Sunday, August 31, 2008

MERDEKA!!!

Di atas robohan Kota Melaka,Kita dirikan jiwa merdeka,Bersatu-padulah segenap baka,Membela hak keadilan pusaka.-Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi

Adalah malang sekali jika kemerdekaan yang diperolehi dengan pesih, dan sebagai wasilah mencapai keadilan, hanya akan berakhir dengan penggantian penindasan kuasa luar dengan kuasa dalaman."-Anwar Ibrahim (lihat Gelombang Kebangkitan Asia, ms. 63-64).

Wednesday, August 27, 2008


’’....Semua anak malaysia anak kita …saya orang melayu saya mesti jaga orang melayu,anak melayu anak saya, Anak cina anak saya ,anak india anak saya…….''-Anwar Ibrahim

6 RESOLUSI PAROI






6 RESOLUSI PAROI Seminar Islam dan Cabaran Semasa bertemakan ''Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa” anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM Ke-37 yang telah diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Seremban pada 16 Ogos 2008 Masihi bersamaan 14 Syaaban 1429 Hijrah.


Menginsafi perkembangan mutakhir yang menyaksikan terdapat kecenderungan pihak-pihak tertentu di negara ini atas nama globalisasi, liberalisasi dan hak-hak asasi terutamanya selepas PRU-12 untuk menafsir dan mengolah asas-asas yang membentuk teras negara-bangsa Malaysia secara melulu demi memenuhi agenda kelompok mereka yang jelas tidak meraikan semangat permuafakatan yang telah terbina sejak lebih 50 tahun Merdeka, maka kami peserta Muktamar dan Seminar dengan ini ingin menyatakan pendirian kami bahawa:

1. Percubaan demi percubaan untuk membentuk persepsi baru mengenai pensejarahan Malaysia dengan sengaja menghilangkan kepentingan peranan faktor-faktor yang melatari sejarah, sosio-budaya, geo-politik tanahair dan yang lebih utama peranan Islam itu sendiri dalam pembentukan negara-bangsa hanya akan mengundang bahaya terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat yang telah terbina selama ini.

2. Angin perubahan atas nama globalisasi, liberalisasi dan hak-hak asasi janganlah dijadikan alasan untuk melunturkan hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedudukan khusus Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
3. Menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin dan cintakan keamanan agar mempertahankan kontrak sosial sebagai asas pembinaan negara-bangsa kita dan pembentukan masyarakat majmuk Malaysia serta menolak sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakharmonian dalam hubungan kaum di negara ini dengan menggangu-gugat fabrik sosial yang telah terbina kukuh dan terbukti berjaya selama ini.


4. Mendesak pihak kerajaan supaya memperbaharui komitmen terhadap dasar-dasar utama pendidikan, kebudayaan dan bahasa yang jelas jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan menjadi teras utama dalam pembinaan perpaduan nasional. Kita juga berpegang kepada firman Allah bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan berkaum-kaum supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain, bukan untuk dipecah-pecahkan melalui politik perkauman. Ini sekaligus tidaklah menghalang penerimaan secara positif kepelbagaian budaya dan agama kaum-kaum lain di Malaysia dan peranan mereka dalam proses pembinaan perpaduan nasional.

5. Mendesak kerajaan menjunjung tinggi integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran awam, institusi kehakiman, perundingan dan polis. Institusi-institusi ini perlu dikendalikan oleh manusia yang cekap, tegas, telus dan adil serta tidak memilih bulu.


6. Menyeru semua pihak agar usaha-usaha agresif untuk memperkasa institusi-institusi umat Melayu termasuklah institusi Raja-Raja Melayu, Majlis Agama dan Para Ulama, Ilmuan dan Tokoh Masyarakat, Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat, Media-Media Melayu dan Kelompok Usahawan dan Perniagaan Melayu demi melahirkan generasi Melayu Islam yang lebih tersusun dari sudut visi dan misi perjuangan mereka serta lebih terserlah kepimpinan akhlak, keilmuan dan kemasyarakatan mereka dalam menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan sekularisasi.

