Kelihatan rombongan pekerja dari Lombok yang turut menaiki penerbangan bersama kami ke Kuala Lumpur.Duduk bersebelahan saya dan Saiful Ridzuan ialah seorang rakyat Malaysia dari Sabah yang pernah belajar di Australia yang datang ke Bali untuk menghadiri kenduri kahwin rakannya (kosnya cukup mahal,katanya) Dalam kapal terbang saya dan Saiful Ridzuan menonton kembali gambar dan video yang dirakam melalui videocam sepanjang kami berada di Bali (dipancarkan ke kerusi dihadapan kami) dan membaca tentang program Global Peace Festival. Kami berharap agar dapat berpeluang untuk kembara sekali lagi nanti di destinasi seterusnya dan berasa cukup seronok kembara di Bali kali ini kerana dapat berjumpa dengan sahabat-sahabat baru dari seluruh dunia,mengenal perbezaan adat,budaya dan agama ,mencari titik-titik persamaan,belajar mengurus diri , menambah pengalaman dan memahami erti dan makna kehidupan ini melalui siri kembara ilmu.

Kembara di Bali (5)

Ahad 7 Oktober 2012 Hari ini merupakan hari terakhir ‘’Interfaith Summit 2012’’.Saya datang awal ke dewan program di UNHI dan bersembang –sembang dengan orang kuat acara ini khususnya dari Indonesia Youth Forum dan membincangkan serba sedikit apa bentuk kerjasama yang boleh dilakukan antara anak muda Indonesia dan Malaysia.

