Friday, November 25, 2011

bersama Anna Karina Jardin dan Yusser Ali Al-Qazwini




Bermula perkenalan dari alam maya(Facebook) dan akhirnya bertemu secara realiti.
Entah bagaimana saya mula mengenali mereka di Facebook,saya sudah lupa.Tetapi yang saya ingat ialah Anna Karina Jardin(22 Tahun) dari Philipina(seorang pelukis yang mempunyai galeri sendiri) akan menjadi salah seorang penceramah dalam program TEDxYouth@KLdi KLCC yang saya bercadang untuk menghadirinya manakala saya menonton video komedi di Youtube lakonan Yusser(23 Tahun) dari Iraq(pelajar PHD di UPM) berkenaan kritikan terhadap Muammar Ghadafi.

Di ruangan chat Facebook saya sering berbual dan berkongsi pandangan dengan Anna Karina yang ketika itu di Philipina dan juga bertanyakan kepada Yusser tentang lakonan videonya di Youtube tersebut.Kebetulan Anna Karina dan Yusser juga saling mengenali antara satu sama lain setelah mereka terlibat dalam kegiatan lukisan dan program anak muda di peringkat antarabangsa.Mereka sangat aktif melukis,mengadakan pameran lukisan dan mengadakan bengkel mengajar cara melukis-mewarna.

Anna Karina mengajak saya menghadiri program TEDxYouth@KL di KLCC dimana beliau merupakan salah seorang pembentang dalam acara ini dan Yusser turut akan menemani Anna Karina di program ini.

Pagi hari tersebut saya telah menghadiri International Concerence:The Arab Uprising dan pameran ‘War is a Crime’’ yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebaik sahaja tamat sesi tengahari program saya bergegas ke KLCC.Di KLCC saya menunggu di luar tingkat bawah program TEDxYouth@KL dan ketika saya tiba program TEDx Youth@KL baru sahaja selesai.Saya menunggu seketika sebelum dapat bertemu Anna Karina dan Yusser buat pertama kali disini.Saya mengajak mereka untuk hadir ke program War is a crime keesokan paginya dan Yusser yang cukup mengkagumi kelantangan Tun Dr Mahathir dalam membantah perang di Iraq berasa sangat teruja untuk menghadiri program esok bersama saya dan Anna Karina.

Keesokan harinya di pejabat Yayasan AL-Bukhari berdekatan Muzium Kesenian Islam ,saya,Anna Karina dan Yusser bertemu kembali di tapak pameran ‘’War is a Crime’’.Dan diluar tapak pameran disinilah kami bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bergambar dengan beliau.

Selepas beberapa jam di program ‘War is a Crime’ ini,kami menaiki kereta bersama seorang lagi sahabat dari Iraq,Suhaib dan menuju ke sebuah restoran arab di Taman Tasik Titiwangsa.Yusser mahu menjamu tetamu kami dari Philipina,Anna Karina dengan makanan Arab.Di restoran inilah kami makan makanan Arab dan duduk sekitar 3-4 jam berdiskusi tentang pelbagai perkara dan diakhiri dengan jalan-jalan sekitar Taman Tasik Titiwangsa ini.

2 hari selepas perjumpaan kami di program War is a crime,Anna Karina dan Yusser mengajak saya mengikuti program mereka bersama Islamic Relief di Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih di Bandar Bukit Puchong 2.Mereka berdua ingin mengajar sukarela anak-anak yatim ini bagaimana mahu melukis-mewarna dan beberapa pengisian program yang lain.Dari pejabat Islamic Relief di Serdang,kami bergerak menaiki van yang disediakan oleh Islamic Relief dipandu oleh seorang sahabat,Sabri yang turut serta dalam program ini.

Hanya 8 orang sahaja penghuni di rumah anak-anak yatim ini dan kesemuanya perempuan berusia 15 tahun ke bawah disamping 2 orang penyelia rumah.
Di rumah anak yatim ini,Anna Karina dan Yusser memulakan program dengan hiburan santai,senaman dan permainan untuk menghiburkan anak-anak yatim disini sambil dibantu oleh saya dan Sabri sebagai penterjemah.





