Monday, January 28, 2008

Seminar Antarabangsa Islam Hadhari

26 Januari 2007-Hari ini saya hadir ke Seminar Antarabangsa Islam Hadhari yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Institut Perkembangan Minda (INMIND) .

Seminar ini diadakan selama dua hari dan saya bernasib baik walaupun mendaftar lewat tetapi masih dapat mendaftar sebagai peserta seminar ini dan juga penginapan secara percuma di Hotel Concorde,Shah Alam.Terima kasih pihak penganjur.

Perasmian seminar ini dilakukan oleh
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo.Antara pembentang dalam seminar ini ialah Pengerusi Cordova Initiative New York, Imam Feisal Abdul Rauf,Pengerusi Majlis Mufti Russia, Sheikh Ravil Gaynutdin,Pensyarah Universiti Kaherah, Prof. Dr. Abd. Hamid Tahir dan wakil dari Malaysia,Prof. Dr. Sidek Baba.

Monday, January 21, 2008

Perkasa Budaya Ilmu Mahasiswa

Perkasa Budaya Ilmu Mahasiswa


Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan pelancaran program Gegar U! Warna-Warna Malaysiaku - Suatu Lambang Perpaduan 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran bersama Yayasan Budi Penyayang dan Kementerian Pengajian Tinggi mahu mahasiswa di negara ini berusaha sedaya upaya membentuk diri mereka agar menjadi modal insan yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dalam setiap bidang.Beliau menyeru mahasiswa agar meningkatkan kualiti serta nilai tambah dalam diri mereka supaya tidak mudah tersingkir daripada arus persaingan semasa.

Pada pandangan saya,seruan Perdana Menteri ini perlu disahut oleh seluruh mahasiswa di Malaysia dengan memperkasakan budaya ilmu dan penghayatan menyeluruh terhadap makna ilmu dan pendidikan.
Kita tidak mahu mahasiswa di kampus-kampus universiti dihanyutkan dengan budaya hedonisme ,menebal sifat individualistik yang akhirnya memandulkan idealisme dan mematikan semangat perjuangan mahasiswa sebagai penuntut ilmu apatah lagi mahasiswa merupakan aset penting dan barisan pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti.

Melihat realiti yang berlaku di kampus universiti sekarang,mahasiswa lebih banyak tertumpu kepada program-program berbentuk hiburan,kebudayaan dan sukan semata-mata.Konsert,pesta,festival,karnival dan sebagainya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa bahkan mendapat sokongan penuh dari pihak kolej kediaman universiti..Malang bagi mahasiswa pencinta ilmu yang tidak dapat merasai sambutan hangat mahasiswa dan pihak atasan universiti dalam program-program berbentuk akademik,intelektual dan pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.

Pihak universiti terutamanya melalui kolej-kolej kediaman perlu memikirkan usaha pemupukan budaya ilmu,upaya menyegarkan intelektualisme,spiritualisme,aktivisme dan ,idealisme dikalangan mahasiswa.Kolej-kolej kediaman perlu menyemarakkan program-program ilmiah seperti forum,wacana, debat,diskusi buku dengan penampilan para ilmuwan dan cendekiawan dengan melibatkan penyertaan bersama mahasiswa dan sokongan padu pihak kolej kediaman dan pihak atasan universiti.

Pihak universiti juga perlu memberi lebih ruang kepada pertubuhan-pertubuhan belia tanpa mengira latarbelakang bangsa dan agama terutamanya yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM ),Gerakan Belia 4 B ,Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) untuk masuk ke universiti seluruh negara dan bekerjasama mengadakan program-program pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.Menjadi harapan semua pihak agar universiti –universiti di Malaysia mampu melahirkan modal insan yang menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan .

Thursday, January 10, 2008

Hijrah Mahasiswa:Antara Azam dan Muhasabah Ke Arah Perubahan

Hijrah Mahasiswa:Antara Azam dan Muhasabah Ke Arah Perubahan
oleh
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Jabatan Al-Quran dan Hadith
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
ilmuwan-w.blogspot.com
wan_wasif@yahoo.com

Mukaddimah

Azam tahun baru.Inilah ungkapan yang sering kita perkatakan menjelang tahun baru.Malang bagi mereka yang tidak memikirkan tentang persoalan azam dan lebih malang lagi ramai juga yang langsung tidak memikirkan persoalan muhasabah menjelang tahun baru.Persoalan azam,cita-cita,impian dan perancangan ini dapat dikatakan berkaitan masa hadapan manakala muhasabah dan penilaian diri ini berkaitan masa lalu.Sewajarnya muhasabah perlu dilakukan setiap individu dalam rangka memasang azam tahun baru dan pastinya dengan muhasabah dan azam ini dapat menginsafkan jiwa-jiwa yang sedar akan kepentingan hijrah !

Azam

Melangkah ke tahun baru memerlukan perancangan yang rapi agar tahun baru ini tidak sekadar baru tahunnya tetapi lama perangai,sikap,tingkahlaku ,dan pemikirannya.Azam itu pula bukan sekadar azam tanpa memikirkan usaha kearah merealisasikan apa yang diimpikan.Dalam konteks mahasiswa ,kita perlu sentiasa berazam untuk meningkatkan penguasaan ilmu dan ini pastinya menuntut kita untuk mengamalkan budaya ilmu.Budaya ilmu diamalkan dengan sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu,membaca pelbagai buku meliputi pelbagai bidang,memiliki perpustakaan peribadi,menulis dan mencatat segala ilmu yang diperoleh,,mendengar,mengkaji,menyelidik,bertanya,berdiskusi,berdebat,dialog,wacana,dan lain-lain wadah ilmu.Sentiasalah berdamping dengan para ilmuan.Utamakan membaca buku-buku karya ulama,ilmuan,pakar-pakar dan tokoh-tokoh. Setiap detik setiap saat dimanfatkan untuk ilmu.Inilah azam kita yang perlu diperbaharui setiap hari dengan harapan hari ini lebih baik dari semalam.