Majlis penutup program ini dimulakan terlebih dahulu dengan beberapa permainan dan nyanyian dari wakil peserta serta persembahan Yoga dari mahasiswa UNHI.Para peserta yang berminat juga menyampaikan perkongsian hasil dan faedah yang mereka perolehi sepanjang mengikuti acara ini disamping kritikan dan lontaran cadangan idea penambahbaikan program.
Seorang Ahli Parlimen Indonesia dan wakil Global Peace Festival Indonesia menyampaikan ucapan penutup sebelum diikuti oleh bacaan deklarasi keamanan ‘Interfaith Summit 2012’ oleh wakil-wakil negara dan saya sendiri sebagai wakil Malaysia.
Para peserta turut diberi sehelai kertas kosong untuk mencatat faedah program ini dan pelan tindakan masing-masing sebelum semua peserta membuat satu bulatan besar beramai-ramai,bertafakur ,berdiri senyap beberapa minit sebelum ditanya apakah 1 perkataan yang terfikir dan terlintas di fikiran masing-masing ketika itu. Majlis penutup ‘’Interfaith Summit 2012’’ diakhiri dengan sesi bergambar ramai-ramai dan penyerahan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Saiful Ridzuan yang memiliki videocam dan merakam beberapa video sepanjang program ini berkongsi video yang dirakamnya kepada pihak penganjur. Selepas tamat majlis penutup program dan salam perpisahan,semua peserta bersurai ke destinasi masing-masing.Saya dan Saiful Ridzuan menunggu van yang disediakan penganjur untuk ke Wisma Agong Soka.Selepas tamat program,kami yang belum pulang dan ada baki 1 hari lagi di Bali akan menginap di Wisma Agong Soka ini.Beberapa orang peserta mengajak kami terus ke Pantai Kuta tapi kami mengambil keputusan untuk ke Wisma Agong Soka terlebih dahulu.Hanya keesokan harinya mengikut perancangan kami akan ke Pantai Kuta. Yang tinggal di Wisma Agong Soka ini hanyalah ajk-ajk program dan beberapa orang peserta dari Bangladesh,Senegal,India,Uzbeksitan dan kami dari Malaysia yang belum pulang.Wisma Agong Soka ini sebenarnya jauh lebih selesa daripada asrama penginapan peserta di UNHI.Ia bukan bertaraf hotel tapi cukup selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Peserta dari India dan Uzbekistan menempah teksi dari Wisma Agong Soka untuk ke Pantai Kuta.Peserta Uzbekistan hampir setiap hari ke Pantai Kuta.Difahamkan di negara mereka susah nak jumpa atau tiada langsung pantai-pantai sedemikian. Saya dan Saiful Ridzuan berehat,makan sambil bermesyuarat merancang perjalanan kembara seterusnya.Soal kewangan turut diambil kira.Penginapan di Wisma Agong Soka selepas tamat program sebenarnya bukanlah percuma tetapi dengan bayaran 175 ribu Rupiah(tingkat bawah) dan 275 ribu Rupiah(tingkat atas) semalaman siap dengan pelbagai kemudahan sederhana. Selepas berehat,saya dan Saiful Ridzuan bersembang panjang dengan pakcik dan makcik yang menjaga Wisma Agong Soka ini dan juga bersama dengan ajk-pihak penganjur program Indonesia Youth Forum dan Global Peace Festival Indonesia yang masih belum pulang. Malam harinya kami sekali lagi berjalan kaki menuju ke Satur dan singgah makan malam di warung berdekatan wisma.Kami juga bersembang panjang dengan peserta Uzbekistan-India dan Indonesia yang belum pulang sambil makan kacang ,mendengar peserta India menyanyi,melihat gambar dan video program yang Saiful Ridzuan rakam melalui videocam beliau.Peserta India dan Indonesia juga sempat mempersembahkan ‘’dialog ayam itik’’ dimana peserta India bercakap berterusan dalam Bahasa Urdu-Tamil dan dibalas oleh peserta Indonesia berterusam dalam Bahasa Indonesia.
Kami juga sambil minum kopi Bali bersembang-sembang dengan seorang ajk dari Kalimantan yang semangat mahu menjalankan perniagaan menjual kain pelikat samarinda di Malaysia dan bersama pak cik yang menjaga wisma ,anak jati Bali yang menceritakan tentang kehidupan masyarakat Bali. Lewat malam ini kami masih belum tidur dan kebetulan awal pagi ini kami mahu saksikan perlawanan menarik bolasepak antara Real Madrid vs Barcelona.Saya dan Saiful Ridzuan menonton perlawanan ini dibilik peserta Uzbeksitan beramai-ramai dan turut bersama kami ialah peserta Russian Dagestan yang datang menaiki motor dari tempat penginapan mereka semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak ini sambil minum kopi,makan roti dan kacang bersama-sama. Ketika sedang asyik menonton bola sepak dan menghampiri minit-minit akhir perlawanan,peserta Uzbekistan keluar dari bilik mereka dan rupa-rupanya mereka mahu menghantar seorang sahabat mereka dari Uzbekistan dan Indonesia yang mahu pulang ke Yogyakarta awal pagi ini.Semangat persahabatan nampaknya mengatasi semangat kesukanan.:) Selepas menghantar sahabat Uzbekistan-Indonesia menaiki teksi,kami ramai-ramai berlari menuju ke bilik dan sambung kembali menonton perlawanan bola sepak tersebut sehingga tamat perlawanan yang cukup menarik itu.Gol !!! zzzzzzz…

Kembara di Bali (4)

Sabtu 6 Oktober 2012 Pagi ini seperti biasa saya berjalan-jalan sekitar UNHI selepas sarapan pagi.Sekitar UNHI hari ini penuh dengan ramai mahasiswa tahun 1 yang sedang menjalani latihan wajib Yoga sejak awal pagi-petang dipimpin oleh jurulatih mereka.