Anna Karina dan Yusser sempat mempelajari asas Bahasa Melayu disini bagi memudahkan komunikasi dengan anak-anak yatim ini sepanjang program berlangsung.Anna Karina dari Philipina yang merupakan seorang Kristian Katolik tiba-tiba bertanyakan kepada penyelia rumah samada ada kain tudung lebih atau tidak.Anna dengan sukarela mahu mencuba memakai tudung selepas melihat kesemua anak-anak yatim ini memakai tudung.



Sepanjang program ini sehingga tamat,Anna memakai tudung yang dipinjamnya.
Selepas sesi perkenalan dengan anak-anak yatim,dan pelbagai permainan hiburan yang diadakan,satu tayangan video berkenaan krisis kebuluran Somalia daripada Islamic Relief diadakan dan para penghuni rumah anak-anak yatim ini menontonnya dengan penuh khusyuk bahkan ada yang menangis mengalirkan mata termasuk 2 orang fasilitator iaitu Anna Karina dan Yusser.




Selepas sesi tayangan video tersebut,Anna Karina menyampaikan ceramah motivasinya secara ringkas dan menekankan tentang kepentingan seseorang untuk memiliki impian dan cita-cita dan cuba sedaya upaya merealisasikan impian dan cita-cita tersebut.Anna Karina menceritakan pengalaman hidupnya bermula sejak kecil dimana beliau telah mula melukis dan menulis tentang cita-citanya untuk kembara ke seluruh dunia dan membantu mereka yang memerlukan apa jua bantuan.Akhirnya kini beliau telah berjaya merealisasikan cita-citanya sewaktu kecil tersebut dengan aktif mengadakan pelbagai program kebajikan di seluruh dunia disamping memiliki galeri seni lukis sendiri serta sering mengadakan bengkel melukis secara percuma kepada anak-anak yatim-miskin.

Yusser kemudiannya menayangkan video yang dirakamnya dalam program bersama anak-anak yatim sebelum ini dan menceritakan usahanya untuk mengadakan pelbagai program bagi membantu saudara-saudara di Somalia.Beliau bersama Islamic Relief juga sedang merancang pameran lukisan untuk dana bantuan kemanusiaan rakyat Somalia.
Program diteruskan lagi dengan sesi bengkel melukis-mewarna yang dikendalikan oleh Anna Karina dan Yusser.





Setiap peserta telah diberikan satu kertas lukisan dan 1 set peralatan melukis-mewarna dan mereka diminta untuk menyiapkan lukisan mereka sambil diberi tunjuk ajar oleh Anna Karina dan Yusser.Kelihatan anak-anak yatim ini berasa sangat seronok dapat mempelajari cara melukis-mewarna bersama Anna Karina dan Yusser dan masing-masing berasa puas hati melihat karya kreatif yang mereka usahakan sendiri.

Selepas siap kesemua lukisan tersebut,Yusser merakamkan hasil lukisan tersebut dengan setiap peserta memperkenalkan diri mereka ,memegang lukisan yang mereka siapkan sambil mengungkapkan ‘’Saya sayang rakyat Somalia.Lukisan ini saya lukis untuk rakyat Somalia’’.

Saya berasa kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh Anna Karina dan Yusser,sahabat saya dari Philipina dan Iraq ini yang sanggup meluangkan masa mereka untuk memberi khidmat bantuan kepada anak-anak yatim di Malaysia.

Bagi Anna Karina beliau lebih suka mengadakan program turun padang ke rumah anak-anak yatim,berjumpa langsung dengan mereka yang memerlukan bantuan sebegini tanpa mengira latar belakang agama daripada sekadar berforum-berseminar di hotel-hotel semata-mata.



Bagi Yusser pula beliau akan cuba sedaya upaya membantu pihak yang memerlukan bantuan termasuk memanfaatkan teknologi yang sedia ada bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai.Mereka berdua yang sangat meminati bidang lukisan ini akan terus menyampaikan mesej kemanusiaan melalui hasil lukisan mereka nanti.