Mutiara kata


''Untuk membina ketahanan dan kecergasan diri, seseorang itu tidak perlu melakukan 'senaman' dengan kaum lain kerana yang penting ialah kekuatan minda dan keazaman individu itu sendiri."-Profesor Diraja Ungku Aziz

Tuesday, August 05, 2008

Hari Interaksi PMIUM

Sabtu 2 Ogos 2008

Hari ini saya hadir ke Hari Interaksi PMIUM(IN TEAM 08) mewakili PBMUM.
Hari Interaksi PMIUM kali ini diadakan di APM (PMIUM sinonim dengan API dan penganjuran di APM ini bagi saya menjadi bukti Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan dan pastinya kekuatan Melayu itu ialah Islam.) dan dirasmikan oleh Prof Madya Dr.Salihin Baba(bekas pengetua kolej saya di tahun pertama,Kolej Kediaman Kelima,Dayasari) yang cukup saya hormati atas komitmen beliau terhadap program-program dakwah. Presiden PMIUM;AQSA hebat….
Kehadiran ramai mahasiswa pada Hari Interaksi PMIUM ini menjadi bukti besarnya pengaruh PMIUM di Universiti Malaya ini sesuai dengan kematangan usianya yang menjangkau lebih 50 tahun.Untuk sesi kali ini juga Presiden PMIUM merupakan mahasiswa Jabatan Al-Quran dan Hadith,APIUM iaitu sahabat sekuliah saya,Mohd Hafizuddin Abi Rerah(
http://www.penjagaagama.blogspot.com/) setelah sesi yang lepas PMIUM dipimpin oleh senior saya di MTAQ PulaiChondong,Dzulkhairi Mohd Nor(http://www.dzulkhairi.blogspot.com/) yang juga daripada Jabatan Al-Quran dan Hadith,APIUM.

Pengisian Hari Interaksi PMIUM

Hari Interaksi PMIUM kali ini agak meriah dengan gimik pelancaran seperti silat(warisan Melayu-Islam yang perlu dipertahankan-pendakwah perlu pandai bersilat!!!),slide show,pelancaran kelab-kelab baru dibawah PMIUM(Media,Fasilitator,Khidmat Masyarakat,Penyayang,Sukan),sesi dialog dengan pimpinan PMIUM dan hiburan nasyid.Cuma saya rasa slideshow PMIUM (yang dahulu) yang memaparkan rentetan sejarah perjuangan PMIUM sejak penubuhannya sehingga kini perlu ditayangkan.Jangan sesekali melupakan sejarah!!!

Penubuhan kelab-kelab baru bawah PMIUM.Bagaimana pula dengan Kelab Buku PBMUM?

Saya tertarik dengan penubuhan kelab-kelab baru dibawah PMIUM ini yang saya fikir jika dimanfaat sebaik mungkin ternyata mampu meledakkan gelombang dakwah yang cukup besar(tsunami dakwah?) di kampus UM.Dan hati saya turut mengatakan bahawa saya melalui PBMUM akan bekerjasama dengan PMIUM apatah lagi PBMUM akan melancarkan kelab buku tidak lama lagi insyaallah.

Penubuhan kelab buku ini saya harapkan mampu menyuburkan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan di kalangan mahasiswa seterusnya mampu melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin perubahan dan membawa misi pencerahan lantas memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Dialog bersama pimpinan PMIUM;Beberapa persoalan dalam fikiran yang tidak sempat ditanya…..

Sewaktu sesi dialog bersama pimpinan PMIUM,saya sebenarnya ingin bertanyakan beberapa soalan tetapi tidak sempat memandangkan kesuntukan masa.Saya ingin mengajukan persoalan berkenaan pengasas PMIUM iaitu Prof Syed Mohamad Naquib Al-Attas.