Semua peserta ‘Interfaith Summit 2012’ hari ini akan mengikuti ‘city tour’ sekitar Bali.Tiada lagi siri pembentangan seperti semalam. 5 buah bas disediakan untuk menampung semua peserta dan ajk program ini disamping dimeriahkan dengan celoteh pemandu pelancong dengan pelbagai ceritanya tentang keunikan Bali.Pemandu pelancong ini bukan sahaja menceritakan tempat pelancongan yang menarik di Bali bahkan turut menceritakan tentang sejarah,adat,budaya dan kepercayaan masyarakat Bali.
Dari UNHI konvoi bas yang membawa kami menuju ke Cening Ayu,sebuah tempat membeli belah.Pelbagai makanan,pakaian dan kraftangan keluaran Bali dijual disini dan ramai peserta yang membeli belah pelbagai barangan disini.Dari Cening Ayu,kami meneruskan perjalanan ke Kintamani dan disini kami melawat muzium dan juga makan tengahari di sebuah restoran atas bukit.Turut kelihatan bersama kami di restoran tersebut ialah rombongan rakyat Bali berpakaian serba putih yang baru selesai menamatkan sesi ibadat ritual Hindu mereka.
Kami juga sempat melihat pemandangan unik dan cantik puncak Gunung Matur dan mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai kenang-kenangan disini dengan latar belakang Gunung Matur yang cukup indah.
Kami meneruskan perjalanan lagi dan kali ini ke Pasar Sukawati dan disini suasana agak riuh dengan para peniaga yang tidak habis-habis menawarkan harga untuk barang-barang yang mereka jual.Untuk membeli belah di pasar ini,kami dinasihatkan agar pandai menawar harga sebaik mungkin.Hanya ada 2 kemungkinan sahaja buat kami:mendapat harga yang paling murah atau mendapat harga yang paling mahal.
Dari Pasar Sukawati kami singgah ke Pantai Sanur.Mengikut perancangan asalnya kami sepatutnya ke Pantai Kuta,satu tempat yang menarik dan paling strategik untuk melihat keindahan matahari terbenam tetapi memandangkan masa tidak mencukupi dan jarak ke Pantai Kuta yang jauh,pihak penganjur membawa kami ke Pantai Sanur.Di Pantai Sanur ini ada beberapa orang peserta dari Uzbekistan dan Bangladesh yang terjun mandi pantai manakala para peserta yang lain hanya sekadar bergambar kenang-kenangan.
Program bersama pihak pentadbiran Bali malam ini telah dibatalkan jadi acara malam ini ialah acara bebas .Kami hanya berehat di bilik sambil bersembang panjang dengan para peserta lain.Saya dan Saiful Ridzuan sempat berjalan kaki keluar dari kampus UNHI untuk melihat kawasan persekitaran sambil mencari Wisma Soka Agung,satu lagi tempat penginapan untuk sebahagian peserta yang sebenarnya agak jauh jika berjalan kaki dari UNHI.Selepas puas berjalan kaki ,kami berpatah balik pualng ke UNHI .Program hari ini agak santai namun ia juga secara tidak langsung berjaya membina satu jaringan persahabatan dan persaudaraan sesama peserta ‘Interfaith Summit 2012’.

Kembara di Bali (3)

Jumaat 5 Oktober 2012 Pagi ini kami bertemu dengan peserta-peserta program dari pelbagai negara dan dari latar belakang agama yang berbeza.Ada yang datang jauh dari negara asal mereka.Ada juga yang memang belajar di Indonesia khususnya di Jakarta,Yogyakarta dan Bandung.Muslim,Hindu,Buddha,Kristian semuanya ada.Hanya wakil Yahudi yang tidak ada.