Muhasabah

Kita sebagai mahasiswa penuntut ilmu perlu sedar dan insaf akan peranan dan tanggungjawab kita.Kitalah harapan ibubapa,guru,pihak universiti ,pemimpin negara,ulama ,rakyat dan ummat keseluruhannya,Usia muda tatkala berada di universiti jangan sesekali disia-siakan.Gunakan setiap kesempatan dan waktu untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi pelbagai bidang.Wajar sekali kita merenung sejenak tentang makna sebenaar mahasiswa.Benarkah kita layak digelar mahasiswa?Sejauhmanakah kita mengurus dan memanfaatkan masa kita sebaiknya di universiti?Bagaimana dengan penguasaan ilmu kita?Bagaimana pula dengan iman dan taqwa kita kepada allah?Tiada lain yang kita perlu lakukan melainkan hijrah.Kalau bukan hijrah, apa lagi?Kalau bukan sekarang bila lagi?Kalau bukan di universiti ini di mana lagi?kalau bukan kita siapa lagi?

Beberapa perkara penting perlu difikirkan oleh mahasiswa sewaktu bermuhasabah antaranya:-

1)Keutamaan ilmu

Kita perlu bijak dan memberi keutamaan kepada penguasaan ilmu..Masa hadapan yang lebin mencabar menuntut kita untuk lebih peka dan memberi penekanan dalam menguasai ilmu-ilmu tertentu.Maka perlu kita bermuhasabah setakatmanakah penguasaan kita terhadap ilmu Al-Quran?Apakah kita sudah mencuba sedaya upaya untuk memahami isi kandungan Al-Quran?Apakah kita sering membuka kitab-kitab tafsir dan terjemahan al-Quran?Bagaimana pula dengan ilmu hadith?Apakah kita sudah menguasai dengan mantap Bahasa Melayu,Bahasa Arab ,Bahasa Inggeris dan lain-lain ?Bagaimana pula penguasaaan kita terhadap ilmu sains dan teknologi?Apakah kita sudah mampu berpidato,ceramah dan berkomunikasi dengan baik?Bagaimana pula dengan bahan bacaan harian kita?Apakah kita istiqamah dalam membaca buku-buku ilmiah ?Bagaimana pula dengan karya penulisan kita?


2)Pengurusan masa

Mahasiswa yang bijak tentunya pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin.Amat malang bagi mahasiswa yang tidak pandai menguruskan masa bahkan membazirkan masa kepada perkara yang tidak bermanfaat.Sewajarnya kita insaf akan kepentingan menguruskan masa dengan efektif.Kita patut sedar berapa banyak kerugian yang menimpa kita seandainya kita membazirkan masa.Oleh itu kita perlu menyemak kembali apakah kita hadir tepat pada waktunya ke dewan kuliah ?Bagaimana pula dengan waktu tidur dan bangun dari tidur kita?Apakah kita menjaga waktu solat?

3)Pengurusan diri dan ketrampilan

Pengurusan diri dan ketrampilan sering diabaikan sebilangan mahasiswa.Kita sepatutnya sentiasa mengurus diri dan berktrampilan sebaik mungkin agar status kita sebagai mahasiswa tidak dipertikaikan orang.Kebersihan diri,cara berpakaian dan pergaulan perlulah sentiasa dijaga .Senyuman perlu sentiasa menghiasi bibir kita.Wajah mesti ceria.Berjalan penuh semangat.Jika diri sendiri gagal diurus,bagaimana mahu mengurus persoalan ummat?

4)Gerak kerja dakwah

Tugas dakwah ialah hak milik setiap insan yang mengaku bertaqwa.Melihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat,tiada jalan lain untuk membuat perubahan melainkan melalui dakwah samada dakwah secara individu (fardhiah)mahupun secara berjemaah(amal jamaie).Apakah kita sekadar melihat satu demi satu kepincangan berlaku dalam masyarakat tanpa berbuat sesuatu demi peubahan?Dalam konteks mahasiswa pula, apakah kita sudah melibatkan diri dalam perjuangan gerakan dakwah di kampus?


5)Hubungan dengan Allah

Kita perlu sentiasa bermuhasabah menilai kembali hubungan kita dengan Allah,Tuhan sekalian alam.Apakah jiwa kita semakin dekat dengan tuhan ataupun semakin hari semakin jauh daripadaNya?Apakah kita sudah membersihkan hati kita dari dinodai warna-warna kehitaman dosa-dosa yang mematikan hati sehingga membuatkan kita semakin lari dari landasan tuhan?Bagaimana pula cara menyucikan jiwa kita agar semakin dekat hubungan kita dengan tuhan? Amat malanglah bagi mereka yang selalu derhaka kepada Allah dan lebih malang lagi terus ego dan sombong enggan bertaubat dan merapatkan hubungannya dengan Allah!

Penutup

Hijrah mahasiswa perlu dimulai dengan muhasabah seterusnya azam untuk melangkah ke tahun baru dengan penuh keinsafan dan meletakkan wawasan ketaqwaan sebagai puncak perubahan.Mahasiswa perlu berubah demi peubahan dan pastinya perubahan itu bermula dari diri sendiri!Dengan muhasabah penuh keimanan dan dengan keazaman penuh perancangan,mahasiswa mampu memimpin perubahan.Ayuh mahasiswa ,mari berhijrah!