Saya beranggapan perlunya PMIUM membedah pemikiran dan idea-idea serta gagasan yang diperjuangkan oleh Syed Mohd Naquib Al-Attas melalui diskusi,forum atau bedah buku karya-karya beliau.Jasa-jasa beliau dalam menyebarkan faham Islam kurang disedari oleh mahasiswa kini termasuk ahli-ahli PMIUM sendiri.

Saya juga mengharapkan PMIUM lebih giat dalam usaha memperkasakan intelektualisme di kalangan mahasiswa memandangkan saya beranggapan PMIUM lebih menonjol dalam aspek idealisme ,aktivisme, dan spiritualisme.(keseimbangan antara 4 isme yang sangat ditekankan oleh PKPIM).Usrah(tidak esklusif),diskusi @bedah buku merangkumi tajuk-tajuk buku pelbagai bidang yang menampilkan mahasiswa sendiri sebagai pembicaranya perlu disemarakkan.


PMIUM-PBMUM

Saya mewakili PBMUM juga mengharapkan agar PMIUM lebih aktif dalam memartabat dan memperjuangkan bahasa Melayu seperti mana generasi awal PMIUM dan juga pengasasnya sendiri yang lantang bersuara memperjuangkan bahasa Melayu dan ini pastinya memerlukan kerjasama yang lebih erat antara PMIUM dan PBMUM.

PMIUM-PKPIM

Saya juga berharap PMIUM akan melebarkan jaringannya terutamanya dengan organisasi dakwah pimpinan mahasiswa seperti PKPIM-Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PMIUM pernah berada dibawah naungan PKPIM suatu ketika dahulu sebagai badan gabungan dan mencapai era kegemilangannya ketika itu) demi memperkasakan dakwah di kampus Universiti Malaya.

Semoga PMIUM terus relevan dalam menggerakkan dan memimpin perubahan demi menyemarakkan gelombang dakwah di kampus Universiti Malaya.

Sejahtera Bersama PMIUM........
Ahad 3 Ogos 2008
Kolej Kediaman 12
3.30 am

Festival Konvokesyen Universiti Malaya

Singgah di Bonda Sup Corner(PMIUM) dan PEMADAH….

Saya singgah sebentar untuk makan tengahhari (nasi ayam belum ada,jadi saya memesan bihun sup)di Gerai Bonda Sup Corner milik PMIUM(tanda sokongan sekaligus menambahkan dana PMIUM).

Sementara menunggu pesanan,saya tercari-cari akhbar atau bahan bacaan untuk dibaca .Saya sengaja bertanya kan kepada ajk di gerai BSC ini samada disediakan surat akhbar @bahan bacaan ringan lain atau tidak.Sempat saya beritahu(mungkin perli) kepadanya…….budaya ilmu amalan kita……Perkara yang sama berlaku apabila saya singgah minum milo ais di gerai PEMADAH(anak Kedah).Tiada juga bahan bacaan.Dalam hati saya berbicara,budaya ilmu itu di mana-mana dan bila-bila masa….Sediakan lah bahan bacaan ringan kepada pelanggan sementara mereka menunggu pesanan tiba….Gerai milik mahasiswa….bukan namanya mahasiswa jika budaya ilmu diketepikan!!!

Suasana meriah gerai Persatuan Buddish UM

Bersebelahan BSC PMIUM ialah gerai Persatuan Buddish UM.Agak meriah dengan ramai ajk yang seragam bajunya(mengikut seorang sahabt saya,ajk untuk gerai Persatuan Buddish ini dianggarkan dalam 300 orang!!!) dan juga pelanggannya.-meriah .Mereka ‘otak business’ kata seorang kawan saya.Saya membalas (dalam hati)….kita pula otak bagaimana???