Pagi ini saya mengambil peluang berjalan-jalan sekitar kawasan Universitas Hindu Indonesia(UNHI) dan sempat bersembang dengan penduduk kampong yang cukup ramah.Majoriti penduduk Bali ini beragama Hindu dan disetiap kawasan perumahan mahupun universiti terserlah ciri-ciri kehinduan terutamanya dengan ukiran patung-patung.Atas bawah kiri kanan depan belakang :patung.Dalam kampus Universitas Hindu Indonesia ini terdapat kuil hindu yang besar dengan patung-patungnya.
Selepas sarapan pagi beramai-ramai bersama peserta program yang lain,kami berjalan kaki menuju ke dewan seminar dalam kampus UNHI.Hari pertama program semalam saya dan Saiful Ridzuan tidak sempat mengikutinya .Hari kedua program ini pula dipenuhi dengan siri pembentangan dari wakil-wakil negara seperti Indonesia, Norway,Amerika ,wakil Global Peace Festival Foundation USA –Korea,-Global Peace Festival Indonesia dan Malaysia,Ahli Parlimen Indonesia dan Kementerian Luar Indonesia.
Ketika sesi rehat,saya sempat bersembang panjang dengan 3 orang peserta dari Uzbekistan .Ketiga-tiga mereka belajar di Indonesia dan mula fasih berbahasa Indonesia.Saya juga sempat berjumpa 2 orang sahabat Global Peace Festival Malaysia,Nicholas Lee dan James yang telah saya kenali sebelum ini melalui penyertaan dalam acara Global Peace Festival Malaysia dan International Youth Exchange (IYE) di UPSI.Di samping itu juga saya sempat bertemu dengan Dato Azman, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional dan beberapa orang rombongannya pensyarah dari Universiti Putra Malaysia.Untuk acara ini hanya saya dan Saiful Ridzuan sahaja yang mewakili negara Malaysia sebagai peserta.Mujur kami mengisi borang penyertaan secara online dan diterima sebagai peserta jika tidak acara ini langsung tiada wakil dari negara jirannya,Malaysia.
Petang harinya selepas sesi panjang siri pembentangan,semua peserta diberi rehat dan acara bebas:jalan-jalan.Waktu rehat kami manfaatkan sebaik mungkin untuk berkenalan dengan seramai mungkin peserta acara ini. Malam harinya pula merupakan malam persembahan budaya dan semua peserta diminta memakai pakaian budaya-negara masing-masing.Cukup menarik melihat semua peserta dengan pakaian budaya-negara masing-masing dan kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama-sama untuk kenang-kenangan.
Sepatutnya acara persembahan budaya malam ini dihiasi dengan persembahan tokoh budaya terkenal dari Indonesia,Emha Ainun Madjid atau lebih dikenali sebagai Cak Nun dan kumpulannya,Kiai Kanjeng.Saya ‘mengenali’ Cak Nun ini sudah lama beberapa tahun dahulu dan sering mendengar nyanyiannya melalui Youtube.Sedih juga mengetahui beliau tidak dapat hadir dan digantikan dengan orang lain.Para peserta yang berminat juga dibenarkan untuk membuat persembahan masing-masing.
Malam persembahan budaya ini juga cukup unik dengan tarian-tarian kebudayaan Bali seperti Yoga ,Tarian Barong dan pelbagai nyanyian dan bacaan puisi.
Ketika sedang sibuk bergambar bersama peserta-peserta lain yang memakai pakaian budaya-negara masing-masing,saya dipanggil oleh seorang wartawan tv TVRI Bali dan beliau merakam temubual bersama saya dan mahu saya memperkatakan sesuatu tentang acara Interfaith Summit 2012 ini dan apa sahaja berkenaan Bali. Malam persembahan budaya ini ditutup dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenang-kenangan.
Tamat malam persembahan budaya,kami pulang ke bilik penginapan masing-masing dan majoriti peserta masih belum mahu tidur bahkan asyik bersembang dan berdiskusi sesama sendiri.Sembang-sembang santai dan diskusi ini sebenarnya secara tidak langsung semakin mengeratkan lagi persahabatan antara para peserta.Kami tidur agak lewat malam ini kerana asyik bersembang panjang walaupun pagi sehingga petang tadi kami telah dihidangkan dengan siri ‘maraton’ panjang pembentangan-pembentangan.

Kembara di Bali (2)

Khamis 4 Oktober 2012 Urusan tempahan tiket diserahkan kepada Saiful Ridzuan manakala saya fokus menghubungi pihak penganjur dan rakan-rakan di Global Peace Festival di Malaysia dan Indonesia.Selepas membuat tinjauan harga tiket Air Asia yang paling murah dan hari yang bersesuaian untuk berangkat ke Bali,Saiful Ridzuan memaklumkan kepada saya tentang selesainya urusan tempahan tiket dan yang paling mengejutkan saya ialah kami perlu berangkat ke Bali pada jam 8.20 malam 4 Oktober dari LCCT.Acara ‘Interfaith Summit 2012’’ itu sebenarnya bermula perasmiannya pada 4 Oktober pagi dan ini bermakna kami akan terlepas acara perasmian dan beberapa slot untuk hari pertama program.Kelam kabut saya membuat persiapan dan mengemas barang dan hanya memaklumkan perancangan pemergian saya ke Bali kepada mak dan ayah saya tatkala kami makan tengahari bersama .Terkejut mak ayah saya kerana saya perlu berangkat ke LCCT petang ini juga dan menaiki kapal terbang pada malam harinya.

Zahid Mastal(sahabat ‘Jaringan Anak Muda’ sekembara di Turki ) datang ke rumah saya petang itu dan kami bersembang sebentar sebelum saya naik ke bilik mengemas barang dan membuat persiapan lainnya dan Zahid juga mahu turut serta bersama Ammar,adik saya untukmenghantar saya dan Saiful Ridzuan ke LCCT.Saiful Ridzuan yang rumahnya di Puchong akan ke rumah saya di Kampung Sungai Ramal Dalam terlebih dahulu sebelum kami bergerak ke LCCT bersama-sama. Jam sudah menunjukkan jam 5.30 petang dan Saiful Ridzuan masih belum tiba di rumah saya.Saya menelefon beliau beberapa kali(lebih 10 kali) dan beliau tidak sempat menjawap panggilan saya kerana sedang menunggang motornya dari Puchong ke Kajang.Saya memberitahu Zahid dan Ammar kami akan terus ke LCCT jika Saiful Ridzuan tidak tiba juga segera dan saya cuba menelefon beliau buat kali terakhir tapi masih tidak terjawab panggilan dan ketika saya meluru ke kereta untuk bergerak ke LCCT,akhirnya Saiful Ridzuan tiba di rumah saya.Kami terus bergerak ke LCCT segera memandangkan tidak mahu terlepas kapal terbang ke Bali.Saya teringat ketika mengikuti rombongan Malaysian Turkish Dialogue Society (MTDS)ke Acheh ,ada seorang sahabat dan adiknya(sepatutnya serombongan kami) yang lewat tiba di LCCT dan terlepas kapal terbang ke Acheh. Di LCCT kami sempat terserempak dengan seorang penulis,Zamri Mohamad dan rakannya dan juga bertemu dengan Ust Zakwan Sawai dari JAKIM yang sempat menceritakan pengalamannya di Bali dan menasihati kami berhati-hati khususnya bab makanan dan jangan sampai termakan babi dan anjing panggang di sana.Saya teringat kisah seorang kawan saya yang menceritakan pengalamannya yang tersilap memakan daging babi ketika menjamu selera di sebuah hotel di sebuah negara.Beliau hanya mengetahui apa yang dimakannya itu ialah daging babi selepas selesai menjamu selera di hotel tersebut.Daging babi itu diletakkan sebaris dengan daging-daging lain dan beliau langsung tidak dapat membezakan yang mana satu daging babi.Entah sudah berapa ekor babi di dalam perutmu ? 
Dari LCCT kami mengambil penerbangan ke Den Pasar.Saya duduk bersebelahan dengan Saiful Ridzuan dan seorang lelaki Russia.Beliau dari Moscow dan merancang untuk tinggal selama 2 bulan di Bali untuk bercuti.Sepanjang penerbangan beliau asyik membaca buku dalam Bahasa Russia dan sekali sekala kami berborak-borak santai. Penerbangan dari LCCT ke Den Pasar mengambil masa dalam 3 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai ,Bali yang bangunannya menampakkan ciri-ciri kehinduan ketika hari sudah lewat malam(sekitar jam 12 malam)dan sementara beratur panjang di imigresen,kami sempat bersembang dengan rakyat Malaysia dari Pulau Pinang yang berada dihadapan