Gerai PBMUM-

PBMUM juga membuka gerai kali ini untuk menambahkan dana persatuan(dana PBMUM dalam akaun PBMUM pada Bendahari UM ada ke??? Disamping untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli PBMUM).Setakat ini PBMUM menjual beberapa jenis l kerepek,buku ,asam dan lain-lain….Lokasi di TK16 bersebelahan bangunan peperiksaan mungkin tidak strategik dan bukan tempat tumpuan orang ramai tetapi…perjuangan tetap diteruskan………

Jumpa Ustaz Suhaimi(ustaz di MTAQ Pulai Chondong)

Ketika berjalan menuju ke gerai PBMUM(berdekatan DTC),saya terserempak dengan ustaz Suhaimi, ustaz saya ketika menuntut di MTAQ Pulai Chondong.Beliau sedang menunggu giliran untuk naik ke pentas menerima ijazah Master dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam.Beliau sempat berpesan kepada saya agar belajar bersungguh-sunguh dan seterusnya menyambung pelajaran hingga ke peringkat Master dan PHD.Doakan saya ya ustaz…….dan bukan setakat PHD sahaja ya………………Konvokesyen hanya sekadar lakonan?????

Berdasarkan cerita yang saya dengar berkenaan konvokesyen ini saya boleh membuat kesimpulan bahawa konvokesyen itu tidak lebih hanyalah lakonan drama semata-mata.Mahasiswa yang sudah tamat pengajian akan beratur panjang menunggu giliran seterusnya naik ke pentas menerima skrol yang dalamnya ……kosong(betulkah maklumat yang saya terima ini?)Maka bergambarlah mahasiswa dengan jubah (sewa) konvokesyen sambil tersenyum riang (walaupun dalam hati mereka kadangkala berbisik …aku nak kerja kat mana nanti@ menganggur????)

Konvokesyen sebagai motivasi

Melihat mereka yang menerima ijazah ketika konvokesyen sebenarnya mampu menyuntik semangat dan motivasi buat mereka yang masih berhempas pulas untuk menamatkan pengajian mereka di universiti.Pastinya mereka juga tidak sabar menanti saat konvokesyen menerima ijazah di Dewan Tunku Canselor (DTC)(apabila ada ura-ura nak pindah kan tempat konvokesyen dari DTC ke tempat lain,mengamuk pelajar UM!!!)

Dan bagi adik-adik pastinya berbangga dengan abang-abang atau kakak-kakak mereka yang berjaya menamatkan pengajian di universiti lantas mampu dijadikan contoh tauladan buat mereka agar terus berjuang menuntut ilmu.

Sunday, August 03, 2008

Hari Interaksi AQSA

Jumaat 1 Ogos 2008

Hari ini saya hadir ke Hari Interaksi AQSA (Jabatan Al-Quran dan hadith,APIUM)yang diadakan di Balai Ilmu,APIUM.Turut hadir Ketua Jabatan AQSA,Prof Madya Dr.Mustafa,Dr.Rashid Ahmad yang masih uzur dan juga pensyarah-pensyarah AQSA yang lain.Hari Interaksi AQSA ini diadakan untuk menyambut kehadiran pelajar-pelajar baru dalam keluarga besar AQSA.

Dr.Mustafa selaku ketua jabatan menekankan soal komitmen dan kerjasama warga AQSA dalam menjayakan program-program anjuran AQSA pada sesi kali ini.Apatah lagi AQSA akan menganjurkan program besar tidak lama lagi iaitu SIQAH 08(Seminar Warisan Al-Quran dan Hadith Nusantara 2008 (SIQAH'08) -layari blog SIQAH 08-http://siqah.blogspot.com/)

Ali Hanafiah selaku Pengerusi AQSA pula menerangkan program-program ilmu yang diatur dan dirancang oleh AQSA pada sesi kali ini.Segala perancangan yang diatur hanya mampu dicapai dengan izin Allah dan juga dengan kerjasama semua warga AQSA.