kami yang bercuti sekeluarga di Bali.Mereka sempat berkongsi pengalaman menarik mereka kembara di Indonesia.Ketika sedang beratur panjang di imigresen,saya dapat melihat ramai pelancong khusus dari Eropah yang tidak beratur panjang bersama kami sebaliknya mereka mengikut seseorang melalui satu lorong laluan khas. Rupa-rupanya bagi pelancong yang mahu mempercepatkan urusan imigresen mereka tanpa beratur panjang,mereka boleh membayar ‘upah’ (rasuah? )kepada pegawai –seseorang yang menunggu (sekitar 20 dolar) dan urusan mereka akan berjalan lancar segera tanpa perlu beratur panjang.Saya dan Saiful Ridzaun turut ditanya oleh seorang pegawai jika berminat nak percepatkan urusan tetapi dengan bayaran tapi saya dan Saiful Ridzuan menolaknya.Sementara beratur panjang,saya sempat menghantar mesej kepada AJK program(sepertimana yang dimaklumkan dalam surat penerimaan sebagai peserta) untuk bertanya mereka samada ada AJK yang akan menjemput kami di lapangan terbang atau tidak memandangkan kami tiba agak lewat malam.Mesej saya dibalas segera dan seorang AJK program memaklumkan kepada saya akan ada AJK yang menunggu kami diluar tempat ketibaan sambil memegang kertas tertera ‘’Interfaith Summit 2012’’.
Selepas melepasi imigresen,kami meluru keluar sambil mata mencari kertas tertera ‘’Interfaith Summit 2012’’ dan akhirnya kami bertemu dengan kertas tersebut dan berjumpa dengan AJK-AJK program yang sedang menunggu kami.Turut serta berserta mereka ialah beberapa orang peserta dari Bandung dan Jakarta yang juga baru tiba di Bali.Kami berehat sebentar ,bersalaman,berkenalan dan bersembang santai sebelum menaiki van Avanza menuju ke asrama penginapan peserta.Malam yang gelap hampir jam 1230 malam dan tidak banyak yang boleh saya lihat Bali pada lewat malam ini .Hanya sepanjang perjalanan kami dimaklumkan oleh pemandu van yang membawa kami tentang insiden bom di Bali beberapa tahun yang lalu dan hanya beberapa hari lagi ulangtahun insiden bom bali tersebut dan akan ramai sanak saudara mangsa yang terbunuh dalam insiden bom Bali tersebut yang akan hadir ke tugu peringatan mangsa bom Bali beberapa hari lagi.
Selepas beberapa minit,kami tiba di asrama Universitas Hindu Indonesia.Di sini saya berjumpa Firmanshah junior di UM dari Indonesia yang turut terpilih sebagai peserta acara ini.Halim Miftahul Khairi,sahabat saya dari Indonesia yang mula dikenali melalui Facebook dan sama-sama menyertai acara International Youth Exchange(IYE) di UPSI turut menyertai acara ini. Kami menyimpan beg,daftar nama peserta sebelum berehat santai dan bersembang-sembang dengan ajk program dan peserta program yang baru dikenali.Sebelum tidur saya dan Saiful Ridzuan sempat makan makam bersama-sama dengan sahabat peserta dari Bandung yang berkongsi makanan yang mereka bawa dari Bandung.2 orang peserta dari Vietnam baru tiba di asrama penginapan peserta dengan menaiki teksi dari lapangan terbang .Rupa-rupanya mereka tidak dapat berhubung dan berjumpa dengan ajk program yang menunggu mereka di lapangan terbang.
Di asrama penginapan peserta,para peserta ditempatkan di 4 buah bilik besar(1 bilik lebih 10 orang) dan sebahagian peserta turut ditempatkan di Wisma Agong Soka yang terletak di luar Universitas Hindu Indonesia,tempat saya menginap sepanjang program ini.Ketika kami tiba di bilik penginapan,semua peserta sudah tidur nyenyak.Katil saya bersebelahan dengan peserta dari Dagestan-Russia.Dalam bilik yang saya menginap ini terdapat peserta dari pelbagai negara seperti Indonesia,Malaysia,Russia,Vietnam,Timor Leste,Philipine dan lain-lain dan yang menariknya mereka dari latar belakang agama yang berbeza. Tak sabar rasanya kami mahu berjumpa dengan sahabat-sahabat baru esok hari…zzzzzzz

Kembara di Bali (1)

Interfaith Summit 2012 New Interfaith Paradigm for the 21 st Century Bali,Indonesia 4-7 Oktober 2012 (anjuran Indonesia Youth Yorum(IYF) dan Global Peace Festival Indonesia) Sebelum program

Saya mendapat tahu tentang acara Interfaith Summit 2012 ini melalui FB.Seorang teman dari Indonesia ‘tag’ saya di Facebook lalu saya terus membaca maklumat lanjut dari laman web rasmi penganjur program dan terus membuat pendaftaran secara online disamping menyertakan resume-cv saya.Saya turut mengiklankan acara ini di Facebook(termasuk di Facebook kumpulan saya dan teman-teman rapat dalam ‘’Jaringan Anak Muda’’ dan mengajak teman-teman yang lain untuk mendaftar bagi mengikuti acara menarik ini.
Saya dan teman-teman dalam ‘’Jaringan Anak Muda’’ dan PKPIM telah beberapa kali mengikuti siri program berkenaan ‘’interfaith’’ sebelum ini sekitar Kuala Lumpur dan acara ‘Interfaith Summit 2012’ di Bali ini dapat memberi pendedahan antarabangsa buat kami yang masih mentah dalam hal-hal ‘interfaith’ ini.
Beberapa minggu selepas itu,saya mendapat email balasan dari pihak penganjur berserta surat (bentuk PDF) yang menyatakan saya telah diterima secara rasmi sebagai peserta program Interfaith Summit 2012 ini dan pihak penganjur turut memberikan tajaan penuh(tidak termasuk tiket kapal terbang KL-Bali).Dalam laman web rasmi penganjur program juga telah dikeluarkan senarai nama peserta yang terpilih untuk mengikuti acara ini. Sahabat saya ,Saiful Ridzuan terlupa mengisi borang pendaftaran untuk mengikuti acara ini tapi saya memberitahu beliau untuk mengisi boring pendaftaran segera manatahu pihak penganjur masih menerima pendaftaran peserta.Akhirnya pihak penganjur telah mengeluarkan senarai nama peserta bagi pusingan kedua dan beliau turut terpilih mewakili Malaysia.
Tajaan penuh pihak penganjur merangkumi yuran penyertaan,penginapan,makan minum,pengangkutan di Bali dan lain-lain tidak termasuk tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Bali.Jadi saya dan Saiful Ridzuan terpaksa mencari tajaan tiket dalam masa yang semakin suntuk memandangkan hari program semakin hampir dan kami juga turut sibuk mengikuti satu acara penting IAIS di Kuantan,Pahang.Sebelum ini kami tidak sempat berbincang secara serius tentang program di Bali ini memandangkan saya berada hampir 2 minggu di Istanbul,Turki untuk mengikuti acara ‘Arab Turk Youth Congress’ dan kami hanya berhubung sekali sekala melalui Facebook selepas mendapat email maklumat penerimaan sebagai peserta.
Kembalinya kami dari Pahang,kami terus merancang strategi untuk mendapatkan tajaan dan tempat kami lepak untuk merancang strategi tersebut seperti biasa di sebuah restoran Arab di Bandar Baru Bangi.Ketika sedang sibuk bermesyuarat santai sambil minum teh arab di restoran tersebut,taukey restoran menghampiri meja kami dan bertanyakan khabar.Saya memaklumkan kepada beliau tentang perancangan kami untuk ke Bali bagi mengikuti program ‘interfaith’ dan sedikit masalah yang kami hadapi dan tanpa disangka-sangka beliau turut menghulurkan bantuan kewangan kepada kami sambil mengucapkan selamat kembara ilmu.

Jumlah pengunjung

web statistics