Sesi taaruf turut diadakan berasingan siswa dan siswi walaupun saya secara peribadi lebih gemar sesi taaruf diadakan bersama antara siswa dan siswi demi ukhwah keluarga AQSA memandangkan saya melihat berpandukan semester-semester sebelum ini yang ternyata gagal mengeratkan ukhwah sesama warga AQSA sehingga ramai lagi yang belum mengenali antaraa satu sama lain walaupun sudah bertahun belajar sebumbung sejabatan dan sekelas.

Ketika berlangsungnya interaksi AQSA inilah terlintas di hati saya untuk mewujudkan blog peribadi AQSA.Dan Alhamdulillah pada malam ini juga saya berjaya menyiapkan blog AQSA secara ringkas(sila layari http://aqsa-um.blogspot.com/) dan insyaallah blog ini akan dikemas kini selalu oleh pihak AQSA.

Semoga Hari Interaksi AQSA ini akan lebih mengeratkan ukhwah sesama warga AQSA dan AQSA mampu melahirkan pemimpin terbilang pada masa akan datang yang mampu membawa perubahan berpandukan Al-Quran dan Sunnah……….



Kolej Kediaman 12
3 Ogos 2008
220 am

Hari Interaksi PBMUM

Jumaat 1 Ogos 2008

Hari ini berlangsungnya Hari Interaksi PBMUM bertempat di Akademi Pengajian Melayu UM.Setelah selesai Minggu Promo baru-baru ini yang menyaksikan kemasukan lebih 100 orang ahli baru PBMUM,hari interaksi diadakan pula untuk memperkenalkan PBMUM kepada mereka dengan lebih lanjut disamping mengeratkan hubungan ahli-ahli dan pimpinan PBMUM.

Penasihat PBMUM,Dr.Ibrahim Haji Ahmad(Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu,APM) turut hadir merasmikan Hari Interaksi PBMUM ini.Beliau dalam ucapannya amat bersyukur dengan usaha menghidupkan kembali PBMUM dan berharap ahli-ahli PBMUM terutamanya ahli baru agar terus berjuang mendaulatkan Bahasa Melayu terutamanya di kampus Universiti Malaya.Beliau berjanji akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada PBMUM dengan memanfaatkan pengalaman lebih 20 tahun beliau bersama Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP).

Saya selaku YDP yang diamanahkan untuk memimpin PBMUM bagi sesi kali ini pula menekankan usaha mengangkat martabat bahasa Melayu serta peranan dan kerjasama di kalangan ahli PBMUM dalam mengaktifkan semula PBMUM .Hampir kesemua pimpinan PBMUM kali ini terdiri daripada mahasiswa API melainkan bendahari(APM) dan seorang exco(Alam Bina) dan saya menyeru majoriti mahasiswa APM tahun satu yang hadir pada interaksi PBMUM kali ini untuk lebih aktif bersama PBMUM serta mengharapkan pimpinan PBMUM pada masa akan datang terdiri daripada mahasiswa pelbagai fakulti,kaum dan agama di Universiti Malaya ini.

Pelbagai aktiviti diadakan pada hari interaksi ini antaranya sesi taaruf dan dialog bersama pimpinan PBMUM,sesi taaruf ahli-ahli baru,’permainan bahasa’ yang menyaksikan ahli-ahli dibahagikan dengan beberapa kumpulan bertemakan haiwan seperti ayam,kambing,lembu,katak dan kucing serta latihan dalam kumpulan yang memperlihatkan bakat ahli-ahli baru dalam membentangkan prinsip-prinsip PBMUM.

Hari interaksi ini diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.

Semoga PBMUM yang cukup gah suatu masa dahulu kembali menyinar,kehadiran dirasai warga kampus UM dan terus berjuang mengangkat martabat Bahasa Melayu.

Kolej Kediaman 12
210 am
3 Ogos 2008